Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Kasihilah Sesama Manusia seperti Kamu Mengasihi Dirimu Sendiri”

“Kasihilah Sesama Manusia seperti Kamu Mengasihi Dirimu Sendiri”

“Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”—MAT. 22:39, ABB.

1, 2. (a) Menurut Yesus, apakah perintah yang kedua penting? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

SEORANG Farisi menanya Yesus, “Guru, perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?” Seperti yang dibincangkan dalam rencana lepas, Yesus menjawab, ‘“Kasihilah Yehuwa Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.” Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting.’ Yesus menambah, ‘Perintah kedua ialah: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’—Mat. 22:34-39, ABB.

2 Yesus berkata bahawa kita perlu mengasihi “sesama manusia” seperti diri sendiri. Persoalannya ialah: Siapakah sebenarnya “sesama manusia”? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kepada mereka?

SIAPAKAH SEBENARNYA “SESAMA MANUSIA”?

3, 4. (a) Bagaimanakah Yesus menjawab pertanyaan, “Siapakah sesama saya?” (b) Bagaimanakah orang Samaria membantu lelaki yang cedera itu? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Guru Taurat pernah bertanya kepada Yesus, “Siapakah sesama saya?” Yesus menjawab dengan sebuah cerita ibarat tentang orang Samaria yang baik hati. (Baca Lukas 10:29-37.) Dalam cerita itu, seorang lelaki telah dirompak, dipukul, dan ditinggalkan di tepi jalan. Kita mungkin menjangka bahawa imam Israel dan orang Lewi yang lalu di situ akan menolongnya. Sebaliknya, mereka tidak menghiraukan lelaki itu. Akhirnya seorang Samaria membantu lelaki itu. Pada masa itu, orang Samaria dan orang Yahudi saling membenci.—Yoh. 4:9.

4 Orang Samaria itu membersihkan dan mengubati luka lelaki yang cedera dengan wain dan minyak. Kemudian, dia memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan untuk menjaga lelaki itu. Nilai wang itu sama dengan upah dua hari. (Mat. 20:2) Jadi, jelaslah siapa sebenarnya sesama lelaki yang cedera itu. Cerita Yesus ini mengajar kita cara untuk mengasihi dan menunjukkan belas kasihan kepada orang lain.

Umat Yehuwa sentiasa menunjukkan kasih kepada orang lain (Lihat perenggan 5)

5. Bagaimanakah umat Yehuwa menunjukkan kasih kepada mangsa bencana alam?

5 Tidak ramai orang yang berbelas kasihan seperti orang Samaria itu, terutamanya pada “hari-hari terakhir.” Ramai tidak mengasihi orang lain, bersifat garang, dan membenci kebaikan. (2 Tim. 3:1-3) Misalnya, setelah taufan Sandy melanda Bandaraya New York pada Oktober 2012, mangsa bencana tidak mempunyai elektrik dan keperluan asas yang lain. Namun, terdapat orang yang mengambil kesempatan dengan merompak mereka. Sebaliknya, kerana didorong oleh kasih, Saksi-Saksi Yehuwa telah membuat aturan untuk membantu rakan seiman dan orang lain. Apakah cara lain kita menunjukkan kasih?

CARA MEMPERLIHATKAN KASIH

6. Bagaimanakah kita boleh membantu orang lain dengan menggunakan Bible?

6 Tawarkan bantuan rohani. Kita membantu orang untuk “bersabar dan berteguh hati” melalui Bible. (Rm. 15:4) Kita menunjukkan kasih kepada orang lain ketika mengongsi kebenaran Bible tentang Kerajaan Tuhan. (Mat. 24:14) Betapa gembiranya kita kerana berpeluang untuk menghebahkan berita baik daripada ‘Tuhan yang memberikan harapan’!—Rm. 15:13

7. Apakah prinsip di Matius 7:12, dan apakah berkat yang diperoleh dengan menerapkan prinsip ini?

7 Terapkan prinsip di Matius 7:12. Yesus berkata, “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Inilah inti Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi.” (Mat. 7:12, ABB) “Taurat Musa” merujuk kepada buku Kejadian hingga Ulangan, dan “ajaran nabi-nabi” merujuk kepada buku-buku nubuat dalam Kitab Ibrani. Yehuwa memberikan “Taurat Musa” dan “ajaran nabi-nabi” kerana Dia mengasihi umat-Nya dan ingin mereka mengasihi satu sama lain. Begitu juga, Yehuwa mahu kita mengasihi orang lain. Melalui Yesaya, Yehuwa berkata bahawa Dia akan memberkati orang yang ‘melakukan apa yang adil dan sesuai dengan hukum-Nya.’ (Yes. 56:1, 2) Kita diberkati kerana menunjukkan kasih kepada sesama manusia.

8. Mengapakah kita harus mengasihi musuh? Apakah hasil baik jika kita berbuat demikian?

8 Kasihilah musuh anda. Yesus berkata, ‘Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: “Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.” Tetapi sekarang aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga.’ (Mat. 5:43-45, ABB) Rasul Paulus pun berkata sedemikian, “Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, berilah dia minuman.” (Rm. 12:20; Ams. 25:21) Menurut Hukum Musa, seseorang harus membantu keldai musuhnya yang telah jatuh. (Kel. 23:5) Dengan demikian, orang yang bermusuhan dapat menjadi kawan semula. Kasih yang kita tunjukkan kepada musuh dapat mengubah pandangan mereka terhadap kita. Malah, mereka mungkin akan menerima kebenaran.

9. Apakah nasihat Yesus mengenai pentingnya untuk berdamai dengan rakan seiman?

9 “Hidup rukun dengan semua orang.” (Ibr. 12:14) Sudah tentu “semua orang” merangkumi rakan seiman. Yesus berkata, ‘Apabila kamu hendak mempersembahkan pemberian di atas mazbah kepada Tuhan, lalu teringat bahawa saudaramu sakit hati terhadap kamu, tinggalkanlah pemberianmu di hadapan mazbah. Pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Tuhan.’ (Mat. 5:23, 24, ABB) Kita akan diberkati jika kita mengasihi rakan seiman serta mengambil tindakan untuk berdamai dengan mereka.

10. Mengapakah kita tidak harus mencari kesilapan orang lain?

10 Jangan suka mencari kesilapan. Yesus berkata, ‘Jangan hakimi orang lain, supaya Tuhan tidak menghakimi kamu juga. Tuhan akan menghakimi kamu sebagaimana kamu menghakimi orang lain. Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Tuhan untuk kamu. Mengapakah kamu perhatikan selumbar [jerami] di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di dalam matamu tidak kamu perhatikan? Bagaimana kamu dapat berkata kepada saudaramu, “Biarlah saya keluarkan selumbar daripada mata saudara,” sedangkan ada kayu balak di dalam matamu sendiri? Hai munafik! Keluarkan dahulu kayu balak dari matamu, barulah kamu dapat melihat dengan jelas, lalu keluarkan selumbar dari mata saudaramu.’ (Mat. 7:1-5, ABB) Pengajarannya ialah supaya kita tidak mengkritik kesilapan kecil orang lain kerana kita sendiri mungkin melakukan banyak kesilapan.

CARA ISTIMEWA UNTUK MENUNJUKKAN KASIH

11, 12. Apakah cara penting kita memperlihatkan kasih kepada orang lain?

11 Cara terbaik untuk menunjukkan kasih adalah dengan menginjil tentang Kerajaan Tuhan seperti yang dilakukan Yesus. (Luk. 8:1) Yesus memberitahu murid-muridnya, ‘Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku.’ (Mat. 28:19, 20) Dengan melaksanakan tugas tersebut, kita membantu orang meninggalkan jalan lebar yang menuju kebinasaan dan memasuki jalan sempit yang menuju kehidupan. (Mat. 7:13, 14) Yehuwa pasti memberkati usaha sebegini.

12 Seperti Yesus, kita membantu orang untuk sedar akan keperluan rohani mereka. (Mat. 5:3) Kita membantu memenuhi keperluan rohani orang yang tulus dengan mengongsi ‘Berita Baik daripada Tuhan’ kepada mereka. (Rm. 1:1) Orang yang menerima kebenaran menjadi sahabat Tuhan melalui Yesus Kristus. (2 Kor. 5:18, 19) Maka, kerja penyebaran merupakan cara yang penting untuk memperlihatkan kasih kepada orang lain.

13. Apakah perasaan anda semasa mengajar orang tentang Yehuwa?

13 Dengan membuat kunjungan kembali dan pembelajaran Bible yang berkesan, kita berasa puas kerana membantu orang agar hidup selaras dengan prinsip Tuhan. Seorang pelajar Bible mungkin perlu membuat banyak perubahan dalam kehidupannya. (1 Kor. 6:9-11) Sudah tentu kita gembira melihat bagaimana Tuhan membantu orang yang tulus untuk membuat perubahan dan menjalin hubungan yang akrab dengan-Nya. (Kis. 13:48) Ramai yang putus harapan meraih sukacita, dan yang khuatir menjadi lebih yakin dengan bergantung pada Tuhan. Kita amat gembira melihat kemajuan rohani orang yang baru menerima kebenaran. Tidakkah anda setuju bahawa menginjil merupakan cara yang istimewa untuk menunjukkan kasih kepada orang lain?

PENERANGAN PAULUS TENTANG KASIH

14. Apakah ciri-ciri kasih yang diterangkan Paulus di 1 Korintus 13:4-8?

14 Jika kita menerapkan nasihat Paulus tentang kasih semasa berurusan dengan orang lain, kita boleh mengelakkan banyak masalah. Hasilnya kita akan bahagia dan menikmati berkat Yehuwa. (Baca 1 Korintus 13:4-8.) Mari kita kupas kata-kata Paulus mengenai kasih dan lihat cara untuk menerapkannya.

15. (a) Mengapakah kita harus menunjukkan kesabaran dan kebaikan hati? (b) Mengapakah kita tidak harus iri hati atau bercakap besar?

15 Kasih itu “sabar dan baik hati.” Yehuwa menunjukkan kesabaran dan kebaikan hati kepada semua manusia meskipun mereka tidak sempurna. Kita juga perlu bersabar dan baik hati terhadap orang yang melakukan kesilapan, atau menyakiti hati kita. Kasih “tidak iri hati,” jadi kita tidak menginginkan harta benda atau peluang istimewa yang dinikmati orang lain. Selain itu, kasih mendorong kita untuk tidak bercakap besar atau menjadi sombong. Bible menyatakan bahawa Yehuwa membenci orang yang “dikuasai oleh kesombongan dan keangkuhan.”—Ams. 21:4.

16, 17. Bagaimanakah kita boleh menerapkan prinsip di 1 Korintus 13:5, 6?

16 Kasih juga mendorong kita untuk tidak berkasar dengan orang lain. Maksudnya kita tidak akan menipu, mencuri, atau melakukan apa sahaja yang melanggar hukum Yehuwa. Kasih juga membantu kita supaya tidak mementingkan diri. Sebaliknya kita mengutamakan kepentingan orang lain.—Flp. 2:4.

17 Kasih sejati “tidak cepat tersinggung, dan tidak mendendam.” Kita tidak akan menyenaraikan semua kesilapan yang dilakukan orang lain. (1 Tes. 5:15) Jika kita mendendam, kemarahan kita seolah-olah membara dan boleh menyala bila-bila masa sehingga mencederakan kita serta orang lain. Hal ini tidak menyenangkan Tuhan. (Im. 19:18) Kasih bersukacita atas perkara yang benar. Tetapi kasih “tidak gembira dengan kejahatan.” Hal ini bermakna kita tidak akan gembira melihat seseorang dianiaya atau diperlakukan dengan tidak adil, walaupun orang itu musuh kita.—Baca Amsal 24:17, 18.

18. Apakah yang kita pelajari mengenai kasih daripada 1 Korintus 13:7, 8?

18 Paulus juga berkata bahawa kasih “tahan menghadapi segala sesuatu.” Jika seseorang menyakiti hati kita, tetapi kemudian meminta maaf, kasih akan mendorong kita untuk mengampuninya. Kasih “mempercayai” segala sesuatu dalam Firman Tuhan dan menggerakkan kita untuk menunjukkan penghargaan terhadap makanan rohani yang diterima. Kasih “tidak hilang harapan” terhadap janji Bible. Malah kita didorong untuk mengongsi harapan ini dengan orang lain. (1 Ptr. 3:15) Apabila mengalami masalah, kita boleh berdoa dan tidak hilang harapan. Kasih “sentiasa bersabar” menghadapi segala sesuatu, sama ada kesalahan orang terhadap kita, ataupun cabaran lain. Justeru kasih tidak pernah gagal. Mereka yang setia kepada Yehuwa akan memperlihatkan kasih untuk selama-lamanya.

TERUS KASIHI SESAMA MANUSIA SEPERTI DIRIMU SENDIRI

19, 20. Apakah nasihat Bible yang mendorong kita untuk menunjukkan kasih?

19 Kita dapat terus menunjukkan kasih kepada orang lain dengan menerapkan nasihat Bible. Kita mengasihi semua orang dan bukan hanya orang yang sebangsa dengan kita. Ingatlah kata-kata Yesus, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Mat. 22:39) Tuhan dan Yesus ingin kita menunjukkan kasih. Dalam sesebuah situasi, jika kita tidak pasti bagaimana untuk berurusan dengan orang lain, kita boleh memohon daya aktif Tuhan. Dengan demikian, Yehuwa tentu akan memberkati dan membantu kita.—Rm. 8:26, 27.

20 Perintah untuk mengasihi sesama manusia adalah sangat penting dan dipanggil ‘hukum Pemerintahan Tuhan.’ (Yak. 2:8) Selepas merujuk kepada Hukum Musa, Paulus berkata, “Semua ini dan hukum yang lain, sudah disimpulkan menjadi satu hukum sahaja, ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Orang yang mengasihi orang lain, tidak akan berbuat jahat kepada orang itu. Oleh itu orang yang mengasihi sesama manusia, mentaati keseluruhan Taurat.” (Rm. 13:8-10, ABB) Jadi, kita perlu terus menunjukkan kasih.

21, 22. Mengapakah kita perlu mengasihi Tuhan dan sesama manusia?

21 Semasa merenungkan mengapa kita perlu menunjukkan kasih, adalah baik juga untuk berfikir tentang kata-kata Yesus bahawa Bapanya ‘menerbitkan matahari untuk orang yang baik dan yang jahat. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati Tuhan dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya.’ (Mat. 5:43-45) Kita juga perlu mengasihi orang lain, tidak kira mereka mentaati Tuhan atau tidak. Satu cara penting untuk menunjukkan kasih adalah dengan menginjil tentang Kerajaan Tuhan. Jika mereka menerima berita baik, sudah pasti mereka menikmati banyak berkat.

22 Terdapat banyak sebab mengapa kita mengasihi Yehuwa. Kita juga boleh menunjukkan kasih kepada orang lain dalam pelbagai cara. Dengan menunjukkan kasih kepada Tuhan dan sesama manusia, kita menunjukkan bahawa kita menghormati perintah Yesus. Yang penting sekali, kita menyenangkan Bapa kita, Yehuwa.