Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Umat Yehuwa Menjauhi “Perbuatan yang Salah”

Umat Yehuwa Menjauhi “Perbuatan yang Salah”

“Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.”—2 TIM. 2:19.

1. Apakah aspek istimewa dalam ibadat kita?

PERNAHKAH anda melihat nama Yehuwa terukir pada sebuah bangunan atau pada barang pameran di muzium? Jika ya, anda pasti tertarik dan teruja. Kita ialah Saksi-Saksi Yehuwa, nama Tuhan merupakan suatu aspek istimewa dalam ibadat kita! Di seluruh dunia, tiada kumpulan lain yang menggunakan nama ilahi ini seperti kita. Namun, sebagai umat Tuhan yang menyandang nama-Nya, kita mempunyai tanggungjawab penting.

2. Apakah tanggungjawab kita sebagai Saksi-Saksi Yehuwa?

2 Menggunakan nama ilahi ini tidak bermaksud kita sudah diperkenankan oleh Yehuwa. Kita harus hidup mengikut prinsip-Nya. Oleh itu, Bible mengingatkan kita bahawa umat Yehuwa harus ‘meninggalkan yang jahat.’ (Mzm. 34:15) Rasul Paulus menjelaskan prinsip ini dengan menulis, “Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.” (2 Tim. 2:19) Sebagai orang Kristian yang menggunakan nama Yehuwa, bagaimanakah kita dapat menjauhi perbuatan yang salah?

‘JAUHI’ KEJAHATAN

3, 4. Apakah ayat Bible yang menarik perhatian ramai cendekiawan Bible, dan mengapa?

3 Baca 2 Timotius 2:19. Dalam ayat ini, Paulus merujuk kepada ‘asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Tuhan.’ Pada asas kukuh ini terdapat dua mesej. Mesej pertama ialah: “Tuhan mengenal orang milik-Nya,” yang dipetik daripada Bilangan 16:5. (Lihat rencana sebelumnya.) Mesej kedua ialah: “Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.” Ayat ini menarik minat ramai cendekiawan Bible. Mengapa?

4 Cara penulisan Paulus menunjukkan bahawa ayat itu mungkin dipetik daripada Kitab Ibrani. Namun ayat itu tidak dijumpai dalam Kitab Ibrani. Jadi apakah maksud Paulus apabila dia berkata, “Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah”? Mesej yang pertama berkait dengan kisah pemberontakan Korah. Mungkinkah mesej yang kedua juga berkait dengan kisah itu?

5-7. Apakah peristiwa pada zaman Musa yang menjadi latar belakang kepada kata-kata Paulus di 2 Timotius 2:19? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Bible berkata bahawa Datan dan Abiram, anak Eliab, telah menyertai Korah dalam pemberontakan menentang Musa dan Harun. (Bil. 16:1-5) Mereka tidak menghormati Musa sebagai wakil Yehuwa. Namun, mereka masih tinggal bersama umat Yehuwa. Oleh itu, mereka memudaratkan kerohanian orang lain. Apabila hari penghakiman Yehuwa tiba, Dia telah memberikan arahan yang jelas sekali.

6 Bible menyatakan, ‘Yehuwa berfirman kepada Musa, “Suruhlah semua orang itu menjauhi khemah Korah, Datan, dan Abiram.” Kemudian Musa, disertai oleh para pemimpin Israel, pergi ke tempat Datan dan Abiram. Musa berkata kepada semua orang Israel di situ, “Jauhilah khemah semua orang yang jahat ini dan jangan sentuh apa-apa pun milik mereka. Jika kamu tidak menurut, kamu akan dibinasakan bersama-sama mereka kerana semua dosa mereka.” Maka mereka menjauhkan diri dari khemah Korah, Datan, dan Abiram.’ (Bil. 16:23-27, ABB) Kemudian Yehuwa membunuh semua pemberontak itu. Namun, mereka yang menjauhi orang jahat dan perbuatan yang salah terselamat.

7 Yehuwa dapat membaca hati manusia! Dia mengenal mereka yang menjadi milik-Nya. Namun, penyembah-Nya masih perlu bertindak dengan segera dan tegas untuk menghindari perbuatan yang jahat. Maka, Paulus mungkin merujuk kepada kisah di Bilangan 16:23-27 semasa dia menulis, “Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.” Ayat ini seiring dengan ayat yang ditulis Paulus, iaitu “Tuhan mengenal orang milik-Nya.”—2 Tim. 2:19.

JAUHI “PERDEBATAN YANG SIA-SIA DAN TIDAK BERGUNA”

8. Mengapakah memanggil nama Yehuwa atau menjadi sebahagian daripada sidang Kristian tidak memadai?

8 Dengan merujuk kepada peristiwa pada zaman Musa, Paulus mengingatkan Timotius bahawa dia perlu bertindak dengan segera dan tegas untuk melindungi hubungannya dengan Yehuwa. Pada zaman Musa, cuma memanggil nama Yehuwa tidak memadai. Begitu juga, menjadi sebahagian daripada sidang Kristian tidak mencukupi. Penyembah yang setia perlu menjauhi “perbuatan yang salah.” Apakah maksud ayat ini bagi Timotius? Bagaimanakah umat Yehuwa dewasa ini boleh mendapat manfaat daripada nasihat Paulus?

9. Bagaimanakah “perdebatan yang sia-sia dan tidak berguna” mempengaruhi sidang Kristian abad pertama?

9 Bible memberikan nasihat yang spesifik tentang perkara jahat yang harus dihindari oleh orang Kristian. Misalnya, di 2 Timotius 2:19, Paulus memberitahu, “Jangan bertengkar tentang istilah,” dan “jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang sia-sia.” (Baca 2 Timotius 2:14, 16, 23.) Sesetengah ahli sidang pada masa itu menggalakkan ajaran murtad. Yang lain pula, memperkenalkan pendapat yang boleh menimbulkan pertengkaran. Walaupun pendapat mereka tidak melanggar prinsip Bible, pendapat itu dapat memecahbelahkan sidang. Hal ini mengakibatkan pertengkaran dan perdebatan, serta suasana yang memudaratkan kerohanian ahli sidang. Maka, Paulus menekankan pentingnya untuk menjauhkan diri daripada “perdebatan yang sia-sia dan tidak berguna.”

10. Apakah sepatutnya tindakan kita apabila terdengar atau terlihat ajaran murtad?

10 Hari ini, kemurtadan jarang berlaku dalam sidang. Namun, apabila terdengar atau terlihat ajaran yang tidak berdasarkan Bible, kita harus menolak ajaran itu dengan segera dan tegas. Adalah tidak bijak untuk berdebat dengan orang murtad, tidak kira melalui laman web mereka atau cara lain. Kita mungkin mempunyai niat yang baik. Namun jika kita berbual dengan mereka, kita tidak mentaati arahan Bible yang baru kita bincangkan. Selaku umat Yehuwa, kita mengelakkan sepenuhnya, bahkan menolak kemurtadan.

Jangan berdebat dengan orang murtad (Lihat perenggan 10)

11. Apakah yang boleh mengakibatkan ‘perdebatan yang tidak berguna,’ dan bagaimanakah penatua boleh menetapkan teladan yang baik?

11 Terdapat perkara lain juga yang memecahbelahkan sidang. Contohnya, perbezaan pendapat tentang hiburan boleh mengakibatkan “perdebatan yang sia-sia dan tidak berguna.” Apabila seseorang memperkenalkan hiburan yang bercanggah dengan piawaian moral Yehuwa, para penatua tidak akan bertolak ansur semata-mata untuk mengelakkan perselisihan. (Mzm. 11:5; Ef. 5:3-5) Walaupun begitu, para penatua perlu berhati-hati agar tidak memberikan nasihat berdasarkan pandangan sendiri. Para penatua berpegang pada gesaan Bible, “Jagalah jemaah dengan senang hati . . . Janganlah bertindak sebagai penguasa terhadap orang yang dipercayakan kepada kamu, tetapi jadilah teladan kepada mereka.”—1 Ptr. 5:2, 3; baca 2 Korintus 1:24.

12, 13. (a) Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa memilih hiburan, dan apakah prinsip-prinsip Bible yang boleh diterapkan? (b) Bagaimanakah prinsip di perenggan 12 boleh diterapkan dalam hal-hal peribadi?

12 Mengenai hiburan, organisasi kita tidak mengharamkan filem, permainan video, buku, atau lagu-lagu tertentu. Mengapa? Bible menggalakkan kita untuk melatih daya penilaian masing-masing untuk “membezakan yang baik daripada yang jahat.” (Ibr. 5:14) Bible mengandungi prinsip asas yang dapat membantu orang Kristian memilih hiburan yang sesuai. Matlamat kita adalah untuk ‘melakukan apa yang menyenangkan hati Tuan.’ (Ef. 5:10) Bible mengajar bahawa kepala keluarga memiliki tanggungjawab. Maka, mereka mungkin membuat keputusan untuk tidak membenarkan hiburan tertentu di rumah. *1 Kor. 11:3; Ef. 6:1-4.

13 Prinsip Bible yang dibincangkan tadi bukan hanya diterapkan semasa memilih hiburan. Pandangan orang mengenai pakaian dan dandanan, kesihatan dan pemakanan, serta hal-hal peribadi yang lain juga mungkin menimbulkan perdebatan. Jika sesuatu perkara tidak bercanggah dengan prinsip Bible, umat Yehuwa tidak akan berdebat mengenainya. Menurut Bible, “Hamba Tuhan tidak sepatutnya bertengkar. Dia mesti ramah dengan semua orang.”—2 Tim. 2:24.

JAUHI PERGAULAN BURUK!

14. Apakah perumpamaan yang digunakan oleh Paulus untuk menunjukkan kepentingan menjauhi pergaulan buruk?

14 Sebagai hamba Tuhan, bagaimanakah kita dapat menghindari “perbuatan yang salah”? Kita tidak bergaul rapat dengan orang yang berbuat jahat. Selepas memberikan perumpamaan ‘asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Tuhan,’ Paulus memberikan perumpamaan yang lain. Dia menulis tentang sebuah “rumah yang besar.” Dalam rumah itu ada perkakas yang diperbuat “daripada perak dan emas, ada juga yang dibuat daripada kayu dan tanah. Ada yang digunakan untuk keperluan istimewa, ada juga yang digunakan untuk keperluan biasa [tidak mulia].” (2 Tim. 2:20, 21) Kemudian, dia menggesa orang Kristian untuk menghindari perkakas yang digunakan untuk keperluan yang tidak mulia.

15, 16. Apakah yang kita pelajari daripada perumpamaan tentang “rumah yang besar”?

15 Apakah makna perumpamaan ini? Paulus menggambarkan sidang Kristian sebagai “rumah yang besar,” dan ahli sidang sebagai perkakas rumah. Di dalam sebuah rumah, sesetengah perkakas mungkin sudah dicemari atau sudah kotor. Tuan rumah memastikan bahawa perkakas kotor diasingkan daripada perkakas bersih, seperti perkakas yang digunakan untuk memasak.

16 Begitu juga, umat Yehuwa hari ini berusaha untuk tetap bersih. Mereka mengelak daripada menjalin hubungan akrab dengan ahli sidang yang sering melanggar prinsip Bible. (Baca 1 Korintus 15:33.) Jika kita harus menjauhi pergaulan buruk di dalam sidang, lebih-lebih lagi kita harus ‘menjauhkan diri’ daripada orang di luar sidang yang bersikap ‘tamak, melawan ibu bapa, tidak mahu mengenal Tuhan, suka mengumpat, kejam, benci akan kebaikan, suka berkhianat, lebih menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Tuhan’!—2 Tim. 3:1-5.

TINDAKAN YANG TEGAS DAN SEGERA

17. Bagaimanakah orang Israel menunjukkan bahawa mereka mentaati Yehuwa?

17 Apabila orang Israel diberitahu untuk “menjauhi khemah Korah, Datan, dan Abiram,” mereka “segera menjauhkan diri.” (Bil. 16:24, 27, NW) Mereka tidak berlengah-lengah atau ragu-ragu untuk berbuat demikian. Mereka “menjauhkan diri dari sekeliling kawasan khemah Korah, Datan, dan Abiram.” Orang yang setia kepada Yehuwa tidak akan mengambil risiko. Mereka mentaati-Nya dengan sepenuh hati. Mereka memihak kepada Yehuwa dan melawan kejahatan. Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah ini?

18. Apakah maksud Paulus apabila menulis kepada Timotius untuk ‘menjauhkan diri daripada nafsu orang muda’?

18 Untuk memelihara hubungan baik dengan Yehuwa, kita perlu bertindak dengan segera dan tegas. Itulah yang dimaksudkan Paulus apabila dia berkata kepada Timotius, “Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda.” (2 Tim. 2:22) Pada masa itu, Timotius mungkin berada dalam lingkungan umur 30-an. Maka, hal ini bukan dihadapi oleh orang muda sahaja. Apabila menghadapi nafsu sebegini, Timotius perlu ‘menjauhkan diri’ daripadanya. Maksudnya Timotius perlu menghindari “perbuatan yang salah.” Yesus telah mengajar perkara yang sama, “Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu!” (Mat. 18:9) Tanpa berlengah-lengah, orang Kristian hari ini bertindak dengan segera apabila menghadapi ancaman rohani.

19. Berikan contoh tindakan tegas yang diambil sesetengah orang Kristian untuk melindungi diri daripada ancaman rohani.

19 Bagaimanakah sesetengah orang Kristian melindungi hubungan mereka dengan Yehuwa? Ada yang pernah ketagihan alkohol telah membuat keputusan untuk menjauhkan diri daripada minuman keras. Yang lain pula mungkin menghindari hiburan tertentu yang boleh membangkitkan nafsu yang salah dalam diri mereka. (Mzm. 101:3) Contohnya, sebelum menjadi Saksi, seorang saudara suka menghadiri pesta tarian di mana banyak orang berkelakuan tidak bermoral. Selepas menerima kebenaran dia langsung tidak mahu menari, bahkan di jamuan orang Kristian. Dia tidak mahu mengungkit kembali nafsu yang pernah dialaminya pada masa silam. Memang benar minuman alkohol, acara tarian, dan aktiviti lain tidak salah. Namun, jika aktiviti sebegini mengancam kerohanian kita, kita harus bertindak dengan tegas untuk melindungi diri.

20. Walaupun tidak senang untuk menghindari “perbuatan yang salah,” mengapakah kita boleh berasa lega?

20 Sebagai umat Yehuwa yang menyandang nama-Nya, kita mempunyai tanggungjawab penting. Kita perlu menghindari “perbuatan yang salah” dan ‘meninggalkan yang jahat.’ (Mzm. 34:15) Hal ini memang tidak senang. Namun kita berasa lega kerana Yehuwa akan sentiasa mengasihi “orang milik-Nya” dan yang berpegang pada ajaran-Nya yang adil dan benar.—2 Tim. 2:19; baca 2 Tawarikh 16:9a.

^ per. 12 Lihat rencana “Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Mengharamkan Wayang, Buku, atau Lagu Tertentu?” di jw.org/ms di bawah tajuk MENGENAI KAMI > SOALAN LAZIM.