Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Abdikanlah Diri kepada Yehuwa’

‘Abdikanlah Diri kepada Yehuwa’

‘Jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Yehuwa.’—RM. 12:11.

1. Apakah pandangan orang terhadap seorang hamba? Bagaimanakah hal ini berbeza dengan hamba yang digambarkan di Roma 12:11?

RAMAI orang berfikir bahawa seorang hamba selalu dikawal dan dilayan dengan kejam. Tetapi menjadi hamba Tuhan amat berbeza. Firman Tuhan pernah menyebut tentang seorang hamba yang rela mengabdikan diri kepada Tuan yang pengasih. Sewaktu Paulus menggesa orang Kristian abad pertama untuk ‘mengabdikan diri kepada Tuhan,’ dia sedang menggalakkan khidmat suci yang didorong oleh kasih kepada Tuhan. (Rm. 12:11) Mengabdikan diri kepada Tuhan merangkumi apa? Bagaimanakah kita boleh menghindari daripada menjadi hamba Syaitan dan dunianya? Dan apakah berkat yang diraih oleh hamba yang berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia?

‘ABDI ITU MENGASIHI TUANNYA’

2. (a) Apakah yang mungkin menggerakkan seorang hamba Israel untuk terus berkhidmat kepada tuannya? (b) Apakah maknanya apabila telinga seorang hamba ditindik?

2 Melalui Hukum Tuhan kepada orang Israel, kita dapat memahami apa yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada hamba-hamba-Nya. Seorang hamba Ibrani akan dibebaskan setelah berkhidmat selama tujuh tahun. (Kel. 21:2) Namun, jika dia sangat mengasihi tuannya dan ingin terus berkhidmat sebagai hamba, dia boleh berbuat demikian. Menurut Hukum Tuhan, hamba itu akan disuruh untuk bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinga hamba itu. (Kel. 21:5, 6) Apakah makna di sebalik tindakan ini? Hamba yang membenarkan telinganya ditindik menunjukkan bahawa dia ingin terus mematuhi dan melayani tuannya. Begitu juga, kita membaktikan diri kepada Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya dan ingin mematuhi-Nya.

3. Mengapakah kita membaktikan diri kepada Tuhan?

3 Sebelum dibaptis, kita sebenarnya sudah memilih untuk menyembah Yehuwa dan menjadi hamba-Nya. Pembaktian kita didorong oleh keinginan untuk mematuhi Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya. Tiada sesiapa yang memaksa kita untuk berbuat demikian. Begitu juga, orang muda dibaptis kerana mereka telah memilih untuk membaktikan diri kepada Yehuwa, bukan kerana ingin menyenangkan ibu bapa. Orang Kristian membaktikan diri kerana kasih kepada Tuan kita yang di syurga, Yehuwa. Rasul Yohanes menulis, ‘Apabila kita mentaati perintah Tuhan, kita mengasihi Tuhan.’—1 Yoh. 5:3.

HAMBA TETAPI HIDUP BEBAS

4. Apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi ‘hamba kepada kehendak Tuhan’?

4 Kita amat bersyukur kerana dapat menjadi hamba Yehuwa! Iman kita terhadap korban tebusan Kristus membebaskan kita daripada beban dosa. Walaupun tidak sempurna, kita sudi mengabdikan diri kepada Yehuwa dan Yesus. Paulus menjelaskan hal ini dalam suratnya, ‘Kamu juga harus menganggap diri kamu mati terhadap dosa, tetapi hidup erat dengan Tuhan melalui Kristus Yesus.’ Kemudian dia menggesa, ‘Tentu kamu tahu bahawa jika kamu menghambakan diri kepada seseorang untuk melakukan kehendaknya, maka kamu menjadi hamba orang yang kamu taati: sama ada hamba kepada dosa yang mengakibatkan kematian, atau hamba kepada Tuhan yang dapat menjadikan kamu berbaik semula dengan Tuhan. Tetapi bersyukurlah kepada Tuhan! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi sekarang dengan sepenuh hati kamu mentaati ajaran benar yang sudah diberikan kepada kamu. Kamu sudah dibebaskan daripada dosa, lalu menjadi hamba kepada kehendak Tuhan.’ (Rm. 6:11, 16-18, ABB) Perhatikan bahawa Paulus merujuk kepada orang yang taat “dengan sepenuh hati.” Ya, pembaktian kita kepada Yehuwa menjadikan kita ‘hamba kepada kehendak Tuhan.’

5. Apakah pergelutan yang kita hadapi, dan mengapa?

5 Terdapat dua halangan yang perlu diatasi jika kita ingin hidup selaras dengan pembaktian kita. Pertama, pergelutan yang dihadapi Paulus. Dia menulis, ‘Batinku suka akan hukum daripada Tuhan. Tetapi aku sedar bahawa dalam diriku ada hukum lain yang bertentangan dengan hukum yang diakui oleh akal budiku. Itulah sebabnya aku ditawan oleh hukum dosa yang menguasai diriku.’ (Rm. 7:22, 23, ABB) Kita mewarisi ketidaksempurnaan. Maka, kita perlu bergelut dengan keinginan yang berdosa. Rasul Petrus menggesa kita, ‘Hiduplah sebagai orang bebas, tetapi jangan gunakan kebebasan kamu untuk menutupi kejahatan, melainkan hiduplah sebagai abdi Tuhan.’—1 Ptr. 2:16.

6, 7. Bagaimanakah Syaitan menjadikan dunia ini nampak menarik?

6 Halangan kedua yang perlu diatasi ialah dunia yang dikuasai roh-roh jahat. Selaku penguasa dunia, Syaitan berusaha untuk menghancurkan kesetiaan kita kepada Yehuwa dan Yesus. Syaitan menjadikan dunia ini nampak menarik dan menggunakan dunia untuk mempengaruhi kita sehingga kita menjadi hambanya. (Baca Efesus 6:11, 12.) Rasul Yohanes memberikan amaran, ‘Jika kamu mengasihi dunia ini, kamu tidak mengasihi Tuhan Bapa. Segala sesuatu di dunia ini, iaitu yang diingini oleh keinginan hati orang berdosa, dan yang dilihat lalu dikehendaki, serta yang dibangga-banggakan, semuanya tidak berasal daripada Bapa, tetapi dari dunia.’—1 Yoh. 2:15, 16, ABB.

7 Di seluruh dunia, orang ingin memiliki lebih banyak harta benda. Syaitan mahu orang percaya bahawa wang bererti kebahagiaan. Dunia pengiklanan selalu memaparkan gaya hidup yang bertumpu pada harta benda dan keseronokan. Agensi pelancongan menawarkan pakej percutian ke destinasi menarik bersama sekumpulan orang yang mempunyai pemikiran dunia. Tidaklah menghairankan jika orang lain asyik menggalakkan kita untuk “menaik taraf” hidup sendiri mengikut piawaian dunia.

8, 9. Apakah bahaya yang wujud? Mengapakah kita perlu berwaspada?

8 Pada abad pertama, Petrus memberikan amaran tentang orang Kristian yang terpengaruh dengan pemikiran dunia. Dia berkata, “Bagi mereka, kesenangan bererti berfoya-foya pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Semasa mereka makan bersama-sama kamu, kelakuan mereka amat memalukan. Mereka berasa seronok kerana dapat menipu kamu. Mereka membuat kenyataan yang sombong dan bodoh, serta menggunakan nafsu cabul untuk menjerumuskan orang yang baru sahaja terlepas daripada kalangan orang yang hidup sesat. Guru-guru palsu itu menjanjikan kebebasan kepada mereka, sedangkan guru-guru palsu itu diperhamba oleh kebiasaan yang membinasakan. Hal itu demikian, kerana seseorang yang dikalahkan, menjadi hamba kepada yang mengalahkannya.”—2 Ptr. 2:13, 18, 19, ABB.

9 Kita tidak akan memperoleh kebebasan dengan memenuhi keinginan mata. Sebaliknya, kita sedang mengabdikan diri kepada penguasa dunia ini, iaitu Syaitan Si Iblis. (1 Yoh. 5:19) Berwaspadalah agar anda tidak menjadi hamba kepada materialisme, kerana amat susah untuk melepaskan diri daripada cengkamannya.

KERJAYA YANG MEMUASKAN

10, 11. Siapakah sasaran utama Syaitan hari ini? Apakah masalah yang dihadapi jika mereka memilih pendidikan tinggi?

10 Seperti di Taman Eden, Syaitan juga menyerang mereka yang kurang berpengalaman hari ini. Orang muda merupakan sasaran utamanya. Syaitan marah apabila orang muda atau sesiapa sahaja, sudi mengabdikan diri kepada Yehuwa. Dia ingin menghancurkan kesetiaan dan ketaatan semua hamba Yehuwa yang telah membaktikan diri.

11 Seorang hamba yang telinganya ditindik pasti akan berasa sakit. Tetapi selepas itu, tinggallah tanda yang kekal yang menunjukkan bahawa dia memilih untuk mengabdikan diri. Tidak senang bagi orang muda untuk memilih haluan hidup yang berbeza daripada rakan sebaya mereka. Syaitan menggalakkan idea bahawa kerjaya di dunianya akan membawa kepuasan hidup, tetapi orang Kristian patut mengutamakan keperluan rohani. ‘Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Tuhan,’ ajar Yesus. (Mat. 5:3) Orang Kristian membaktikan hidup mereka untuk melakukan kehendak Tuhan, bukannya kehendak Syaitan. Mereka suka mentaati hukum Yehuwa, dan merenungkannya siang dan malam. (Baca Mazmur 1:1-3.) Namun, pendidikan tinggi hari ini menelan banyak masa hamba Yehuwa sehingga mereka tidak dapat membuat perenungan dan memenuhi keperluan rohani.

12. Apakah pilihan yang harus dibuat oleh orang muda hari ini?

12 Seorang Kristian yang mengabdikan diri kepada tuan yang tidak menyembah Yehuwa pasti hidup susah. Dalam surat pertamanya kepada sidang Korintus, Paulus berkata, ‘Jika kamu hamba, semasa dipanggil oleh Tuhan, janganlah hal ini menyusahkan hati kamu.’ Dia menasihati mereka, “Tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang bebas, gunakanlah peluang itu.” (1 Kor. 7:21, ABB) Seorang hamba patut mengambil peluang untuk hidup bebas. Hari ini, orang muda di banyak negara wajib bersekolah sehingga umur tertentu. Kemudian mereka diberikan pilihan. Jika seorang Kristian memilih untuk menyambung pendidikannya dan membina kerjaya di dunia ini, dia pasti tidak mempunyai kebebasan untuk mengejar khidmat sepenuh masa.—Baca 1 Korintus 7:23.

Anda akan mengabdikan diri kepada siapa?

PENDIDIKAN TINGGI ATAU PENDIDIKAN TERTINGGI?

13. Apakah pendidikan yang terbaik bagi hamba Yehuwa?

13 Paulus menasihati orang Kristian di Kolose, “Berwaspadalah supaya tidak seorang pun memperhamba kamu dengan falsafah manusia, yang tidak berguna dan menyesatkan. Ajaran itu bukan daripada Kristus, melainkan ajaran manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi, dan ajaran daripada roh-roh yang menguasai alam semesta.” (Kol. 2:8, ABB) Hari ini, “ajaran manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi” berasal daripada pemikiran dunia yang dihebahkan oleh golongan berpendidikan. Pendidikan tinggi yang bertumpu pada ilmu pengetahuan biasanya menghasilkan pelajar yang tidak mempunyai kemahiran praktikal, dan tidak bersedia untuk menghadapi realiti hidup. Sebaliknya, hamba Yehuwa memilih pendidikan yang membantu mereka mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk hidup sederhana sambil berkhidmat kepada Tuhan. Mereka mengingati nasihat Paulus kepada Timotius, “Cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan.” (1 Tim. 6:6, 8) Daripada memperoleh ijazah dan gelaran yang masyhur, orang Kristian berusaha mendapatkan “surat perakuan” dengan menyertai kerja penyebaran.—Baca 2 Korintus 3:1-3.

14. Menurut Filipi 3:8, bagaimanakah Paulus memandang penghormatan untuk menjadi hamba Tuhan dan Yesus?

14 Fikirkan contoh rasul Paulus. Dia diajar oleh guru Hukum Yahudi, Gamaliel. Pendidikan yang diterima Paulus setaraf dengan pendidikan universiti hari ini. Tetapi, semasa Paulus membandingkan hal ini dengan penghormatan untuk menjadi hamba Tuhan dan Yesus, apakah pandangannya? Dia menjawab, “Semua hal lain yang biasa aku lakukan, sekarang aku anggap merugikan. Dengan demikian aku akan mendapat apa yang jauh lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus sebagai [Tuanku].” Kemudian dia menambah, “Kerana Kristus, aku telah meninggalkan segala perkara yang biasa aku lakukan. Aku menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku boleh mendapat Kristus.” (Flp. 3:8) Pandangan Paulus membantu orang muda dan ibu bapa Kristian untuk membuat pilihan yang bijak dalam soal pendidikan. (Lihat gambar.)

MEMANFAATKAN PENDIDIKAN TERTINGGI

15, 16. Apakah pendidikan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa? Apakah matlamatnya?

15 Apakah yang berlaku di pusat pengajian tinggi di serata dunia? Bukankah tempat ini selalunya menjadi kancah maksiat, sarang pergolakan politik dan sosial? (Ef. 2:2) Sebaliknya, organisasi Yehuwa memberikan pendidikan tertinggi dalam suasana yang aman di sidang Kristian. Semua orang berpeluang memanfaatkan Sekolah Penyebaran Teokratik yang diadakan setiap minggu. Selain itu, ada juga kursus khas bagi saudara bujang (Sekolah Bible untuk Saudara Bujang) dan pasangan suami isteri (Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian). Pendidikan teokratik sedemikian membantu kita mematuhi Tuan kita yang di syurga, Yehuwa.

16 Kita juga dapat menjumpai pelbagai intan permata rohani menerusi buku Watch Tower Publications Index atau cakera padat Watchtower Library. Pendidikan ini bertujuan untuk membantu kita menyembah Yehuwa, dan mengajar kita untuk membantu orang lain menjadi sahabat Tuhan. (2 Kor. 5:20) Setelah itu, mereka juga dapat mengajar orang lain berbuat demikian.—2 Tim. 2:2.

BERKAT YANG DIRAIH OLEH HAMBA

17. Apakah berkatnya jika anda memilih pendidikan yang terbaik?

17 Dalam perumpamaan Yesus, dua orang hamba bersukacita kerana dipuji oleh tuan mereka dan dipercayakan dengan lebih banyak tugas. (Baca Matius 25:21, 23.) Kita juga boleh bersukacita dan mendapat kepuasan hidup jika kita memilih pendidikan yang tertinggi. Pertimbangkan contoh Michael. Dia mendapat keputusan yang cemerlang dan guru-guru sekolah menasihatinya supaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Mereka terkejut apabila Michael memilih untuk mengambil kursus vokasional yang singkat agar dia dapat menampung hidup sambil menjadi perintis biasa. Adakah dia menyesal? “Sebagai perintis dan penatua, pendidikan teokratik yang saya terima tidak terhitung nilainya,” kata Michael. “Berkat dan peluang istimewa yang saya terima jauh lebih bernilai daripada wang yang mungkin saya peroleh. Saya memang bersyukur kerana tidak memilih pendidikan tinggi.”

18. Apakah yang menggerakkan anda untuk memilih pendidikan yang tertinggi?

18 Pendidikan yang tertinggi mengajarkan kehendak Tuhan dan membantu kita mengabdikan diri kepada Yehuwa. Pendidikan ini dapat membebaskan kita daripada ‘kuasa yang menghancurkan,’ dan memberi kita “kebebasan dan kemuliaan” sebagai anak-anak Tuhan. (Rm. 8:21) Yang terpenting, kita belajar cara yang terbaik untuk menunjukkan bahawa kita mengasihi Tuan kita yang di syurga, Yehuwa.—Kel. 21:5.