Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah Peranan Wanita dalam Kehendak Yehuwa?

Apakah Peranan Wanita dalam Kehendak Yehuwa?

“Kaum wanita yang mengkhabarkan berita baik merupakan angkatan tentera yang besar.”MZM. 68:11, NW.

1, 2. (a) Apakah di antara pemberian Tuhan kepada Adam? (b) Mengapakah Tuhan menciptakan seorang isteri bagi Adam? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

YEHUWA menciptakan bumi sebagai “tempat kediaman manusia.” (Yes. 45:18) Manusia pertama yang dicipta-Nya ialah Adam. Dia ialah manusia yang sempurna dan Tuhan memberinya tempat tinggal yang indah di Taman Eden. Adam pasti menikmati pokok-pokok, anak sungai yang mengalir, dan binatang di sana. Namun, dia kekurangan sesuatu yang penting. Yehuwa berkata, “Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.” Kemudian Tuhan menyebabkan Adam tidur nyenyak lalu mengambil satu tulang rusuknya untuk “membentuk seorang perempuan.” Apabila Adam bangun, dia amat gembira dan berkata, “Inilah dia . . . tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku. Aku namakan dia perempuan, kerana dia diambil daripada lelaki.”—Kej. 2:18-23, nota kaki.

2 Perempuan yang diciptakan Tuhan itu sangat istimewa kerana dia akan menjadi pembantu yang sempurna bagi lelaki. Dia berpeluang untuk beranak cucu. “Adam menamakan isterinya Hawa, kerana perempuan itu menjadi ibu segenap umat manusia.” (Kej. 3:20, nota kaki) Tuhan telah memberikan peluang yang amat istimewa kepada pasangan manusia pertama ini. Mereka dapat menghasilkan keturunan yang sempurna. Dengan ini, bumi akan menjadi firdaus dan dipenuhi manusia sempurna yang menjaga benda hidup lain.—Kej. 1:27, 28.

3. (a) Apakah yang perlu dilakukan Adam dan Hawa untuk diberkati Tuhan? Namun, apakah yang terjadi? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

3 Untuk menikmati semua berkat Tuhan, Adam dan Hawa perlu mentaati Yehuwa dan menerima pemerintahan-Nya. (Kej. 2:15-17) Dengan demikian mereka dapat melaksanakan tujuan Tuhan. Sedihnya, mereka berdosa terhadap Tuhan kerana dipengaruhi oleh “ular tua” bernama Syaitan. (Why. 12:9; Kej. 3:1-6) Apakah kesan pemberontakan ini terhadap kaum wanita? Apakah yang dilakukan oleh sesetengah wanita setia pada masa lampau? Mengapakah wanita Kristian hari ini boleh dikatakan sebagai “angkatan tentera yang besar”?—Mzm. 68:11, NW.

KESAN BURUK PEMBERONTAKAN

4. Siapakah yang bertanggungjawab atas dosa manusia yang pertama?

4 Apabila ditanya mengapa dia memberontak, Adam memberikan alasan ini kepada Tuhan, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.” (Kej. 3:12) Adam tidak mengakui dosanya. Dia bukan sahaja menyalahkan perempuan yang Yehuwa berikan, tetapi juga menyalahkan Yehuwa, Pemberi yang pengasih! Sebenarnya, kedua-dua Adam dan Hawa telah berdosa kerana kesalahan yang mereka lakukan. Tetapi Adamlah yang bertanggungjawab. Maka, Paulus menulis, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa orang itu membawa kematian.”—Rm. 5:12.

5. Pemerintahan manusia tanpa Tuhan telah membuktikan apa?

5 Pasangan manusia pertama berfikir bahawa mereka tidak memerlukan Yehuwa sebagai Pemerintah. Jadi, persoalannya ialah: Siapakah yang berhak untuk memerintah? Untuk menyelesaikan isu ini, Yehuwa telah membenarkan manusia untuk memerintah diri sendiri. Yehuwa tahu bahawa pemerintahan manusia tanpa Tuhan pasti gagal. Selama ini, pemerintahan manusia telah mengakibatkan penderitaan yang berterusan. Pada abad yang lalu, kira-kira 100 juta orang telah mati dalam peperangan. Angka ini termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah. Hal ini jelas membuktikan bahawa “tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya.” (Yer. 10:23) Oleh itu, kita harus mengakui Yehuwa sebagai Pemerintah.—Baca Amsal 3:5, 6.

6. Di banyak tempat, bagaimanakah kaum wanita diperlakukan?

6 Lelaki mahupun wanita telah mengalami banyak penganiayaan di dunia Syaitan. (Pkh. 8:9; 1 Yoh. 5:19) Banyak kekejaman dan penganiayaan dilakukan terhadap kaum wanita. Menurut laporan sedunia, hampir 30 peratus wanita telah dianiaya oleh lelaki. Di sesetengah budaya, anak lelaki lebih disayangi daripada perempuan. Hal ini kerana mereka dapat meneruskan garis keturunan keluarga dan menjaga ibu bapa yang tua. Di sesetengah negara, bayi perempuan tidak disukai dan biasanya digugurkan.

7. Apakah keadaannya semasa manusia diciptakan?

7 Sudah pasti, kekejaman terhadap wanita tidak menyenangkan hati Yehuwa. Dia memperlakukan wanita dengan hormat dan adil. Hal ini jelas terbukti kerana Yehuwa menciptakan Hawa sebagai penolong yang sempurna untuk Adam, dan bukannya sebagai hamba. Itulah salah satu sebab Bible menyatakan, “Tuhan memandang semua yang sudah dijadikan-Nya dan Dia sangat berpuas hati.” (Kej. 1:31) Ya, Dia telah memberikan permulaan yang sempurna kepada manusia!

WANITA YANG MENDAPAT SOKONGAN YEHUWA

8. (a) Jelaskan bagaimana kelakuan orang selepas pemberontakan di Taman Eden. (b) Siapakah yang diperkenankan Yehuwa?

8 Selepas pemberontakan di Taman Eden, kelakuan lelaki dan wanita semakin merosot. Pada abad yang lalu, sikap manusia bertambah teruk lagi. Bible menubuatkan bahawa kejahatan akan berleluasa pada “hari-hari terakhir” sehingga menimbulkan “banyak kesusahan.” (2 Tim. 3:1-5) Namun, terdapat lelaki dan wanita yang percaya, taat, dan tunduk kepada Tuhan sebagai Pemerintah. Mereka telah diperkenankan ‘Raja Yehuwa.’—Baca Mazmur 71:5.

9. Berapakah bilangan orang yang terselamat semasa Banjir besar? Mengapa?

9 Pada zaman Nuh, apabila Tuhan memusnahkan dunia yang jahat dengan mendatangkan Banjir besar, hanya beberapa orang yang selamat. Jika Nuh mempunyai saudara lelaki dan perempuan, mereka juga mati dalam banjir. (Kej. 5:30) Namun, bilangan wanita dan lelaki yang diselamatkan sama banyak. Mereka ialah Nuh, isterinya, tiga orang anak lelakinya, dan isteri mereka. Mereka selamat kerana mereka mentaati Tuhan dan melakukan kehendak-Nya. Umat manusia yang hidup sekarang merupakan keturunan lapan orang ini yang mendapat sokongan Tuhan.—Kej. 7:7; 1 Ptr. 3:20.

10. Mengapakah para wanita pada zaman Israel kuno mendapat sokongan Yehuwa?

10 Bertahun-tahun kemudian, para wanita yang setia pada zaman Israel kuno juga mendapat sokongan Yehuwa. Mereka diberkati Yehuwa kerana tidak bersungut-sungut tentang kehidupan mereka. (Yud. 16) Adakah Sara yang menghormati suaminya Abraham bersungut-sungut apabila mereka meninggalkan kota Ur dan tinggal dalam khemah di tempat asing? Tentu tidak. Sebaliknya, Sara “taat kepada Abraham dan menyebut dia tuannya.” (1 Ptr. 3:6) Fikirkan juga tentang Ribka, isteri Ishak. Dia merupakan kurniaan Yehuwa kepada Ishak. Oleh sebab itulah, “Ishak mencintai Ribka.” Maka, “terhiburlah hati lshak yang sedih kerana kehilangan ibunya.” (Kej. 24:67) Kita tentu gembira kerana terdapat wanita seperti Sara dan Ribka dalam kalangan kita.

11. Bagaimanakah dua bidan Ibrani menunjukkan keberanian?

11 Semasa bangsa Israel hidup sebagai hamba di Mesir, bilangan mereka bertambah banyak. Oleh itu, Firaun memberikan perintah untuk membunuh semua bayi lelaki Ibrani yang baru lahir. Namun, fikirkan apa yang dilakukan oleh dua ketua bidan bernama Sifra dan Pua. Mereka dengan berani enggan menurut perintah Firaun kerana mereka takut akan Tuhan dan bukannya Firaun. Akhirnya, Yehuwa memberkati dan mengurniakan keturunan kepada mereka.—Kel. 1:15-21.

12. Apakah yang dilakukan oleh Debora dan Yael?

12 Pada zaman hakim-hakim Israel, seorang nabi wanita bernama Debora mendapat sokongan Tuhan. Dia telah memberikan dorongan kepada Hakim Barak. Dia juga telah membantu untuk membebaskan bangsa Israel daripada penindasan. Namun, dia bernubuat bahawa Barak tidak akan mendapat kemuliaan daripada kemenangan atas orang Kanaan. Sebaliknya, Yehuwa akan menyerahkan Sisera, pegawai tentera Kanaan “kepada seorang perempuan.” Itulah yang terjadi apabila Sisera dibunuh oleh Yael, seorang wanita bukan Israel.—Hak. 4:4-9, 17-22.

13. Apakah kisah Bible tentang Abigail?

13 Abigail yang hidup pada abad ke-11 SM juga merupakan teladan yang baik. Dia seorang yang bijak, tetapi suaminya Nabal bertabiat kasar dan berkelakuan buruk. (1 Sam. 25:2, 3, 25) Untuk suatu jangka masa, Daud dan anak buahnya menjaga harta-benda Nabal. Namun, apabila mereka meminta makanan daripada Nabal, dia “menghina mereka” dan tidak memberikan apa-apa kepada mereka. Hal ini menyebabkan Daud sangat marah. Oleh itu, Daud merancang untuk membunuh Nabal serta seluruh keluarganya. Selepas mengetahui hal ini, Abigail segera menghantar makanan dan minuman kepada Daud dan anak buahnya lalu mengelakkan pertumpahan darah. (1 Sam. 25:8-18) Kemudian Daud berkata kepada Abigail, ‘Pujilah Yehuwa, Tuhan umat Israel, yang sudah mengutus kamu kepadaku pada hari ini!’ (1 Sam. 25:32) Selepas Nabal meninggal, Daud berkahwin dengan Abigail.—1 Sam. 25:37-42.

14. Apakah kerja yang dilakukan oleh anak-anak perempuan Salum? Bagaimanakah wanita Kristian melakukan kerja yang sama hari ini?

14 Semasa tentera Babilon memusnahkan Yerusalem dan Rumah Tuhan pada tahun 607 SM, ramai lelaki, wanita, dan kanak-kanak terbunuh. Pada tahun 455 SM, tembok kota Yerusalem dibina semula di bawah pimpinan Nehemia. Antara orang yang menghulurkan bantuan ialah anak-anak perempuan Salum, “penguasa setengah daerah Yerusalem.” (Neh. 3:12) Mereka rela melakukan kerja yang berat dengan rendah hati. Hari ini, kita amat menghargai wanita Kristian yang juga rela menyokong projek pembinaan dalam pelbagai cara.

WANITA SETIA PADA ABAD PERTAMA

15. Apakah penghormatan besar yang diberi Tuhan kepada Maria?

15 Yehuwa memberkati beberapa wanita dengan penghormatan yang istimewa. Antaranya ialah Maria, seorang perawan Yahudi yang merupakan tunang Yusuf. Pada masa itu, daya aktif Tuhan telah menyebabkan Maria mengandung. Sudah tentu, Maria memiliki sifat-sifat rohani yang baik untuk membesarkan anaknya yang sempurna. Oleh sebab itulah Tuhan memilihnya menjadi ibu Yesus. Bukankah hal ini suatu penghormatan besar bagi Maria?—Mat. 1:18-25.

16. Apakah sikap Yesus terhadap wanita? Berikan contoh.

16 Yesus amat baik hati terhadap wanita. Misalnya, seorang wanita yang menderita pendarahan teruk selama 12 tahun telah menghampiri Yesus dari belakang dan menyentuh jubahnya. Yesus tidak memarahi wanita itu, tetapi dia berkata dengan baik hati, ‘Hai anakku, kerana kamu percaya kepadaku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!’—Mrk. 5:25-34.

17. Apakah mukjizat yang berlaku pada Pentakosta 33M?

17 Sebilangan wanita Kristian telah membantu Yesus dan rasulnya. (Luk. 8:1-3) Pada Pentakosta 33 M, kira-kira 120 orang lelaki dan wanita dikurniai daya aktif Tuhan. (Baca Kisah 2:1-4.) Bertahun-tahun sebelumnya, Yehuwa berkata, ‘Aku akan mencurahkan roh-Ku kepada semua orang: anak lelaki dan anak perempuan kamu akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku . . . Aku akan mencurahkan roh-Ku bahkan kepada hamba-hamba, baik lelaki mahupun perempuan.’ (Yl. 2:28, 29) Mukjizat ini menunjukkan bahawa Tuhan memperkenankan “Israel milik Tuhan” yang terdiri daripada lelaki dan wanita, dan bukan lagi bangsa Israel yang murtad. (Gal. 3:28; 6:15, 16, NW) Di antara wanita Kristian yang menginjil pada abad pertama ialah empat anak perempuan Filipus.—Kis. 21:8, 9.

“ANGKATAN TENTERA YANG BESAR”

18, 19. (a) Apakah penghormatan yang Yehuwa berikan kepada lelaki dan wanita? (b) Bagaimanakah pemazmur menggambarkan wanita yang mengkhabarkan berita baik?

18 Pada 1870-an, beberapa lelaki dan perempuan menunjukkan minat dalam ibadat sejati. Kumpulan kecil Pelajar Bible inilah yang mula-mula menggenapi nubuat Yesus, ‘Berita Baik tentang bagaimana Tuhan memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.’—Mat. 24:14.

19 Kini, mereka telah berkembang menjadi sekitar 8,000,000 Saksi-Saksi Yehuwa. Pada tahun 2013, lebih daripada 11,000,000 orang lain menghadiri Peringatan kematian Yesus. Di banyak negara, kebanyakan hadirin ialah wanita. Wanita juga merupakan sebahagian besar daripada 1,000,000 pekhidmat sepenuh masa. Tuhan memang telah mengurniai wanita dengan penghormatan besar untuk menggenapi nubuat pemazmur, “Yehuwa memberikan perintah; Kaum wanita yang mengkhabarkan berita baik merupakan angkatan tentera yang besar.”—Mzm. 68:11, NW.

Hari ini, “kaum wanita yang mengkhabarkan berita baik merupakan angkatan tentera yang besar” (Lihat perenggan 18, 19)

BERKAT BERLIMPAH BAGI WANITA YANG SETIA

20. Apakah projek pembelajaran yang boleh kita lakukan?

20 Kita boleh membaca banyak kisah tentang wanita yang setia dalam Bible dan bahan bacaan kita. Contohnya, kita boleh merenungkan tentang kesetiaan Rut. (Rut 1:16, 17) Selain itu, iman kita boleh dikuatkan dengan membaca kisah Bible dan rencana mengenai Permaisuri Ester. Projek pembelajaran sebegini memang bermanfaat dan dapat dibincangkan semasa Penyembahan Keluarga atau semasa kita membuat pembelajaran peribadi.

21. Bagaimanakah wanita Kristian menunjukkan kesetiaan kepada Yehuwa pada masa susah?

21 Yehuwa pasti memberkati kerja penyebaran wanita Kristian dan menyokong mereka semasa menghadapi cubaan. Misalnya, di bawah penindasan Nazi dan Komunis, Yehuwa membantu wanita Kristian untuk mempertahankan kesetiaan walaupun mereka menderita dan ada yang terkorban. (Kis. 5:29) Hari ini, saudari Kristian juga menyokong Kerajaan Tuhan. Seperti zaman dahulu, Yehuwa membimbing mereka dan berkata, “Jangan takut kerana Aku menyertai kamu.”—Yes. 41:10-13.

22. Apakah peluang istimewa pada masa depan yang kita nantikan?

22 Pada masa depan, lelaki mahupun wanita yang setia akan menjadikan bumi sebuah firdaus dan membantu jutaan orang yang dibangkitkan untuk mempelajari kehendak Tuhan. Sementara itu, tidak kira lelaki atau wanita, kita menghargai peluang istimewa untuk berkhidmat kepada Tuhan bahu-membahu.—Zef. 3:9.