Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

“Drama Eureka” Membantu Ramai Menemui Kebenaran

“Drama Eureka” Membantu Ramai Menemui Kebenaran

“EUREKA!,” teriak para pelombong yang menjumpai emas pada abad ke-19 di California, A.S. “Eureka” bermaksud “saya sudah menjumpainya!” Namun, Charles Taze Russell dan Pelajar Bible lain menjumpai sesuatu yang lebih bernilai—kebenaran Bible. Mereka gembira untuk mengongsi kebenaran ini.

Pada tahun 1914, jutaan orang di bandar besar seluas dunia telah melihat “Drama-Foto Penciptaan.” Tayangan lapan jam ini dihasilkan oleh Persatuan Pelajar Bible Antarabangsa (I.B.S.A.) dan mengandungi klip video yang memukau, slaid yang menarik, ulasan yang mempesonakan, serta muzik klasik yang merdu. Tayangan ini menceritakan kisah dari penciptaan sehingga Pemerintahan Seribu Tahun Kristus.—Why. 20:4. *

Bagaimana pula dengan orang luar bandar? Pada Ogos 1914, I.B.S.A. menghasilkan “Drama Eureka.” Tayangan mudah alih ini ialah “Drama-Foto” yang tidak mengandungi klip video. Tiga jenis “Drama Eureka” dihasilkan dalam pelbagai bahasa. “Eureka X” mempunyai semua rakaman suara dan muzik. “Eureka Y” mengandungi semua rakaman serta slaid yang cantik. “Drama Eureka bagi Keluarga” pula mengandungi ulasan dan lagu. Peti nyanyi dan projektor yang murah dapat diperoleh melalui I.B.S.A.

Projektor lampu gas digunakan untuk menunjukkan gambar slaid berwarna

Drama ini dapat ditayangkan di kawasan luar bandar kerana tidak memerlukan projektor atau skrin yang besar. Maka, berita Kerajaan mencapai kawasan yang lebih jauh. “Eureka X” yang mengandungi rakaman sahaja boleh dimainkan pada waktu siang atau malam. Projektor yang memainkan “Eureka Y” pula tidak memerlukan elektrik, tetapi menggunakan bahan api. Salah satu laporan dalam Watch Tower bahasa Finland menyatakan, “Kami boleh menunjukkan gambar-gambar ini hampir di mana-mana sahaja.”

Pelajar Bible tidak perlu menyewa pawagam, tetapi menggunakan kemudahan percuma seperti sekolah, mahkamah, stesen kereta api, malah ruang tamu rumah yang besar. “Drama Eureka” biasanya ditayangkan di luar rumah dengan menggunakan skrin putih yang digantung pada tepi bangsal. Anthony Hambuch menulis, “Para peladang menyediakan kawasan seperti stadium kecil di ladang mereka. Kayu balak digunakan sebagai tempat duduk supaya orang boleh menikmati program itu.” Kumpulan “Eureka” ini menggunakan sebuah kenderaan untuk mengangkut peralatan, bagasi, khemah, dan alat memasak.

Penonton “Drama Eureka” mungkin terdiri daripada beberapa orang ataupun ratusan orang. Di sebuah pekan di Amerika Syarikat yang berpenduduk 150 orang, sebanyak 400 orang telah melihat tayangan ini. Di tempat lain, ada yang berjalan sejauh 8 km untuk menonton “Drama Eureka.” Di Sweden, jiran-jiran Charlotte Ahlberg yang datang ke rumahnya “sangat tersentuh hati” selepas mendengar rakaman itu. Di Australia, sekitar 1,500 orang datang menonton drama itu di sebuah bandar perlombongan yang terpencil. Majalah Watch Tower melaporkan bahawa di sekolah dan kolej, “profesor dan pelajar terpegun dengan gambar dan rakaman peti nyanyi kita.” “Drama Eureka” juga sangat popular di tempat yang mempunyai pawagam.

MENYIRAM BENIH KEBENARAN

“Drama Eureka” juga sangat berguna bagi penceramah yang memulakan kelas pembelajaran Bible baru. Namun, Jumlah penonton “Drama Eureka” sukar ditentukan. Walaupun banyak set “Drama” digunakan, hanya 14 daripada 86 kumpulan “Drama” memberikan laporan secara tetap. Meskipun begitu, laporan akhir tahun 1915 menyatakan bahawa lebih daripada satu juta orang telah menonton drama itu. Sekitar 30,000 orang meminta bahan bacaan Bible.

Walaupun sejarah “Drama Eureka” tidak diketahui ramai, jutaan orang di serata dunia telah menonton tayangan istimewa ini. Kebanyakan daripada mereka telah menjumpai kebenaran Bible yang lebih berharga daripada emas. Mereka benar-benar dapat berkata, “Eureka!”

^ per. 4 Sila lihat rencana “Khazanah Rohani Kita—Iman Selama 100 Tahun” dalam majalah pembelajaran 15 Februari 2014, muka surat 30-32.