Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Kasihilah Yehuwa Tuhanmu’

‘Kasihilah Yehuwa Tuhanmu’

‘Kasihilah Yehuwa Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’—MAT. 22:37.

1. Mengapakah kasih antara Tuhan dan Yesus bertambah kuat?

YESUS berkata bahawa dia “mengasihi Bapa.” (Yoh. 14:31) Dia juga berkata, “Bapa mengasihi Anak.” (Yoh. 5:20) Hal ini tidak patut menghairankan kita. Lagi pun, Yesus ialah “jurubina” Tuhan untuk waktu yang lama sebelum dia datang ke bumi. (Ams. 8:30) Yesus tentu mempelajari banyak sifat Bapa, dan kasih antara mereka bertambah kuat.

2. (a) Kasih merangkumi apa? (b) Apakah soalan yang akan kita bincangkan?

2 Kasih merangkumi perasaan sayang yang mendalam terhadap seseorang. Daud bernyanyi, ‘Aku sangat mengasihi Engkau, ya Yehuwa! Engkaulah pembelaku.’ (Mzm. 18:2, ABB) Inilah perasaan yang harus kita miliki terhadap Tuhan. Jika kita mematuhi Yehuwa, Dia akan menunjukkan kasih terhadap kita. (Baca Ulangan 7:12, 13.) Dapatkah kita mengasihi Tuhan, memandangkan kita tidak dapat melihat-Nya? Apakah yang dimaksudkan untuk mengasihi Yehuwa? Mengapakah kita harus mengasihi-Nya? Dan bagaimanakah kita boleh memperlihatkan kasih kepada-Nya?

MENGAPA KITA DAPAT MENGASIHI TUHAN

3, 4. Mengapakah kita dapat mengasihi Yehuwa?

3 ‘Tuhan itu Roh.’ Maka, kita tidak dapat melihat-Nya. (Yoh. 4:24) Walaupun begitu, kita dapat mengasihi-Nya, dan Bible memberikan perintah untuk mengasihi Tuhan. Misalnya, Musa berkata, ‘Kasihilah Yehuwa, Tuhan kamu dengan segenap hati, jiwa, dan kekuatan kamu.’—Ul. 6:5, nota kaki.

4 Mengapakah kita dapat memiliki kasih yang mendalam terhadap Yehuwa? Kerana Dia mencipta kita dengan keinginan untuk menyembah-Nya dan keupayaan untuk memperlihatkan kasih. Apabila kita belajar tentang Yehuwa, kasih kita kepada-Nya semakin kuat dan kita akan bersukacita. Yesus berkata, ‘Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Tuhan, merekalah yang menikmati Pemerintahan Tuhan.’ (Mat. 5:3, ABB) Sebuah buku menyatakan bahawa adalah menakjubkan untuk melihat manusia selalu mencari Tuhan dan ingin mempercayai-Nya. Maka, manusia dilahirkan dengan keinginan untuk mengenal Tuhan.—Man Does Not Stand Alone, oleh A. C. Morrison.

5. Mengapakah berbaloi untuk mencari Tuhan?

5 Adakah berbaloi untuk mencari Tuhan? Ya, kerana Dia ingin kita mencari-Nya. Rasul Paulus menjelaskan hal ini semasa bercakap kepada sekumpulan orang di Areopagus. Ramai daripada mereka percaya bahawa mereka harus ke kuil untuk menyembah dewi Atena. Tetapi Paulus berkata bahawa mereka dapat mencari ‘Tuhan yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya.’ Paulus berkata, “Dia tidak tinggal di dalam kuil-kuil yang dibuat oleh manusia.” Kemudian Paulus menjelaskan, ‘Daripada seorang manusia, Dia menjadikan semua bangsa dan menyuruh mereka mendiami seluruh bumi. Sejak permulaan Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka boleh hidup. Tuhan berbuat demikian supaya mudah-mudahan mereka menjumpai Dia semasa mereka mencari-cari Dia. Tetapi sebenarnya Tuhan tidak jauh daripada kita masing-masing.’ (Kis. 17:24-27, ABB) Sudah pasti kita dapat mencari Tuhan. Lebih daripada tujuh setengah juta Saksi-Saksi Yehuwa telah “menjumpai Dia” dan amat mengasihi-Nya.

APA MAKSUD MENGASIHI TUHAN

6. Menurut Yesus, apakah “perintah yang terutama dan yang terpenting”?

6 Kasih kepada Yehuwa patut berasal dari hati. Yesus menjelaskan hal ini sewaktu seorang Farisi bertanya, ‘“Guru, perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?” Yesus menjawab, “Kasihilah Yehuwa Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.” Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting.’—Mat. 22:34-38, ABB.

7. Apakah yang dimaksudkan untuk mengasihi Tuhan dengan (a) ‘sepenuh hati’? (b) ‘segenap jiwa’? (c) ‘seluruh akal’?

7 Apakah yang dimaksudkan Yesus bahawa kita harus mengasihi Tuhan dengan ‘sepenuh hati,’ ‘segenap jiwa,’ dan ‘seluruh akal’? ‘Sepenuh hati’ bermaksud seluruh keinginan, emosi, dan perasaan kita. ‘Segenap jiwa’ bermaksud mengasihi Tuhan dengan seluruh kehidupan kita, atau segala perbuatan kita. ‘Seluruh akal’ pula bermaksud mengasihi Tuhan dengan daya pemikiran kita. Maka, kita sepatutnya mengasihi Yehuwa sepenuhnya tanpa batasan.

8. Apakah yang akan kita lakukan jika kita mengasihi Tuhan dengan sepenuhnya?

8 Jika kita mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati, jiwa, dan akal, kita akan mempelajari Firman-Nya dengan tekun. Kita rela melakukan segala kehendak-Nya dan menginjil dengan bersemangat. (Mat. 24:14; Rm. 12:1, 2) Kasih yang tulus kepada Yehuwa akan mendekatkan kita kepada-Nya. (Yak. 4:8) Terdapat banyak sebab untuk mengasihi Tuhan. Marilah kita bincangkan beberapa di antaranya.

MENGAPA KITA PATUT MENGASIHI YEHUWA

9. Mengapakah anda mengasihi Yehuwa sebagai Pencipta dan Pemberi Yang Agung?

9 Yehuwa ialah Pencipta dan Pemberi Yang Agung. “Kerana Dia, kita hidup dan bergerak dan ada di dunia ini,” kata Paulus. (Kis. 17:28) Yehuwa memberi kita tempat tinggal yang indah di bumi. (Mzm. 115:16) Dia juga membekalkan makanan dan perkara lain untuk menampung kehidupan kita. Oleh itu, Paulus memberitahu penduduk Listra bahawa mereka tidak harus menyembah berhala, tetapi patut menyembah ‘Tuhan yang hidup.’ Paulus berkata, “Dia mengurniai kamu hujan dari langit serta hasil bumi pada musimnya. Dia mengurniai kamu makanan serta menyenangkan hati kamu.” (Kis. 14:15-17) Bukankah itu alasan yang baik untuk mengasihi Pencipta dan Pemberi yang pengasih?—Pkh. 12:1.

10. Apakah perasaan anda terhadap korban tebusan?

10 Tuhan menyingkirkan dosa dan kematian. (Rm. 5:12) ‘Tuhan telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa.’ (Rm. 5:8) Jika kita benar-benar bertaubat dan beriman kepada korban tebusan, Tuhan akan mengampunkan dosa kita. Kita sangat bersyukur kerana Yehuwa mengasihi kita dan mengutus Anak-Nya untuk mati bagi kita.—Yoh. 3:16.

11, 12. Apakah harapan yang diberi Yehuwa kepada kita?

11 Yehuwa memberi kita harapan untuk hidup selama-lamanya. (Rm. 15:13) Harapan daripada Tuhan membantu kita untuk bertahan apabila iman kita diuji. Orang Kristian terurap yang ‘setia sampai mati akan dikurniai hidup sejati’ di syurga. (Why. 2:10) Orang Kristian setia yang lain menikmati harapan untuk hidup di bumi Firdaus. (Luk. 23:43) Apakah perasaan anda terhadap harapan ini? Tidakkah hati kita penuh dengan kegembiraan, kedamaian, dan kasih kepada Pemberi “setiap pemberian yang baik dan sempurna”?—Yak. 1:17.

12 Tuhan memberi kita harapan pembangkitan. (Kis. 24:15) Sudah tentu kita bersedih apabila orang yang dikasihi meninggal. Tetapi harapan pembangkitan membantu kita supaya “tidak bersedih hati seperti orang yang tidak mempunyai harapan.” (1 Tes. 4:13) Oleh sebab kasih, Tuhan Yehuwa ingin sekali membangkitkan orang mati, terutamanya mereka yang setia. (Ayb. 14:15) Bayangkanlah suasana yang riang apabila kita bertemu lagi dengan mereka yang dibangkitkan. Sememangnya, kita amat mengasihi Bapa kita yang menawarkan harapan ini!

13. Apakah yang membuktikan bahawa Tuhan benar-benar prihatin terhadap kita?

13 Yehuwa benar-benar prihatin terhadap kita. (Baca Mazmur 34:7, 19, 20; 1 Petrus 5:6, 7.) Kita yakin bahawa Tuhan sentiasa membantu umat-Nya yang setia. Sebagai ‘domba-domba-Nya,’ kita berasa selamat. (Mzm. 79:13) Selain itu, kasih Tuhan kepada kita terbukti melalui Kerajaan Mesias. Yesus Kristus sebagai Raja Mesias akan menghapuskan keganasan, penindasan, dan kejahatan di bumi. Maka, umat manusia yang setia akan diberkati dengan kedamaian dan kemakmuran. (Mzm. 72:7, 12-14, 16) Tidakkah hal ini mendorong kita untuk mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati, jiwa, kekuatan, dan akal?—Luk. 10:27.

14. Apakah penghormatan yang diberi Tuhan kepada kita?

14 Yehuwa memberi kita penghormatan untuk menjadi Saksi-Saksi-Nya. (Yes. 43:10-12) Kita mengasihi Tuhan kerana berpeluang untuk menyokong kedaulatan-Nya dan mengongsi harapan sejati kepada orang yang sedang menderita. Kita dapat menyebar dengan penuh iman dan keyakinan kerana berita baik yang kita sampaikan pasti ditunaikan. Janji-janji Tuhan tidak pernah gagal. (Baca Yosua 21:45; 23:14.) Sememangnya, terdapat banyak sebab yang mendorong kita untuk mengasihi Yehuwa. Namun, bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mengasihi-Nya?

CARA MEMPERLIHATKAN KASIH KEPADA TUHAN

15. Bagaimanakah mempelajari dan menerapkan Bible membantu kita?

15 Tekun mempelajari dan menerapkan Firman Tuhan. Dengan demikian, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa dan benar-benar ingin Firman-Nya menjadi ‘cahaya yang menerangi jalan kita.’ (Mzm. 119:105) Jika kita berasa tertekan, kita boleh mendapat galakan daripada kata-kata seperti, “Hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima.” ‘Kasih-Mu, ya Yehuwa, menopang aku. Ketika aku bimbang dan khuatir, Engkau menghiburkan dan menggembirakan hatiku.’ (Mzm. 51:19; 94:18, 19, ABB) Yehuwa berbelas kasihan dan Yesus juga turut bersimpati terhadap mereka yang menderita. (Yes. 49:13; Mat. 15:32) Dengan mempelajari Bible, kita akan sedar betapa dalamnya kasih Yehuwa dan kita didorong untuk memperlihatkan kasih kepada-Nya.

16. Bagaimanakah berdoa secara tetap dapat menguatkan kasih kita terhadap Tuhan?

16 Selalu berdoa kepada Tuhan. Doa mengeratkan kita dengan Pendengar doa. (Mzm. 65:3) Apabila Yehuwa mengabulkan doa kita, kasih kita kepada-Nya akan membara. Contohnya, Yehuwa memastikan bahawa kita tidak dicubai lebih daripada apa yang dapat ditanggung. (1 Kor. 10:13) Semasa khuatir, kita boleh berdoa kepada Yehuwa dan menikmati ‘kesejahteraan daripada Tuhan.’ (Flp. 4:6, 7) Kita juga boleh mengucapkan doa dalam hati seperti Nehemia, dan Yehuwa menjawab doa sebegini. (Neh. 2:1-6) Apabila kita ‘berdoa sentiasa’ dan sedar bahawa Yehuwa menjawab doa-doa kita, kasih kita terhadap-Nya akan bertambah, dan kita semakin yakin bahawa Dia akan membantu kita untuk mengatasi cabaran iman.—Rm. 12:12.

17. Apakah pandangan kita terhadap perjumpaan jika kita mengasihi Tuhan?

17 Menghadiri perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen Kristian secara tetap. (Ibr. 10:24, 25) Orang Israel selalu berkumpul untuk mendengar dan mempelajari tentang Yehuwa supaya menghormati-Nya dan menjalankan kehendak-Nya. (Ul. 31:12) Jika kita benar-benar mengasihi Tuhan, tidaklah susah bagi kita untuk mentaati kehendak-Nya. (Baca 1 Yohanes 5:3.) Jadi, janganlah meremehkan kepentingan perjumpaan. Kita tidak sesekali ingin kasih kita terhadap Yehuwa pudar.—Why. 2:4.

18. Kasih terhadap Tuhan mendorong kita untuk melakukan apa?

18 Rajin berkongsi berita baik dengan orang lain. (Gal. 2:5) Kasih terhadap Tuhan akan mendorong kita untuk memberitakan tentang Kerajaan Tuhan. Raja Yesus akan maju “membela kebenaran” semasa Armagedon. (Mzm. 45:5; Why. 16:14, 16) Kita amat bersukacita untuk membantu orang lain mempelajari kasih Tuhan dan janji-janji mengenai dunia baru!—Mat. 28:19, 20.

19. Mengapakah kita menghargai aturan para penatua yang disediakan oleh Yehuwa?

19 Tunjukkan bahawa anda menghargai para gembala. (Kis. 20:28) Para penatua yang sentiasa menjaga kita secara rohani adalah suatu pemberian daripada Yehuwa. Mereka “seperti tempat perlindungan daripada angin dan ribut. Mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di padang gurun, seperti naungan batu besar di tanah yang tandus.” (Yes. 32:1, 2) Betapa gembiranya kita apabila mendapat perlindungan daripada angin kencang dan ribut petir! Apabila matahari bersinar dengan terik, kita menghargai tempat berteduh yang redup. Semua ungkapan kiasan ini menunjukkan bahawa bantuan rohani yang diberikan oleh para penatua boleh menyegarkan kita. Dengan mentaati mereka, kita menunjukkan penghargaan terhadap saudara-saudara terlantik ini serta membuktikan kasih kita terhadap Yehuwa dan Yesus, Kepala sidang.—Ef. 4:8; 5:23; Ibr. 13:17.

Yehuwa menyediakan para gembala yang prihatin terhadap kawanan domba (Lihat perenggan 19)

KASIHILAH TUHAN DENGAN LEBIH MENDALAM

20. Jika anda mengasihi Tuhan, bagaimanakah anda akan menerapkan ayat Yakobus 1:22-25?

20 Jika anda mengasihi Yehuwa, anda tidak hanya mendengarkan firman-Nya, tetapi akan ‘melakukan apa yang difirmankan-Nya.’ (Baca Yakobus 1:22-25.) Iman akan mendorong anda untuk menginjil dengan bersemangat dan memberi komen semasa perjumpaan. Oleh sebab anda benar-benar mengasihi Tuhan, anda akan mematuhi ‘Hukum-Nya yang sempurna,’ iaitu segala yang dikehendaki-Nya.—Mzm. 19:8-12.

21. Doa anda yang tulus bagaikan apa?

21 Kasih kepada Yehuwa akan mendorong anda untuk selalu berdoa kepada-Nya dengan tulus. Pada zaman Israel, imam membakar kemenyan setiap hari. Oleh itu Daud bernyanyi, “Terimalah doaku sebagai kemenyan, dan sambutlah tangan yang aku tadahkan sebagai korban malam.” (Mzm. 141:2, ABB; Kel. 30:7, 8) Semoga doa yang anda sampaikan dengan rendah hati, rayuan anda yang tulus, dan kata-kata pujian anda bagaikan kemenyan harum yang diperkenankan Yehuwa.—Why. 5:8.

22. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

22 Yesus berkata bahawa kita mesti mengasihi Tuhan dan orang lain. (Mat. 22:37-39) Dalam rencana yang seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana kasih kepada Yehuwa dan prinsip-Nya membantu kita untuk mengasihi orang lain dan memperlakukan mereka dengan baik.