Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Janganlah Fikiran Kamu Cepat Dikelirukan.”

“Janganlah Fikiran Kamu Cepat Dikelirukan.”

“Saudara-saudaraku . . . janganlah fikiran kamu cepat dikelirukan.”—2 TES. 2:1, 2.

1, 2. Mengapakah penipuan merupakan perkara lazim hari ini? Bagaimanakah penipuan ini disebarkan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

PENIPUAN, kepalsuan, dusta adalah perkara lazim di dunia hari ini. Hal ini bukan perkara baru bagi kita. Bible menunjukkan bahawa Syaitan Si Iblis merupakan penipu yang sungguh cekap dan dia ialah penguasa dunia ini. (1 Tim. 2:14; 1 Yoh. 5:19) Seraya akhir sistem dunia ini mendekat, Syaitan menjadi semakin marah kerana “masanya tinggal sedikit.” (Why. 12:12) Jadi, kita tahu bahawa orang yang dipengaruhi oleh Syaitan akan menjadi semakin licik. Mereka akan berusaha untuk memperdaya semua orang, terutamanya penyembah Yehuwa.

2 Kadangkala, media massa menyiarkan pernyataan yang palsu atau separuh benar tentang hamba Yehuwa dan kepercayaan mereka. Tajuk utama surat khabar, dokumentari televisyen, dan laman web digunakan untuk menyebarkan kepalsuan ini. Akibatnya, fikiran sesetengah orang terganggu kerana mempercayainya secara membabi buta.

3. Apakah yang boleh membantu kita supaya tidak terpedaya?

3 Untuk melawan serangan Syaitan, kita memerlukan Firman Tuhan. Kita amat bersyukur kerana Bible ‘berguna untuk membetulkan apa yang salah.’ (2 Tim. 3:16) Surat Paulus kepada sidang di Tesalonika menunjukkan bahawa beberapa orang Kristian abad pertama telah terpedaya. Dia menggesa mereka, “Janganlah fikiran kamu cepat dikelirukan.” (2 Tes. 2:1, 2) Apakah pengajaran yang kita raih daripada nasihat Paulus, dan bagaimanakah kita boleh menerapkannya?

AMARAN YANG TEPAT PADA WAKTUNYA

4. Bagaimanakah orang Kristian di Tesalonika diberikan amaran tentang kedatangan hari Yehuwa, dan bagaimanakah kita diberikan amaran?

4 Dalam surat pertamanya kepada sidang Tesalonika, Paulus memberikan amaran tentang kedatangan hari Yehuwa. Paulus tidak ingin melihat saudara-saudaranya hidup dalam keadaan yang tidak bersedia dan dalam kegelapan. Maka, dia berkata, ‘Kamu semuanya orang yang hidup dalam cahaya. Oleh itu, berjaga-jagalah dan berwaspada.’ (Baca 1 Tesalonika 5:1-6.) Hari ini, kita menunggu pembinasaan Babilon Besar, empayar agama palsu sedunia. Peristiwa ini akan menandakan permulaan hari besar Yehuwa. Kita amat bersyukur kerana memahami kehendak-Nya. Di perjumpaan Kristian, kita berulang kali diberikan peringatan yang tepat pada waktunya. Hal ini membantu kita untuk berwaspada. Dengan memberi perhatian kepada semua amaran ini, fikiran kita tidak akan cepat dikelirukan tetapi kita akan tetap menyembah Yehuwa.—2 Tes. 2:2.

Paulus memberi orang Kristian peringatan yang tepat pada waktunya melalui surat (Lihat perenggan 4, 5)

5, 6. (a) Apakah yang dinyatakan oleh Paulus dalam suratnya yang kedua kepada sidang Tesalonika? (b) Apakah yang akan dilakukan oleh Yesus tidak lama lagi, dan apakah soalan yang harus kita tanya diri?

5 Tidak lama selepas mengirim surat pertama kepada sidang Tesalonika, Paulus mengirim surat yang kedua. Dalam surat ini, Paulus menulis tentang kedatangan kesengsaraan besar. Pada waktu itu, Yesus akan menghakimi ‘orang yang tidak mahu mengakui Tuhan dan orang yang tidak mahu mentaati berita baik.’ (2 Tes. 1:6-8) Dalam bab 2 surat ini, Paulus menulis bahawa beberapa orang dalam sidang menjadi “gelisah” tentang hari besar Yehuwa dan percaya bahawa hari itu sangat dekat seolah-olah sudah tiba. (Baca 2 Tesalonika 2:1, 2.) Orang Kristian pada masa awal tidak memahami sepenuhnya bagaimana kehendak Yehuwa akan digenapi. Hal ini diakui oleh Paulus semasa dia menulis, ‘Pengetahuan kita dan kebolehan kita untuk menyampaikan perkhabaran daripada Tuhan, kurang sempurna. Tetapi apabila Tuhan membuat semuanya sempurna, maka yang tidak sempurna akan lenyap.’ (1 Kor. 13:9, 10, ABB) Walaupun demikian, orang Kristian pada masa itu dapat mengukuhkan iman dengan mengikut nasihat Paulus, Petrus, dan saudara terurap yang lain.

6 Untuk membetulkan pemikiran mereka, Tuhan mengilhami Paulus untuk menjelaskan bahawa orang murtad dan “Manusia Jahat” akan muncul sebelum hari besar Yehuwa. * Pada masa yang ditetapkan oleh Tuhan, Yesus akan membinasakan “Manusia Jahat” dan semua yang telah terpedaya. Menurut Paulus, hal ini dilakukan kerana mereka “tidak mahu menerima atau menghargai kebenaran.” (2 Tes. 2:3, 8-10, nota kaki) Maka, tanyalah diri: “Seberapa dalamkah penghargaan saya terhadap kebenaran? Adakah saya memiliki pemahaman terkini dengan mempelajari majalah ini dan bahan bacaan lain yang disediakan bagi umat Tuhan di serata dunia?”

MEMILIH PERGAULAN DENGAN BIJAK

7, 8. (a) Apakah bahaya yang dihadapi oleh orang Kristian masa awal? (b) Apakah hal yang amat bahaya bagi orang Kristian hari ini?

7 Ajaran orang murtad bukan satu-satunya bahaya yang dihadapi orang Kristian. Paulus pernah menulis kepada Timotius bahawa “sikap mencintai wang menimbulkan segala macam kejahatan.” Menurut Paulus, “Ada orang yang mengejar wang, sehingga menyangkal Kristus dan akhirnya menderita serta berdukacita.” (1 Tim. 6:10, ABB) “Keinginan tabiat manusia” juga berbahaya.—Gal. 5:19-21.

8 Paulus dengan tegas memberikan amaran kepada sidang Tesalonika tentang “rasul palsu.” Ada di antara orang di sidang Tesalonika yang “memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka.” (2 Kor. 11:4, 13; Kis. 20:30) Yesus kemudian memuji orang Kristian di Efesus kerana mereka tidak menerima “orang jahat” ke dalam sidang. Orang Kristian di Efesus “menguji” orang jahat ini dan mendedahkan mereka sebagai rasul palsu dan penipu. (Why. 2:2) Dalam surat keduanya kepada sidang Tesalonika, Paulus memberikan nasihat ini, ‘Saudara-saudaraku, demi nama Tuan Yesus Kristus, kami memerintah kamu supaya menjauhkan diri daripada semua saudara yang hidup bermalas-malas.’ Kemudian dia menyebut tentang orang Kristian yang “tidak mahu bekerja.” (2 Tes. 3:6, 10) Jadi, jika mereka harus menjauhi orang yang “bermalas-malas” dan “tidak mahu bekerja,” lebih-lebih lagi mereka harus menjauhi orang yang mula berkelakuan seperti orang murtad! Pada masa itu, pergaulan sebegini amat berbahaya dan patut dielakkan. Begitu juga pada hari ini.—Ams. 13:20.

9. Mengapakah kita patut berjaga-jaga jika seseorang mula meneka atau mengkritik organisasi Yehuwa?

9 Kesengsaraan besar dan akhir sistem dunia yang jahat ini sudah di ambang pintu. Amaran yang diberikan Yehuwa pada abad pertama menjadi lebih penting dewasa ini. Sudah pasti, kita tidak ingin ‘mensia-siakan rahmat Tuhan’ dan kehilangan harapan kehidupan kekal. (2 Kor. 6:1) Oleh itu, jika orang di sidang cuba mempengaruhi kita untuk meneka tentang perkara yang tidak dijelaskan dalam Bible atau mengkritik para penatua dan saudara saudari yang lain, kita patut berjaga-jaga.—2 Tes. 3:13-15.

“BERPEGANG KEPADA AJARAN-AJARAN”

10. Orang Kristian di sidang Korintus digesa untuk berpegang kepada ajaran apa?

10 Paulus menggesa rakan seimannya di Tesalonika untuk “tetap percaya dan berpegang kepada ajaran-ajaran” yang telah mereka terima. (Baca 2 Tesalonika 2:15.) Apakah “ajaran-ajaran” tersebut? Sudah tentu bukan ajaran agama palsu. Sebaliknya, hal ini merujuk kepada ajaran Yesus dan ajaran yang diilhami oleh Tuhan melalui Paulus dan penulis Bible lain. Paulus memuji orang Kristian di Korintus dengan menulis, “Kamu sentiasa mengingat aku dan mengikut ajaran yang aku berikan kepada kamu.” (1 Kor. 11:2) Sumber ajaran sebegini boleh dipercayai dan boleh diharapkan.

11. Apakah yang boleh berlaku kepada seseorang yang terpedaya?

11 Sewaktu menulis kepada sidang Ibrani, Paulus menyatakan seorang Kristian boleh kehilangan iman dan menjadi tidak setia kepada Yehuwa. (Baca Ibrani 2:1; 3:12.) Dia menggunakan ungkapan “meninggalkan” sebanyak dua kali. Terdapat dua cara untuk menggambarkan hal ini. Salah satu cara ialah apabila seorang Kristian meninggalkan Yehuwa secara perlahan-lahan tanpa disedari. Cara kedua adalah apabila seorang Kristian sengaja meninggalkan Yehuwa melalui perbuatannya. Dua cara ini boleh berlaku kepada mereka yang terpedaya lalu membenarkan keyakinan terhadap kebenaran menjadi lemah.

12. Apakah yang boleh melemahkan hubungan kita dengan Yehuwa?

12 Sesetengah orang Kristian di Tesalonika membiarkan diri mereka diperdaya. Bolehkah hal ini berlaku dewasa ini? Terdapat banyak aktiviti yang membazirkan masa. Fikirkan jumlah masa yang diluangkan semasa menggunakan rangkaian sosial, membaca serta menjawab SMS dan e-mel, melakukan hobi kegemaran, atau mengikuti perkembangan sukan. Aktiviti-aktiviti ini boleh mengganggu tumpuan seorang Kristian dan melemahkan semangatnya untuk menyembah Yehuwa. Apakah kesannya? Dia mungkin tidak lagi berdoa dengan tulus, dan tiada masa untuk mempelajari Firman Tuhan, menghadiri perjumpaan, serta menginjil. Apakah yang dapat kita lakukan supaya fikiran kita tidak cepat dikelirukan?

JANGAN DIKELIRUKAN

13. Seperti yang dinubuatkan Bible, apakah sikap yang dimiliki oleh ramai orang? Bagaimanakah iman kita boleh dilindungi?

13 Kita harus sedar bahawa akhir sistem dunia Syaitan sudah dekat. Bergaul dengan orang yang tidak percaya akan hal ini adalah berbahaya. Rasul Petrus menulis, ‘Akan muncul beberapa orang yang akan memperolok-olokkan kamu dengan berkata, “Bukankah Tuan berjanji akan datang? Di manakah dia? Ibu bapa kita sudah meninggal, tetapi segala-galanya masih sama sahaja seperti sejak kejadian alam!”’ (2 Ptr. 3:3, 4, ABB) Membaca dan mempelajari Bible setiap hari mengingatkan kita bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Orang murtad yang dinubuatkan Bible wujud sejak dahulu sehingga sekarang. Hari ini, “Manusia Jahat” masih terus menentang hamba Tuhan. Jadi, kita harus sentiasa peka bahawa hari Yehuwa sudah dekat.—Zef. 1:7.

Persiapan yang baik dan penglibatan diri dalam kerja penyebaran membantu agar fikiran kita tidak dikelirukan (Lihat perenggan 14, 15)

14. Bagaimanakah kita dilindungi jika kita sibuk dalam khidmat Tuhan?

14 Satu lagi cara yang dapat membantu kita supaya tidak dikelirukan adalah dengan mengkhabarkan berita baik secara tetap. Yesus Kristus pernah memberikan perintah, ‘Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikutku.’ Perintah ini sebenarnya dapat melindungi pengikutnya. (Mat. 28:19, 20) Untuk mematuhi perintah ini, kita perlu bersemangat dalam kerja penyebaran. Bolehkah anda bayangkan saudara saudari di Tesalonika menjalankan kerja penyebaran secara sambil lewa? Ingatlah kata-kata Paulus kepada mereka, ‘Janganlah halang daya aktif Tuhan. Janganlah hina perkhabaran-perkhabaran yang diberikan oleh daya aktif Tuhan.’ (1 Tes. 5:19, 20) Perkhabaran yang kita pelajari dan kongsi kepada orang sememangnya sangat menakjubkan!

15. Apakah perkara yang boleh dibincangkan semasa penyembahan keluarga?

15 Kita ingin membantu keluarga kita untuk menjadi penyebar yang mahir. Untuk mencapai matlamat ini, banyak saudara saudari menggunakan sebahagian daripada penyembahan keluarga untuk berbincang tentang aktiviti penyebaran. Misalnya, anda boleh membincangkan cara membuat kunjungan kembali. Apakah yang boleh dikatakan? Apakah topik yang akan membangkitkan minat orang? Bilakah masa yang sesuai untuk membuat kunjungan? Ramai juga menggunakan sebahagian daripada penyembahan keluarga untuk membuat persiapan perjumpaan. Bolehkah keluarga anda juga berbuat demikian? Jika anda mengambil bahagian dalam perjumpaan, iman anda akan dikuatkan dan anda tidak akan dikelirukan. (Mzm. 35:18) Penyembahan keluarga dapat membantu kita supaya tidak ragu-ragu dan meneka perkara yang tidak dijelaskan dalam Bible.

16. Apakah yang mendorong orang Kristian terurap supaya tidak dikelirukan?

16 Selama bertahun-tahun, Yehuwa telah memberkati umat-Nya dengan pengetahuan yang mendalam mengenai nubuat Bible. Oleh itu, kita berasa yakin bahawa nubuat tentang masa depan kita yang cerah akan digenapi. Kaum terurap memiliki harapan untuk memerintah bersama Kristus di syurga. Sudah tentu, harapan ini membantu mereka untuk tidak dikelirukan! Kata-kata Paulus kepada orang Kristian di Tesalonika boleh diterapkan hari ini sehubungan dengan kaum terurap. Dia menulis, ‘Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Tuhan bagi kamu, saudara-saudara yang dikasihi Tuhan. Hal itu demikian kerana Tuhan telah memilih kamu. Dengan kuasa daya aktif-Nya dan dengan kepercayaan kamu kepada berita benar daripada Tuhan, Tuhan telah menjadikan kamu umat-Nya yang suci.’—2 Tes. 2:13.

17. Apakah galakan yang anda peroleh daripada 2 Tesalonika 3:1-5?

17 Mereka yang ingin meraih kehidupan kekal di bumi harus berusaha untuk tidak dikelirukan. Oleh itu, patuhilah nasihat Paulus kepada orang Kristian terurap di Tesalonika. (Baca 2 Tesalonika 3:1-5.) Kita patut menghargai kata-kata pengasih itu. Surat-surat kepada sidang Tesalonika memberikan amaran kepada kita supaya tidak meneka tentang perkara yang tidak dijelaskan dalam Bible dan tidak percaya kepada maklumat yang meragukan. Oleh sebab kita hidup di akhir sistem dunia ini, kita ingin menerima amaran-amaran sebegini dengan hati yang penuh syukur.

^ per. 6 Di Kisah 20:29, 30, Paulus memberikan amaran kepada orang Kristian dengan berkata, “Beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka.” Sejarah membuktikan bahawa pemimpin gereja diberikan kedudukan yang berbeza daripada penganut biasa. Sejak abad ketiga M, “Manusia Jahat” jelas menggambarkan pemimpin-pemimpin gereja.—Lihat The Watchtower, 1 Februari 1990, muka 10-14.