KISAH HIDUP
Kehilangan Bapa— Menjumpai Bapa
BAPA saya lahir di Graz, Austria, pada 1899. Semasa Perang Dunia I, dia masih muda. Selepas Perang Dunia II tercetus pada 1939, dia dikerah untuk menyertai tentera Jerman. Dia dibunuh pada 1943 semasa berperang di Rusia. Pada waktu itu saya berumur dua tahun. Saya tidak pernah mengenali bapa. Saya merindunya sewaktu melihat kebanyakan rakan sekolah mempunyai seorang bapa. Semasa remaja, saya berasa lega apabila belajar tentang Bapa di syurga yang Agung dan tidak boleh mati.—Hab. 1:12.
PENGALAMAN SEBAGAI PENGAKAP
Sewaktu berumur tujuh tahun, saya menyertai persatuan Pengakap. Persatuan ini merupakan organisasi antarabangsa yang ditubuhkan pada 1908 di Great Britain oleh Leftenan Jeneral tentera British, Robert Stephenson Smyth Baden-Powell. Pada 1916, dia menubuhkan persatuan Pengakap Serigala bagi budak lelaki yang lebih muda seperti saya.
Kami biasanya berkhemah di desa pada hujung minggu. Saya suka tidur dalam khemah, memakai pakaian seragam, dan berkawad mengikut rentak dram. Saya sangat menikmati pergaulan bersama Pengakap lain. Pada waktu petang, kami berkumpul di sekeliling unggun api dan bernyanyi bersama serta bermain di dalam hutan. Kami juga banyak belajar tentang alam semula jadi, dan hal ini membuat saya menghargai karya Pencipta kita.
Pengakap digalakkan untuk membuat amalan baik setiap hari. Cogan kata mereka ialah “Selalu Bersedia.” Hal ini menarik bagi saya. Dalam kumpulan kami, terdapat lebih daripada seratus budak lelaki. Separuh daripada mereka beragama Katolik, separuh lagi beragama Protestan, dan seorang beragama Buddha.
Sejak 1920, perjumpaan Pengakap antarabangsa, atau jambori diadakan beberapa tahun sekali. Pada Ogos 1951, saya menghadiri perjumpaan Pengakap yang ketujuh di Bad Ischl, Austria. Kemudian pada Ogos 1957, saya menghadiri perjumpaan yang kesembilan di Sutton Park, England. Pada waktu itu, seramai 33,000 Pengakap dari 85 negara hadir. Seramai 750,000 pelawat juga hadir, termasuk Ratu Elizabeth dari England. Bagi saya, para Pengakap adalah seperti persaudaraan sedunia. Namun, saya akan mengenali persaudaraan yang lebih unggul, iaitu persaudaraan rohani.
PERTAMA KALI BERJUMPA DENGAN SAKSI
Pada musim bunga 1958, saya hampir tamat latihan sebagai pelayan restoran di Grand Hotel Wiesler di Graz, Austria. Seorang rakan sekerja, Rudolf Tschiggerl, telah menginjil kepada saya. Itulah kali pertama saya mendengar tentang kebenaran. Dia berkata bahawa ajaran Tritunggal tidak
berasal daripada Bible. Saya pula percaya pada ajaran Tritunggal dan ingin membuktikan kepadanya bahawa ajaran itu benar. Saya rapat dengan Rudolf dan ingin memujuknya kembali kepada agama Katolik.Rudolf, yang juga dikenali sebagai Rudi ingin memberi saya Bible. Saya memberitahunya bahawa saya hanya menerima Bible Katolik. Apabila saya mula membaca Bible yang diberinya, saya mendapati bahawa Rudi telah menyelit sehelai risalah dari Watchtower Society di dalamnya. Saya tidak suka risalah tersebut kerana berasa bahawa kandungannya tidak semestinya betul. Namun saya rela berbincang dengan Rudi tentang Bible. Dia juga tidak lagi memberikan bahan bacaan lain kepada saya. Selama tiga bulan, kami kadangkala berbincang tentang Bible hingga ke larut malam.
Selepas menamatkan latihan saya di Graz, ibu membiayai pengajian saya di sekolah pengurusan hotel. Saya telah berpindah ke Bad Hofgastein, sebuah pekan di lembah Alps. Sekolah tersebut mempunyai ikatan dengan Grand Hotel di Bad Hofgastein. Ada kalanya saya bekerja di sana untuk mendapatkan pengalaman.
DIKUNJUNGI OLEH DUA SAUDARI
Rudi telah menghantar alamat baru saya kepada pejabat cawangan Vienna. Pejabat cawangan kemudian menghantar dua mubaligh, saudari Ilse Unterdörfer dan Elfriede Löhr. * Pada suatu hari, saya hairan apabila menerima panggilan dari lobi bahawa ada dua wanita dalam kereta ingin berjumpa dengan saya. Saya pun pergi berjumpa dengan mereka. Kemudian saya mendapati bahawa mereka pernah berkhidmat sebagai pengirim bahan bacaan kepada Saksi di Jerman ketika kerja penyebaran dilarang oleh Nazi, sebelum Perang Dunia II. Malah, sebelum perang tercetus, mereka telah ditangkap oleh polis Jerman (Gestapo) dan dihantar ke kem konsentrasi di Lichtenburg. Semasa peperangan, mereka dipindahkan ke kem di Ravensbrück, berdekatan Berlin.
Umur dua saudari itu hampir sama dengan ibu saya. Jadi, saya menghormati mereka. Saya tidak ingin membazirkan masa mereka dengan mengadakan perbincangan tetapi kemudian memberitahu mereka bahawa saya tidak berminat. Maka, saya meminta mereka untuk membawa senarai ayat Bible tentang ajaran Katolik yang dikenali sebagai apostolic succession. Menurut ajaran itu, rasul Petrus ialah paus yang pertama dan kekuasaannya diturunkan kepada paus-paus yang lain. Saya memberitahu mereka bahawa saya akan berbincang dengan paderi tentang senarai ayat itu. Saya berfikir bahawa dengan berbuat demikian, saya akan menemui kebenaran.
MEMPELAJARI KEBENARAN TENTANG BAPA KITA DI SYURGA
Gereja Katolik telah mentafsirkan kata-kata Yesus di Matius 16:18, 19 untuk menyokong ajaran apostolic succession. Gereja Katolik juga mendakwa bahawa paus yang disebut sebagai Bapa Suci, tidak pernah salah apabila mengajar tentang doktrin agama. Ramai penganut Katolik berpaut erat pada ajaran ini. Saya juga mempercayainya dan berfikir bahawa jika paus mengatakan bahawa Tritunggal adalah betul, maka ajaran itu memang betul. Tetapi jika paus boleh melakukan kesilapan, maka ajaran Tritunggal mungkin tidak benar.
Paderi yang saya kunjungi tidak dapat menjawab pertanyaan saya. Dia memberikan sebuah buku mengenai ajaran apostolic succession dan meminta saya membacanya. Saya melakukan apa yang dia suruh, dan kemudian kembali dengan lebih banyak soalan. Oleh sebab dia tidak dapat menjawab soalan-soalan saya, akhirnya dia berkata, “Saya tidak dapat meyakinkan kamu, dan kamu tidak dapat meyakinkan saya. . . . Semoga kamu berjaya!” Dia tidak ingin berbincang dengan saya lagi.
Selepas itu, saya bersedia untuk belajar Bible bersama Ilse dan Elfriede. Mereka mengajar saya tentang Bapa Yang Suci di syurga, Tuhan Yehuwa. (Yoh. 17:11) Pada masa itu, belum ada sidang di kawasan tersebut. Jadi, dua saudari ini mengadakan perjumpaan di rumah sebuah keluarga. Hadirin hanya sedikit. Oleh sebab tiada saudara yang layak untuk mengambil pimpinan, kebanyakan acara perjumpaan dikendalikan oleh dua orang saudari ini. Kadangkala, seorang saudara dari tempat lain datang untuk memberikan ceramah di tempat yang disewa.
MULA MENGINJIL
Ilse dan Elfriede mula mengajar Bible kepada saya pada Oktober 1958. Tiga bulan kemudian, pada Januari 1959, saya telah dibaptis. Sebelum dibaptis, saya meminta agar dapat menginjil dari rumah ke rumah bersama mereka. (Kis. 20:20) Selepas keluar menginjil buat kali pertama, saya meminta sebuah kawasan penyebaran. Mereka telah menugaskan saya untuk menginjil di sebuah pekan. Saya menginjil di sana dan juga melakukan kunjungan kembali kepada mereka yang berminat. Saudara pertama yang menemani saya semasa menginjil ialah seorang penyelia litar.
Pada 1960, selepas tamat pengajian di sekolah pengurusan hotel, saya balik ke kampung untuk membantu saudara-mara mempelajari kebenaran. Sehingga ke hari ini, tiada yang menerima kebenaran. Namun ada beberapa daripada mereka yang menunjukkan minat.
MENCEBURI KHIDMAT SEPENUH MASA
Pada 1961, sepucuk surat daripada pejabat cawangan yang menggalakkan khidmat perintis telah dibacakan di sidang. Saya masih bujang dan sihat. Jadi, saya tiada alasan untuk tidak merintis. Saya menanya pendapat penyelia litar, Kurt Kuhn, jika adalah bijak untuk bekerja selama beberapa bulan supaya dapat membeli kereta untuk merintis. Dia berkata, “Adakah Yesus dan para rasul memerlukan kereta untuk berkhidmat sepenuh masa?” Kata-kata itu mendorong saya untuk merintis secepat mungkin. Memandangkan saya bekerja 72 jam seminggu, saya perlu membuat perubahan.
Saya bertanya kepada bos jika saya boleh bekerja 60 jam seminggu. Dia setuju dan masih membayar gaji yang sama. Tidak lama kemudian saya bertanya kalau boleh bekerja 48 jam seminggu. Bos setuju dan membayar gaji yang sama. Kemudian saya meminta lagi jika saya boleh bekerja hanya 36 jam seminggu, atau 6 jam sehari untuk 6 hari. Bos juga menyetujui permohonan itu dan saya masih menerima gaji yang sama!
Nampaknya, bos tidak ingin saya berhenti. Selepas penyesuaian itu, saya mula berkhidmat sebagai perintis biasa. Ketika itu, masa yang perlu diluangkan oleh perintis biasa ialah 100 jam sebulan.Empat bulan kemudian saya dilantik sebagai perintis khas dan koordinator badan penatua. Saya berkhidmat di sebuah sidang kecil di pekan Spittal an der Drau, daerah Carinthia. Pada masa itu, perintis khas perlu meluangkan masa 150 jam sebulan. Saya tidak mempunyai rakan merintis. Jadi, saya amat menghargai sokongan daripada saudari Gertrude Lobner yang berkhidmat sebagai setiausaha sidang.
PELBAGAI TUGASAN
Pada 1963, saya ditugaskan untuk melakukan kerja litar. Ada kalanya saya membuat perjalanan ke sidang dengan menaiki kereta api bersama beg yang berat. Kebanyakan saudara saudari tidak mempunyai kereta. Maka, mereka tidak dapat menjemput saya di stesen kereta api. Jika saya menaiki teksi, orang lain mungkin berfikir bahawa saya menunjuk-nunjuk. Jadi, saya berjalan kaki ke rumah mereka.
Pada 1965, saya masih bujang dan dijemput untuk menghadiri Sekolah Gilead yang ke-41. Kebanyakan rakan sekelas saya juga bujang. Selepas tamat sekolah, saya terkejut kerana ditugaskan kembali ke negara asal saya, Austria, sebagai penyelia litar. Namun, sebelum meninggalkan Amerika Syarikat, saya diminta untuk menemani seorang penyelia litar selama empat minggu. Saya amat bersyukur kerana dapat berkhidmat bersama Anthony Conte, seorang saudara yang amat mahir dan juga menyukai kerja penyebaran. Kami berkhidmat di Cornwall, bahagian utara New York.
Apabila kembali ke Austria, saya ditugaskan untuk berkhidmat di sebuah litar di mana saya berjumpa dengan Tove Merete, seorang saudari bujang yang menawan. Dia dibesarkan dalam kebenaran sejak berumur lima tahun. Apabila saudara saudari bertanya bagaimana kami bertemu, kami bergurau dengan berkata, “Pejabat cawangan yang merancangnya.” Kami berkahwin setahun kemudian pada April 1967. Kami diizinkan untuk meneruskan khidmat lawatan bersama.
Pada tahun yang seterusnya, saya menerima penghormatan besar untuk menjadi salah seorang anak rohani Tuhan. Sebagai kaum terurap, saya mula mempunyai hubungan yang istimewa dengan Bapa saya di syurga dan ‘memanggil Tuhan “Bapa, ya Bapaku,”’ seperti yang tercatat di Roma 8:15.
Saya dan Merete meneruskan khidmat lawatan litar dan distrik sehingga 1976. Semasa musim salji, kami kadangkala tidur tanpa menggunakan pemanas dan suhu berada di bawah takat beku. Pernah sekali kami terbangun dan bahagian atas selimut telah membeku kerana nafas kami. Akhirnya kami perlu membawa sebuah pemanas yang kecil bersama. Di sesetengah tempat, untuk menggunakan tandas pada waktu malam, kami harus keluar dari rumah dan berjalan melalui salji dalam keadaan yang sangat sejuk. Kami juga tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap, maka
setiap hari Isnin kami biasanya tinggal di rumah saudara saudari yang dilawat. Pada hari Selasa pagi kami bertolak ke sidang yang seterusnya.Saya gembira kerana isteri saya menyokong saya dengan baik sekali. Oleh sebab dia sangat menyukai kerja penyebaran, saya tidak perlu menggalakkannya untuk menginjil. Dia juga sangat menyayangi rakan seiman dan mengambil berat tentang mereka. Sokongannya amat saya hargai.
Pada 1976, kami dijemput untuk berkhidmat di pejabat cawangan Vienna, Austria. Saya dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan. Pada masa itu, pejabat cawangan Austria mengawasi kerja di beberapa negara Eropah Timur, termasuk membuat aturan untuk menyusupkan bahan bacaan ke negara tersebut. Saudara Jürgen Rundel mengambil pimpinan dalam aturan ini, dan dia amat bersemangat. Saya berpeluang bekerja bersamanya. Kemudian saya menyelia kerja penterjemahan ke dalam 10 bahasa Eropah Timur. Sekarang, Jürgen dan isterinya, Gertrude berkhidmat sebagai perintis khas di Jerman. Bermula 1978, pejabat cawangan Austria mencetak bahan bacaan ke dalam enam bahasa dengan menggunakan kaedah fototaip dan mesin cetak yang kecil. Kami juga menghantar majalah langganan ke negara yang memerlukannya. Otto Kuglitsch telah menyelia kerja ini. Dia bersama isterinya Ingrid, berkhidmat di pejabat cawangan di Jerman hari ini.
Saudara di Eropah Timur telah menghasilkan bahan bacaan di negara sendiri dengan menggunakan mesin mimeograf serta menghasilkan bahan bacaan daripada filem. Namun, mereka memerlukan bantuan dari negara lain juga. Yehuwa telah melindungi aktiviti ini. Kami juga menyayangi mereka yang telah menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun dalam keadaan yang mencabar di negara di mana kerja ini dilarang.
KUNJUNGAN ISTIMEWA KE ROMANIA
Pada 1989, saya menerima peluang istimewa untuk menemani Saudara Theodore Jaracz, seorang ahli Badan Pimpinan, ke Romania. Lawatan itu bertujuan untuk membantu sebilangan besar saudara saudari untuk kembali kepada organisasi Yehuwa. Pada awal 1949, saudara saudari di Romania telah memutuskan hubungan dengan
organisasi dan mendirikan sidang-sidang sendiri. Walaupun begitu, mereka masih menginjil dan membaptiskan orang. Mereka juga dipenjarakan kerana enggan terlibat dalam hal politik, seperti saudara saudari lain dalam organisasi kita. Pada masa itu, kerja kami di Romania masih dilarang. Maka, kami berjumpa secara rahsia di rumah Saudara Pamfil Albu, bersama dengan empat orang penatua dan wakil-wakil daripada Jawatankuasa Tempatan Romania. Kami juga membawa Rolf Kellner, seorang penterjemah dari Austria.Pada malam kedua perbincangan kami, Saudara Albu cuba meyakinkan empat orang penatua untuk bersatu semula dengan organisasi Yehuwa. Dia berkata, “Jika kita tidak melakukannya sekarang, kita mungkin tidak berpeluang untuk melakukannya lagi.” Akhirnya, sekitar 5,000 saudara saudari kembali kepada organisasi. Hal ini merupakan kemenangan bagi Yehuwa dan satu tamparan hebat kepada Syaitan!
Menjelang akhir 1989, sebelum kejatuhan kuasa Komunis di Eropah Timur, Badan Pimpinan telah menjemput saya dan isteri untuk berkhidmat di ibu pejabat New York. Kami berasa sangat teruja. Kami mula berkhidmat di sana pada bulan Julai 1990. Pada 1992, saya dilantik sebagai pembantu kepada Jawatankuasa Penyebaran bagi Badan Pimpinan. Sejak bulan Julai 1994, saya telah menerima peluang istimewa untuk berkhidmat sebagai ahli Badan Pimpinan.
KENANGAN MASA LALU DAN HARAPAN MASA DEPAN
Kerja saya sebagai seorang pelayan di hotel telah lama berlalu. Sekarang saya menikmati peluang untuk menyediakan dan mengagihkan makanan rohani kepada persaudaraan Kristian sedunia kita. (Mat. 24:45-47) Mengenang kembali lebih daripada 50 tahun dalam khidmat sepenuh masa mendorong saya untuk menghargai berkat-berkat Yehuwa kepada kita semua. Saya gemar menghadiri konvensyen antarabangsa kerana di situ kita menyedari betapa pentingnya untuk belajar tentang Yehuwa dan kebenaran Bible.
Semoga berjuta-juta lagi akan mempelajari Bible, menerima kebenaran, dan menyembah Yehuwa dengan persaudaraan Kristian sedunia. (1 Ptr. 2:17) Saya juga menantikan masanya saya berada di syurga dan melihat pembangkitan di bumi, dan akhirnya mengetahui bapa sebenar saya. Saya berharap bahawa dia, ibu saya, serta saudara mara saya yang lain ingin menyembah Yehuwa di Firdaus.
Saya menantikan masanya saya berada di syurga dan melihat pembangkitan di bumi, dan akhirnya mengetahui bapa sebenar saya
^ per. 15 Lihat kisah hidup mereka dalam The Watchtower terbitan 1 November 1979.