Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menginjil dengan Sopan dan Bertimbang Rasa

Menginjil dengan Sopan dan Bertimbang Rasa

“Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka.”MAT. 7:12.

1. Adakah cara kita memperlakukan orang semasa menginjil penting? Berikan contoh. (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

BEBERAPA tahun yang lalu, sepasang suami isteri Kristian di Fiji menyertai kempen untuk menjemput orang ke Peringatan kematian Kristus. Sementara mereka berbual dengan seorang wanita, hujan mula turun. Saudara itu pun meminjamkan payung kepada wanita itu. Dia pula mengongsi payung dengan isterinya. Mereka sungguh gembira apabila wanita tersebut hadir ke Peringatan. Wanita itu berkata bahawa dia tidak berapa ingat perbualan mereka, tetapi dia kagum dengan cara mereka memperlakukannya. Oleh itu dia hadir ke Peringatan tersebut. Pasangan Kristian itu telah menerapkan suatu prinsip Bible yang terkenal.

2. Apakah prinsip yang diberikan Yesus? Bagaimanakah kita dapat menerapkannya?

2 Apakah prinsip ini? Prinsip ini ialah nasihat daripada Yesus, “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka.” (Mat. 7:12) Bagaimanakah kita dapat menerapkan prinsip ini? Mula-mula, tanyalah diri, “Jika saya ialah orang itu, bagaimanakah saya ingin diperlakukan?” Kemudian, berusaha untuk memperlakukan orang itu sebagaimana anda ingin diperlakukan.1 Kor. 10:24.

3, 4. (a) Jelaskan mengapa prinsip di Matius 7:12 bukan hanya diterapkan semasa berurusan dengan rakan seiman. (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Adakah kita menerapkan prinsip ini dengan rakan seiman sahaja? Tidak. Sebenarnya nasihat Yesus adalah mengenai cara kita memperlakukan semua orang, termasuk musuh kita. (Baca Lukas 6:27, 28, 31, 35.) Jika kita dinasihati untuk menerapkan prinsip ini dengan musuh, bukankah kita juga patut menerapkannya semasa menginjil? Hal ini penting kerana ramai orang yang tulus ingin memperoleh “hidup sejati dan kekal”?Kis. 13:48.

4 Sekarang, kita akan membincangkan empat soalan penting: Kepada siapakah saya memberikan kesaksian? Di manakah saya memberikan kesaksian? Bilakah masa terbaik untuk bercakap dengan orang? Bagaimanakah seharusnya saya bercakap dengan orang? Soalan-soalan ini dapat membantu kita memahami perasaan orang dan menyesuaikan penyampaian kita mengikut keadaan.1 Kor. 9:19-23.

KEPADA SIAPAKAH SAYA MEMBERIKAN KESAKSIAN?

5. Apakah soalan yang boleh kita tanya diri?

5 Setiap individu yang kita jumpa semasa menginjil mempunyai latar belakang dan masalah yang tersendiri. (2 Taw. 6:29) Semasa menginjil, bayangkan diri anda ialah penghuni rumah. Tanyalah diri, “Bagaimanakah saya ingin diperlakukan? Adakah saya suka jika orang membuat tanggapan yang salah terhadap saya? Tidakkah dia seharusnya mengenali saya dahulu?” Soalan-soalan ini dapat membantu kita untuk menerapkan prinsip di Matius 7:12.

6, 7. Apakah yang perlu kita lakukan apabila berjumpa dengan orang yang garang dan kurang sopan semasa menginjil?

6 Sebagai orang Kristian, kita berusaha menerapkan nasihat Bible untuk selalu bertutur secara ramah dan sopan. (Kol. 4:6) Oleh sebab kita tidak sempurna, kadangkala kita tersilap kata. Hal ini mungkin terjadi kerana kita berasa kurang sihat atau berasa runsing. (Yak. 3:2) Sudah tentu, kita tidak ingin orang berfikir bahawa kita biadab atau kasar. Sebaliknya, kita ingin mereka bertimbang rasa terhadap kita. Maka, tidakkah kita juga harus bertimbang rasa dengan orang yang nampaknya “biadab” atau “kasar”?

7 Jika kita berjumpa dengan orang yang garang dan kurang sopan semasa menginjil, bolehkah kita mencuba memahami situasinya? Mungkinkah dia menghadapi tekanan di tempat kerja atau di sekolah? Mungkinkah dia menghidap penyakit yang serius? Ramai orang tidak suka berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada pertama kalinya. Tetapi, setelah diperlakukan dengan lemah lembut dan hormat, mereka senang berbual dengan Saksi-Saksi Yehuwa.Ams. 15:1; 1 Ptr. 3:15.

8. Mengapakah kita harus menginjil kepada “semua orang”?

8 Kita menginjil kepada orang dari pelbagai latar belakang. Sejak beberapa tahun yang lalu, lebih daripada 60 pengalaman telah diterbitkan dalam majalah umum di bawah tajuk “Bible Mengubah Hidup.” Rencana ini mengandungi pengalaman-pengalaman orang yang dahulunya pencuri, pemabuk, ahli gengster, atau penagih dadah. Selain itu, terdapat juga ahli politik, pemimpin agama, orang yang mengejar kerjaya, atau orang yang hidup secara tidak bermoral. Namun, mereka semua mendengar berita baik, belajar Bible, mengubah hidup, dan menerima kebenaran. Maka, kita tidak patut menyimpulkan bahawa sesetengah orang tidak akan menerima mesej Bible. (Baca 1 Korintus 6:9-11.) Sebaliknya, kita harus sedar bahawa “semua orang” boleh menerima berita baik.1 Kor. 9:22.

DI MANAKAH SAYA MEMBERIKAN KESAKSIAN?

9. Mengapakah kita patut menghormati rumah orang lain?

9 Kita selalu memberikan kesaksian kepada orang semasa mereka berada di rumah. (Mat. 10:11-13) Kita ingin agar orang lain menghormati harta benda dan rumah kita. Rumah merupakan tempat yang penting dan kita ingin berasa selamat di rumah tanpa gangguan. Maka, semasa menginjil dari rumah ke rumah, kita juga patut menghormati rumah orang lain.Kis. 5:42.

10. Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada mengganggu orang lain di kawasan penyebaran?

10 Di dunia yang penuh dengan kejahatan ini, ramai penghuni rumah berasa sangsi terhadap orang yang tidak dikenali. (2 Tim. 3:1-5) Semasa menginjil, kita tidak ingin melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan syak wasangka orang lain. Katakan sebuah rumah mempunyai pintu pagar yang tertutup. Adakah kita akan membukanya dan masuk tanpa kebenaran penghuni rumah? Bagaimana pula jika anda mengetuk pintu utama sebuah rumah, tetapi tiada orang membukanya. Anda mungkin melihat ke dalam rumah melalui tingkap atau berjalan keliling rumah untuk mencari penghuni. Tidakkah hal ini mengganggu penghuni rumah? Apakah yang mungkin difikirkan oleh jirannya? Memang benar kita ingin menginjil dengan bersemangat. (Kis. 10:42) Kita mempunyai niat baik dan berusaha untuk mencapai semua orang. (Rm. 1:14, 15) Namun, kita harus bijak supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mengganggu ketenteraman orang lain di kawasan penyebaran. Rasul Paulus menulis, “Kami tidak mahu seorang pun mencela kerja kami. Oleh itu kami berusaha supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mencela kami.” (2 Kor. 6:3, ABB) Apabila kita menghormati rumah dan harta benda orang lain di kawasan penyebaran, mereka mungkin didorong untuk menerima kebenaran.Baca 1 Petrus 2:12.

Semoga kita sentiasa menghormati harta benda penghuni rumah (Lihat perenggan 10)

BILAKAH MASA TERBAIK UNTUK BERCAKAP?

11. Mengapakah kita ingin orang lain menghormati masa kita?

11 Sebagai orang Kristian, kebanyakan daripada kita sibuk dan memikul tanggungjawab yang memerlukan perancangan teliti. (Ef. 5:16; Flp. 1:10) Kadangkala kita geram apabila sesuatu yang tidak diduga mengganggu rancangan kita. Maka, kita ingin orang lain bertimbang rasa dan menghormati masa kita. Kita amat menghargai jika mereka faham bahawa kita tidak dapat meluangkan masa yang lama bersama mereka. Jadi, bagaimanakah nasihat Yesus boleh membantu kita menghormati masa orang lain semasa menginjil?

12. Bagaimanakah kita boleh menentukan masa yang paling sesuai untuk menginjil di kawasan penyebaran kita?

12 Kita harus menentukan masa yang sesuai untuk bercakap dengan orang. Tanyalah diri, “Di kawasan penyebaran saya, bilakah orang selalu berada di rumah? Bilakah mereka lebih senang untuk bercakap?” Adalah baik untuk menyesuaikan jadual kita. Di sesetengah negara, masa yang paling baik untuk menginjil dari rumah ke rumah adalah pada lewat petang. Jika masa itu lebih sesuai untuk kawasan penyebaran anda, bolehkah anda merancang untuk menginjil pada masa itu? (Baca 1 Korintus 10:24.) Kita mungkin perlu membuat pengorbanan untuk mencapai penghuni rumah pada masa yang paling sesuai. Yehuwa pasti memberkati usaha kita.

13. Bagaimanakah kita boleh menghormati penghuni rumah?

13 Apakah cara lain kita menghormati penghuni rumah? Apabila penghuni rumah sudi mendengar, kita harus memberikan kesaksian yang baik tanpa bercakap terlalu lama. Penghuni rumah mungkin sedang melakukan sesuatu yang dianggapnya penting. Jika dia sibuk, kita boleh berkata bahawa kita hanya mengambil sedikit masa. Jadi, penyampaian kita perlu singkat, seperti yang dijanjikan. (Mat. 5:37) Semasa menamatkan perbualan, tanyalah dia bila masa yang sesuai untuk kembali. Beberapa penyiar berkata, “Saya gembira jika dapat berjumpa dengan kamu sekali lagi. Boleh saya menelefon atau SMS sebelum saya datang?” Dengan menghormati masa penghuni rumah, kita sedang meneladani Paulus yang “tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri, tetapi kepentingan orang lain, supaya mereka boleh diselamatkan.”1 Kor. 10:33.

BAGAIMANAKAH SEHARUSNYA SAYA BERCAKAP?

14-16. (a) Mengapakah kita harus menjelaskan tujuan lawatan kita kepada penghuni rumah? Jelaskan. (b) Berikan contoh satu pendekatan yang digunakan oleh seorang penyelia lawatan.

14 Bayangkan anda menerima panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali. Dia terus menanya tentang makanan kegemaran anda. Sudah tentu anda berasa ­bingung dan tertanya, “Siapa orang ini dan apa yang dia mahu?” Anda mungkin berbual sebentar dengannya dan kemudian cuba mengakhiri perbualan tersebut dengan sopan. Sekarang, bayangkan anda menerima panggilan telefon yang sama. Tetapi kali ini dia memperkenalkan dirinya dengan sopan dan menjelaskan bahawa dia bekerja dalam bidang pemakanan. Dia memberitahu anda bahawa dia mempunyai maklumat yang bermanfaat. Sudah pasti, anda lebih sudi mendengarnya. Kita sememangnya suka bercakap dengan orang yang berterus terang dan sopan. Jadi, bagaimanakah kita boleh menunjukkan kesopanan semasa menginjil?

15 Di banyak tempat, kita patut menjelaskan tujuan lawatan kita kepada penghuni rumah terlebih dahulu. Memang benar kita mempunyai maklumat yang berharga bagi mereka. Tetapi bayangkan jika kita tidak memperkenalkan diri dan memulakan penyampaian secara terburu-buru dengan menanya soalan seperti, “Jika anda mempunyai kuasa, apakah masalah dunia yang anda ingin selesaikan?” Tujuan kita menanya soalan ini adalah untuk mengetahui pendapatnya dan kemudian membantunya dengan menggunakan Bible. Namun, penghuni rumah mungkin tertanya, “Siapakah orang ini, dan mengapakah dia tanya saya soalan ini? Apakah maksud semua ini?” Sudah tentu, kita ingin agar penghuni rumah menikmati perbualan dengan kita. (Flp. 2:3, 4) Bagaimanakah kita boleh berbuat demikian?

16 Seorang penyelia lawatan menggunakan satu pendekatan yang berkesan. Selepas memberikan salam dan memperkenalkan diri, dia memberikan risalah Adakah Anda Ingin Mengetahui Kebenaran? dan berkata, “Kami memberikan risalah ini kepada setiap orang di sini. Risalah ini membincangkan enam soalan yang menarik. Risalah ini untuk anda.” Saudara itu berkata bahawa setelah mengetahui tujuan kita datang, mereka berasa lebih selesa untuk meneruskan perbualan. Kemudian, penyelia lawatan itu bertanya, “Pernahkah anda terfikir tentang mana-mana soalan yang tertera di sini?” Jika penghuni rumah memilih salah satu soalan, saudara itu akan membuka risalah dan membincangkan ajaran Bible tentang soalan yang dipilih. Jika tidak, saudara itu sendiri akan memilih soalan dan berbincang bersama penghuni rumah tanpa membuatnya berasa malu. Sudah tentu, terdapat pelbagai cara untuk memulakan perbualan. Di sesetengah tempat, kita harus mengikut kebiasaan tempatan dengan memberikan salam dahulu sebelum memulakan penyampaian. Adalah penting untuk menyesuaikan pendekatan agar orang lebih sudi mendengar berita baik yang kita sampaikan.

TERAPKAN PRINSIP BIBLE YANG TERKENAL INI SEMASA MENGINJIL

17. Apakah beberapa cara kita dapat menerapkan prinsip di Matius 7:12?

17 Apakah yang telah kita pelajari tentang menerapkan prinsip di Matius 7:12 semasa menginjil? Kita perlu sopan semasa bercakap dengan penghuni rumah. Kita perlu menghormati rumah dan harta benda mereka. Kita berusaha untuk menginjil pada masa yang paling sesuai, iaitu semasa orang berada di rumah dan mempunyai masa untuk berbual dengan kita. Kita juga ingin menyampaikan berita baik dalam cara yang mendorong orang untuk mendengar.

18. Apakah manfaatnya jika kita memperlakukan orang di kawasan penyebaran dengan hormat?

18 Terdapat banyak manfaat apabila kita memperlakukan orang lain sebagaimana kita ingin diperlakukan. Dengan bersopan santun dan bertimbang rasa, kita menunjukkan bahawa kita sedang menerapkan prinsip Bible dan memuliakan Bapa kita yang di syurga. (Mat. 5:16) Ramai orang mungkin ingin belajar Bible jika kita memperlakukan mereka dengan hormat. (1 Tim. 4:16) Tidak kira orang menerima berita baik atau tidak, kita tetap berasa puas kerana kita telah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai penyebar. (2 Tim. 4:5) Tirulah teladan Paulus yang berkata, “Semua itu aku lakukan untuk Berita Baik” supaya dapat mengkhabarkannya kepada semua orang. (1 Kor. 9:23) Semoga kita senantiasa menerapkan prinsip di Matius 7:12 semasa menginjil.