Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

Iman Selama 100 Tahun

Iman Selama 100 Tahun

“Itu benar-benar seperti Saudara Russell!”—Penonton “Drama-Foto” pada tahun 1914.

TAHUN ini ialah ulang tahun ke-100 “Drama-Foto Penciptaan,” sebuah tayangan gambar menakjubkan yang bertujuan untuk membina iman terhadap Bible sebagai Firman Tuhan. Pada zaman dahulu, iman orang ramai merosot kerana ajaran evolusi, kritikan terhadap Bible, dan keraguan. “Drama-Foto” ini menyanjung Yehuwa sebagai Pencipta.

Charles T. Russell yang mengambil pimpinan di antara Pelajar Bible, selalu mencari cara yang paling pantas dan berkesan untuk menyebarkan kebenaran Bible. Para Pelajar Bible sudah pun menggunakan bahan cetakan selama lebih daripada tiga dekad. Kini, satu cara baru menarik perhatian mereka: tayangan gambar bergerak.

MENGINJIL MENERUSI WAYANG GAMBAR

Pada 1890-an, wayang gambar tanpa suara diperkenalkan. Seawal 1903, filem keagamaan telah ditayangkan di gereja Bandar Raya New York. Maka, industri wayang gambar baru sahaja bermula apabila Russell dengan berani memulakan persiapan untuk “Drama-Foto” pada tahun 1912. Dia sedar bahawa melalui kaedah ini, kebenaran Bible dapat disampaikan dalam cara yang lebih berkesan daripada bahan cetakan.

“Drama-Foto” yang panjangnya lapan jam ditayangkan dalam empat bahagian. Tayangan ini mengandungi 96 rakaman ceramah Bible singkat yang disampaikan oleh seorang pengulas yang terkenal pada masa itu. Banyak adegan disertai muzik klasik. Pengendali yang mahir memainkan rakaman suara daripada peti nyanyi dan menyelaraskannya dengan slaid berwarna serta tayangan kisah Bible yang dilakonkan semula.

“Tayangan ini merangkumi gambar-gambar tentang penciptaan bintang hingga ke kemuncak Pemerintahan Seribu Tahun Kristus.” —F. Stuart Barnes, yang berumur 14 tahun pada 1914

Kebanyakan filem dan slaid yang diperbuat daripada kaca disediakan oleh syarikat swasta. Setiap slaid dan filem merupakan hasil kerja tangan seniman di bandar Philadelphia, New York, Paris, dan London. Ahli Bethel dari Bahagian Seni juga melukis slaid untuk menggantikan slaid-slaid yang rosak. Tambahan pula, ahli keluarga Bethel merakamkan adegan Abraham, Ishak, dan malaikat yang menghalang Abraham daripada membunuh Ishak. Rakaman ini dibuat di bandar Yonkers, New York.—Kej. 22:9-12.

Pengendali yang terlatih menyelaraskan pita filem yang panjangnya 3.2 km, 26 rakaman peti nyanyi, dan kira-kira 500 slaid

Seorang rakan Saudara Russell memberitahu akhbar bahawa “Drama-Foto” ini akan “membangkitkan minat ribuan orang terhadap Bible, lebih daripada apa yang [telah] dilakukan oleh agama-agama lain pada masa lalu.” Adakah pemimpin agama menyokong usaha yang kreatif ini untuk mencapai orang yang kehausan secara rohani? Tidak. Sebaliknya, mereka mengutuk “Drama-Foto” tersebut. Ada yang secara licik atau terang-terang menghalang orang daripada menontonnya. Semasa satu tayangan, bekalan elektrik dipotong oleh pihak gereja.

Saudari-saudari dari sidang tempatan mengedarkan jutaan salinan percuma buku kecil yang mengandungi gambar-gambar “Drama-Foto”

Hadirin juga menerima lencana “Pax” dengan gambar Yesus yang muda. Lencana ini mengingatkan orang yang memakainya untuk menjadi “anak kedamaian”

Walaupun demikian, ramai orang memenuhi panggung untuk menonton “Drama-Foto” dengan percuma. Setiap hari, 80 bandar menayangkan “Drama-Foto” di Amerika Syarikat. Ramai orang berasa kagum kerana inilah pertama kalinya mereka menonton wayang gambar yang disertai bunyi. Kaedah fotografi selang masa membolehkan mereka menonton anak ayam menetas dari telur dan sekuntum bunga yang sedang mekar. Maklumat-maklumat sains ini menyerlahkan hikmat Yehuwa. Setelah melihat Saudara Russell di dalam permulaan “Drama-Foto,” seorang penonton berkata, “Itu benar-benar seperti Saudara Russell!”

PENCAPAIAN DALAM PENDIDIKAN BIBLE

“Drama-Foto” mula ditayangkan pada 11 Januari 1914 di sebuah panggung di Bandar Raya New York yang dimiliki dan diurus oleh Persatuan Pelajar Bible Antarabangsa

Tim Dirks, seorang pengarang dan sejarawan filem menjelaskan bahawa “Drama-Foto” ini merupakan “tayangan besar pertama yang menggabungkan bunyi (suara yang dirakam), gambar bergerak, dan slaid berwarna.” Tayangan lain sebelum “Drama-Foto” pernah menggunakan beberapa kaedah ini tetapi tidak menggabungkan semuanya dalam satu tayangan, lebih-lebih lagi filem yang bertemakan Bible. Selain itu, tiada tayangan lain yang mencapai penonton yang berjumlah sekitar sembilan juta orang di serata Amerika Utara, Eropah, Australia, dan New Zealand dalam tahun pertama sahaja!

“Drama-Foto” mula ditayangkan pada 11 Januari 1914, di Bandar Raya New York. Tujuh bulan kemudian, berlakulah Perang Dunia Pertama. Namun, ramai orang di seluruh dunia masih berkumpul untuk menonton “Drama-Foto” dan mendapat kelegaan daripada adegan yang menunjukkan berkat yang akan dicurahkan oleh Kerajaan Tuhan. Sememangnya, “Drama-Foto” merupakan tayangan yang hebat pada tahun 1914.

Dua puluh set “Drama-Foto” digunakan oleh kumpulan-kumpulan pengendali di seluruh Amerika Utara