Adakah Anda Menerima ‘Makanan pada Waktu yang Ditentukan’?
KITA sedang hidup pada masa yang susah. (2 Tim. 3:1-5) Kasih dan kesetiaan kita kepada Yehuwa serta prinsip-prinsip-Nya diuji setiap hari. Yesus tahu bahawa perkara ini akan berlaku. Jadi, dia meyakinkan pengikutnya bahawa mereka akan menerima galakan yang diperlukan untuk bertahan sehingga akhir. (Mat. 24:3, 13; 28:20) Untuk menggalakkan mereka, Yesus melantik hamba yang setia untuk menyediakan makanan rohani “pada waktu yang ditentukan.”—Mat. 24:45, 46.
Sejak hamba yang setia dilantik pada tahun 1919, ramai “hamba-hamba yang lain” daripada pelbagai bahasa menyertai organisasi Yehuwa dan diberikan makanan rohani. (Mat. 24:14; Why. 22:17) Namun, bahan bacaan tertentu tidak terdapat dalam semua bahasa. Selain itu, ramai tidak dapat melihat video dan rencana yang terdapat di jw.org. Adakah hal ini bermaksud bahawa mereka tidak menerima makanan yang secukupnya untuk tetap sihat secara rohani? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita kaji empat soalan.
1. Apakah ramuan utama dalam makanan yang Yehuwa sediakan?
Semasa Syaitan menggoda Yesus untuk mengubah batu menjadi roti, Yesus menjawab, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Tuhan.’ (Mat. 4:3, 4) Firman Yehuwa terkandung dalam Bible. (2 Ptr. 1:20, 21) Maka, Bible ialah ramuan utama dalam makanan rohani kita.—2 Tim. 3:16, 17.
Organisasi Yehuwa telah menterjemahkan sebahagian atau seluruh Bible New World Translation of the Holy Scriptures ke dalam lebih daripada 120 bahasa. Angka ini meningkat setiap tahun. Tambahan lagi, terjemahan Bible lain juga terdapat dalam ribuan bahasa. Pencapaian yang mengagumkan ini selaras dengan kehendak Yehuwa. Dia “mahu semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar.” (1 Tim. 2:3, 4) Memang terdapat ‘orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Tuhan.’ Jadi, kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan mengumpulkan mereka ke dalam organisasi-Nya untuk mendapatkan makanan rohani.—Ibr. 4:13; Mat. 5:3, 6; Yoh. 6:44; 10:14, 15.
2. Apakah peranan bahan bacaan kita sebagai makanan rohani?
Membaca Bible tidak mencukupi. Untuk menguatkan iman, seseorang harus memahami dan menerapkan apa yang dibaca. (Yak. 1:22-25) Contohnya, seorang sida-sida Etiopia sedang membaca Firman Tuhan. Filipus bertanya kepadanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” Dia menjawab, “Bagaimana saya boleh faham jika tidak ada orang yang menerangkannya?” (Kis. 8:26-31) Jadi, Filipus membantu sida-sida ini untuk memperoleh pengetahuan yang tepat tentang Firman Tuhan. Hati sida-sida Etiopia begitu tersentuh sehingga dia dibaptiskan. (Kis. 8:32-38) Demikian juga, bahan bacaan Bible membantu kita untuk mengetahui kebenaran. Sudah pasti bahan bacaan ini menyentuh hati kita dan mendorong kita untuk menerapkan apa yang dipelajari.—Kol. 1:9, 10.
Melalui bahan bacaan Bible, umat Yehuwa dibekalkan dengan makanan rohani yang melimpah. (Yes. 65:13) Misalnya, majalah The Watchtower disediakan dalam lebih daripada 210 bahasa. Majalah ini menjelaskan nubuat dan ajaran Bible, serta mendorong kita untuk menerapkan prinsip Bible. Majalah Awake! yang diterbitkan dalam kira-kira 100 bahasa menerangkan tentang ciptaan Yehuwa dan menunjukkan cara untuk menerapkan nasihat Bible. (Ams. 3:21-23; Rm. 1:20) Hamba yang setia menyediakan bahan bacaan Bible ke dalam lebih daripada 680 bahasa! Adakah anda meluangkan masa setiap hari untuk membaca Bible? Adakah anda membaca setiap majalah terkini dan semua bahan bacaan baru yang diterbitkan setiap tahun dalam bahasa ibunda anda?
Selain itu, organisasi Yehuwa menyediakan ceramah Bible yang akan disampaikan di perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Adakah anda menikmati ceramah, drama, demonstrasi, dan temu ramah yang diberikan? Sememangnya, Yehuwa menyediakan jamuan rohani yang berlimpah!—Yes. 25:6.
3. Jika anda tidak boleh mendapat semua bahan bacaan Bible dalam bahasa anda, adakah hal ini bermaksud anda kekurangan secara rohani?
Jawapannya tidak. Kita tidak perlu hairan jika sesetengah hamba Yehuwa mempunyai lebih banyak makanan rohani daripada yang lain. Mengapa? Sebagai contoh, para rasul mempunyai lebih banyak maklumat berbanding dengan pengikut Yesus yang lain. (Mrk. 4:10; 9:35-37) Namun, pengikut Yesus yang lain tidak kekurangan secara rohani. Mereka masih mendapat makanan yang mencukupi.—Ef. 4:20-24; 1 Ptr. 1:8.
Sebenarnya, banyak yang Yesus katakan dan lakukan tidak tercatat dalam Bible. Yohanes berkata, “Masih banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Jika semuanya ditulis satu per satu, pada hematku seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuat semua kitab yang akan ditulis itu.” (Yoh. 21:25) Pengikut Yesus pada abad pertama memang mempunyai lebih banyak maklumat mengenai Yesus daripada kita. Namun, Yehuwa memastikan bahawa kita mendapat maklumat yang mencukupi mengenai Yesus supaya boleh meniru teladannya.—1 Ptr. 2:21.
Fikirkan juga surat-surat Paulus kepada sidang Kristian abad pertama. Ada sekurang-kurangnya satu surat yang tidak tercatat dalam Bible. (Kol. 4:16) Adakah kita kekurangan makanan rohani kerana tidak dapat membacanya? Tidak. Yehuwa tahu apa yang kita perlukan, dan memberikan maklumat yang secukupnya supaya kita kuat secara rohani.—Mat. 6:8.
Yehuwa tahu keperluan kita dan menyediakan makanan yang mencukupi agar kita tetap kuat secara rohani
Hari ini, sesetengah penyembah Yehuwa mempunyai lebih banyak maklumat daripada penyembah lain. Adakah bahan bacaan dalam bahasa anda terhad? Ingatlah bahawa Yehuwa mengambil berat tentang anda. Pelajarilah bahan bacaan yang tersedia. Jika boleh, hadirilah perjumpaan dalam bahasa yang anda fahami. Yehuwa pasti membantu anda untuk tetap kuat secara rohani.—Mzm. 1:2; Ibr. 10:24, 25.
4. Jika anda tidak dapat melayari jw.org, adakah anda akan menjadi lemah secara rohani?
Laman web kita mengandungi majalah dan bahan bacaan Bible lain. Ada juga bahan untuk suami isteri, remaja, dan anak kecil. Banyak keluarga meraih manfaat dengan menggunakan bahan ini semasa Penyembahan Keluarga. Tambahan pula, laman web kita memaparkan laporan mengenai program istimewa seperti Sekolah Latihan Gilead dan mesyuarat tahunan. Selain itu, terdapat maklumat mengenai bencana alam dan perkembangan perundangan yang melibatkan umat Yehuwa. (1 Ptr. 5:8, 9) Laman web kita amat berguna sebagai alat menginjil. Melaluinya, berita baik boleh disebarkan ke tempat di mana kerja kita dilarang.
Walaupun anda tidak dapat melayari jw.org, anda masih dapat tetap kuat secara rohani. Hamba yang setia bekerja keras untuk menyediakan bahan cetakan agar hamba-hamba yang lain mendapat makanan rohani yang mencukupi. Maka, anda tidak perlu membeli alat elektronik semata-mata untuk melayari jw.org. Sesetengah Saksi mungkin mencetak bahan dari laman web bagi mereka yang tiada Internet. Namun, sidang tidak wajib membuat aturan demikian.
Kita bersyukur kerana Yesus mengotakan janjinya untuk menjaga keperluan rohani kita. Walaupun akhir sistem dunia ini mendekat, kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan terus “memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan.”