Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bantu Orang untuk Mencapai Potensi Mereka dengan Sepenuhnya

Bantu Orang untuk Mencapai Potensi Mereka dengan Sepenuhnya

“Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati.”—MZM. 32:8.

1, 2. Apakah pandangan Yehuwa terhadap hamba-Nya di bumi?

APABILA ibu bapa memerhatikan anak mereka bermain-main, mereka selalunya kagum dengan kebolehan anak kecil mereka. Mungkin anda pernah berasa begitu juga. Salah seorang anak mungkin mempunyai kebolehan untuk bersukan, yang lain pula mungkin gemar melukis. Tidak kira apa kebolehan anak itu, ibu bapa akan membantu anak untuk mencapai potensi dia dengan sepenuhnya.

2 Yehuwa juga berminat dengan anak-anak-Nya di bumi. Mereka bagaikan “harta benda” yang bernilai kerana mereka beriman dan setia kepada-Nya. (Hag. 2:7) Anda mungkin telah memperhatikan saudara saudari yang mempunyai pelbagai bakat. Sesetengah saudara dapat memberikan ceramah yang baik, yang lain pula mempunyai kebolehan untuk mengatur hal-hal di sidang. Ramai saudari cekap mempelajari bahasa yang baru dan menggunakannya dalam aktiviti penyebaran. Ada juga yang memberikan galakan dan sokongan, serta menjaga mereka yang kurang sihat. (Rm. 16:1, 12) Kita menghargai saudara saudari sebegini dalam sidang.

3. Apakah soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Namun, sesetengah rakan seiman, terutamanya saudara yang muda atau baru dibaptis mungkin berasa bahawa mereka belum menjadi sebahagian daripada sidang. Bagaimanakah kita boleh membantu mereka mencapai potensi mereka? Mengapakah kita harus bertumpu pada sifat baik mereka, dan memupuk pandangan Yehuwa terhadap mereka?

YEHUWA MELIHAT SIFAT BAIK HAMBANYA

4, 5. Apakah yang Yehuwa nampak dalam diri Gideon? Apakah yang dapat kita pelajari daripada Yehuwa?

4 Menurut Bible, Yehuwa bukan sahaja nampak sifat-sifat baik hamba-Nya, tetapi Dia juga nampak potensi mereka. Contohnya, Yehuwa telah memilih Gideon untuk membebaskan bangsa Israel daripada orang Midian. Gideon tentu terkejut apabila malaikat berkata kepadanya, ‘Yehuwa menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!’ Nampaknya, Gideon berasa ragu-ragu dan berasa tidak cukup “gagah” untuk menyelamatkan umat Tuhan. Namun, Yehuwa nampak potensi Gideon. Yehuwa tahu bahawa Dia dapat menggunakan Gideon untuk menyelamatkan Israel.—Baca Hakim-Hakim 6:11-16.

5 Yehuwa mempercayai Gideon kerana Dia nampak kemampuannya. Misalnya, Yehuwa nampak Gideon mengirik gandum dengan sepenuh tenaga. Biasanya, seseorang akan mengirik gandum di tempat terbuka supaya sekam-sekam dapat ditiup angin. Tetapi Gideon mengirik gandum di tempat memeras anggur secara sembunyi. Dia berbuat demikian agar orang Midian tidak nampak lalu mencuri gandumnya. Gideon sedar akan situasinya dan membuat keputusan yang bijak untuk mengelakkan bahaya. Maka, tidak hairanlah Yehuwa nampak potensi Gideon lalu melatihnya.

6, 7. (a) Mengapakah pandangan Yehuwa terhadap Amos berbeza daripada sesetengah orang Israel? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa Amos bukanlah pilihan yang salah?

6 Begitu juga, Yehuwa nampak potensi nabi Amos. Ramai orang berpendapat bahawa Amos ialah orang yang kurang penting. Dia ialah seorang penternak domba dan pemelihara pokok ara. Namun, Yehuwa menggunakannya untuk menyampaikan berita penghakiman kepada kerajaan sepuluh suku Israel yang tidak lagi menyembah-Nya. Sesetengah orang Israel berasa bahawa Amos adalah pilihan yang salah. Mengapa?—Baca Amos 7:14, 15.

7 Amos berasal dari sebuah kampung yang terpencil. Namun, dia amat berpengetahuan dan mengetahui budaya serta para pemimpin di sekitarnya. Dia mungkin mendapat maklumat sebegini daripada para pedagang yang berurusan dengannya. Contohnya, Amos tahu tentang negara-negara jiran dan keadaan yang buruk di Israel. (Am. 1:6, 9, 11, 13; 2:8; 6:4-6) Amos juga seorang penulis yang mahir. Kata-katanya mudah difahami dan cukup berkuasa. Dia tidak takut untuk mengutuk imam Amazia yang jahat. Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa telah memilih orang yang tepat untuk menyampaikan pesanan-Nya. Walaupun orang lain tidak nampak potensi Amos, Yehuwa nampak potensinya.—Am. 7:12, 13, 16, 17.

8. (a) Apakah janji Yehuwa kepada Daud? (b) Mengapakah kata-kata di Mazmur 32:8 menggalakkan orang yang berasa kurang yakin?

8 Yehuwa memperhatikan kebolehan setiap umat-Nya. Dia meyakinkan Raja Daud bahawa Dia akan menasihati dan membimbingnya. (Baca Mazmur 32:8.) Mengapakah hal ini menggalakkan kita? Walaupun kita berasa kurang yakin, Yehuwa dapat membantu kita untuk melakukan perkara-perkara yang kita anggap mustahil dilakukan. Bagaikan seorang guru yang membantu muridnya yang kurang berpengalaman, Yehuwa membimbing kita langkah demi langkah untuk mempertingkatkan potensi kita. Dia mungkin menggunakan rakan seiman untuk membantu kita. Bagaimana?

CARILAH KEBAIKAN ORANG LAIN

9. Bagaimanakah kita boleh menerapkan nasihat Paulus untuk ‘mengutamakan kepentingan’ orang lain?

9 Paulus menggesa orang Kristian untuk ‘mengutamakan kepentingan’ rakan seiman. (Baca Filipi 2:3, 4.) Maksudnya, kita patut memperhatikan kebolehan orang lain dan memuji mereka. Apakah perasaan anda jika seseorang memberikan perhatian terhadap kemajuan anda? Biasanya, hal ini akan mendorong kita untuk mempertingkatkan usaha serta melakukan yang terbaik. Begitu juga, apabila kita memuji rakan seiman, mereka akan lebih bersemangat untuk maju secara rohani.

10. Siapakah yang khasnya memerlukan perhatian kita?

10 Siapakah yang memerlukan perhatian? Memang, kita semua perlu diberikan perhatian. Tetapi, khasnya mereka yang muda dan yang baru dibaptis. Mereka perlu merasai bahawa mereka terlibat dalam aktiviti sidang. Hal ini akan membantu mereka sedar bahawa mereka memainkan peranan penting dalam sidang. Sebaliknya, jika kita gagal melakukan demikian, mereka mungkin tidak berminat untuk membuat kemajuan rohani dan tidak ingin memikul tanggungjawab dalam sidang.—1 Tim. 3:1.

11. (a) Bagaimanakah seorang penatua membantu seorang pemuda yang pemalu? (b) Apakah yang boleh kita pelajari daripada pengalaman Julien?

11 Seorang penatua bernama Ludovic berkata, “Saya sedar bahawa apabila saya memberi perhatian dan galakan kepada seorang saudara, dia membuat kemajuan dengan lebih cepat.” Ludovic pernah membantu Julien, seorang pemuda yang pemalu. Apabila melakukan sesuatu tanggungjawab di sidang, Julien berkelakuan kekok kerana kurang keyakinan diri. Ludovic berkata, “Saya boleh melihat bahawa dia baik hati dan ingin membantu orang lain di sidang.” Ludovic tidak mengkritik Julien, tetapi bertumpu pada kebaikannya serta menggalakkannya. Akhirnya, Julien menjadi pembantu sidang dan sekarang berkhidmat sebagai perintis biasa.

BANTU MEREKA MENCAPAI POTENSI DENGAN SEPENUHNYA

12. Apakah yang harus kita lakukan untuk membantu orang lain untuk mencapai potensi mereka? Berikan contoh.

12 Sudah tentu, jika kita ingin membantu orang lain untuk mencapai potensi mereka, kita harus menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap mereka. Kita tidak ingin mencari kelemahan saudara kita, sebaliknya kita ingin bertumpu pada sifat baik serta kebolehan mereka. Inilah yang dilakukan oleh Yesus terhadap Petrus. Walaupun Petrus pernah membuat kesilapan, Yesus masih nampak sifat baik dalam diri Petrus dan berkata bahawa dia akan teguh seperti bukit batu.—Yoh. 1:42.

13, 14. (a) Bagaimanakah Barnabas membantu Markus yang muda? (b) Bagaimanakah Alexandre mendapat bantuan daripada seorang saudara lain? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

13 Perhatikan contoh Barnabas dan Markus. (Kis. 12:25) Semasa Paulus dan Barnabas mengadakan perjalanan untuk menginjil, Markus sepatutnya membantu menjaga keperluan mereka. Tetapi sebaik sahaja mereka tiba di Pamfilia, dia telah meninggalkan mereka secara tiba-tiba. Akhirnya, Paulus dan Barnabas terpaksa meneruskan perjalanan melalui tempat yang berbahaya tanpa bantuan Markus. (Kis. 13:5, 13) Namun, Barnabas tidak berfikir bahawa Markus tidak boleh diharap. Sebaliknya, dia bertumpu pada sifat baik Markus dan melatihnya untuk menjadi seorang Kristian yang matang. (Kis. 15:37-39) Bertahun-tahun kemudian, Markus membantu Paulus yang dipenjarakan di Roma. Dalam suratnya kepada sidang Kolose, Paulus memuji Markus. (Kol. 4:10) Barnabas sudah tentu gembira apabila Paulus sekali lagi meminta bantuan daripada Markus.—2 Tim. 4:11.

14 Begitu juga, seorang penatua yang bernama Alexandre telah menceritakan bagaimana seorang saudara telah membantunya. Dia berkata, “Semasa muda, saya berasa sangat susah untuk berdoa di hadapan umum. Seorang penatua menunjukkan cara untuk bersedia dan cara untuk menenangkan diri. Dia memberi lebih banyak peluang kepada saya untuk berdoa semasa perjumpaan sebelum aktiviti penyebaran. Lama-kelamaan saya menjadi semakin yakin.”

15. Bagaimanakah Paulus menunjukkan penghargaan kepada saudara saudari?

15 Adakah kita memuji sifat-sifat baik orang Kristian yang lain? Dalam Roma bab 16, Paulus menyebut lebih daripada 20 rakan seiman yang disayanginya kerana sifat baik mereka. (Rm. 16:3-7, 13) Misalnya, Paulus memuji ketabahan Andronikus dan Yunias yang telah menjadi pengikut Kristus lebih lama daripadanya. Paulus juga menyebut tentang ibu Rufus yang telah menunjukkan kebaikan hati kepadanya.

Frédéric (kiri) menggalakkan Rico untuk terus menyembah Yehuwa (Lihat perenggan 16)

16. Apakah hasil baik apabila kita memuji orang muda?

16 Dengan memberikan pujian yang ikhlas, kita juga boleh meraih hasil yang baik. Fikirkan contoh Rico, seorang budak lelaki di Perancis. Dia tawar hati kerana bapanya yang bukan penyembah Yehuwa tidak ingin dia dibaptiskan. Rico berfikir bahawa dia perlu menunggu sehingga dewasa barulah dia dapat dibaptiskan. Dia juga sangat sedih kerana rakan-rakan di sekolah memperolokkannya. Frédéric, penatua yang mengajar Bible kepada Rico berkata, “Saya memuji Rico kerana tentangan sedemikian menunjukkan bahawa dia beriman dan berani.” Kata-katanya itu memberikan semangat kepada Rico untuk terus menetapkan teladan yang baik dan menjadi lebih rapat dengan bapanya. Rico dibaptis semasa berumur 12 tahun.

Jérôme (kanan) membantu Ryan untuk menceburi khidmat mubaligh (Lihat perenggan 17)

17. (a) Bagaimanakah kita boleh membantu rakan seiman untuk membuat kemajuan? (b) Bagaimanakah seorang mubaligh menunjukkan perhatian kepada saudara muda, dan apakah hasilnya?

17 Setiap kali kita menunjukkan penghargaan atas usaha baik rakan seiman, kita sebenarnya sedang menggalakkan mereka untuk menyembah Yehuwa sebaik yang mungkin. Sylvie, * seorang saudari yang berkhidmat di Bethel Perancis selama bertahun-tahun berkata bahawa saudari juga boleh memuji saudara. Dia berkata, “Bagi saya, memberikan pujian merupakan suatu tanggungjawab.” (Ams. 3:27) Sering kali saudari memperhatikan perkara yang berbeza daripada saudara. Maka, pujian daripada saudari juga menggalakkan saudara. Seorang mubaligh yang bernama Jérôme dari Guiana Perancis, telah membantu ramai pemuda untuk menceburi khidmat mubaligh. Dia berkata, “Saya perhatikan bahawa apabila saya memuji saudara muda atas kerja penyebaran atau atas komen mereka semasa perjumpaan, keyakinan mereka bertambah. Hasilnya, kemahiran mereka ditingkatkan.”

18. Mengapakah bekerja bersama dengan saudara muda bermanfaat?

18 Kita juga boleh mendorong rakan seiman untuk membuat kemajuan rohani dengan bekerja bersama mereka. Contohnya, seorang penatua boleh meminta seorang saudara muda untuk mencetak maklumat dari laman web jw.org bagi orang tua yang tidak memiliki komputer. Jika anda bertugas untuk membaiki atau membersihkan Dewan Perjumpaan, jemputlah saudara muda untuk ikut serta. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini bersama mereka, anda berpeluang untuk melihat kemampuan mereka, memuji mereka, dan menikmati hasil baik.—Ams. 15:23.

MERANCANG UNTUK MASA DEPAN

19, 20. Mengapakah penting untuk membantu orang lain membuat kemajuan?

19 Semasa Yehuwa melantik Yosua untuk memimpin bangsa Israel, Dia juga meminta Musa untuk menggalakkan dan menguatkan Yosua. (Baca Ulangan 3:28.) Hari ini, jumlah ahli sidang di seluruh dunia kian bertambah. Semua orang Kristian yang matang serta para penatua boleh membantu orang muda dan yang baru dibaptis untuk mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya. Dengan demikian, lebih ramai lagi akan menceburi khidmat sepenuh masa dan menjadi layak untuk “mengajar orang lain.”—2 Tim. 2:2.

20 Sama ada kita berada di sebuah sidang yang besar atau di sebuah kumpulan yang kecil, marilah kita membuat perancangan untuk membantu organisasi Yehuwa berkembang maju. Kuncinya adalah dengan meniru teladan Yehuwa yang selalu mencari kebaikan hamba-Nya.

^ per. 17 Nama telah diubah.