Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Gunakanlah Firman Tuhan yang Hidup!

Gunakanlah Firman Tuhan yang Hidup!

‘Firman Tuhan itu hidup dan berkuasa.’—IBR. 4:12.

1, 2. Musa disuruh oleh Yehuwa untuk melakukan apa? Bagaimanakah Yehuwa meyakinkan Musa?

BAYANGKAN anda menghadap pemerintah yang paling berkuasa di bumi dan bercakap bagi pihak umat Yehuwa. Anda tentu berasa cemas, takut, dan kurang yakin. Apakah persediaan yang akan anda lakukan? Sebagai wakil Tuhan, bagaimanakah anda dapat bercakap dengan yakin?

2 Musa telah menghadapi situasi ini. Musa ialah seorang yang “lebih rendah hati daripada sesiapa pun di bumi.” (Bil. 12:3) Tetapi Yehuwa menyuruhnya menghadap Firaun yang biadab dan sombong. (Kel. 5:1, 2) Yehuwa mahu Musa memberitahu Firaun untuk membebaskan orang Israel dari perhambaan di Mesir! Musa bertanya kepada Yehuwa, “Siapakah aku ini?” Musa berasa tidak layak untuk menghadap Firaun. Tetapi Yehuwa meyakinkan Musa, “Aku akan menyertai engkau.”—Kel. 3:9-12.

3, 4. (a) Mengapakah Musa takut? (b) Mengapakah anda mungkin berasa takut seperti Musa?

3 Mengapakah Musa berasa takut? Dia risau Firaun tidak akan mendengar mesej daripada wakil Tuhan Yehuwa. Musa juga khuatir orang Israel tidak percaya bahawa Yehuwa melantiknya untuk memimpin mereka keluar dari Mesir. Oleh itu, dia berkata kepada Yehuwa, “Bagaimana pula jika umat Israel tidak mempercayai aku dan tidak mahu mempedulikan kata-kataku? Apakah yang harus aku buat jika mereka berkata bahawa Engkau tidak menampakkan diri kepadaku?”—Kel. 3:15-18; 4:1.

4 Anda mungkin tidak perlu menghadap pemerintah yang berkuasa. Tetapi, adakah anda berasa susah untuk bercakap tentang Yehuwa dan Kerajaan-Nya kepada orang di kawasan anda? Jika demikian, fikirkanlah contoh Musa.

“APAKAH YANG ENGKAU PEGANG ITU?”

5. Apakah yang dipegang oleh Musa? Bagaimanakah hal ini meningkatkan keyakinan Musa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Apabila Musa meluahkan ketakutannya, Tuhan menguatkan Musa. ‘Yehuwa bertanya kepada Musa, “Apakah yang engkau pegang itu?” “Tongkat,” jawab Musa. Yehuwa berfirman, “Campakkanlah tongkat itu ke tanah.” Apabila Musa mencampakkannya ke tanah, tongkat itu berubah menjadi ular dan Musa menjauhi ular itu. Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Dekatilah ular itu dan peganglah ekornya.” Musa menangkap ekor ular itu, lalu ular itu berubah menjadi tongkat semula. Yehuwa berfirman, “Buatlah demikian untuk membuktikan kepada bangsa Israel bahawa Aku, Yehuwa, telah menampakkan diri kepadamu.”’ (Kel. 4:2-5) Ya, dengan kuasa Tuhan, tongkat Musa menjadi seekor ular! Sudah tentu hal ini membuktikan bahawa Musa dilantik oleh Yehuwa. Maka Yehuwa memberitahunya, “Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.” (Kel. 4:17) Dengan memegang tongkat itu sebagai bukti kekuasaan Tuhan, Musa dengan yakin dapat menghadap umat Israel dan Firaun.—Kel. 4:29-31; 7:8-13.

6. (a) Apakah yang harus kita pegang semasa menginjil, dan mengapa? (b) Terangkan bagaimana ‘Firman Tuhan itu hidup dan berkuasa.’

6 Semasa menginjil kepada orang lain, apakah yang kita pegang? Ya, kita memegang Bible dan bersedia untuk menggunakannya. Sesetengah orang berfikir bahawa Bible adalah suatu buku yang biasa. Namun Bible sebenarnya lebih bernilai daripada itu kerana Bible diilhami oleh Tuhan. (2 Ptr. 1:21) Bible mengandungi janji-janji Tuhan yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan-Nya. Oleh itu, Paulus berkata, ‘Firman Tuhan itu hidup dan berkuasa.’ (Baca Ibrani 4:12.) Mengapakah ‘Firman Tuhan itu hidup’? Kerana semua janji Yehuwa akan menjadi kenyataan. (Yes. 46:10; 55:11) ‘Firman Tuhan berkuasa’ kerana dapat menjadi pengaruh yang kuat dalam kehidupan seseorang.

7. Bagaimanakah kita boleh berusaha “mengajar ajaran benar”?

7 Yehuwa telah memberi kita Bible yang berkuasa. Dengan menggunakannya, kita boleh membuktikan bahawa berita yang kita sampaikan berasal daripada Tuhan. Paulus memberitahu Timotius, ‘Berusahalah sebaik-baiknya untuk mengajar ajaran benar.’ (2 Tim. 2:15) Bagaimanakah kita boleh menerapkan nasihat Paulus? Kita boleh mencapai hati pendengar dengan membaca ayat Bible yang sesuai. Risalah-risalah yang dikeluarkan pada tahun 2013 direka khas untuk membantu kita berbuat demikian.

BACALAH AYAT YANG SESUAI!

8. Apakah yang dikatakan oleh seorang penyelia aktiviti penyebaran tentang risalah-risalah baru?

8 Semua risalah baru mempunyai ciri-ciri yang sama dan mudah digunakan. Jadi, jika kita tahu menggunakan satu risalah, kita tahu menggunakan semuanya. Seorang penyelia aktiviti penyebaran di Hawaii, A.S., menulis, “Risalah ini sangat berkesan semasa menginjil dari rumah ke rumah dan di tempat awam.” Dia mendapati bahawa soalan dan pilihan jawapan pada muka depan risalah membantu memulakan perbincangan. Orang akan lebih sudi bercakap dan tidak risau jika mereka memberikan jawapan yang salah. Hal ini menghasilkan perbualan yang menarik.

9, 10. (a) Bagaimanakah risalah-risalah membantu kita untuk menggunakan Bible? (b) Risalah manakah yang paling berkesan bagi anda, dan mengapa?

9 Setiap risalah mengandungi ayat Bible yang sesuai untuk dibaca kepada penghuni rumah. Misalnya, selepas menanya soalan pada muka depan risalah Adakah Kita akan Terus Menderita?, penghuni rumah boleh memilih jawapan “ya,” “tidak,” atau “mungkin.” Tidak kira apa jawapannya, kita boleh membuka muka surat sebelah dan berkata, “Sila lihat apa yang Bible katakan.” Kemudian, bacakan Wahyu 21:3, 4.

10 Semasa menggunakan risalah Apakah Pandangan Anda terhadap Bible?, anda tidak perlu risau jawapan mana yang dipilih oleh penghuni rumah. Bukalah ke muka surat sebelah dan berkata, “Bible menyatakan bahawa ‘Alkitab diilhami oleh Tuhan.’” Anda boleh menambah, “Sebenarnya ada lagi yang dinyatakan dalam ayat itu.” Kemudian, buka Bible dan baca 2 Timotius 3:16, 17.

11, 12. (a) Mengapakah kita boleh berpuas hati semasa menggunakan risalah-risalah? (b) Bagaimanakah risalah-risalah membantu anda membuat kunjungan kembali?

11 Sama ada anda dapat meneruskan perbincangan atau tidak, bergantung pada sambutan penghuni rumah. Tidak kira apa sambutan mereka, anda boleh berpuas hati kerana anda bukan sahaja memberikan risalah, tetapi berpeluang membaca ayat Bible kepada mereka. Walaupun anda hanya membaca satu atau dua ayat Bible pada kunjungan pertama, anda masih boleh kembali untuk berbincang lagi.

12 Pada belakang risalah terdapat tajuk “Cuba Fikirkan.” Di bawah tajuk itu terdapat soalan dan ayat Bible yang boleh dibincangkan semasa kunjungan kembali. Dalam risalah Apakah yang akan Terjadi pada Masa Depan?, soalannya ialah, “Bagaimanakah Tuhan akan menjadikan dunia kita lebih baik?” Ayat rujukan ialah Matius 6:9, 10 dan Daniel 2:44. Bagi risalah Bolehkah Orang yang Sudah Mati Hidup Semula?, soalannya ialah, “Mengapakah kita menjadi tua dan mati?” Ayat rujukan ialah, Kejadian 3:17-19 dan Roma 5:12.

13. Jelaskan cara menggunakan risalah-risalah untuk memulakan pembelajaran Bible.

13 Risalah-risalah telah direka untuk membantu kita memulakan pembelajaran Bible. Apabila seseorang mengimbas kod QR pada belakang risalah, dia akan diarahkan ke laman web kita dan dijemput untuk belajar Bible. Setiap risalah juga merujuk kepada satu pelajaran dalam brosur Berita Baik daripada Tuhan! Contohnya, risalah Siapakah Sebenarnya yang Mengawal Dunia Ini? merujuk kepada pelajaran 5 dalam brosur itu. Risalah Apakah Rahsia Keluarga yang Bahagia? pula merujuk kepada pelajaran 9. Risalah-risalah direka khas supaya kita dapat menggunakan Bible pada kunjungan pertama dan semasa kunjungan kembali. Dengan itu, kita dapat memulakan lebih banyak pembelajaran Bible. Apakah cara lain untuk menggunakan Firman Tuhan dengan berkesan?

BINCANG TOPIK YANG DIMINATI ORANG

14, 15. Bagaimanakah kita boleh mencontohi sikap Paulus dalam kerja penyebaran?

14 Paulus ingin memahami fikiran orang supaya dapat membantu sebanyak yang mungkin untuk mengenal kebenaran. (Baca 1 Korintus 9:19-23.) Perhatikan bahawa Paulus ingin “menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang,” iaitu orang Yahudi mahupun orang dari bangsa lain. Mengapa? Supaya mereka dapat diselamatkan. (Kis. 20:21) Bagaimanakah kita boleh mencontohi sikap Paulus semasa membuat persiapan untuk menyebar kepada “semua orang”?—1 Tim. 2:3, 4.

15 Cubalah contoh penyampaian dalam Kerja Teokratik Kita setiap bulan. Tetapi kita juga harus memikirkan topik yang diminati atau yang membimbangkan orang di kawasan penyebaran kita. Sediakan penyampaian yang menarik minat mereka. Kemudian pilihlah ayat Bible yang sesuai dengan keadaan mereka. Seorang penyelia litar dan isterinya menerangkan cara menggunakan Bible semasa menginjil di kawasan mereka: “Kebanyakan penghuni rumah akan mengizinkan kami membaca sebuah ayat Bible jika penyampaian kami singkat. Dengan Bible yang sudah terbuka pada tangan, kami boleh memberi salam kepada penghuni rumah dan kemudian membaca ayat tersebut.” Perhatikan beberapa topik, soalan, dan ayat Bible yang terbukti berkesan. Anda mungkin ingin mencubanya di kawasan penyebaran anda.

Adakah anda menggunakan Bible dan risalah dengan berkesan? (Lihat perenggan 8-13)

16. Bagaimanakah Yesaya 14:7 boleh digunakan dalam kerja penyebaran?

16 Jika anda tinggal di tempat yang kurang aman, anda boleh menanya penghuni rumah, “Bolehkah anda bayangkan ‘seluruh dunia menikmati keamanan dan ketenteraman, dan semua orang bernyanyi dengan sukacita’? Itulah yang dikatakan di Yesaya 14:7. Sebenarnya, terdapat banyak lagi janji Tuhan mengenai kedamaian pada masa depan.” Kemudian, minta izin untuk membaca salah satu janji daripada Bible.

17. Bagaimanakah kita boleh memperkenalkan Matius 5:3 kepada penghuni rumah?

17 Adakah ramai orang menghadapi masalah untuk menyara hidup di kawasan anda? Jika demikian, anda mungkin boleh bertanya, “Berapa banyak duit yang kita perlukan supaya keluarga kita bahagia?” Selepas mendengar pendapatnya, anda boleh berkata, “Ramai orang sangat kaya tetapi keluarga mereka masih tidak gembira. Jadi, apakah sebenarnya yang kita perlukan?” Kemudian, baca Matius 5:3 dan tawarkan pembelajaran Bible.

18. Bagaimanakah kita boleh menggunakan Yeremia 29:11 untuk melegakan hati orang?

18 Adakah orang di kawasan anda menderita kerana bencana atau kejahatan yang berlaku baru-baru ini? Anda boleh memulakan penyampaian dengan berkata, “Saya ingin mengongsi sesuatu yang melegakan hati. (Baca Yeremia 29:11.) Dapatkah anda perhatikan dua perkara yang Tuhan inginkan untuk kita? Tuhan ingin kita menikmati “kemakmuran” dan “masa depan” yang baik. Tidakkah hal ini melegakan hati anda? Tetapi, bagaimanakah hal ini boleh berlaku?” Kemudian, bincangkan pelajaran yang sesuai dalam brosur Berita Baik.

19. Bagaimanakah Wahyu 14:6, 7 boleh digunakan semasa menginjil?

19 Adakah orang di kawasan anda berminat tentang perkara rohani? Jika ya, anda boleh bertanya, “Adakah anda akan dengar jika malaikat bercakap dengan anda?” (Baca Wahyu 14:6, 7.) Apabila malaikat ini berkata, “Hormatilah Tuhan,” siapakah yang dimaksudkannya? Siapakah Tuhan yang ‘menjadikan langit dan bumi’? Selepas membaca Kejadian 2:4, halakan perhatiannya kepada nota kaki di ayat itu untuk menunjukkan bahawa nama Tuhan ialah Yahweh atau Yehuwa. Selepas itu, bantulah dia memahami lebih lanjut tentang Tuhan Yehuwa.

20. (a) Bagaimanakah Ibrani 3:4 boleh digunakan untuk mengajar tentang nama Tuhan? (b) Pernahkah anda menggunakan ayat Bible lain yang berkesan?

20 Apabila anda berjumpa dengan orang yang muda, anda boleh bertanya kepadanya, “Bolehkah saya baca satu ayat Bible yang menarik kepada kamu? (Baca Ibrani 3:4.) Setiap rumah dibina oleh seseorang. Jadi, siapakah yang menciptakan segala sesuatu? Sudah tentu Pencipta segala sesuatu ialah Tuhan. Tahukah kamu siapa nama Tuhan? Bolehkah saya tunjukkan jawapannya di dalam Bible?”

GUNAKANLAH FIRMAN TUHAN YANG BERKUASA SEMASA MENGINJIL

21, 22. (a) Bagaimanakah ayat yang sesuai dapat mengubah hidup orang? (b) Apakah tekad anda semasa menginjil?

21 Orang yang kita jumpa mungkin sudi mendengar jika kita membaca ayat Bible yang sesuai. Sebagai contoh, dua orang Saksi-Saksi Yehuwa di Australia telah menginjil kepada seorang wanita yang muda. Salah seorang Saksi bertanya, “Adakah kamu mengenal nama Tuhan?” Kemudian, dia telah membaca ayat di Mazmur 83:18 yang mengandungi nama Tuhan. Wanita itu berkata, “Saya terkejut! Oleh itu, selepas mereka beredar, saya memandu sejauh 56 km ke sebuah kedai buku untuk memeriksa terjemahan Bible yang lain serta mencari nama itu di dalam kamus. Setelah memastikan bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa, saya tertanya-tanya, apa lagi yang saya belum tahu.” Oleh itu, dia dan bakal suaminya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Akhirnya, mereka berdua dibaptis.

22 Firman Tuhan dapat mengubah kehidupan orang yang membacanya dan membina iman mereka terhadap janji-janji Yehuwa. (Baca 1 Tesalonika 2:13.) Mesej Bible sangat berkuasa dan dapat menyentuh hati orang lebih daripada kata-kata kita sendiri. Oleh itu, bertekadlah untuk menggunakan Bible pada setiap kesempatan kerana Firman Tuhan itu hidup!