Buatlah Pilihan Bijak semasa Muda
‘Pemudi dan pemuda memuji nama Yehuwa!’—MZM. 148:12, 13.
1. Apakah peluang istimewa yang dinikmati oleh ramai orang muda?
KITA hidup pada masa yang genting. Ribuan orang dari pelbagai bangsa sedang menerima kebenaran. (Why. 7:9, 10) Ramai pemuda dan pemudi menikmati peluang untuk membantu orang menerima “air yang memberikan hidup.” (Why. 22:17) Mereka mengajar Bible dan membantu orang lain menikmati cara hidup yang lebih baik. Yang lain pula memberitakan khabar baik di kawasan penyebaran bahasa asing. (Mzm. 110:3; Yes. 52:7) Bagaimanakah anda dapat menikmati peluang untuk berkhidmat kepada Yehuwa?
2. Bagaimanakah pengalaman Timotius menunjukkan bahawa Yehuwa rela mengamanahkan tanggungjawab kepada orang muda? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
2 Semasa muda, anda boleh membuat keputusan yang membantu anda untuk berkhidmat kepada Yehuwa pada kemudian hari. Contohnya, Timotius telah membuat pilihan bijak semasa dia masih kanak-kanak. Hal ini membolehkannya menjadi seorang mubaligh apabila dia berumur lewat belasan tahun atau awal 20-an. (Kis. 16:1-3) Tidak lama kemudian, sidang Tesalonika mengalami penganiayaan yang teruk. Rasul Paulus terpaksa meninggalkan tempat itu. Maka, Paulus menugaskan Timotius untuk melawat sidang tersebut bagi menggalakkan orang Kristian di sana. (Kis. 17:5-15; 1 Tes. 3:1, 2, 6) Bolehkah anda bayangkan perasaan Timotius semasa menerima tugasan tersebut?
KEPUTUSAN YANG TERPENTING
3. Apakah keputusan terpenting yang anda boleh buat, dan bilakah anda boleh membuat keputusan ini?
3 Masa untuk membuat keputusan penting adalah semasa muda. Tetapi ada satu keputusan yang jauh lebih penting daripada keputusan lain, iaitu menyembah Yehuwa. Bilakah masa yang terbaik untuk membuat keputusan ini? Yehuwa berkata, “Ingatlah Pencipta kamu semasa kamu masih muda.” (Pkh. 12:1) Cara untuk mengingat Yehuwa adalah dengan berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati. (Ul. 10:12) Keputusan ini adalah keputusan terpenting yang akan membentuk masa depan anda.—Mzm. 71:5.
4. Selain daripada menyembah Yehuwa, apakah keputusan lain yang akan mempengaruhi cara anda menyembah Tuhan?
4 Sudah tentu, keputusan untuk menyembah Yehuwa bukan satu-satunya keputusan yang mempengaruhi masa depan anda. Misalnya, anda mungkin berfikir sama ada untuk berkahwin atau tidak, berkahwin dengan siapa, dan bagaimana untuk mencari nafkah. Keputusan seperti ini penting, tetapi adalah bijak untuk membuat keputusan yang terpenting terlebih dahulu, iaitu menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. (Ul. 30:19, 20) Mengapa? Kerana semua keputusan anda berkait rapat. Keputusan anda mengenai perkahwinan dan pekerjaan akan mempengaruhi cara anda menyembah Tuhan. Selain itu, keinginan untuk menyembah Tuhan akan mempengaruhi keputusan anda mengenai perkahwinan dan pekerjaan. (Bandingkan Lukas 14:16-20.) Oleh itu, buatlah keputusan yang terpenting dahulu.—Flp. 1:10.
PILIHAN ANDA SEMASA MUDA
5, 6. Ceritakan bagaimana pilihan yang bijak membawa hasil yang baik pada kemudian hari. (Lihat juga rencana “Pilihan Saya sewaktu Kecil” dalam majalah ini.)
5 Selepas membuat keputusan untuk menyembah Yehuwa, anda akan tahu apa yang Yehuwa inginkan dan cara untuk berkhidmat kepada-Nya. Seorang saudara dari Jepun menulis, “Semasa berumur 14 tahun, seorang penatua sedar bahawa saya tidak suka menginjil. Dengan lembut, dia berkata, ‘Yuichiro, baliklah ke rumah dan fikirlah tentang segala yang dilakukan oleh Yehuwa untuk kamu.’ Saya mengikut nasihatnya. Selama beberapa hari saya berfikir dan berdoa tentang hal itu. Tidak lama kemudian pandangan saya berubah. Saya mula menikmati khidmat kepada Yehuwa. Saya suka membaca pengalaman mubaligh, dan ingin meningkatkan khidmat saya kepada Yehuwa.”
6 “Saya membuat pilihan yang membolehkan saya berkhidmat kepada Yehuwa di negara lain,” kata Yuichiro. “Contohnya, saya mengambil kursus bahasa Inggeris. Selepas tamat persekolahan, saya mengajar bahasa Inggeris secara sambilan agar dapat terus merintis. Semasa berumur 20 tahun, saya mula belajar bahasa Mongolia dan berpeluang melawat sekumpulan penyiar dari Mongolia. Selepas dua tahun, pada tahun 2007, saya melawat negara Mongolia. Ramai orang di sana menginginkan kebenaran, dan saya mahu pindah ke sana untuk membantu mereka. Jadi, saya balik ke Jepun dan membuat rancangan. Saya telah merintis di Mongolia sejak April 2008. Kehidupan di sini tidaklah senang, tetapi ramai yang menerima kebenaran. Saya dapat membantu mereka mendekati Yehuwa. Inilah kehidupan yang terbaik.”
7. Apakah pilihan yang harus anda buat? Apakah yang boleh kita pelajari daripada contoh Musa?
7 Setiap orang perlu membuat keputusan Yos. 24:15) Anda sendiri perlu membuat keputusan sama ada untuk berkahwin atau tidak, berkahwin dengan siapa, dan pekerjaan mana yang harus diterima. Bolehkah anda memilih pekerjaan yang tidak memerlukan masa latihan yang lama? Anda mungkin mempunyai perwatakan, kebolehan, pengalaman, minat, dan matlamat rohani yang berbeza. Sesetengah golongan muda tinggal di perkampungan yang miskin; yang lain pula di bandar yang mewah. Hal ini seperti para pemuda Ibrani di Mesir kuno. Musa memiliki kehidupan yang selesa, manakala pemuda Ibrani lain hanya hamba. (Kel. 1:13, 14; Kis. 7:21, 22) Seperti anda, mereka juga hidup pada zaman genting. (Kel. 19:4-6) Maka, setiap orang harus membuat pilihan sendiri. Musa telah membuat pilihan yang bijak.—Baca Ibrani 11:24-27.
tentang cara dia ingin berkhidmat kepada Yehuwa. (8. Apakah yang dapat membantu orang muda membuat keputusan yang bijak?
8 Yehuwa dapat membantu anda membuat keputusan bijak semasa muda. Dia memberikan prinsip Bible yang sesuai dengan situasi anda. (Mzm. 32:8) Selain itu, anda boleh mendapatkan bantuan daripada ibu bapa yang berada dalam kebenaran dan para penatua tentang cara menerapkan prinsip-prinsip ini. (Ams. 1:8, 9) Mari kita lihat tiga prinsip yang dapat membantu anda untuk membuat keputusan bijak bagi masa depan.
TIGA PRINSIP UNTUK MEMBIMBING ANDA
9. (a) Bagaimanakah Yehuwa memberi kita kebebasan untuk memilih? (b) Mengutamakan Kerajaan Tuhan membuka peluang kepada apa?
9 Utamakanlah Kerajaan Tuhan dan lakukanlah kehendak-Nya. (Baca Matius 6:19-21, 24-26, 31-34.) Yehuwa memberi kita kebebasan untuk memilih dan tidak menetapkan jumlah masa yang kita harus luangkan untuk menginjil. Namun, Yesus telah mengajar kita untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan. Kata-kata Yesus ini membuka peluang kepada anda untuk menunjukkan kasih kepada Tuhan dan orang lain, serta penghargaan anda terhadap harapan kehidupan kekal. Semasa membuat keputusan mengenai perkahwinan dan pekerjaan, fikirkanlah kesudahannya. Adakah anda akan lebih khuatir terhadap harta benda atau lebih mengutamakan Kerajaan Tuhan dan kehendak-Nya?
10. Apakah yang membuat Yesus bersukacita, dan apakah yang boleh membantu anda meraih sukacita?
10 Meraih sukacita dengan membantu orang lain. (Kis. 20:20, 21, 24, 35) Yesus mengajarkan prinsip yang penting ini kepada kita. Dia bersukacita kerana melakukan kehendak Bapanya dan bukan kehendak sendiri. Yesus juga bersukacita apabila orang menerima khabar baik. (Luk. 10:21; Yoh. 4:34) Anda mungkin pernah membantu orang lain dan meraih sukacita. Jika anda membuat keputusan berdasarkan prinsip-prinsip yang diajar Yesus, anda pasti akan bersukacita serta menggembirakan hati Yehuwa.—Ams. 27:11.
11. Mengapakah Barukh hilang sukacita, dan apakah nasihat Yehuwa kepadanya?
11 Menyembah Yehuwa memberikan sukacita terbesar. (Ams. 16:20) Namun, setiausaha Yeremia, Barukh, hilang sukacita dalam khidmatnya kepada Tuhan. Dia mula mementingkan kehendak sendiri lebih daripada kehendak Tuhan. Yehuwa memberitahunya, “Adakah engkau ingin diistimewakan? Jangan, kerana Aku mendatangkan bencana kepada semua umat manusia. . . . Ke mana sahaja engkau pergi, engkau akan selamat dan tetap hidup.” (Yer. 45:3, 5) Barukh boleh memilih untuk menyenangkan diri sendiri atau melakukan kehendak Tuhan dan diselamatkan daripada pembinasaan Yerusalem. Pilihan manakah yang membuat Barukh lebih bahagia?—Yak. 1:12.
12. Apakah yang membantu Ramiro meraih sukacita?
12 Ramiro meraih sukacita kerana membantu orang lain. Dia berkata, “Keluarga saya miskin. Kami tinggal di kampung yang terletak di Pergunungan Andes. Saya berpeluang pergi ke universiti kerana abang rela membayar perbelanjaan saya. Tetapi saya baru dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Saya juga menerima tawaran untuk menginjil bersama seorang perintis di sebuah pekan kecil. Saya pergi ke sana, belajar cara gunting rambut, dan buka kedai potong rambut untuk membiayai kehidupan saya. Semasa menginjil, ramai yang memberi sambutan yang baik. Kemudian, saya bergabung dengan salah sebuah sidang baru dalam bahasa peribumi. Kini, saya sudah berkhidmat sepenuh masa selama 10 tahun. Tiada pekerjaan yang dapat memberi sukacita yang lebih besar selain daripada membantu orang menerima khabar baik dalam bahasa ibunda mereka.”
13. Mengapakah masa muda adalah masa yang terbaik untuk menyembah Yehuwa dengan sepenuhnya?
13 Nikmatilah khidmat kepada Yehuwa semasa muda. (Baca Pengkhutbah 12:1.) Anda tidak perlu berasa bahawa anda mesti mendapat pekerjaan yang baik terlebih dahulu sebelum berkhidmat kepada Yehuwa. Masa terbaik untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuhnya adalah semasa muda. Kebanyakan pemuda tidak memiliki banyak tanggungjawab keluarga. Mereka sihat dan bertenaga untuk mengatasi tugasan yang mencabar. Apakah yang anda ingin lakukan bagi Yehuwa semasa muda? Mungkin matlamat anda adalah merintis atau berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa asing. Anda mungkin ingin meluaskan khidmat di sidang sendiri. Tidak kira apa sahaja matlamat anda, perbelanjaan hidup harus dibiayai. Jadi apakah pekerjaan yang akan anda pilih, dan seberapa banyakkah latihan yang anda perlukan?
GUNAKAN PRINSIP BIBLE UNTUK MEMILIH DENGAN BIJAK
14. Mengapakah anda perlu berhati-hati semasa memilih pekerjaan?
14 Tiga prinsip Bible yang telah dibincangkan dapat membantu anda memilih pekerjaan yang sesuai. Guru penasihat, tawaran pekerjaan dalam surat khabar, serta kenalan mungkin dapat membantu anda mencari pekerjaan di tempat yang anda inginkan. Tetapi anda harus berhati-hati kerana orang yang tidak mengasihi Yehuwa mungkin menggalakkan anda untuk mengasihi dunia. (1 Yoh. 2:15-17) Semasa anda melihat tawaran dunia, hati anda mungkin terpedaya.—Baca Amsal 14:15; Yer. 17:9.
15, 16. Semasa memilih pekerjaan, siapakah yang dapat memberikan nasihat yang bijak?
15 Selepas mengetahui pekerjaan-pekerjaan yang dapat dipilih, anda memerlukan nasihat praktikal. (Ams. 1:5) Siapakah yang dapat membantu anda dengan menggunakan prinsip Bible? Dengarkanlah orang yang mengasihi Yehuwa, yang mengasihi anda, dan yang benar-benar mengenali anda serta mengetahui situasi anda. Mereka boleh membantu anda mengetahui kebolehan dan keinginan hati anda. Mungkin kata-kata mereka mendorong anda untuk mempertimbangkan semula haluan hidup anda. Bantuan daripada ibu bapa yang mengasihi Yehuwa adalah sangat baik. Penatua di sidang juga dapat memberikan nasihat yang baik. Tanyalah para perintis dan penyelia lawatan, mengapakah mereka memilih untuk berkhidmat sepenuh masa? Bagaimanakah mereka mula merintis? Bagaimanakah mereka menyara hidup? Bagaimanakah mereka diberkati?—Ams. 15:22.
16 Orang yang benar-benar mengenali anda dapat memberikan nasihat yang bijak. Contohnya, anda mungkin ingin berhenti sekolah dan mula merintis kerana tidak suka bersekolah. Seseorang yang mengasihi anda akan cuba memahami mengapa anda ingin berbuat demikian. Dia dapat membantu anda menyedari bahawa dengan terus bersekolah, anda dapat memupuk sikap tidak berputus asa. Sifat ini penting untuk menyembah Yehuwa.—Mzm. 141:5; Ams. 6:6-10.
17. Apakah pekerjaan yang harus kita elak?
17 Semua penyembah Yehuwa akan menghadapi situasi yang melemahkan iman dan menjauhkan mereka daripada Yehuwa. (1 Kor. 15:33; Kol. 2:8) Sesetengah pekerjaan mungkin lebih berbahaya secara rohani daripada pekerjaan lain. Anda mungkin melihat orang yang “iman mereka hancur” selepas memilih pekerjaan tertentu. (1 Tim. 1:19) Adalah bijak untuk mengelak daripada menerima pekerjaan yang menjejaskan hubungan anda dengan Yehuwa.—Ams. 22:3.
NIKMATILAH HIDUP SEBAGAI SEORANG KRISTIAN MUDA
18, 19. Jika seseorang tidak berhasrat untuk meluaskan khidmat kepada Yehuwa, apakah yang harus dia lakukan?
18 Jika anda ingin menyembah Yehuwa dengan tulus, gunakanlah setiap peluang yang diberikan-Nya semasa anda masih muda. Oleh itu, buatlah pilihan yang membolehkan anda berkhidmat kepada Tuhan sekarang.—Mzm. 148:12, 13.
19 Bagaimana pula jika anda tidak berhasrat untuk meluaskan khidmat kepada Yehuwa? Janganlah putus asa. Teruslah bina iman anda. Paulus menulis, ‘Tuhan sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya.’ (Flp. 2:13) Ingatlah bahawa Yehuwa mengasihi anda dan Dia memberikan nasihat yang terbaik. Biarlah Dia membantu anda untuk membuat pilihan yang terbaik sekarang, sementara anda masih muda.