Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Lakukanlah Hal Ini untuk Mengenang Aku’

‘Lakukanlah Hal Ini untuk Mengenang Aku’

‘Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Tuhan, dan membahagi roti itu lalu berkata, “Inilah tubuhku yang diberikan untuk kamu. Lakukanlah hal ini untuk mengenang aku.”’1 KOR. 11:23, 24, ABB.

1, 2. Apakah yang mungkin difikirkan oleh beberapa rasul sebelum Yesus melakukan perjalanan yang terakhir ke Yerusalem?

PENGAWAL di Yerusalem telah melihat anak bulan. Majlis Agama telah diberitahu lalu mengumumkan permulaan bulan yang baru, iaitu bulan Nisan. Isyarat api atau para utusan menyebarkan berita ini. Para rasul mungkin berfikir bahawa perayaan Paska sudah dekat, maka Yesus ingin ke Yerusalem sebelum perayaan Paska.

2 Pada masa itu, Yesus dan para rasulnya berada di Perea, di seberang Sungai Yordan sebelum perjalanan yang terakhir ke Yerusalem. (Mat. 19:1; 20:17, 29; Mrk. 10:1, 32, 46) Apabila hari pertama bulan Nisan sudah ditentukan, perayaan Paska diadakan 13 hari kemudian, iaitu selepas matahari terbenam pada 14 Nisan.

3. Mengapakah orang Kristian berminat dengan tarikh Paska?

3 Tarikh Perjamuan Malam Tuan yang bersamaan dengan tarikh perayaan Paska, jatuh pada 14 April 2014, selepas matahari terbenam. Hari itu adalah hari yang istimewa bagi orang Kristian sejati dan orang yang berminat. Mengapa? Sebab 1 Korintus 11:23-25 (ABB) menyatakan, ‘Pada malam itu Yesus mengambil roti, mengucap syukur kepada Tuhan, dan membahagi roti itu lalu berkata, “Inilah tubuhku yang diberikan untuk kamu. Lakukanlah hal ini untuk mengenang aku.” Begitu juga setelah habis makan, dia mengambil cawan.’

4. (a) Apakah soalan-soalan yang mungkin kita tanya mengenai Peringatan? (b) Bagaimanakah tarikh Peringatan ditentukan setiap tahun? (Lihat kotak  “Hari Peringatan 2014.”)

4 Peringatan adalah satu-satunya perayaan yang diperintah oleh Yesus kepada semua pengikutnya untuk dirayakan setiap tahun. Sudah pasti anda ingin menghadirinya. Sebelum itu, tanyalah diri, ‘Apakah persediaan yang perlu saya lakukan untuk Peringatan? Apakah lambang-lambang yang akan digunakan? Bagaimanakah acara itu akan diadakan? Mengapakah Peringatan dan lambang-lambang yang digunakan penting bagi saya?

ROTI DAN WAIN

5. Apakah arahan yang Yesus berikan kepada rasulnya mengenai jamuan Paska?

5 Sewaktu Yesus mengarahkan rasul-rasulnya mempersiapkan bilik untuk jamuan Paska, dia tidak memberitahu mereka untuk menghiasi bilik itu dengan mewah. Sebaliknya, dia hanya memerlukan sebuah bilik yang bersih dan sederhana dengan ruangan yang memadai baginya dan para rasul. (Baca Markus 14:12-16.) Mereka juga menyediakan barang-barang yang diperlukan, termasuk roti tidak beragi dan wain merah. Selepas jamuan Paska, Yesus mula menjelaskan tentang roti dan wain itu.

6. (a) Selepas jamuan Paska, apakah yang Yesus katakan tentang roti? (b) Apakah jenis roti yang digunakan pada Peringatan?

6 Seorang rasul Yesus, Matius, menulis, ‘Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikutnya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah.”’ (Mat. 26:26) “Roti” itu tidak beragi, sama seperti yang digunakan untuk Paska. (Kel. 12:8; Ul. 16:3) Roti itu dibuat daripada tepung gandum dan air, tanpa ragi atau perasa seperti garam. Maka, roti itu seharusnya tawar, kering, rangup, dan mudah dipecahkan. Dewasa ini, penatua di sidang mungkin meminta ahli sidang untuk membuat roti Peringatan daripada tepung gandum dan air, dan memasaknya dengan sedikit minyak. (Jika tepung gandum susah didapati, tepung daripada beras, barli, jagung, atau biji-bijian yang serupa juga boleh digunakan.)

7. Apakah yang terdapat dalam cawan Yesus? Apakah jenis wain yang boleh kita gunakan semasa Peringatan?

7 Matius menyambung, ‘Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Tuhan, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikutnya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua.”’ (Mat. 26:27, 28) Cawan Yesus diisi dengan wain merah. (Bukannya jus anggur yang segar, kerana musim anggur sudah lama berlalu.) Wain tidak digunakan pada jamuan Paska yang pertama di Mesir. Namun, Yesus tidak menolak penggunaan wain dalam jamuan Paska. Malah, dia juga menggunakannya dalam Perjamuan Malam Tuan. Dewasa ini, orang Kristian juga menggunakan wain semasa Peringatan. Oleh kerana darah Yesus bernilai tinggi, wain yang digunakan semasa Peringatan tidak perlu ditambah dengan apa-apa pun termasuk brandi atau ramuan lain. Jadi, wain merah tulen sahaja digunakan. Wain ini boleh dibuat sendiri, atau dibeli seperti Cabernet, Burgundy, atau Chianti.

MAKNA DI SEBALIK ROTI DAN WAIN

8. Mengapakah orang Kristian berminat dengan makna di sebalik roti dan wain?

8 Rasul Paulus menjelaskan bahawa selain daripada para rasul, semua orang Kristian juga perlu merayakan Perjamuan Malam Tuan. Dia menulis kepada orang Kristian di sidang Korintus, ‘Aku berkata demikian kerana ajaran yang aku berikan kepada kamu, aku terima daripada Tuan. Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Tuhan, dan membahagi roti itu lalu berkata, “Inilah tubuhku yang diberikan untuk kamu. Lakukanlah hal ini untuk mengenang aku.”’ (1 Kor. 11:23, 24, ABB) Oleh sebab semua orang Kristian dewasa ini diperintahkan untuk merayakan Peringatan setiap tahun, mereka amat berminat dengan makna di sebalik roti dan wain.

9. Apakah pandangan yang salah mengenai roti yang digunakan Yesus?

9 Sesetengah orang yang mengaku diri Kristian berfikir bahawa kata-kata Yesus, ‘Inilah tubuhku,’ adalah harfiah. Jadi, mereka percaya bahawa roti itu secara mukjizat berubah menjadi tubuh jasmani Yesus. Namun, hal ini tidak berlaku. * Para rasul dapat melihat Yesus, dan pada masa yang sama roti tidak beragi berada di depan mata mereka. Jelaslah, Yesus menggunakan kata-kata kiasan. Yesus sering menggunakan kata-kata kiasan dalam ajarannya.—Yoh. 2:19-21; 4:13, 14; 10:7; 15:1.

10. Apakah yang dilambangkan oleh roti semasa Perjamuan Malam Tuan?

10 Roti yang akan disantap oleh para rasul melambangkan tubuh Yesus. Tubuh yang mana satu? Pada suatu ketika, hamba Tuhan percaya bahawa roti itu melambangkan kumpulan kaum terurap yang disebut dalam Bible sebagai “tubuh Kristus.” Hal ini kerana Yesus memecahkan roti itu, tetapi sewaktu dia mati tiada satu pun tulangnya yang patah. (Ef. 4:12; Rm. 12:4, 5; 1 Kor. 10:16, 17; 12:27) Selepas kajian yang lebih lanjut, mereka menyedari bahawa roti itu melambangkan tubuh jasmani Yesus. Ayat-ayat Bible selalu menyatakan bahawa Yesus “menanggung penderitaan secara jasmani” dan dibunuh pada tiang seksaan. Oleh itu, roti yang digunakan pada Perjamuan Malam Tuan melambangkan tubuh jasmani Yesus yang dijadikan sebagai korban tebusan bagi dosa kita.—1 Ptr. 2:21-24; 4:1; Yoh. 19:33-36; Ibr. 10:5-7.

11, 12. (a) Apakah yang dikatakan Yesus mengenai wain? (b) Apakah yang dilambangkan oleh wain yang digunakan semasa Perjamuan Malam Tuan?

11 Selepas memahami makna roti, kita dibantu untuk memahami apa yang Yesus katakan mengenai wain. Kita membaca, ‘Begitu juga setelah habis makan, dia mengambil cawan itu lalu berkata, “Cawan ini perjanjian Tuhan yang baru, yang disahkan dengan darahku.”’ (1 Kor. 11:25) Adakah “cawan” yang dipegang Yesus merujuk kepada perjanjian Tuhan yang baru? Tidak. Perkataan “cawan” merujuk kepada isi cawan itu, iaitu wain. Menurut Yesus, wain itu melambangkan apa? Darahnya yang dicurahkan.

12 Di dalam buku Markus, ‘Yesus berkata, “Inilah darahku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Tuhan.”’ (Mrk. 14:24, ABB) Ya, darah Yesus akan “dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan.” (Mat. 26:28) Oleh itu, wain merah tepat melambangkan darah Yesus. Melalui darah Yesus, tebusan disediakan supaya dosa kita diampunkan.—Baca Efesus 1:7.

Para rasul meminum wain yang melambangkan darah Yesus yang mengesahkan perjanjian baru (Lihat perenggan 11, 12)

MEMPERINGATI KEMATIAN KRISTUS

13. Jelaskan cara Perjamuan Malam Tuan diadakan.

13 Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan Perjamuan Malam Tuan? Perjumpaan itu diadakan di sebuah dewan yang sederhana dan bersih. Semua orang dapat menikmati acara tersebut dengan selesa. Beberapa bunga mungkin digunakan untuk menghias dewan, tetapi anda tidak akan melihat perhiasan yang keterlaluan atau suasana berpesta. Seorang penatua yang layak akan memberikan ceramah berdasarkan Bible tentang Perjamuan Malam Tuan. Ceramah ini disampaikan dengan jelas dan penuh hormat. Dia akan membantu semua hadirin untuk menghargai Kristus yang rela mati sebagai tebusan untuk menyelamatkan kita.—Baca Roma 5:8-10.

14. Apakah dua harapan yang dijelaskan dalam ceramah Peringatan?

14 Penceramah akan menjelaskan bahawa terdapat dua harapan bagi orang Kristian yang setia. Salah satu harapan hanya bagi segelintir orang Kristian seperti para rasul. Mereka memiliki harapan untuk memerintah bersama Kristus di syurga. (Luk. 12:32; 22:19, 20; Why. 14:1) Kebanyakan orang Kristian yang lain pula memiliki harapan untuk menikmati kehidupan kekal di bumi firdaus. Di dunia baru, kehendak Tuhan untuk bumi akan terlaksana. Harapan inilah yang selalu didoakan oleh orang Kristian. (Mat 6:10) Ayat-ayat Bible menggambarkan kehidupan menakjubkan yang akan dinikmati oleh mereka selama-lamanya.—Yes. 11:6-9; 35:5, 6; 65:21-23.

15, 16. Apakah yang akan dilakukan dengan roti tidak beragi pada Perjamuan Malam Tuan?

15 Selepas menjelaskan dua harapan tersebut, penceramah akan menunjukkan bahawa sampai masanya untuk menjalankan apa yang diperintah Yesus. Roti tidak beragi dan wain merah akan terletak di atas meja yang berhampiran dengan penceramah. Dia akan membaca kisah Bible tentang apa yang Yesus lakukan dengan roti itu. Misalnya, buku Matius menyatakan, ‘Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikutnya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah.”’ (Mat. 26:26) Yesus memecahkan roti tidak beragi itu supaya dia dapat mengedarkan kepada setiap rasulnya. Semasa Peringatan pada 14 April, anda akan melihat kepingan roti tidak beragi di atas piring.

16 Sebelum roti diedarkan, seorang saudara akan mengucapkan doa yang singkat. Piring yang secukupnya akan digunakan supaya roti dapat diedarkan kepada para hadirin dengan teratur dalam masa yang pendek. Hal ini akan dilakukan mengikut kesesuaian dewan tempatan tanpa upacara tambahan. Mungkin tiada orang atau beberapa orang sahaja yang akan memakan roti itu, seperti apa yang berlaku pada Peringatan 2013.

17. Semasa Peringatan, bagaimanakah kita mengikut arahan Yesus tentang cawan wain?

17 Seterusnya, penceramah akan menerangkan apa yang Yesus lakukan dengan wain. Matius menulis, ‘Kemudian Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Tuhan, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikutnya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua. Inilah darahku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Tuhan dengan umat-Nya; darahku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan.”’ (Mat. 26:27, 28, ABB) Seperti Yesus, doa akan diucapkan sekali lagi, barulah cawan wain diedarkan kepada semua hadirin.

18. Mengapakah penting untuk menghadiri Peringatan walaupun tiada orang atau beberapa orang sahaja yang makan roti dan minum wain?

18 Kebanyakkan orang yang hadir tidak makan roti dan minum wain. Menurut Yesus, hanya mereka yang akan memerintah bersamanya di syurga makan roti dan minum wain. (Baca Luk. 22:28-30; 2 Tim. 4:18) Hadirin lain memerhati dengan penuh hormat. Mereka hadir untuk menunjukkan penghargaan terhadap tebusan Yesus. Semasa Peringatan, mereka dapat merenungkan berkat yang bakal diraih. Melalui tebusan ini, mereka berpeluang menjadi sebahagian daripada “lautan manusia yang luar biasa banyaknya” yang selamat mengharungi kesengsaraan besar. Kerana beriman terhadap tebusan Yesus, mereka seolah-olah “membasuh dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Domba” dan menjadi suci di mata Tuhan.—Why. 7:9, 14-17.

19. Apakah persiapan yang dapat anda lakukan untuk meraih manfaat daripada Perjamuan Malam Tuan?

19 Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia membuat persiapan untuk Peringatan ini. Beberapa minggu sebelum itu, kita berusaha menjemput sebanyak orang yang mungkin untuk hadir. Menjelang hari tersebut, kita akan membaca kisah Bible tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum Perjamuan Malam Tuan pada tahun 33 M. Kita juga memastikan kita menghadiri acara itu dengan membuat rancangan yang rapi. Adalah baik jika kita tiba lebih awal supaya dapat menyambut orang yang datang dan mengikuti acara itu dari mula hingga akhir. Ceramah yang disampaikan bermanfaat jika kita mengikut pembacaan Bible dan mendengar penjelasan penceramah. Yang penting sekali, dengan menghadiri Peringatan, kita menunjukkan penghargaan terhadap korban tebusan Yesus dan mematuhi arahannya yang berbunyi, ‘Lakukanlah hal ini untuk mengenang aku.’—1 Kor. 11:24.

^ per. 9 Seorang cendekiawan dari Jerman, Heinrich Meyer, mengatakan bahawa para rasul tidak terfikir bahawa mereka sedang makan tubuh Yesus dan minum darahnya secara harfiah. Kerana pada masa itu “tubuh Yesus masih utuh (hidup).” Dia juga mengatakan bahawa Yesus menggunakan “kata-kata yang mudah difahami” untuk menjelaskan makna roti dan wain. Yesus tidak ingin para rasulnya keliru.

^ per. 52 Ekuinoks ialah peristiwa apabila waktu siang dan malam sama jangka masanya, iaitu 12 jam waktu siang dan 12 jam waktu malam. Hal ini berlaku pada bulan Mac dan September.