Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Mengekalkan Semangat Rela Berkorban

Cara Mengekalkan Semangat Rela Berkorban

‘Jika seseorang hendak mengikut aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri.MAT. 16:24.

1. Bagaimanakah Yesus menunjukkan semangat rela berkorban?

SEMASA di bumi, Yesus menunjukkan semangat rela berkorban dengan sempurna. Dia sentiasa mengetepikan keinginan dan keselesaan diri supaya dapat melakukan kehendak Tuhan. (Yoh. 5:30) Dengan tetap taat kepada Tuhan sehingga akhir hayat, Yesus membuktikan bahawa semangat rela berkorbannya tidak terbatas.Flp. 2:8.

2. Bagaimanakah kita dapat memperlihatkan semangat rela berkorban? Mengapakah kita harus memperlihatkan sifat ini?

2 Sebagai pengikut Yesus, kita juga perlu memperlihatkan semangat rela berkorban. Apakah maksud rela berkorban? Hal ini bermaksud seseorang rela mengetepikan kepentingan diri agar dapat membantu orang lain. Sifat ini bertentangan dengan sifat mementingkan diri. (Mat. 16:24) Sifat ini juga membantu kita untuk mengutamakan kepentingan orang lain, dan bukannya perasaan atau kehendak sendiri. (Flp. 2:3, 4) Sebenarnya, Yesus mengajar bahawa sifat tidak mementingkan diri amat penting dalam ibadat kita. Mengapa? Kerana semangat rela berkorban didorong oleh kasih yang merupakan tanda pengenal pengikut Yesus yang sejati. (Yoh. 13:34, 35) Selain itu, fikirkanlah berkat yang kita nikmati kerana menjadi sebahagian daripada persaudaraan sedunia yang memperlihatkan semangat rela berkorban!

3. Apakah yang boleh melemahkan semangat rela berkorban kita?

3 Namun terdapat satu musuh yang boleh melemahkan semangat rela berkorban kita, iaitu sifat mementingkan diri. Sifat inilah yang menyebabkan Hawa ingin menjadi seperti Tuhan. Adam pula ingin menyenangkan hati isterinya lebih daripada Yehuwa. Hal ini menunjukkan bahawa dia mementingkan diri. (Kej. 3:6) Selepas memperdaya Adam dan Hawa untuk meninggalkan ibadat sejati, Syaitan terus menggoda orang untuk memupuk sifat mementingkan diri. Malah, dia juga cuba menggoda Yesus melalui cara ini. (Mat. 4:1-9) Hari ini, Syaitan telah berjaya memperdaya banyak orang dan mereka menunjukkan sifat mementingkan diri dalam pelbagai cara. Kita harus berwaspada supaya tidak dipengaruhi.

4. (a) Dapatkah kita menyingkirkan kecenderungan untuk mementingkan diri dengan sepenuhnya? Jelaskan. (b) Apakah soalan yang akan dibincangkan?

4 Sifat mementingkan diri boleh disamakan dengan karat pada besi. Jika terdedah kepada air dan udara, besi akan berkarat. Keadaan ini amat berbahaya kerana karat yang merebak boleh menyebabkan sebuah bangunan runtuh. Begitu juga, walaupun kita tidak dapat menyingkirkan ketidaksempurnaan dan sifat mementingkan diri dengan sepenuhnya, kita mesti berwaspada dan terus melawan sifat buruk ini. (1 Kor. 9:26, 27) Bagaimanakah kita dapat mengenal pasti jika kita memiliki sifat mementingkan diri? Bagaimanakah kita dapat memupuk sikap rela berkorban?

GUNAKAN BIBLE UNTUK MEMERIKSA DIRI

5. (a) Mengapakah Bible seperti cermin? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Semasa memeriksa diri, apakah yang harus kita elakkan?

5 Sepertimana cermin digunakan untuk melihat penampilan kita, Bible boleh digunakan untuk memeriksa keperibadian kita dan membetulkan kelemahan yang dijumpai. (Baca Yakobus 1:22-25.) Namun, cermin hanya dapat membantu jika kita menggunakannya dengan betul. Misalnya, jika kita melihat cermin sekilas pandang, kita mungkin tidak nampak masalah yang kecil tetapi serius. Atau, jika kita melihat cermin dari sudut tertentu, kita mungkin melihat imej orang lain. Begitu juga, semasa memeriksa diri, kita tidak harus membaca Bible sambil lewa atau menggunakannya untuk mencari kesalahan orang lain.

6. Bagaimanakah kita boleh terus ‘mendalami hukum Tuhan yang sempurna’?

6 Kita mungkin membaca Firman Tuhan setiap hari, tetapi masih tidak menyedari bahawa sifat mementingkan diri sedang berakar di hati. Mengapa? Cuba fikirkan, dalam perumpamaan Yakobus, orang itu “menatap dirinya baik-baik.” Di sini, Yakobus menggunakan perkataan Yunani yang membawa maksud melihat dengan teliti. Namun, masalah orang itu ialah dia “pergi dan langsung lupa akan rupanya.” Ya, dia pergi tanpa melakukan apa-apa. Sebaliknya, orang yang ‘mendalami hukum Tuhan yang sempurna’ dan juga “melakukannya” akan berjaya. Dia tidak melupakan hukum Tuhan, tetapi terus mengikuti ajaran Bible. Yesus pernah berkata, ‘Jika kamu taat kepada ajaranku, kamu benar-benar pengikutku.’

7. Bagaimanakah kita boleh menggunakan Bible untuk mengenal pasti kelemahan diri?

7 Untuk melawan sifat mementingkan diri, kita harus membaca Firman Tuhan dengan teliti. Hal ini boleh membantu kita mengenal pasti kelemahan diri. Kemudian kita perlu membuat penyelidikan yang mendalam. Selepas memahami suatu kisah Bible, tanyalah diri, “Dalam keadaan tersebut, apakah yang akan saya lakukan? Adakah saya akan melakukan perkara yang betul?” Yang penting sekali, kita harus menerapkan apa yang dipelajari selepas membuat perenungan. (Mat. 7:24, 25) Sekarang, fikirkan bagaimana kita boleh memupuk semangat rela berkorban melalui kisah Raja Saul dan rasul Petrus.

CONTOH BURUK RAJA SAUL

8. Apakah sikap Saul apabila dia baru dilantik sebagai raja? Bagaimanakah dia menunjukkannya?

8 Contoh Raja Saul menunjukkan bahawa sifat mementingkan diri boleh melemahkan semangat rela berkorban. Semasa Saul mula menjadi raja, dia bersikap sederhana dan rendah hati. (1 Sam. 9:21) Sewaktu dihina oleh orang Israel, Raja Saul tidak menghukum mereka walaupun dia berkuasa untuk berbuat demikian. (1 Sam. 10:27) Semasa berperang dengan orang Amon, Raja Saul mengikut bimbingan daya aktif Tuhan. Kemudian, dia memuji Yehuwa atas kemenangannya.1 Sam. 11:6, 11-13.

9. Bagaimanakah Saul dipengaruhi oleh sifat mementingkan diri?

9 Kemudian, Saul dipengaruhi oleh sifat mementingkan diri dan keangkuhan, sama seperti besi yang dirosakkan oleh karat. Semasa mengalahkan orang Amalek, dia mengutamakan keinginan sendiri dan bukannya kehendak Yehuwa. Dengan tamak, Saul menjarah harta orang Amalek dan tidak mengikut perintah Tuhan untuk memusnahkannya. Keangkuhan juga mendorong Saul untuk membina tugu bagi dirinya. (1 Sam. 15:3, 9, 12) Nabi Samuel memberitahu Saul bahawa dia mengecewakan Yehuwa. Namun, Saul membela diri dengan menyatakan sesetengah perintah yang dia patuhi. Dia juga menyalahkan orang lain atas kesilapannya. (1 Sam. 15:16-21) Oleh sebab dia angkuh, dia tidak mengutamakan perkenan Tuhan tetapi lebih mementingkan air muka sendiri. (1 Sam. 15:30) Bagaimanakah kita boleh menggunakan kisah Saul sebagai cermin untuk membantu kita mengekalkan semangat rela berkorban?

10, 11. (a) Menerusi kisah Saul, apakah yang boleh kita pelajari tentang cara mengekalkan semangat rela berkorban? (b) Bagaimanakah kita memastikan bahawa kita tidak mengikut teladan buruk Saul?

10 Pertama, kisah Saul menunjukkan bahawa kita tidak boleh terlalu yakin pada diri sendiri. Kita tidak dilahirkan dengan semangat rela berkorban. Maka kita harus selalu berusaha untuk memperlihatkan sikap baik ini. (1 Tim. 4:10) Ingat, pada mulanya, Saul ialah seorang yang baik dan diperkenankan Tuhan. Namun dia tidak melawan kecenderungan untuk mementingkan diri. Akhirnya, Yehuwa terpaksa menolak Saul yang tidak taat.

11 Kedua, kita harus berhati-hati supaya tidak hanya bertumpu pada sifat-sifat baik dalam diri sendiri lalu mengabaikan sifat-sifat lain yang perlu diperbaiki. Hal ini seperti menggunakan cermin untuk melihat pakaian baru tetapi tidak menyedari bahawa terdapat kekotoran pada muka sendiri. Walaupun kita tidak mengikut jejak Saul, kita harus mengelak apa sahaja kecenderungan buruk yang mungkin menjadikan kita sepertinya. Jika kita diberi nasihat, janganlah cuba membela diri, meremehkan kesilapan kita, atau menyalahkan orang lain. Sebaliknya, kita harus sudi menerima nasihat dan tidak mengikut teladan buruk Saul.Baca Amsal 25:12.

12. Bagaimanakah semangat rela berkorban dapat membantu kita selepas melakukan dosa serius?

12 Bagaimana pula jika kita telah melakukan dosa serius? Saul tidak pulih secara rohani kerana dia terlalu mementingkan reputasinya. Sebaliknya, semangat rela berkorban dapat membantu kita mengatasi perasaan malu serta mendapatkan bantuan yang diperlukan. (Ams. 28:13; Yak. 5:14-16) Contohnya, seorang saudara telah menonton pornografi sejak berumur 12 tahun. Dia meneruskan tabiat buruk ini secara bersembunyi untuk lebih daripada 10 tahun. Katanya, “Saya berasa sangat susah untuk mengaku kepada isteri dan para penatua. Tetapi selepas mengakui dosa, saya berasa seperti dibebaskan daripada beban yang besar. Beberapa kawan saya berasa kecewa apabila saya diberhentikan daripada menjadi pembantu sidang. Namun saya tahu bahawa Yehuwa memperkenankan khidmat saya sekarang lebih daripada dulu semasa saya masih melihat pornografi. Pandangan Yehuwalah yang terpenting.”

CONTOH BAIK PETRUS

13, 14. Bagaimanakah Petrus menunjukkan sifat mementingkan diri?

13 Rasul Petrus menunjukkan semangat rela berkorban semasa dilatih oleh Yesus. (Luk. 5:3-11) Namun, dia perlu melawan sifat mementingkan diri. Misalnya, dia naik marah apabila Yakobus dan Yohanes meminta Yesus untuk kedudukan tinggi dalam Kerajaan Tuhan. Petrus mungkin berasa bahawa kedudukan itu miliknya, memandangkan Yesus pernah memberitahu Petrus bahawa dia akan memainkan peranan yang istimewa. (Mat. 16:18, 19; 20:20-23) Walaupun begitu, Yesus menegur Yakobus dan Yohanes, termasuk Petrus dan rasul-rasul yang lain supaya tidak mementingkan diri dan “menindas” saudara-saudara mereka.Mrk. 10:35-45.

14 Walaupun Yesus cuba membetulkan pandangan Petrus, Petrus masih bergelut dengan sikap mementingkan diri. Apabila Yesus memberitahu para rasulnya bahawa mereka akan meninggalkannya untuk seketika, Petrus meninggikan dirinya dan mendakwa bahawa hanya dia akan tetap setia. (Mat. 26:31-33) Dia tidak sepatutnya terlalu yakin pada diri sendiri. Pada malam yang sama dia gagal menunjukkan semangat rela berkorban. Petrus menyangkal Yesus tiga kali kerana ingin melindungi dirinya.Mat. 26:69-75.

15. Secara keseluruhannya, mengapakah contoh Petrus menggalakkan?

15 Walaupun Petrus gagal beberapa kali, teladannya menggalakkan kita. Dengan mencurahkan usaha dan mengikut bimbingan daya aktif Tuhan, Petrus berjaya mengatasi kecenderungan yang salah. Dia dapat menunjukkan kawalan diri dan semangat rela berkorban. (Gal. 5:22, 23) Dia kemudiannya mengharungi cabaran yang lebih hebat. Petrus rendah hati apabila Paulus menegurnya di depan ramai orang. (Gal. 2:11-14) Petrus tidak berdendam atau berasa bahawa teguran Paulus menjejaskan kedudukannya. Dia terus mengasihi Paulus. (2 Ptr. 3:15) Contoh Petrus dapat membantu kita untuk memupuk semangat rela berkorban.

Apakah reaksi Petrus selepas ditegur? Adakah kita akan meniru teladannya? (Lihat perenggan 15)

16. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan semangat rela berkorban semasa menghadapi masalah?

16 Apakah reaksi anda ketika menghadapi masalah? Semasa Petrus dan rasul-rasul lain dipenjarakan dan dipukul kerana menginjil, mereka bersukacita untuk “menanggung hukuman bagi Yesus.” (Kis. 5:41) Anda juga boleh memandang penganiayaan sebagai peluang untuk mengikut jejak Yesus dan menunjukkan semangat rela berkorban. (Baca 1 Petrus 2:20, 21.) Sikap sebegini juga dapat membantu anda semasa menerima disiplin daripada para penatua. Oleh itu, ikutlah teladan Petrus dan jangan berasa tersinggung.Pkh. 7:9.

17, 18. (a) Apakah soalan yang dapat kita tanya berkenaan matlamat rohani? (b) Jika kita mendapati bahawa kita memiliki sifat mementingkan diri, apakah yang boleh kita lakukan?

17 Mengenai matlamat rohani, anda juga dapat belajar daripada contoh Petrus. Semasa mengejar matlamat rohani, perlihatkanlah semangat rela berkorban. Jangan mengutamakan kedudukan tinggi. Maka, tanyalah diri, “Mengapakah saya ingin memperluaskan khidmat saya kepada Yehuwa? Adakah saya menginginkan pujian atau kedudukan tinggi seperti yang diinginkan Yakobus dan Yohanes?”

18 Jika hati anda cenderung mementingkan diri, janganlah berhenti mengejar matlamat rohani. Sebaliknya, mintalah bantuan Yehuwa untuk membetulkan pandangan dan perasaan anda. Kemudian, berusahalah untuk bertumpu pada kemuliaan Yehuwa dan bukannya kemuliaan sendiri. (Mzm. 86:11) Anda boleh cuba mengejar matlamat rohani yang tidak menarik perhatian pada diri sendiri. Misalnya, berusahalah untuk memupuk semua buah daya aktif Tuhan. Jika anda rajin membuat persiapan untuk perjumpaan tetapi kurang berminat dalam pembersihan Dewan Perjumpaan, anda boleh menetapkan matlamat untuk menerapkan nasihat di Roma 12:16.—Baca.

19. Apakah yang dapat kita lakukan supaya tidak kecewa dengan apa yang kita lihat dalam cermin Firman Tuhan?

19 Semasa menatap diri dengan teliti di dalam cermin Firman Tuhan, kita mungkin melihat kelemahan seperti sifat mementingkan diri. Kita mungkin berasa kecewa. Jika hal ini terjadi, fikirkanlah perumpamaan Yakobus. Yakobus tidak menekankan bahawa orang tersebut dapat segera membetulkan kesilapannya atau dapat membetulkan semua kesilapannya. Sebaliknya dia terus “mendalami hukum” Tuhan. (Yak. 1:25) Dia ingat apa yang dilihatnya dalam cermin dan berusaha untuk memperbaikinya. Ya, pandanglah diri dalam cara yang positif. Ingatlah bahawa kita semua tidak sempurna. (Baca Pengkhutbah 7:20.) Teruslah mendalami hukum Tuhan dan berusaha untuk mengekalkan semangat rela berkorban. Yehuwa rela membantu anda sepertimana Dia membantu saudara saudari yang lain. Mereka juga tidak sempurna, tetapi mereka masih mendapat perkenan dan berkat Yehuwa.