Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Relakah Anda Membuat Pengorbanan demi Kerajaan Tuhan?

Relakah Anda Membuat Pengorbanan demi Kerajaan Tuhan?

‘Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.’—2 KOR. 9:7.

1. Apakah pengorbanan yang dibuat oleh ramai orang, dan mengapa?

RAMAI orang rela membuat pengorbanan demi perkara yang penting. Ibu bapa mengorbankan masa, wang, dan tenaga demi kesejahteraan anak. Manakala, seorang atlet muda berlatih selama berjam-jam setiap hari kerana ingin mewakili negara ke sukan Olimpik, sementara kawan-kawannya bersuka ria. Yesus juga telah membuat pengorbanan demi perkara yang penting baginya. Dia tidak mengejar kemewahan atau memilih untuk beranak cucu. Sebaliknya, Yesus bertumpu pada Kerajaan Tuhan. (Mat. 4:17; Luk. 9:58) Para pengikutnya juga telah membuat banyak pengorbanan untuk menyokong Kerajaan Tuhan, iaitu perkara utama dalam kehidupan mereka. (Mat. 4:18-22; 19:27) Maka, tanyalah diri, “Apakah perkara penting dalam kehidupan saya?”

2. (a) Apakah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh orang Kristian? (b) Apakah pengorbanan lain yang dapat diberikan oleh sesetengah orang?

2 Untuk menikmati hubungan yang baik dengan Yehuwa, sesetengah pengorbanan harus dibuat. Masa dan tenaga diperlukan untuk berdoa, membaca Bible, penyembahan keluarga, menghadiri perjumpaan, dan menyertai aktiviti penyebaran. * (Yos. 1:8; Mat. 28:19, 20; Ibr. 10:24, 25) Kerja penyebaran semakin maju dan orang berduyun-duyun ke ‘Rumah Yehuwa’ kerana usaha kita dan berkat daripada Yehuwa. (Yes. 2:2) Ramai juga yang telah membuat pengorbanan untuk berkhidmat di Bethel, membantu pembinaan Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan, merancang konvensyen, atau membantu orang yang dilanda bencana alam. Walaupun kerja-kerja ini bukan syarat untuk meraih kehidupan kekal, kerja-kerja ini bermanfaat untuk Kerajaan Tuhan.

3. (a) Apakah manfaatnya jika kita membuat pengorbanan demi Kerajaan Tuhan? (b) Apakah soalan yang harus kita fikirkan?

3 Hari ini, kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyokong Kerajaan Tuhan. Kita bersukacita melihat ramai orang rela membuat pengorbanan demi Yehuwa. (Baca Mazmur 54:8.) Kemurahan hati sedemikian membawa berkat dan sukacita sambil kita menantikan kedatangan Kerajaan Tuhan. (Ul. 16:15; Kis. 20:35) Maka, kita perlu memeriksa diri dan memikirkan soalan-soalan ini: Bagaimanakah saya dapat lebih bergiat dalam menyokong Kerajaan Tuhan? Bagaimanakah saya menggunakan masa, wang, tenaga, dan kebolehan saya? Apakah perkara yang tidak patut saya abaikan semasa membuat pengorbanan? Marilah kita membincangkan contoh pengorbanan yang dibuat oleh orang Israel kuno.

KORBAN ISRAEL KUNO

4. Apakah manfaat daripada korban yang dibuat pada zaman Israel kuno?

4 Orang Israel kuno perlu mempersembahkan korban supaya dosa mereka diampunkan dan mendapat perkenan Tuhan. Terdapat korban yang wajib dan juga korban tambahan yang dipersembahkan dengan sukarela. (Im. 23:37, 38) Korban bakar dapat dipersembahkan sebagai korban sukarela atau sebagai pemberian kepada Yehuwa. Korban sukarela termasuk korban wain yang dituangkan di atas mazbah. ‘Bau asap dari korban ini menyenangkan hati Yehuwa.’ (Bil. 15:10) Satu contoh menarik mengenai persembahan korban ialah semasa pentahbisan Rumah Tuhan pada zaman Salomo.—2 Taw. 7:4-6.

5. Apakah aturan Yehuwa supaya orang yang kurang berkemampuan dapat memberikan korban?

5 Yehuwa faham bahawa setiap umat-Nya tidak dapat memberikan persembahan yang sama. Dia meminta orang Israel untuk memberikan persembahan berdasarkan kemampuan mereka. Hukum Yehuwa menyatakan bahawa korban binatang perlu dipersembahkan dan darah binatang perlu dicurahkan. Korban sebegini adalah “bayangan daripada perkara-perkara baik yang akan datang” melalui Yesus. (Ibr. 10:1-4) Walaupun demikian, Yehuwa munasabah. Misalnya, Dia sudi menerima persembahan dua ekor burung tekukur daripada seseorang yang tidak mampu mempersembahkan seekor kambing atau domba. Maka, orang miskin juga dapat memberikan persembahan korban kepada Yehuwa dengan sukacita. (Im. 1:3, 10, 14; 5:7) Walaupun Yehuwa sudi menerima binatang yang berbeza, terdapat dua perkara yang dikehendaki Yehuwa daripada orang yang memberikan korban sukarela.

6. Apakah dua perkara yang dikehendaki Yehuwa daripada orang yang memberikan korban? Adakah hal ini penting?

6 Pertama, orang itu perlu memberikan yang terbaik. Yehuwa ‘tidak akan menerima’ binatang yang cacat atau berpenyakit. (Im. 22:18-20) Kedua, menurut hukum Musa, orang yang memberikan persembahan korban haruslah bersih dan tidak berada dalam keadaan najis. Jika tidak, dia perlu mempersembahkan korban untuk pengampunan dosa terlebih dahulu sebelum memberikan korban sukarela. (Im. 5:5, 6, 15) Hal ini amat serius. Menurut hukum Yehuwa, jika seseorang yang berada dalam keadaan najis memakan korban untuk meminta berkat Tuhan, dia akan dihukum. (Im. 7:20, 21) Sebaliknya seseorang akan bersukacita dan puas hati jika dia bersih dan persembahan korbannya tidak bercacat cela.—Baca 1 Tawarikh 29:9.

MEMBUAT PENGORBANAN HARI INI

7, 8. (a) Apakah perasaan orang yang telah membuat pengorbanan demi Kerajaan Tuhan? (b) Apakah yang dapat kita berikan kepada Yehuwa sebagai korban?

7 Dewasa ini, Yehuwa senang hati dengan pengorbanan dan kerja keras saudara saudari yang berkhidmat kepada-Nya. Saudara saudari sememangnya bersukacita semasa membantu rakan seiman. Seorang saudara yang menyertai pembinaan Dewan Perjumpaan dan membantu mangsa bencana berasa sangat gembira dan puas hati. Dia berkata, “Semua pengorbanan yang saya berikan amat berbaloi apabila melihat kegembiraan dan penghargaan pada wajah saudara saudari tempatan yang mendapat Dewan Perjumpaan baru atau menerima bantuan kecemasan selepas dilanda bencana.”

Banyak korban yang dipersembahkan dengan sukarela, sama seperti pengorbanan yang kita berikan hari ini (Lihat perenggan 7-13)

8 Organisasi Yehuwa di bumi sentiasa berusaha untuk menyokong kerja Yehuwa. Pada tahun 1904, Saudara C. T. Russell menerangkan bahawa kita perlu menggunakan masa, wang, kebolehan, dan sebagainya dengan sebaik-baiknya untuk memuliakan Yehuwa. Pengorbanan yang kita buat untuk Yehuwa akan membawa berkat yang melimpah. (2 Sam. 24:21-24) Bagaimanakah kita boleh menggunakan apa yang kita miliki dengan sebaik-baiknya untuk Yehuwa?

Ahli Bethel di Australia

9. Apakah pengajaran daripada Lukas 10:2-4 tentang pengurusan masa?

9 Masa. Banyak masa dan usaha diperlukan untuk menterjemah dan mencetak bahan bacaan, membina tempat beribadat, merancang konvensyen, membantu mangsa bencana, dan aktiviti-aktiviti lain yang penting. Tetapi, kita hanya ada 24 jam sehari. Maka, Yesus telah memberikan satu prinsip yang baik. Semasa menghantar pengikutnya untuk menyebar, dia memberitahu mereka, “Jangan berhenti di tengah jalan untuk memberikan salam kepada sesiapa pun.” (Luk. 10:2-4) Mengapakah Yesus memberikan arahan sedemikian? Pada zaman Yesus, semasa memberikan salam, mereka tidak hanya berjabat tangan atau tunduk kepala. Sebaliknya, mereka berpeluk berkali-kali, malah bersujud di atas tanah. Semua ini memakan masa. Yesus bukannya menggalakkan pengikutnya untuk bersikap biadab. Tetapi, dia menyedarkan mereka bahawa masa adalah terhad, dan terdapat perkara lebih penting yang perlu dilaksanakan. (Ef. 5:16) Bolehkah kita menerapkan prinsip ini agar dapat meluangkan lebih banyak masa untuk menyokong Kerajaan Tuhan?

Penyiar di Dewan Perjumpaan Kenya, Afrika

10, 11. (a) Bagaimanakah sumbangan yang kita berikan digunakan? (b) Bagaimanakah prinsip di 1 Korintus 16:1, 2 membantu kita?

10 Wang. Banyak wang diperlukan untuk menyokong Kerajaan Tuhan. Setiap tahun, berjuta-juta dolar dibelanjakan untuk menyokong kerja penyelia lawatan, perintis khas, dan mubaligh. Sejak 1999, lebih daripada 24,500 buah Dewan Perjumpaan telah dibina di negara-negara yang memiliki sumber terhad. Namun, hampir 6,400 Dewan Perjumpaan masih diperlukan. Setiap bulan, 100 juta naskhah majalah pembelajaran dan majalah berita dicetak. Semua kerja ini disokong oleh sumbangan sukarela anda.

11 Yehuwa mengilhami Paulus untuk memberikan prinsip mengenai sumbangan. (Baca 1 Korintus 16:1, 2.) Dia menggalakkan orang di Korintus supaya tidak menunggu sehingga hujung minggu dan melihat jika ada wang berlebihan yang dapat diberikan sebagai sumbangan. Sebaliknya, mereka digalakkan untuk menyimpan sedikit wang pada awal minggu sebagai sumbangan. Sama seperti orang Kristian abad pertama, saudara saudari dewasa ini membuat perancangan awal mengenai sumbangan yang ingin mereka berikan. (Luk. 21:1-4; Kis. 4:32-35) Yehuwa amat menghargai kemurahan hati yang ditunjukkan oleh umat-Nya.

Seorang sukarelawan Jawatankuasa Pembinaan Serantau, Tuxedo, New York, A.S.

12, 13. Apakah yang dapat membuat seseorang meragui kebolehan sendiri dan menahan diri daripada menyumbangkan tenaga dan kebolehannya? Bagaimanakah Yehuwa akan membantu mereka?

12 Tenaga dan kebolehan. Semasa menggunakan tenaga dan kebolehan untuk menyokong Kerajaan Tuhan, Yehuwa akan membantu kita. Dia berjanji untuk menolong kita semasa kita lemah. (Yes. 40:29-31) Adakah kita berasa bahawa kita tidak mempunyai kebolehan yang diperlukan atau orang lain lebih layak daripada kita? Ingatlah bahawa Yehuwa mampu meningkatkan keupayaan seseorang seperti yang dilakukan-Nya terhadap Bezaleel dan Oholiab.—Kel. 31:1-6; lihat gambar pada permulaan rencana.

13 Yehuwa menggalakkan kita untuk tidak menahan diri, tetapi memberikan yang terbaik kepada-Nya. (Ams. 3:27) Semasa pembinaan semula Rumah Tuhan, tumpuan orang Yahudi teralih dan mereka tidak lagi mengutamakan kerja Yehuwa. Maka, Yehuwa memberitahu mereka untuk berfikir dengan serius tentang apa yang mereka lakukan untuk Rumah Tuhan. (Hag. 1:2-5) Jadi tanyalah diri, “Adakah melakukan kerja Yehuwa lebih penting daripada hal-hal yang lain? Dapatkah kita lebih bergiat untuk Kerajaan Tuhan pada hari-hari terakhir ini?”

PENGORBANAN MENGIKUT KEMAMPUAN

14, 15. (a) Bagaimanakah kemurahan hati yang ditunjukkan oleh saudara saudari yang serba kekurangan menggalakkan anda? (b) Apakah tekad kita?

14 Ramai orang hidup di tempat di mana kemiskinan dan kesusahan berleluasa. Organisasi kita cuba “meringankan beban” saudara saudari yang tinggal di tempat sedemikian. (2 Kor. 8:13-14) Walaupun begitu, saudara saudari yang serba kekurangan suka mengambil peluang untuk memberi kepada Yehuwa. Sudah pasti Yehuwa senang hati melihat mereka memberi dengan sukacita.—2 Kor. 9:7.

15 Sesetengah saudara saudari yang miskin di Afrika mengekhaskan pendapatan daripada sebahagian hasil kebun mereka untuk dijadikan sumbangan kepada Kerajaan Tuhan. Di negara itu juga, sebuah Dewan Perjumpaan akan dibina dan terdapat saudara saudari yang ingin membantu dalam pembinaan. Namun, pembinaan itu diadakan pada masa yang sama dengan musim menanam. Walaupun demikian, mereka masih bertekad untuk menyertai kerja pembinaan. Pada siang hari, mereka membantu dalam pembinaan. Pada waktu petang pula mereka pergi bercucuk tanam. Mereka memang menunjukkan semangat rela berkorban! Hal ini mengingatkan kita tentang saudara saudari di Makedonia. Mereka “sangat miskin,” tetapi mereka merayu untuk menyumbang wang kepada rakan seiman. (2 Kor. 8:1-4) Marilah kita memberikan dengan sebaik-baiknya sebagai tanda syukur atas berkat yang dicurahkan Yehuwa kepada kita.—Baca Ulangan 16:17.

16. Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa pemberian kita diperkenankan Yehuwa?

16 Namun kita perlu berhati-hati. Seperti orang Israel kuno, kita ingin memastikan bahawa pemberian kita diterima Yehuwa. Apakah yang menyebabkan Yehuwa menolak pemberian kita? Kita perlu ingat bahawa keluarga dan ibadat kita kepada Yehuwa adalah tanggungjawab yang terpenting. Mengorbankan masa dan tenaga bagi orang lain sehingga mengabaikan keperluan rohani dan jasmani keluarga sama seperti mengorbankan sesuatu yang tidak kita miliki. (Baca 2 Korintus 8:12.) Tambahan pula, kita perlu mengukuhkan kerohanian kita sendiri. (1 Kor. 9:26, 27) Jika kita hidup selaras dengan piawaian Bible, pemberian kita pasti akan mendapat perkenan Yehuwa, dan kita akan berasa gembira dan puas hati.

PENGORBANAN KITA AMAT BERNILAI

17, 18. Apakah perasaan kita terhadap orang yang membuat pengorbanan demi Kerajaan Tuhan? Apakah yang perlu kita fikirkan?

17 Ramai saudara saudari rela mengorbankan masa, tenaga, dan wang untuk menyokong Kerajaan Tuhan. (Flp. 2:17) Kita amat menghargai pemberian mereka. Isteri dan anak kepada saudara yang mengambil pimpinan dalam organisasi Yehuwa juga patut diberi pujian atas kemurahan hati dan semangat rela berkorban mereka.

18 Banyak kerja perlu dilakukan untuk menyokong Kerajaan Tuhan. Marilah kita berdoa dan fikirkan bagaimana kita boleh menggandakan usaha kita. Anda pasti akan meraih berkat yang melimpah-ruah sekarang dan lebih-lebih lagi “pada zaman yang akan datang.”—Mrk. 10:28-30.

^ per. 2 Lihat rencana “Buatlah Pengorbanan dengan Sepenuh Hati” dalam majalah pembelajaran, terbitan 15 Januari 2012, muka 21-25.