Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Penatua​—Adakah Anda “Menyegarkan Mereka yang Lelah”

Penatua​—Adakah Anda “Menyegarkan Mereka yang Lelah”

Angela, * seorang saudari bujang dalam lingkungan umur 30-an, berasa gelisah sementara menunggu kedatangan para penatua. Apakah yang akan para penatua katakan? Sememangnya, Angela kadangkala tidak menghadiri perjumpaan. Dia berasa letih kerana bekerja sehari suntuk menjaga orang tua. Tambahan lagi, dia risau akan kesihatan ibunya.

Jika anda ialah penatua itu, bagaimanakah anda dapat menyegarkan “mereka yang lelah”? (Yer. 31:25) Mula-mula, fikirkan bagaimana anda dapat membuat kunjungan penggembalaan yang membina.

FIKIRKAN KEADAAN SAUDARA SAUDARI

Kadangkala kita juga penat kerana kerja sekular atau tanggungjawab teokratik. Contohnya, Daniel ‘berasa lemah’ ketika menerima penglihatan yang tidak difahaminya. (Dan. 8:27) Namun malaikat yang bernama Gabriel muncul untuk menerangkan penglihatan tersebut. Dia juga berkata kepada Daniel bahawa Yehuwa mendengar doanya dan mengasihinya. (Dan. 9:21-23) Pada kemudian hari, malaikat Tuhan yang lain muncul untuk menggalakkan Daniel dengan kata-kata yang menyenangkan.—Dan. 10:19.

Sebelum membuat kunjungan penggembalaan, fikirkan keadaan saudara saudari

Begitu juga, sebelum mengunjungi saudara saudari yang lelah atau tawar hati, adalah baik untuk memikirkan keadaannya. Tanyalah diri: Apakah masalah yang dihadapinya? Bagaimanakah masalah tersebut menyebabkan dia tidak bermaya? Apakah sifat-sifat baiknya? Richard, seorang penatua yang telah berkhidmat lebih daripada 20 tahun berkata, “Saya bertumpu kepada sifat-sifat baik saudara saudari.” Dia menambah, “Saya mempertimbangkan keadaan mereka terlebih dahulu. Hal ini memudahkan saya untuk memberi galakan yang sesuai.” Jika anda ditemani oleh penatua lain, anda boleh berbincang bersamanya terlebih dahulu.

SEGARKAN SAUDARA ANDA

Anda tentu setuju bahawa ramai orang malu berkongsi tentang perasaan mereka sendiri. Contohnya, seorang saudara mungkin berasa susah untuk meluahkan isi hatinya kepada para penatua yang membuat kunjungan. Jadi, bagaimanakah anda dapat mengatasinya? Senyuman ikhlas dan kata-kata yang menggalakkan dapat membantu. Michael, seorang penatua yang berkhidmat lebih daripada 40 tahun memulakan kunjungannya dengan berkata, “Sebagai penatua saya berbesar hati kerana dapat mengunjungi saudara saudari dan mengenali mereka dengan lebih baik. Jadi saya amat gembira untuk berjumpa dengan kamu hari ini.”

Kunjungan anda boleh dimulakan dengan doa yang tulus. Paulus berdoa tentang iman, kasih, dan ketabahan saudaranya. (1 Tes. 1:2, 3) Berdoa tentang sifat baik saudara saudari boleh mempersiapkan hati mereka untuk perbualan yang membina. Ray, seorang penatua berpengalaman berkata, “Kadangkala, kita lupa apa yang kita sudah buat untuk Yehuwa. Jadi, kita berasa segar apabila seseorang mengingatkan kita.”

BERILAH GALAKAN ROHANI

Seperti Paulus, anda boleh memberi galakan rohani walaupun hanya menggunakan satu ayat Bible. (Rm. 1:11) Contohnya, seorang saudara mungkin berasa tertekan. Seperti pemazmur, dia menganggap dirinya sebagai “kirbat [kantung] wain yang sudah dibuang.” Pemazmur itu menambah, “Namun aku tidak melupakan perintah-Mu.” (Mzm. 119:83, 176) Anda boleh menjelaskan ayat ini dengan ringkas, lalu memuji saudara itu kerana dia juga “tidak melupakan” perintah Tuhan.

Bagaimanakah anda dapat membantu saudari yang hilang semangat atau tidak aktif secara rohani? Ilustrasi tentang wang perak yang hilang dapat digunakan. (Luk. 15:8-10) Kepingan wang perak yang hilang itu mungkin sebahagian daripada rantai leher yang bernilai tinggi. Dengan menjelaskan ilustrasi itu, saudari ini dapat dibantu untuk sedar bahawa dia juga berharga di dalam sidang. Selepas itu, jelaskanlah bahawa dia merupakan domba yang sangat berharga di mata Yehuwa.

Rakan seiman kita selalunya suka membincangkan ayat Bible. Oleh itu, janganlah terlalu banyak bercakap! Anda boleh membaca satu ayat Bible yang sesuai dan bertumpu pada kata kunci atau frasa tertentu. Kemudian, undanglah mereka untuk memberi pendapat. Contohnya, selepas membaca ayat di 2 Korintus 4:16, seorang penatua boleh bertanya, “Pernahkah kamu merasai Yehuwa membaharui batin kamu?” Perbualan seperti ini boleh “menguatkan” dia.—Rm. 1:12.

Rakan seiman kita selalunya suka membincangkan ayat Bible

Anda juga boleh membincangkan watak-watak Bible yang berkaitan dengan keadaan mereka. Sesetengah orang boleh mendapat manfaat daripada watak Bible seperti Hana atau Epafroditus. Walaupun kedua-dua watak Bible ini murung, mereka masih berharga di mata Tuhan. (1 Sam. 1:9-11, 20; Flp. 2:25-30) Oleh itu, bincanglah contoh-contoh Bible bersama orang yang dikunjungi jika keadaan mengizinkan.

TERUS TUNJUKKAN MINAT PERIBADI

Selepas kunjungan penggembalaan, adalah bagus untuk terus mengambil berat terhadap orang yang dikunjungi. (Kis. 15:36) Contohnya, anda boleh membuat temu janji untuk menginjil bersama-sama. Bernard, seorang penatua yang berpengalaman mengambil berat terhadap saudara saudari yang dikunjunginya. Secara lemah lembut dia bertanya “Bagaimana, adakah nasihat tersebut berkesan?” Dengan menunjukkan minat sebegini, anda akan tahu sama ada mereka masih memerlukan pertolongan.

Saudara saudari sememangnya memerlukan jagaan, kasih, dan keprihatinan kita. (1 Tes. 5:11) Sebelum membuat kunjungan penggembalaan, fikirkan situasi mereka dan berdoa supaya anda tahu cara membantu mereka. Kemudian pilihlah ayat-ayat Bible yang sesuai digunakan. Dengan demikian, kunjungan anda akan “menyegarkan mereka yang lelah.”

^ per. 2 Nama telah diubah.