Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menyembah Yehuwa Sebelum Masa Sengsara Tiba

Menyembah Yehuwa Sebelum Masa Sengsara Tiba

“Ingatlah Pencipta kamu.”—PKH. 12:1.

1, 2. (a) Apakah nasihat yang ditulis Salomo kepada orang muda? (b) Mengapakah orang Kristian yang berumur 50-an atau lebih juga harus memberikan perhatian kepada nasihat ini?

RAJA SALOMO diilhami untuk menulis kepada orang muda, “Ingatlah Pencipta kamu semasa kamu masih muda, sebelum masa sengsara tiba.” Apakah “masa sengsara” yang dimaksudkannya? Dalam bentuk puisi Salomo menggambarkan kesengsaraan usia tua—lengan yang gementar, kaki yang lemah, gigi yang sedikit, mata rabun, kurang pendengaran, rambut beruban, dan tubuh yang bongkok. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga masa itu tiba untuk berkhidmat kepada Yehuwa.—Baca Pengkhutbah 12:1-5.

2 Ramai orang Kristian yang berumur lebih daripada 50 tahun masih bertenaga. Mereka mungkin sudah beruban, tetapi belum lagi menghadapi masalah seperti yang ditulis Salomo. Adakah mereka masih dapat menerapkan nasihat yang ditujukan kepada orang muda, “Ingatlah Pencipta kamu”? Apakah maksud nasihat ini?

3. Bagaimanakah kita boleh mengingat Pencipta kita?

3 Anda mungkin sudah menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun. Namun, adalah baik untuk berfikir sejenak dari masa ke masa tentang keagungan Pencipta kita. Kehidupan merupakan suatu pemberian yang menakjubkan. Reka bentuk benda hidup amat rumit dan melampaui batas pemahaman manusia. Ciptaan Yehuwa yang beraneka ragam membolehkan kita menikmati kehidupan dalam banyak cara. Apabila merenungkan ciptaan-Nya, kita akan teringat akan kasih, kebijaksanaan, dan kuasa Yehuwa. (Mzm. 143:5) Pada masa yang sama, kita juga teringat akan kewajipan kita kepada-Nya. Merenungkan semua ini dapat meningkatkan penghargaan kita kepada Yehuwa. Maka, selagi kita masih hidup, kita ingin berkhidmat kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh.—Pkh. 12:13.

PELUANG ISTIMEWA DI KEMUDIAN HARI

4. Apakah soalan yang boleh ditanya oleh orang Kristian yang berpengalaman, dan mengapa?

4 Jika anda sudah menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun, tanyalah diri, “Sementara masih bertenaga, apakah yang boleh saya lakukan?” Sebagai seorang Kristian yang berpengalaman, anda memiliki peluang istimewa. Anda dapat mengongsi pengetahuan tentang Yehuwa kepada orang yang lebih muda. Anda juga dapat menggalakkan orang dengan menceritakan pengalaman anda semasa berkhidmat kepada Yehuwa. Raja Daud telah berdoa mengenai hal ini. Dia menulis, ‘Engkau telah mengajar aku sejak masa mudaku. Kini aku sudah tua dan rambutku pun beruban, jangan tinggalkan aku, ya Tuhan. Sertailah aku semasa aku mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-Mu kepada semua keturunan yang akan datang.’—Mzm. 71:17, 18, ABB.

5. Bagaimanakah orang Kristian yang lebih tua dapat mengongsi pengalaman atau hikmat mereka?

5 Bagaimanakah anda dapat mengongsi pengalaman atau hikmat yang telah anda kumpulkan selama bertahun-tahun? Bolehkah anda menjemput umat Tuhan yang muda ke rumah anda agar dapat menikmati pergaulan yang membina? Bolehkah anda menginjil bersama mereka dan menunjukkan bahawa anda menikmati khidmat kepada Yehuwa? Elihu berkata, “Biarlah yang sudah lanjut usia bercakap, dan yang lebih tua membahagikan hikmat.” (Ayb. 32:7) Rasul Paulus menggesa wanita Kristian yang matang untuk menggalakkan orang lain melalui kata-kata dan teladan. Dia menulis, “Wanita yang tua . . . mengajarkan apa yang baik.”—Tit. 2:3.

ANDA BERPOTENSI MEMBANTU ORANG

6. Mengapakah orang Kristian yang berpengalaman diperlukan?

6 Jika anda seorang Kristian yang berpengalaman, anda mempunyai potensi yang besar. Bandingkanlah pengetahuan anda sekarang dengan pengetahuan anda kira-kira 30 atau 40 tahun dahulu. Sekarang anda boleh menerapkan prinsip Bible dengan baik. Anda boleh mencapai hati orang semasa mengajar kebenaran Bible. Jika anda seorang penatua, anda tahu membantu mereka yang telah melakukan kesilapan. (Gal. 6:1) Anda juga mungkin tahu cara menyelia kegiatan sidang, perhimpunan, atau pembinaan Dewan Perjumpaan. Barangkali anda tahu cara meyakinkan para doktor untuk menggunakan kaedah rawatan yang tidak memerlukan darah. Walaupun anda baru dibaptis, anda juga mempunyai pengalaman yang bernilai. Contohnya, anda mungkin berpengalaman membesarkan anak. Maka, orang Kristian yang lebih tua berpotensi untuk menggalakkan, mengajar, membimbing, dan menguatkan saudara saudari. Bible berkata bahawa “hikmat” dan “pengertian ada pada orang tua.”—Ayb. 12:12-13.

7. Bagaimanakah orang Kristian yang lebih tua boleh mengajar mereka yang muda?

7 Bagaimanakah anda boleh menggunakan kebolehan anda untuk membantu orang lain? Mungkin anda boleh mengajar orang Kristian muda cara memulakan dan mengadakan pembelajaran Bible. Para saudari boleh membantu ibu muda untuk melakukan aktiviti rohani sementara membesarkan anak kecil. Para saudara pula boleh mengajar saudara yang lebih muda untuk menyampaikan ceramah dengan bersemangat dan menginjil dengan lebih mahir. Bolehkah anda mengajar mereka untuk melawat dan menggalakkan saudara saudari yang lanjut usia? Walaupun anda sudah berusia dan kurang bertenaga, anda masih mempunyai peluang istimewa untuk memberi tunjuk ajar kepada golongan muda. Firman Tuhan berkata, “Orang muda dikagumi kerana kekuatan, dan orang tua dihormati kerana uban.”—Ams. 20:29, ABB.

BERKHIDMAT DI TEMPAT YANG MEMERLUKAN BANTUAN

8. Apakah yang dilakukan Paulus semasa dia tua?

8 Walaupun sudah tua, rasul Paulus tetap sibuk berkhidmat kepada Yehuwa. Apabila dia dibebaskan dari penjara di Roma sekitar tahun 61 M, dia telah bekerja keras dan mengharungi banyak cabaran sebagai seorang mubaligh. Paulus boleh memilih untuk hidup senang di Roma dan menyebar di sana. (2 Kor. 11:23-27) Sememangnya, saudara-saudara di sana menghargai sokongan Paulus. Namun, Paulus sedar bahawa negara lain memerlukan lebih banyak bantuan. Maka, dia menyambung kerja mubalighnya bersama Titus dan Timotius. Mereka ke Efesus, Kreta, dan kemungkinan Makedonia. (1 Tim. 1:3; Tit. 1:5) Kita tidak tahu jika dia sampai ke Sepanyol atau tidak, tetapi dia telah merancang untuk ke sana.—Rm. 15:24, 28.

9. Bilakah Petrus berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Barangkali Petrus berumur lebih daripada 50 tahun semasa dia berpindah ke tempat yang lebih memerlukan bantuan. Bagaimanakah kita tahu? Petrus mungkin sebaya atau lebih tua sedikit daripada Yesus. Jadi apabila dia bertemu dengan para rasul di Yerusalem pada tahun 49 M, kemungkinan dia berumur kira-kira 50 tahun. (Kis. 15:7) Tidak lama kemudian, dia berpindah ke Babilon barangkali untuk menginjil kepada orang Yahudi di sana. (Gal. 2:9) Petrus telah diilhami untuk menulis suratnya yang pertama ketika dia di sana sekitar tahun 62 M. (1 Ptr. 5:13) Memang mencabar untuk berpindah ke negara asing apabila sudah tua. Namun, Petrus masih gembira berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.

10, 11. Ceritakan pengalaman sepasang suami isteri yang berpindah ke tempat yang lebih memerlukan bantuan.

10 Hari ini, ramai saudara saudari yang mencecah umur 50-an memperluaskan khidmat mereka kepada Yehuwa. Ada yang berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan. Contohnya, Robert menulis, “Saya dan isteri berumur pertengahan 50-an ketika menyedari peluang yang terbuka bagi kami. Anak lelaki kami sudah tinggalkan rumah, dan kami tidak perlu menjaga ibu bapa yang tua.” Mereka menerima sedikit warisan dan menyedari bahawa jika mereka menjual rumah, mereka mempunyai wang yang secukupnya untuk membayar hutang dan membiayai perbelanjaan sehingga Robert menerima pencen. Mereka terdengar bahawa banyak orang di Bolivia mahu belajar Bible dan kos kehidupan di sana rendah. Jadi, mereka berpindah ke sana. Robert berkata, “Menyesuaikan diri di tempat baru tidak mudah. Semuanya berbeza daripada kehidupan kami di Amerika Utara. Tetapi usaha kami telah diberkati.”

11 Robert menambah, “Kehidupan kami tertumpu pada kegiatan rohani. Beberapa orang yang belajar Bible bersama kami telah dibaptis. Kami belajar Bible dengan sebuah keluarga yang hidup dengan sangat sederhana. Mereka tinggal di sebuah kampung yang jauh dari Dewan Perjumpaan. Setiap minggu, keluarga itu menempuh perjalanan yang mencabar untuk menghadiri perjumpaan di pekan. Bolehkah anda bayangkan sukacita kami sewaktu melihat hasil kemajuan rohani keluarga ini dan anak sulung mereka menjadi perintis?”

KEPERLUAN DI KAWASAN PENYEBARAN BAHASA ASING

12, 13. Ceritakan pengalaman Brian setelah dia bersara.

12 Kumpulan dan sidang bahasa asing boleh menerima banyak manfaat daripada saudara saudari yang lebih tua. Selain itu, bekerja di kawasan penyebaran bahasa asing boleh membawa sukacita. Misalnya, Brian menulis, “Saya dan isteri mempunyai kehidupan yang membosankan di Britain selepas persaraan saya pada umur 65 tahun. Semua anak kami tidak lagi tinggal bersama kami, dan kami jarang jumpa orang yang berminat untuk belajar Bible. Kemudian, saya bertemu dengan seorang pemuda Cina yang membuat penyelidikan di universiti tempatan. Dia menerima jemputan untuk hadir ke perjumpaan, dan saya mula mengajar Bible kepadanya. Selepas beberapa minggu, dia membawa rakan sekerjanya yang juga berbangsa Cina ke perjumpaan. Dua minggu kemudian, dia membawa dua orang rakan, dan kemudian membawa tiga orang rakan.”

13 “Apabila rakannya yang keempat meminta untuk belajar Bible, saya berfikir, ‘Hanya kerana saya berumur 65 tahun, tidak bermaksud saya bersara daripada khidmat kepada Yehuwa.’ Jadi saya tanya isteri saya yang berumur dua tahun lebih muda, jika dia sudi belajar bahasa Cina. Kami belajar daripada kursus bahasa dalam bentuk rakaman kaset audio. Sekarang, 10 tahun sudah berlalu. Menginjil di kawasan penyebaran bahasa asing membuat kami berasa muda semula. Selama ini, kami sudah belajar Bible dengan 112 orang Cina! Kebanyakan mereka pernah menghadiri perjumpaan, dan salah seorang sudah menjadi perintis.”

Walaupun sudah tua, anda masih dapat memperluaskan khidmat kepada Yehuwa (Lihat perenggan 12, 13)

NIKMATI APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN

14. Apakah yang perlu diingat oleh orang Kristian yang lebih tua? Bagaimanakah teladan Paulus menggalakkan mereka?

14 Ramai orang Kristian yang mencecah umur 50-an dapat memperluaskan khidmat kepada Yehuwa. Tetapi ada yang tidak mampu mungkin kerana masalah kesihatan. Ada juga yang perlu menjaga ibu bapa yang lanjut usia atau anak yang masih tinggal serumah. Namun, janganlah lupa bahawa Yehuwa menghargai segala yang anda lakukan bagi-Nya. Walaupun anda kecewa dengan situasi anda, cubalah nikmati apa yang anda dapat lakukan. Fikirlah tentang Paulus. Selama bertahun-tahun dia ditahan di rumahnya dan tidak dapat keluar menginjil. Namun setiap kali orang melawatnya, Paulus berkongsi tentang Firman Tuhan dan membina iman mereka.—Kis. 28:16, 30, 31.

15. Mengapakah orang Kristian tua sangat dihargai?

15 Yehuwa juga menghargai khidmat orang Kristian yang lanjut usia. Salomo setuju bahawa berkhidmat kepada Yehuwa pada “masa sengsara” tidaklah mudah. Namun Bible memberitahu kita bahawa Yehuwa memerhatikan orang Kristian tua yang memuji-Nya. (Luk. 21:2-4) Orang Kristian tua yang sudah lama berkhidmat kepada Yehuwa merupakan teladan yang baik kepada sidang.

16. Apakah yang tidak dapat dilakukan oleh Hana? Namun, apakah yang dapat dia lakukan untuk menyembah Tuhan?

16 Bible menceritakan tentang seorang balu yang bernama Hana. Dia terus memuji Yehuwa walaupun sudah tua. Hana berusia kira-kira 84 tahun semasa Yesus dilahirkan. Oleh sebab dia sudah tua, dia mungkin tidak berpeluang menjadi pengikut Kristus, diurapi daya aktif Tuhan, atau menginjil. Namun Hana menikmati khidmatnya kepada Tuhan dalam cara lain. Contohnya, ‘Dia tidak pernah meninggalkan Rumah Tuhan. Siang malam dia beribadat kepada Tuhan.’ (Luk. 2:36, 37) Semasa imam membakar kemenyan setiap pagi dan petang, Hana berada di sana berserta orang lain dan berdoa kepada Tuhan sekitar setengah jam. Apabila dia nampak Yesus yang masih bayi, ‘Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Tuhan membebaskan Yerusalem.’—Luk. 2:38.

17. Bagaimanakah kita dapat membantu orang Kristian yang sudah tua atau sakit untuk menikmati ibadat sejati?

17 Hari ini, kita harus membantu orang Kristian yang tua atau sakit. Ada di antara mereka yang sangat ingin menghadiri perjumpaan atau perhimpunan, namun mereka tidak mampu berbuat demikian. Di sesetengah sidang, mereka mungkin dapat menikmati perjumpaan melalui talian telefon. Namun hal ini tidak dapat dilakukan di setiap tempat. Walaupun orang Kristian yang sudah tua tidak dapat pergi ke perjumpaan, mereka masih dapat menyokong ibadat sejati. Misalnya, mereka dapat berdoa demi kemajuan sidang.—Baca Mazmur 92:14, 15.

18, 19. (a) Bagaimanakah orang Kristian tua dapat menggalakkan orang lain? (b) Siapakah yang boleh menerapkan nasihat Bible, “Ingatlah Pencipta kamu”?

18 Orang Kristian tua mungkin tidak sedar bahawa mereka dapat menggalakkan orang lain. Contohnya, selama bertahun-tahun Hana selalu ke Rumah Tuhan untuk beribadat. Dia mungkin tidak sedar bagaimana teladannya menggalakkan orang hari ini. Kasih Hana terhadap Yehuwa terungkap dalam lembaran Bible. Begitu juga, kasih anda terhadap Tuhan mampu menyentuh hati saudara saudari. Oleh itu, Firman Tuhan menyatakan, “Uban orang yang berjalan dalam haluan yang benar bagaikan mahkota yang indah di kepalanya.”—Ams. 16:31, NW.

19 Kita semua ingin memperluaskan lagi khidmat kita kepada Yehuwa, tetapi kita mungkin terbatas. Namun bagi mereka yang masih bertenaga, bertekadlah untuk ‘mengingat Pencipta kamu sebelum masa sengsara tiba.’—Pkh. 12:1.