Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tirulah Iman Musa

Tirulah Iman Musa

“Kerana beriman, Musa sesudah menjadi dewasa, tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir.”IBR. 11:24, ABB.

1, 2. (a) Apakah keputusan Musa semasa berumur 40 tahun? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah Musa memilih untuk menderita bersama umat Tuhan?

MUSA tahu akan tawaran-tawaran di Mesir. Dia dikelilingi rumah yang besar dan mewah. Dia dibesarkan oleh keluarga diraja dan diajar “segala ilmu bangsa Mesir” seperti ilmu seni, ilmu kaji bintang, matematik, dan ilmu sains yang lain. (Kis. 7:22) Musa berpeluang memiliki kekayaan, kuasa, dan kedudukan yang diidamkan rakyat biasa.

2 Namun, pada usia 40 tahun, Musa membuat keputusan yang menghairankan keluarga angkatnya di Mesir. Dia ingin hidup bersama hamba-hamba Israel. Mengapa? Musa memiliki iman. (Baca Ibrani 11:24-26.) Kerana beriman, Musa seolah-olah dapat melihat Tuhan “yang tidak kelihatan” dan yakin akan janji-Nya.Ibr. 11:27.

3. Apakah tiga soalan yang akan dijawab dalam rencana ini?

3 Seperti Musa, kita perlu beriman untuk melihat Yehuwa dan bukan melihat tawaran dunia sahaja. (Ibr. 10:38, 39) Untuk membantu kita menguatkan iman, kita akan membincangkan Ibrani 11:24-26 mengenai Musa. Maka, carilah jawapan bagi soalan-soalan ini: Bagaimanakah iman mendorong Musa untuk menolak keinginan berdosa? Semasa dihina, bagaimanakah iman membantunya untuk menghargai khidmatnya? Akhir sekali, mengapakah Musa sangat “mengharapkan pahala [ganjaran] pada masa yang akan datang”?

DIA MENOLAK KEINGINAN BERDOSA

4. Apakah yang Musa sedar tentang “kesenangan hidup berdosa”?

4 Dengan penuh iman, Musa sedar bahawa “kesenangan hidup berdosa” hanya sementara waktu. Sesetengah orang mungkin berfikir bahawa Mesir yang penuh dengan berhala dan spiritisme dapat menjadi kuasa dunia, manakala umat Yehuwa hanya menderita sebagai hamba! Namun, Musa percaya bahawa Yehuwa dapat mengubah keadaan ini. Meskipun orang yang hidup menurut keinginan berdosa seolah-olah maju, Musa yakin bahawa orang jahat akan lenyap. Oleh itu, dia tidak dipengaruhi oleh “kesenangan hidup berdosa untuk sementara waktu.”

5. Apakah yang dapat membantu kita menolak “kesenangan hidup berdosa”?

5 Bagaimanakah anda dapat menolak “kesenangan hidup berdosa”? Jangan lupa bahawa kesenangan hidup berdosa hanya “sementara waktu.” Iman akan membantu anda menyedari bahawa “dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal.” (1 Yoh. 2:15-17) Renungkan masa depan orang berdosa yang tidak ingin bertaubat. Bible berkata bahawa mereka berada di “tempat-tempat yang licin . . . sungguh dahsyat kesudahan mereka.” (Mzm. 73:18, 19) Sewaktu digoda untuk melakukan dosa, fikirkan, “Adakah saya ingin masa depan yang baik atau buruk?”

6. (a) Mengapakah Musa “tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir”? (b) Mengapakah Musa telah membuat keputusan yang bijak?

6 Iman juga membantu Musa memilih kerjaya terbaik. “Kerana beriman, Musa sesudah menjadi dewasa, tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir.” (Ibr. 11:24, ABB) Musa tidak mencari alasan untuk mengekalkan kedudukannya di istana dan kemudian menyembah Yehuwa serta membantu orang Israel dengan menggunakan kedudukan dan kekayaannya. Sebaliknya, Musa bertekad untuk mengasihi Yehuwa dengan segenap hati, jiwa, dan tenaga. (Ul. 6:5) Keputusannya telah melindunginya. Akhirnya, kebanyakan daripada harta Mesir dijarah oleh bangsa Israel. (Kel. 12:35, 36) Firaun dimalukan dan dihukum mati. (Mzm. 136:15) Namun, Tuhan melindungi Musa dan mengutusnya untuk menyelamatkan bangsa Israel. Sememangnya, kehidupan Musa amat bermakna.

7. (a) Menurut Matius 6:19-21, mengapakah kita harus mengejar masa depan yang kekal? (b) Ceritakan sebuah pengalaman yang menunjukkan perbezaan antara harta dunia dengan harta rohani.

7 Jika anda masih muda, adalah bijak untuk merancang masa depan. Bagaimanakah iman dapat membantu anda memilih kerjaya? Adakah anda akan mengejar masa depan yang sementara atau kekal? (Baca Matius 6:19-21.) Perhatikan pengalaman Sophie, seorang penari yang berbakat. Dia ditawarkan biasiswa dan kerjaya yang diidamkan. Dia berkata, “Adalah menyeronokkan apabila dipuja. Malah, saya berasa lebih hebat daripada rakan sebaya. Tetapi saya tidak gembira.” Kemudian, Sophie menonton sebuah video berkenaan kaum muda (Young People Ask—What Will I Do With My Life?) dan sedar bahawa kejayaan dan kemasyhuran menghindarinya daripada menyembah Yehuwa dengan segenap hati. Dia berkata, “Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh, lalu meninggalkan kerjaya saya.” Apakah perasaannya selepas itu? “Saya tidak rindu kehidupan yang dahulu. Sekarang, saya merintis bersama suami dan berasa gembira 100 peratus. Kami tidak terkenal dan tidak kaya. Namun, kami menyembah Yehuwa, dan memiliki pelajar Bible serta matlamat rohani. Saya langsung tidak menyesal.”

8. Apakah nasihat Bible yang membantu orang muda memilih kerjaya?

8 Yehuwa tahu apa yang terbaik bagi anda. Musa berkata, ‘Dengarlah tuntutan Yehuwa: Hormatilah Yehuwa dan laksanakanlah segala perintah-Nya. Kasihilah Dia dan mengabdilah kepada-Nya dengan segenap hati; patuhilah segala hukum-Nya. Aku memberikan hukum-hukum itu kepada kamu hari ini untuk kepentingan kamu.’ (Ul. 10:12, 13, ABB) Sementara masih muda, pilihlah kerjaya yang membolehkan anda menyembah dan mengasihi Yehuwa “dengan segenap hati.” Anda boleh pasti bahawa pilihan ini adalah ‘untuk kepentingan anda.’

DIA MENGHARGAI KHIDMATNYA

9. Terangkan mengapa tugas Musa mencabar baginya.

9 Musa ‘berpendapat bahawa jauh lebih berharga menanggung hinaan bagi Kristus daripada mendapat segala harta negeri Mesir.’ (Ibr. 11:26, nota kaki) Musa dipanggil “Kristus” atau “Penyelamat yang diutus” Tuhan. Dia dipilih untuk memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir. Musa tahu bahawa tugas ini memang mencabar, bahkan membawa “hinaan.” Seorang Israel pernah mencemuh Musa, “Siapakah yang melantik kamu menjadi pemerintah dan hakim kami?” (Kel. 2:13, 14) Kemudian, Musa berkata kepada Yehuwa, “Orang Israel sendiri tidak mahu mendengarkan kata-kataku, apalagi raja Mesir.” (Kel. 6:11) Untuk menghadapi hinaan, Musa meluahkan segala kekhuatirannya kepada Yehuwa. Bagaimanakah Yehuwa membantu Musa?

10. Bagaimanakah Yehuwa membantu Musa melaksanakan tugasnya?

10 Pertama, Yehuwa memberi jaminan kepada Musa, “Aku akan menyertai engkau.” (Kel. 3:12) Kedua, Yehuwa meyakinkan Musa dengan memberitahu salah satu aspek maksud nama-Nya, “Aku Akan Menjadi Apa Pun yang Aku Inginkan.” * (Kel. 3:14, NW, Edisi 2013) Ketiga, Tuhan membolehkan Musa melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa dia benar-benar dihantar oleh Tuhan. (Kel. 4:2-5) Keempat, Yehuwa melantik Harun sebagai jurucakap Musa untuk membantu Musa melaksanakan tugasnya. (Kel. 4:14-16) Pada penghujung hayatnya, Musa sangat yakin bahawa Yehuwa telah membantu dia melaksanakan tugasnya. Dia memberitahu Yosua, ‘Yehuwa sendiri akan memimpin dan menyertai engkau. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan ataupun meninggalkan engkau. Oleh itu, jangan takut ataupun cemas.’Ul. 31:8, ABB.

11. Mengapakah Musa menghargai tugasnya?

11 Dengan sokongan Yehuwa, Musa menghargai tugasnya lebih daripada “segala harta negeri Mesir.” Sudah pasti, berkhidmat untuk Tuhan lebih berbaloi daripada berkhidmat untuk Firaun. Menjadi “Kristus” pilihan Tuhan adalah jauh lebih bernilai daripada menjadi seorang pemerintah di Mesir! Oleh sebab sikapnya yang baik, Musa diberi ganjaran. Dia menikmati hubungan rapat dengan Yehuwa. Dengan bantuan Yehuwa, dia “melakukan perbuatan-perbuatan hebat dan dahsyat” seraya memimpin orang Israel keluar dari Mesir.Ul. 34:10-12.

12. Apakah peluang istimewa yang Yehuwa berikan kepada kita?

12 Melalui Anak-Nya, Yehuwa menugaskan kita untuk menginjil. Paulus dan rakan-rakannya juga menerima tugas yang sama. (1 Tim. 1:12-14) Kita semua berpeluang untuk menyebarkan berita baik. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Ada yang menginjil sepenuh masa. Saudara yang matang pula berkhidmat sebagai penatua dan pembantu sidang. Namun, keluarga yang tidak seiman mungkin menyoal sama ada khidmat anda berbaloi serta menghina semangat rela berkorban anda. (Mat. 10:34-37) Apabila tawar hati, anda mungkin berfikir bahawa pengorbanan anda tidak bermakna, atau meragui kebolehan anda untuk melaksanakan tugas itu. Maka, bagaimanakah iman boleh membantu anda menghadapi hal ini?

13 .Bagaimanakah Yehuwa membantu kita untuk melaksanakan tugas teokratik?

13 Dengan beriman, mohonlah bantuan Yehuwa. Luahkan segala kekhuatiran dan keraguan anda kepada-Nya. Jika Yehuwa yang memberi anda tugas, tidakkah Dia juga akan membantu anda untuk berjaya? Itulah yang dilakukan-Nya kepada Musa. Pertama, Yehuwa berjanji, “Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu.” (Yes. 41:10) Kedua, Dia mengingatkan anda bahawa janji-janji-Nya boleh dipercayai dengan berkata, “Apa yang Aku firmankan pasti Aku laksanakan, apa yang Aku rancangkan pasti Aku lakukan.” (Yes. 46:11) Ketiga, Yehuwa akan memberikan anda “kekuasaan tertinggi” untuk melaksanakan tugas. (2 Kor. 4:7) Keempat, Bapa di syurga memberkati anda dengan persaudaraan Kristian sedunia yang “saling menggalakkan dan saling menguatkan” supaya anda tetap tabah. (1 Tes. 5:11) Apabila Yehuwa membantu anda melaksanakan tugas, iman anda terhadap-Nya akan bertambah. Anda juga akan menghargai tugas anda lebih daripada harta benda lain.

‘MUSA MENGHARAPKAN PAHALA YANG AKAN DATANG’

14. Mengapakah Musa yakin bahawa dia akan menerima ganjaran?

14 Musa sangat “mengharapkan pahala [ganjaran] pada masa yang akan datang.” (Ibr. 11:26) Walaupun pengetahuan Musa tentang masa depan terhad, dia membuat keputusan berdasarkan apa yang dia tahu. Seperti nenek moyangnya Abraham, dia yakin bahawa Yehuwa dapat membangkitkan orang mati. (Luk. 20:37, 38; Ibr. 11:17-19) Musa tidak menganggap sia-sia kehidupannya selama 40 tahun sebagai pelarian dan 40 tahun di padang gurun. Hal ini kerana dia yakin akan janji-janji Tuhan. Walaupun dia tidak pasti bagaimana Yehuwa akan mengotakan janji-Nya, iman Musa amat kuat dan dia seolah-olah dapat melihat ganjaran pada masa depan.

15, 16. (a) Mengapakah kita perlu bertumpu pada ganjaran masa depan? (b) Apakah berkat di bawah pemerintahan Tuhan yang anda ­nanti-nantikan?

15 Adakah anda “mengharapkan pahala pada masa yang akan datang”? Seperti Musa, kita tidak memiliki maklumat terperinci tentang masa depan. Contohnya, kita ‘tidak mengetahui waktu’ kesengsaraan besar akan berlaku. (Mrk. 13:32, 33) Namun, pengetahuan kita tentang Firdaus lebih banyak daripada Musa. Janji-janji Yehuwa mengenai Firdaus membantu kita beriman dan “mengharapkan pahala.” Jika kita membayangkan kehidupan di Firdaus dengan jelas, kita akan tergerak untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan. Bagaimana? Fikirkan: Adakah anda akan membeli rumah jika anda tidak memiliki maklumat tentang rumah itu? Tentu tidak! Sama juga, kita tidak akan mengejar harapan yang samar-samar. Iman dapat membantu kita melihat dengan jelas tentang kehidupan kita di bawah Kerajaan Tuhan.

Betapa terujanya untuk bercakap dengan orang seperti Musa! (Lihat perenggan 16)

16 Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang Kerajaan Tuhan, bayangkanlah kehidupan anda di Firdaus. Misalnya, semasa mempelajari watak-watak Bible yang hidup sebelum zaman Yesus, fikirkan apa yang anda ingin tanya kepada mereka selepas pembangkitan. Bayangkan, apakah yang akan mereka tanya kepada anda tentang kehidupan pada hari-hari terakhir? Renungkan kegembiraan yang dialami apabila bertemu semula dengan nenek moyang anda yang dibangkitkan. Anda berpeluang mengajar mereka tentang segala perbuatan Yehuwa. Gambarkan juga betapa menyeronokkan untuk belajar tentang hidupan liar dalam persekitaran yang damai. Renungkan juga, semakin anda menjadi sempurna, semakin rapat hubungan anda dengan Yehuwa.

17. Bagaimanakah gambaran yang jelas tentang masa depan membantu kita?

17 Gambaran yang jelas tentang masa depan membantu kita untuk tetap bertabah, bersukacita, dan membuat keputusan berdasarkan harapan kita untuk hidup ­selama-lamanya. Paulus menulis kepada orang Kristian terurap, “Jika kita mengharapkan sesuatu yang belum kita lihat, kita menunggu dengan sabar.” (Rm. 8:25) Prinsip ini juga ditujukan kepada semua orang Kristian yang berharap untuk hidup kekal. Walaupun kita belum menerima ganjaran ini, iman kita sangat kuat dan kita menunggu dengan sabar untuk “pahala” yang akan datang. Seperti Musa, kita tidak menganggap khidmat kita kepada Yehuwa sebagai sia-sia. Sebaliknya, kita yakin bahawa “apa yang kelihatan hanya tahan sementara, tetapi apa yang tidak kelihatan itu kekal ­selama-lamanya.”Baca 2 Korintus 4:16-18.

18, 19. (a) Mengapakah kita harus berjuang untuk memastikan iman kita tetap kuat? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

18 Iman membantu kita untuk “mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat.” (Ibr. 11:1) Orang yang berfikiran duniawi tidak mempunyai iman dan tidak faham mengapa berkhidmat kepada Yehuwa adalah bernilai. Bagi mereka, khidmat ini adalah “suatu kebodohan sahaja.” (1 Kor. 2:14) Tetapi, kita memiliki harapan yang tidak dapat dilihat oleh orang di dunia, iaitu pembangkitan dan hidup kekal. Mengenai Paulus, ahli falsafah yang sezaman dengannya berkata, “Pengetahuannya cetek, tetapi berlagak pandai.” Hari ini juga, kebanyakan orang menganggap mesej yang kita sampaikan tidak masuk akal.Kis. 17:18.

19 Memandangkan kita dikelilingi oleh dunia yang tidak beriman, kita harus berjuang untuk memastikan iman kita tetap kuat. Berdoalah kepada Yehuwa ‘supaya iman anda tidak goyah.’ (Luk. 22:32) Seperti Musa, berwaspadalah terhadap akibat buruk dosa, hargailah khidmat anda kepada Yehuwa, dan teguhkan iman dalam kehidupan yang kekal. Adakah ini sahaja pengajaran daripada contoh Musa? Tidak. Dalam rencana seterusnya kita akan membincangkan bagaimana iman membantu Musa melihat ‘Tuhan yang tidak kelihatan.’Ibr. 11:27.

^ per. 10 Mengenai kata-kata Tuhan di Keluaran 3:14, seorang cendekiawan Bible berkata, “Tiada apa-apa yang dapat menghalang Tuhan daripada melaksanakan kehendak-Nya . . . Nama ini [Yehuwa] adalah kubu orang Israel yang dipenuhi harapan dan kelegaan.”