Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Buatlah Keputusan dengan Bijaksana

Buatlah Keputusan dengan Bijaksana

‘Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri.’—AMS. 3:5, ABB.

1, 2. Adakah anda suka membuat keputusan? Apakah perasaan anda tentang keputusan yang telah anda buat?

SETIAP hari kita perlu membuat banyak keputusan. Apakah perasaan anda tentang hal ini? Sesetengah orang ingin memutuskan segala-galanya; mereka mempertahankan hak sendiri dan menolak bantuan orang. Ada yang takut membuat keputusan tentang hal-hal yang penting. Yang lain pula merujuk kepada buku atau kaunselor, dan bahkan menghabiskan banyak wang untuk mendapatkan nasihat sebelum memutuskan sesuatu.

2 Ramai di antara kita pula sedar bahawa kita tidak berhak memutuskan sesetengah perkara. Meskipun begitu, kita masih dapat membuat keputusan peribadi dalam pelbagai aspek kehidupan mengikut kesukaan sendiri. (Gal. 6:5) Biarpun begitu, kita mungkin mengakui bahawa kita tidak selalu membuat keputusan yang bijak atau bermanfaat.

3. Apakah bimbingan yang kita ada semasa membuat keputusan? Apakah cabaran yang mungkin kita hadapi?

3 Sebagai umat Yehuwa, kita gembira kerana Dia menyediakan arahan yang jelas mengenai banyak perkara penting dalam kehidupan kita. Jika kita mengikut bimbingan-Nya, kita boleh membuat keputusan yang baik dan menyenangkan hati Yehuwa. Tetapi, kadangkala Firman Tuhan tidak memberikan arahan yang terperinci tentang cara menangani sesuatu masalah dan situasi. Dalam keadaan sedemikian, apakah yang akan kita lakukan? Sebagai contoh, kita tidak patut mencuri. (Ef. 4:28) Tetapi, ada sesetengah orang berkata bahawa tidaklah salah jika kita mengambil sesuatu yang tidak begitu bernilai, atau jika kita amat memerlukannya. Apakah keputusan kita jika tiada arahan yang jelas diberikan? Di manakah kita boleh mendapatkan bantuan semasa membuat keputusan?

BUATLAH KEPUTUSAN DENGAN FIKIRAN YANG WAJAR

4. Apakah nasihat yang mungkin kita terima sebelum membuat keputusan?

4 Apabila kita memberitahu seorang rakan Kristian bahawa kita perlu membuat keputusan yang penting, dia mungkin menasihati kita untuk berfikir dengan mendalam terlebih dahulu. Nasihat ini memang baik. Bible memberikan amaran bahawa “tindakan tergesa-gesa mengakibatkan orang kekurangan.” (Ams. 21:5) Tetapi, adakah mencukupi jika kita sekadar meluangkan masa, berfikir masak-masak, bersikap munasabah, dan mencuba memahami semua fakta sebelum membuat keputusan? Semua ini memang boleh membantu kita membuat keputusan yang baik, tetapi hal ini tidak mencukupi.—Rm. 12:3; 1 Ptr. 4:7.

5. Mengapakah kita tidak dilahirkan dengan fikiran yang wajar dan sempurna?

5 Tiada manusia yang dilahirkan dengan fikiran yang sempurna. Mengapa? Kerana kita semua mewarisi dosa dan ketidaksempurnaan. Oleh itu, kita tidak memiliki tubuh yang sempurna dan tidak mampu berfikir dengan wajar. (Mzm. 51:7; Rm. 3:23) Tambahan pula, dahulu fikiran kita ‘ditutup’ oleh Syaitan. (2 Kor. 4:4; Tit. 3:3) Tetapi sekarang kita mengenal Yehuwa dan piawaian-Nya yang adil benar. Jadi, janganlah menipu diri sendiri. Keputusan yang kita buat tidak semestinya betul meskipun kita telah berfikir masak-masak.—Ams. 14:12.

6. Apakah yang boleh membantu kita memupuk fikiran yang wajar?

6 Walaupun kita semua tidak sempurna, Bapa kita yang di syurga, Yehuwa, sempurna dalam segala perkara. (Ul. 32:4) Dia membantu kita memupuk fikiran yang wajar dan membaharui cara kita berfikir. (Baca Efesus 4:23.) Sebagai orang Kristian, kita ingin berfikir, menaakul, dan bertindak dalam cara yang munasabah. Oleh itu, kita harus mengawal fikiran dan perasaan sendiri serta meniru fikiran, perasaan, dan cara Yehuwa bertindak.

7, 8. Ceritakan pengalaman tentang bagaimana seorang wanita membuat keputusan yang wajar walaupun menghadapi tekanan dan kesusahan.

7 Fikirkan contoh ini. Sesetengah pendatang asing mempunyai kebiasaan untuk menghantar bayi yang baru dilahirkan ke kampung halaman untuk dijaga oleh ahli keluarga. Dengan demikian, ibu bapa boleh terus bekerja dan mencari duit. * Seorang wanita asing telah melahirkan bayi lelaki yang comel. Pada masa yang sama, dia juga mula mempelajari Bible dan membuat kemajuan rohani yang baik. Sahabat dan sanak saudara mula mendesak dia dan suaminya untuk menghantar bayi mereka ke negara asal untuk dijaga oleh datuk dan nenek. Tetapi, menerusi pembelajaran Bible, wanita ini sedar bahawa Yehuwa mengamanahkan tanggungjawab membesarkan anak kepada dia dan suaminya. (Mzm. 127:3; Ef. 6:4) Adakah dia akan mengikut haluan yang nampaknya bijak di mata ramai orang? Atau patutkah dia mengikut ajaran Bible, walaupun dia mungkin menghadapi masalah kewangan dan hinaan daripada orang lain? Jika anda mengalami situasi yang sama, apakah keputusan anda?

8 Wanita muda ini berasa tertekan. Dia meluahkan isi hatinya kepada Yehuwa dan meminta petunjuk-Nya. Semasa membincangkan hal ini dengan guru Biblenya dan saudara saudari, dia mula memahami pandangan Yehuwa terhadap situasi ini. Dia juga sedar bahawa anak kecil yang dipisahkan daripada ibu bapa mungkin akan mengalami masalah emosi. Selepas merenungkan ayat-ayat Bible yang berkaitan dengan situasinya, dia memutuskan untuk tidak berpisah dengan anaknya. Suami wanita ini menyaksikan betapa cepatnya ahli sidang menghulurkan bantuan serta betapa gembira dan sihat bayi lelakinya. Jadi, dia mempelajari Bible dan mula menghadiri perjumpaan bersama isterinya.

9, 10. Apakah maksud menggunakan fikiran yang wajar? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

9 Contoh tadi menunjukkan bahawa menggunakan fikiran yang wajar tidak bermaksud membuat keputusan berdasarkan pandangan sendiri atau orang lain tentang apa yang terbaik. Hati dan fikiran kita yang tidak sempurna ibarat jam tangan yang bergerak terlalu laju atau terlalu lambat. Jika kita mempercayainya, kita akan menghadapi masalah besar. (Yer. 17:9) Sebaliknya, kita perlu menyelaraskan hati dan fikiran kita dengan piawaian Tuhan yang boleh dipercayai.—Baca Yesaya 55:8, 9.

10 Itulah sebabnya Bible menggesa kita: ‘Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Yehuwa dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu.’ (Ams. 3:5, 6, ABB) Perhatikan ungkapan “jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri.” Ungkapan ini diikuti dengan ‘Ingatlah akan Yehuwa.’ Hanya Yehuwalah yang benar-benar memiliki fikiran yang wajar. Oleh itu, apabila kita membuat keputusan, kita perlu merujuk kepada Bible untuk memahami pandangan Tuhan. Kemudian, barulah kita dapat membuat keputusan berdasarkan fikiran Tuhan. Jika kita ingin memiliki fikiran yang wajar, kita perlu meniru cara Yehuwa berfikir.

DILATIH UNTUK MEMBEZAKAN YANG BAIK DARIPADA YANG JAHAT

11. Apakah kunci kejayaan untuk membuat keputusan yang bijaksana?

11 Tidaklah mudah untuk mempelajari cara membuat keputusan yang bijaksana dan bertindak selaras dengannya. Hal ini khasnya mencabar bagi mereka yang baru dibaptis atau yang berusaha mencapai kematangan rohani. Meskipun demikian, mereka boleh membuat kemajuan. Bible menggambarkan mereka sebagai “kanak-kanak” atau bayi yang sedang belajar berjalan. Kunci kejayaan adalah untuk mengambil langkah kecil secara berulang kali. Begitu juga dengan orang yang ingin membuat keputusan yang bijaksana. Menurut rasul Paulus, orang yang matang mempunyai daya tanggapan yang ‘dilatih untuk membezakan yang baik daripada yang jahat.’ Perkataan ‘dilatih’ menunjukkan bahawa kita perlu terus berusaha. Jadi orang yang baru perlu terus berusaha mempelajari cara membuat keputusan yang bijaksana.—Baca Ibrani 5:13, 14.

Dengan membuat keputusan yang bijaksana dalam kehidupan seharian, kita sedang melatih daya tanggapan sendiri (Lihat perenggan 11)

12. Bagaimanakah kita dilatih untuk membuat keputusan yang bijaksana?

12 Seperti yang dinyatakan tadi, setiap hari kita harus membuat banyak keputusan, tidak kira besar atau kecil. Menurut sebuah kajian, lebih daripada 40 peratus keputusan dibuat berdasarkan tabiat, tanpa berfikir dengan mendalam terlebih dahulu. Contohnya, setiap pagi anda harus membuat keputusan tentang pakaian. Anda mungkin memandang remeh hal ini dan memilih pakaian tanpa berfikir panjang, terutamanya jika anda kesuntukan masa. Tetapi anda patut memikirkan sama ada pakaian itu mencerminkan identiti anda sebagai hamba Yehuwa. (2 Kor. 6:3, 4) Sewaktu anda membeli pakaian, anda mungkin berfikir tentang fesyen terkini, tetapi bagaimana pula dengan kesopanan dan harga? Membuat keputusan yang betul dalam hal-hal kecil dapat melatih daya tanggapan kita. Dengan ini, kita dibantu untuk membuat keputusan yang betul dalam hal-hal yang lebih penting.—Luk. 16:10; 1 Kor. 10:31.

BERAZAM UNTUK MELAKUKAN APA YANG BENAR

13. Apakah yang dapat membantu kita untuk bertindak selaras dengan keputusan yang dibuat?

13 Biarpun kita telah membuat keputusan yang betul, tidak mudah untuk bertindak selaras dengannya. Contohnya, orang yang ingin berhenti merokok gagal kerana azam mereka tidak cukup kuat. Kita memerlukan azam yang kuat untuk terus berpegang pada apa yang telah diputuskan. Azam kita seperti otot. Semakin kerap kita bersenam, semakin kuat otot kita. Maka, apakah yang dapat membantu kita membina atau menguatkan azam untuk bertindak selaras dengan keputusan kita? Kita memerlukan bantuan Yehuwa.—Baca Filipi 2:13.

14. Apakah yang menguatkan azam Paulus untuk melakukan apa yang baik?

14 Paulus sedar betapa susahnya untuk melakukan apa yang baik kerana dia sendiri pernah mengalaminya. Dia meratap, “Walaupun ada padaku keinginan untuk berbuat baik, tetapi aku tidak dapat melakukannya.” Dia tahu apa yang patut dilakukan, tetapi ada masanya dia tidak mampu berbuat demikian. Dia mengaku, ‘Batinku suka akan hukum daripada Tuhan. Tetapi aku sedar bahawa dalam diriku ada hukum lain yang bertentangan dengan hukum yang diakui oleh akal budiku. Itulah sebabnya aku ditawan oleh hukum dosa yang menguasai diriku.’ Tetapi dia tidak berputus asa. Dia berkata, ‘Aku bersyukur kepada Tuhan; Dia menyelamatkan aku melalui Yesus Kristus!’ (Rm. 7:18, 22-25, ABB) Paulus juga menulis bahawa dengan “kekuasaan tertinggi” daripada Tuhan, dia berdaya menghadapi segala macam keadaan.—2 Kor. 4:7.

15. Mengapakah kita harus berazam untuk melakukan apa yang baik?

15 Jelas sekali, untuk menyenangkan hati Tuhan, kita harus berazam untuk melakukan apa yang baik. Ingatlah kata-kata Elia kepada penyembah Baal dan orang Israel yang murtad di Gunung Karmel: ‘Sampai bilakah kamu tetap mendua hati? Jika Yehuwa itu Tuhan, sembahlah Yehuwa; tetapi jika Baal itu Tuhan, sembahlah Baal!’ (1 Raj. 18:21) Orang Israel tahu apa yang patut dilakukan, tetapi mereka “mendua hati” dan tidak dapat membuat keputusan. Sebaliknya, Yosua memberikan teladan yang baik. Bertahun-tahun sebelumnya, dia berkata kepada bangsa Israel, ‘Tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada Yehuwa.’ (Yos. 24:15) Apakah hasilnya? Yosua serta mereka yang mencontohi azamnya diberkati dan dapat menduduki “tanah yang makmur dan subur.”—Yos. 5:4-6.

BUAT KEPUTUSAN YANG BIJAK DAN TERIMA BERKAT TUHAN

16, 17. Apakah manfaatnya jika kita membuat keputusan yang selaras dengan kehendak Tuhan? Berikan contoh.

16 Fikirkan contoh seorang saudara yang baru dibaptis. Dia dan isterinya mempunyai tiga orang anak kecil. Pada suatu hari, rakan kerjanya mencadangkan supaya mereka berpindah ke syarikat lain yang menawarkan gaji yang lebih tinggi dan lebih banyak manfaat. Dia berfikir dan berdoa tentang hal itu. Dia sedar bahawa kerjanya sekarang tidak membayar gaji yang lumayan. Tetapi dia telah memilih kerja ini supaya dia dapat menghadiri perjumpaan dan menginjil bersama keluarganya pada hujung minggu. Sekiranya dia menerima tawaran kerja yang baru, dia mungkin terpaksa bekerja pada hujung minggu. Jika anda menghadapi situasi ini, apakah keputusan anda?

17 Selepas merenungkan bagaimana hal itu akan mempengaruhi kerohaniannya, dia membuat keputusan untuk menolak tawaran itu. Adakah dia menyesal? Tidak. Dia berasa bahawa berkat rohani jauh lebih bermanfaat bagi dia dan keluarganya berbanding dengan gaji yang lebih tinggi. Dia dan isterinya sangat gembira apabila anak perempuan sulung mereka yang berumur sepuluh tahun berkata bahawa dia amat mengasihi Yehuwa dan menyayangi saudara saudari serta ibu bapanya. Dia juga berkata bahawa dia ingin membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Sudah pasti, dia menghargai teladan baik bapanya dalam mengutamakan ibadat kepada Yehuwa!

Buatlah keputusan yang bijaksana dan bersukacita bersama umat Tuhan (Lihat perenggan 18)

18. Mengapakah penting untuk membuat keputusan yang bijaksana setiap hari?

18 Seperti Musa, Yesus Kristus memimpin penyembah Yehuwa yang sejati mengharungi dunia Syaitan selama puluhan tahun. Seperti Yosua, Yesus bersedia memusnahkan sistem Syaitan dan memimpin pengikutnya ke dunia baru yang adil benar. (2 Ptr. 3:13) Oleh itu, sekarang bukanlah masanya untuk kembali kepada fikiran, tabiat, nilai moral, dan cita-cita yang dahulu. Kita perlu lebih memahami kehendak Tuhan untuk kita. (Rm. 12:2; 2 Kor. 13:5) Biarlah keputusan dan pilihan yang anda buat setiap hari mencerminkan bahawa anda layak menerima berkat Tuhan yang kekal.—Baca Ibrani 10:38, 39.

^ per. 7 Satu lagi alasan di sebalik kebiasaan ini ialah datuk dan nenek boleh menunjukkan cucu mereka kepada sahabat dan sanak saudara.