Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Peringatan Yehuwa Dapat Dipercayai

Peringatan Yehuwa Dapat Dipercayai

‘Perintah [atau, peringatan] Yehuwa dapat dipercayai, memberikan kebijaksanaan kepada orang yang memerlukannya.’​—MZM. 19:8.

1. Apakah topik-topik yang selalu dibincangkan oleh umat Tuhan? Apakah manfaat yang diraih dengan mengulang kaji topik-topik ini?

SEWAKTU membuat persediaan bagi majalah pembelajaran, anda mungkin pernah berfikir, “Bukankah kita pernah membincangkan topik ini?” Jika anda sudah lama menghadiri perjumpaan Kristian, anda mungkin memperhatikan bahawa sesetengah topik dibincangkan berulang kali. Kita selalu berbincang tentang Kerajaan Tuhan, korban tebusan, aktiviti penyebaran, dan sifat-sifat seperti kasih dan iman. Dengan mengulang kaji topik-topik ini, iman kita bertambah kuat. Kita juga bukan hanya mendengar, ‘sebaliknya, melakukan apa yang difirmankan Tuhan.’—Yak. 1:22.

2. (a) Perintah Tuhan selalu merangkumi apa? (b) Apakah perbezaan antara hukum Tuhan dan hukum manusia?

2 Kata nama Ibrani yang diterjemahkan sebagai “perintah” selalu merangkumi hukum, peringatan, dan peraturan yang diberikan oleh Tuhan kepada umat-Nya. Tidak seperti hukum manusia yang perlu diubah atau dikemas kini, hukum dan peraturan Yehuwa sentiasa dapat dipercayai. Sememangnya, kita tidak perlu mematuhi sesetengah hukum yang diberikan Tuhan kepada umat-Nya pada zaman lampau. Tetapi, hal ini tidak bermakna bahawa hukum-hukum tersebut salah. Pemazmur berkata, “Peraturan-Mu selalu adil.”—Mzm. 119:144.

3, 4. (a) Peringatan Yehuwa juga merangkumi apa? (b) Apakah manfaatnya jika bangsa Israel mematuhi semua peringatan Yehuwa?

3 Kadangkala peringatan Yehuwa juga merangkumi kata-kata amaran. Bangsa Israel sentiasa menerima amaran menerusi nabi Tuhan. Contohnya, tidak lama sebelum bangsa Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Musa memberikan amaran kepada mereka, ‘Jangan biarkan diri kamu disesatkan sehingga berpaling daripada Yehuwa, lalu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Jika kamu melanggar hukum itu, Yehuwa akan murka terhadap kamu.’ (Ul. 11:16, 17) Bible menunjukkan bahawa Tuhan memberikan banyak peringatan yang berguna kepada umat-Nya.

4 Yehuwa sering kali mengingatkan bangsa Israel untuk takut akan-Nya, taat kepada-Nya, dan memuliakan nama-Nya. (Ul. 4:29-31; 5:28, 29) Jika mereka mematuhi semua peringatan ini, mereka pasti diberkati dengan berlimpah ruah.—Im. 26:3-6; Ul. 28:1-4.

REAKSI ORANG ISRAEL TERHADAP PERINGATAN TUHAN

5. Mengapakah Tuhan berjuang untuk Raja Hizkia?

5 Sejarah bangsa Israel menunjukkan bahawa Yehuwa selalu menepati janji-Nya. Misalnya, apabila Raja Sanherib dari Asyur menyerang Yehuda dan mengancam untuk menggulingkan Raja Hizkia, Yehuwa campur tangan dengan mengutus salah satu malaikat-Nya. Dalam satu malam sahaja, malaikat ini telah membunuh semua tentera Asyur. Akhirnya, Sanherib terpaksa berundur dengan malu. (2 Raj. 19:35; 2 Taw. 32:21) Mengapakah Tuhan berjuang untuk Raja Hizkia? Kerana ‘Raja Hizkia taat kepada Yehuwa, dan tidak pernah membantah-Nya. Dengan sungguh-sungguh baginda mentaati segala perintah yang telah diberikan oleh Yehuwa.’—2 Raj. 18:1, 5, 6.

Peringatan Yehuwa mendorong Yosia untuk memulihkan ibadat sejati (Lihat perenggan 6)

6. Bagaimanakah Raja Yosia menunjukkan bahawa dia percaya kepada Yehuwa?

6 Raja Yosia juga mematuhi perintah Yehuwa. Sewaktu berumur lapan tahun, ‘Raja Yosia melakukan apa yang menyenangkan hati Yehuwa. Baginda mentaati seluruh hukum Tuhan dengan sepenuhnya.’ (2 Taw. 34:1, 2) Yosia menunjukkan bahawa dia percaya kepada Yehuwa dengan memusnahkan semua berhala di tanah Israel dan memulihkan ibadat sejati. Hasilnya, dia dan seluruh bangsa Israel diberkati.—Baca 2 Tawarikh 34:31-33.

7. Apakah akibatnya sewaktu bangsa Israel menolak peringatan Yehuwa?

7 Sedihnya, umat Tuhan tidak selalu percaya sepenuhnya pada peringatan Yehuwa. Selama berabad-abad, mereka berbolak-balik antara mematuhi Yehuwa atau tidak. Apabila iman mereka lemah, mereka seperti “diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik.” (Ef. 4:13, 14) Seperti yang dinubuatkan, mereka akan menderita jika tidak mematuhi peringatan Tuhan.—Im. 26:23-25; Yer. 5:23-25.

8. Apakah iktibar yang kita peroleh daripada orang Israel?

8 Apakah iktibar yang kita peroleh daripada orang Israel? Umat Tuhan hari ini juga menerima nasihat dan disiplin. (2 Ptr. 1:12) Kita diingatkan tentang hukum-hukum Tuhan setiap kali kita membaca Firman-Nya. Yehuwa memberi kita kebebasan untuk memilih. Maka kita boleh memilih untuk mematuhi perintah Yehuwa atau mengejar apa yang baik di mata sendiri. (Ams. 14:12) Marilah kita membincangkan mengapa kita patut mempercayai peringatan Yehuwa dan bagaimana kita boleh meraih manfaat dengan mematuhinya.

PATUHI TUHAN DAN TERUS HIDUP

9. Semasa bangsa Israel berada di padang gurun, bagaimanakah Yehuwa mengingatkan mereka akan sokongan-Nya?

9 Semasa bangsa Israel memulakan perjalanan selama 40 tahun merentasi ‘padang gurun yang menakutkan,’ Yehuwa tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana Dia akan membimbing, melindungi, dan menjaga mereka. Namun, Tuhan berkali-kali menunjukkan bahawa mereka boleh mempercayai Dia dan juga perintah-Nya. Dengan menggunakan tiang awan pada siang hari dan tiang api pada malam hari, Yehuwa mengingatkan bangsa Israel bahawa Dia sedang menyokong mereka sepanjang perjalanan yang sukar itu. (Ul. 1:19; Kel. 40:36-38) Dia juga memenuhi keperluan asas mereka. “Pakaian mereka tidak pernah rosak, dan kaki mereka tidak sakit atau bengkak.” Sesungguhnya mereka memiliki “segala yang diperlukan.”—Neh. 9:19-21.

10. Bagaimanakah Yehuwa membimbing umat-Nya hari ini?

10 Hari ini, umat Tuhan berada di ambang pintu dunia baru yang adil benar. Adakah kita yakin bahawa Yehuwa akan memberi kita apa yang diperlukan untuk mengharungi kesengsaraan besar? (Mzm. 119:40, 41; Mat. 24:21, 22) Walaupun Yehuwa tidak menggunakan tiang awan atau tiang api untuk membimbing kita ke dunia baru, Dia sedang menggunakan organisasi-Nya untuk membantu kita tetap berjaga-jaga. Contohnya, organisasi Yehuwa menggesa kita untuk membina kerohanian sendiri melalui pembacaan Bible peribadi, malam Penyembahan Keluarga, serta menghadiri perjumpaan dan menyertai kerja penyebaran secara tetap. Sudahkah kita mengubah cara hidup agar dapat menuruti semua perintah ini? Dengan berbuat demikian, kita dapat membina iman yang kuat dan terus hidup di dunia baru.

Mendengarkan peringatan Yehuwa membantu kita menjaga keselamatan Dewan Perjumpaan (Lihat perenggan 11)

11. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia prihatin terhadap kita?

11 Organisasi Tuhan juga memberikan bimbingan yang dapat membantu kita dalam kehidupan seharian. Contohnya, kita dapat mengurangkan kekhuatiran dengan memupuk pandangan yang seimbang terhadap hal-hal kebendaan dan mengamalkan cara hidup yang sederhana. Kita juga mendapat bimbingan tentang pakaian dan dandanan, hiburan yang sihat, dan tahap pendidikan yang sesuai. Fikirkan juga peringatan yang kita terima mengenai keselamatan rumah, kereta, dan Dewan Perjumpaan, serta persediaan untuk menghadapi kecemasan. Nasihat seperti ini menunjukkan bahawa Tuhan prihatin terhadap kesejahteraan kita.

PERINGATAN MEMBANTU ORANG KRISTIAN MASA AWAL UNTUK TETAP SETIA

12. (a) Yesus sering mengingatkan murid-muridnya tentang apa? (b) Apakah teladan Yesus yang meninggalkan kesan yang mendalam kepada Petrus? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi kita?

12 Pada abad pertama, umat Tuhan selalu menerima peringatan. Yesus berulang kali mengingatkan murid-muridnya tentang pentingnya memupuk sikap rendah hati. Yesus tidak sekadar menjelaskan maksud rendah hati, malah dia juga memberikan teladan yang baik. Pada malam terakhirnya di bumi, Yesus mengumpulkan rasulnya untuk perayaan Paska. Semasa mereka sedang makan, Yesus berdiri dan mula membasuh kaki mereka—kerja ini biasanya dilakukan seorang hamba. (Yoh. 13:1-17) Teladan Yesus yang rendah hati ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka. Lebih kurang 30 tahun kemudian, rasul Petrus yang telah menghadiri perayaan Paska tersebut, memberikan nasihat kepada rakan seiman mengenai sikap rendah hati. (1 Ptr. 5:5) Contoh Yesus patut mendorong kita untuk bersikap rendah hati semasa memperlakukan orang lain.—Flp. 2:5-8.

13. Yesus mengajar murid-muridnya bahawa mereka perlu memupuk apa?

13 Yesus juga sering mengingatkan muridnya tentang pentingnya membina iman yang kuat. Setelah mereka gagal mengusir roh jahat daripada seorang budak yang dirasuk, mereka menanya Yesus, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” Yesus menjawab, ‘Kamu tidak dapat melakukannya, kerana kamu kurang percaya kepada Tuhan. Ketahuilah! Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi. Kamu dapat melakukan apa sahaja!’ (Mat. 17:14-20) Sepanjang khidmatnya di bumi, Yesus mengajar murid-muridnya bahawa mereka perlu memupuk iman yang kuat. (Baca Matius 21:18-22.) Adakah kita menggunakan setiap kesempatan seperti di konvensyen, perhimpunan, dan perjumpaan Kristian untuk menguatkan iman kita? Semua ini bukan sekadar peristiwa yang menggembirakan, tetapi merupakan peluang bagi kita untuk menunjukkan kepercayaan kepada Yehuwa dan peringatan-Nya.

14. Mengapakah kita perlu memupuk kasih dan sikap tidak mementingkan diri?

14 Kitab Yunani Kristian mengandungi banyak ayat yang mengingatkan kita agar mengasihi orang lain. Yesus berkata bahawa perintah yang kedua penting ialah “kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Mat. 22:39) Yakobus, saudara tiri Yesus juga merujuk kepada kasih sebagai ‘hukum Pemerintahan Tuhan.’ (Yak. 2:8) Rasul Yohanes menulis, “Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Perintah yang aku tulis ini bukanlah suatu perintah yang baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima sejak kamu percaya kepada Kristus.” (1 Yoh. 2:7, 8) Apakah itu “perintah lama”? Yohanes sebenarnya merujuk kepada perintah untuk mengasihi. Perintah ini “lama” kerana telah diberikan puluhan tahun yang lalu, ‘sejak mereka percaya kepada Kristus.’ Tetapi perintah ini juga “baru” kerana murid-murid Yesus perlu menunjukkan kasih dan semangat rela berkorban apabila menghadapi situasi yang baru. Hari ini, kita amat menghargai amaran yang mengingatkan kita agar tidak mencerminkan sikap dunia yang mementingkan diri. Sebaliknya, sebagai pengikut Kristus, kita mengasihi orang lain.

15. Apakah tujuan utama Yesus semasa di bumi?

15 Yesus prihatin terhadap setiap orang. Kita dapat melihat kasihnya sewaktu dia menyembuhkan orang sakit dan membangkitkan orang mati. Tetapi tujuan utama Yesus bukanlah untuk menyembuhkan orang secara fizikal. Dia lebih bertumpu pada kerja menginjil dan mengajar. Mengapa? Kerana semua orang yang disembuhkan dan dibangkitkan oleh Yesus, akhirnya menjadi tua dan mati. Namun mereka yang menyambut ajarannya berpeluang untuk hidup kekal.—Yoh. 11:25, 26.

16. Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa mematuhi perintah untuk menjadikan orang pengikut Yesus?

16 Yesus memerintah murid-muridnya, ‘Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikutku.’ (Mat. 28:19) Orang Kristian pada abad pertama meneruskan kerja penyebaran yang dimulakan oleh Yesus. Hari ini, kita melakukan kerja ini dalam skala yang lebih besar. Lebih daripada tujuh juta Saksi-Saksi Yehuwa sedang giat menyebarkan berita Kerajaan Tuhan di lebih daripada 230 buah negara. Jutaan orang sedang mempelajari Bible bersama Saksi-Saksi. Kerja penyebaran membuktikan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir.

TERUS PERCAYA KEPADA YEHUWA

17. Apakah nasihat yang diberikan oleh Paulus dan Petrus?

17 Jelas sekali, peringatan Yehuwa telah menguatkan iman orang Kristian pada abad pertama. Semasa Paulus dipenjarakan di Roma, dia mengingatkan Timotius, “Ikutilah ajaran benar yang telah aku ajarkan kepadamu.” (2 Tim. 1:13) Selepas menggalakkan rakan seiman untuk memupuk sifat seperti ketabahan, kasih, dan kawalan diri, rasul Petrus berkata, ‘Aku akan sentiasa mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini, meskipun kamu sudah mengetahuinya dan sungguh-sungguh percaya kepada ajaran Tuhan.’—2 Ptr. 1:5-8, 12.

18. Apakah reaksi orang Kristian pada abad pertama apabila mereka menerima peringatan?

18 Sememangnya, surat yang ditulis oleh Paulus dan Petrus mengandungi ‘kata-kata yang diucapkan oleh nabi-nabi Tuhan.’ (2 Ptr. 3:2) Adakah saudara saudari kita pada abad pertama menolak peringatan sedemikian? Tidak. Peringatan ini sebenarnya mencerminkan kasih Tuhan. Mereka sedar bahawa Tuhan ingin membantu mereka untuk ‘semakin menghayati kasih Yesus Kristus, dan juga semakin mengenal dia.’—2 Ptr. 3:18.

19, 20. Mengapakah kita harus percaya pada peringatan Yehuwa? Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat dengan berbuat demikian?

19 Hari ini, kita memiliki banyak alasan untuk menaruh kepercayaan pada peringatan Yehuwa. Nasihat di dalam Firman-Nya tidak pernah salah. (Baca Yosua 23:14.) Bible menunjukkan cara Tuhan memperlakukan manusia yang tidak sempurna sepanjang ribuan tahun. Peristiwa-peristiwa lampau ini dicatatkan demi manfaat kita. (Rm. 15:4; 1 Kor. 10:11) Kita sudah melihat nubuat Bible digenapi. Nubuat Bible bagaikan peringatan yang diberikan terlebih dahulu tentang sesuatu yang bakal berlaku. Contohnya, jutaan orang telah menyertai ibadat sejati dan menyembah Yehuwa, tepat seperti yang dinubuatkan Bible. (Yes. 2:2, 3) Keadaan dunia yang semakin teruk juga sedang menggenapi nubuat Bible. Dan seperti yang disebutkan tadi, nubuat Yesus tentang kerja penyebaran sedang digenapi di seluas bumi.—Mat. 24:14.

20 Sejak dahulu lagi, Pencipta kita telah membuktikan bahawa kita boleh mempercayai-Nya. Adakah kita meraih manfaat daripada peringatan-Nya? Seorang saudari bernama Rosellen berkata, “Apabila saya mula mempercayai Yehuwa dengan sepenuhnya, saya dapat melihat dengan jelas bahawa Dia sedang menjaga dan menguatkan saya.” Semoga kita juga meraih manfaat dengan mendengarkan peringatan Yehuwa.