Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimana Yehuwa Menghampiri Kita

Bagaimana Yehuwa Menghampiri Kita

‘Hampirilah Tuhan, dan Tuhan pun akan menghampiri kamu.’—YAK. 4:8.

1. Apakah salah satu keperluan manusia, dan siapakah yang dapat memenuhi keperluan ini?

MANUSIA mempunyai keperluan untuk menjalin hubungan rapat dengan orang lain. Kita berasa gembira apabila ada hubungan baik dengan keluarga serta sahabat yang mengasihi, menghargai dan memahami kita. Namun, kita harus menjalin hubungan yang paling erat dengan Pencipta kita, Yehuwa.—Pkh. 12:1.

2. Apakah janji Yehuwa kepada kita? Mengapakah ramai orang tidak mempercayai janji itu?

2 Yehuwa menjemput kita untuk menjadi sahabat-Nya. Dia berjanji bahawa jika kita ‘menghampiri-Nya,’ Dia “pun akan menghampiri” kita. (Yak. 4:8) Tidakkah hal ini menggembirakan hati kita? Namun, ramai orang tidak percaya bahawa mereka dapat menghampiri Tuhan. Ada yang berasa tidak layak untuk menghampiri-Nya. Yang lain pula berasa bahawa Tuhan terlalu jauh. Jadi, bolehkah kita benar-benar menghampiri Tuhan?

3. Apakah yang patut kita sedar tentang Yehuwa?

3 Yehuwa “tidak jauh daripada kita masing-masing.” Sebenarnya, kita dapat menghampiri-Nya. (Baca Kisah 17:26, 27; Mazmur 145:18.) Walaupun kita tidak sempurna, Yehuwa sudi menerima kita sebagai sahabat-Nya. (Yes. 41:8; 55:6) Seorang pemazmur menulis pengalamannya, ‘Kerana Engkau mengabulkan doa. Semua orang akan datang kepada-Mu. Berbahagialah mereka yang telah Engkau pilih, mereka yang Engkau bawa tinggal di Rumah-Mu.’ (Mzm. 65:3, 5) Untuk memahami bagaimana seseorang dapat menghampiri Yehuwa dan bagaimana Yehuwa menghampirinya, mari kita lihat contoh Asa, raja Yehuda. *

BELAJARLAH DARIPADA CONTOH KUNO

4. Apakah contoh baik yang ditunjukkan oleh Raja Asa kepada rakyatnya?

4 Raja Asa telah menunjukkan semangat yang kuat terhadap ibadat sejati. Dia menghapuskan tempat pelacuran dan tempat penyembahan berhala di negeri Yehuda. (1 Raj. 15:9-13) Oleh sebab Asa sendiri telah menghampiri Yehuwa dan mentaati perintah-Nya, dia dapat menggalakkan rakyatnya untuk ‘melakukan kehendak Yehuwa dan taat kepada ajaran dan perintah-Nya.’ Kemudian, Yehuwa memberkati Yehuda dengan kedamaian selama 10 tahun. Oleh itu, Asa bertitah kepada rakyatnya, ‘Kita dapat menguasai negeri ini kerana kita telah melakukan kehendak Yehuwa, Tuhan kita. Dia telah melindungi kita dan memberikan keamanan di seluruh negeri kita.’ (2 Taw. 14:1-7) Apakah yang berlaku seterusnya?

5. Apakah masalah yang dihadapi oleh Asa? Bagaimanakah Asa menunjukkan bahawa dia bergantung pada Yehuwa, dan apakah hasilnya?

5 Zerah dari Etiopia bersama 1,000,000 askar dan 300 kereta kuda datang menyerang Yehuda. (2 Taw. 14:8-10) Bayangkan anda ialah Raja Asa. Tentera anda berjumlah 580,000 sahaja, hampir separuh daripada pihak musuh. Apakah yang akan anda lakukan? Adakah anda akan tertanya-tanya mengapa Tuhan membenarkan serangan ini? Adakah anda akan bergantung pada kebijaksanaan sendiri atau pada Yehuwa? Apakah tindakan Asa? Dia telah berdoa, ‘Tolonglah kami, ya Yehuwa, Tuhan kami, kerana kami bersandar kepada-Mu. Demi nama-Mu, kami sekarang keluar berperang dengan tentera yang besar ini. Engkaulah Tuhan Yehuwa; tiada sesiapa pun dapat berharap mengalahkan Engkau.’ Hal ini jelas menunjukkan bahawa Asa percaya sepenuhnya kepada Yehuwa dan mempunyai hubungan yang rapat dengan-Nya. Adakah Yehuwa mendengar doa Asa? Ya, ‘Yehuwa mengalahkan tentera orang Etiopia.’ Tiada seorang musuh pun yang hidup!—2 Taw. 14:11-13.

6. Bagaimanakah kita boleh mencontohi Asa?

6 Mengapakah Asa begitu yakin kepada Yehuwa? Bible menyatakan, ‘Asa melakukan hal-hal yang diperkenankan Yehuwa’ dan ‘tetap setia kepada-Nya’ dengan sepenuh hati. (1 Raj. 15:11, 14) Jadi, jika kita ingin terus menikmati hubungan yang erat dengan Yehuwa, kita perlu setia kepada-Nya dengan sepenuh hati. Kita bersyukur kerana Yehuwa membantu kita menghampiri-Nya. Mari kita bincangkan dua cara bagaimana Yehuwa melakukannya.

MENGHAMPIRI YEHUWA MELALUI TEBUSAN

7. (a) Bagaimanakah Yehuwa membantu kita menghampiri-Nya? (b) Apakah cara terutama Yehuwa membantu kita menghampiri-Nya?

7 Yehuwa menunjukkan kasih-Nya dengan menciptakan bumi yang indah untuk kita. Yehuwa mengasihi kita dengan menyediakan keperluan jasmani agar kita dapat terus hidup. (Kis. 17:28; Why. 4:11) Yehuwa juga mengasihi kita dengan menyediakan keperluan yang lebih penting, iaitu keperluan rohani. (Luk. 12:42) Selain itu, Yehuwa meyakinkan kita bahawa Dia mendengar doa kita. (1 Yoh. 5:14) Tetapi, cara terutama Yehuwa mengasihi dan membantu kita menghampiri-Nya ialah melalui tebusan. (Baca 1 Yohanes 4:9, 10, 19.) Yehuwa mengutus “Anak-Nya yang tunggal” ke bumi supaya kita dibebaskan daripada dosa dan kematian.—Yoh. 3:16.

8, 9. Apakah peranan Yesus dalam tujuan Yehuwa?

8 Tebusan yang Yehuwa sediakan membawa manfaat kepada semua manusia, termasuk mereka yang hidup sebelum zaman Yesus. Bagaimanakah hal ini mungkin? Apabila Yehuwa bernubuat tentang Penyelamat umat manusia, Dia menganggap bahawa tebusan itu sudah dibayar, kerana Dia tahu bahawa tujuan-Nya tidak akan gagal. (Kej. 3:15) Ratusan tahun kemudian, Paulus bersyukur terhadap tebusan Yesus dengan berkata bahawa Tuhan “bersabar dan mengampunkan dosa-dosa yang dilakukan pada masa lampau.” (Rm. 3:21-26, NW) Jadi tebusan Yesus amat penting supaya kita dapat menghampiri Tuhan Yehuwa!

9 Hanya melalui Yesus, orang yang rendah hati dapat menjalin hubungan yang erat dengan Yehuwa. Paulus menulis, ‘Tuhan telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa.’ (Rm. 5:6-8) Yehuwa telah mengurniakan korban tebusan Yesus bukan kerana kita layak menerimanya tetapi kerana Dia mengasihi kita. Yesus berkata, ‘Tidak seorang pun dapat datang kepadaku, kecuali Bapa memimpin dia datang kepadaku.’ Selain itu, dia juga berkata, “Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.” (Yoh. 6:44; 14:6) Dengan daya aktif-Nya dan melalui Yesus, Yehuwa memimpin orang untuk berada di bawah naungan kasih-Nya agar mereka dapat hidup selama-lamanya. (Yud. 20, 21) Apakah cara kedua Yehuwa membantu kita menghampiri-Nya?

MENGHAMPIRI YEHUWA MELALUI FIRMANNYA

10. Bagaimanakah Bible dapat membantu kita menghampiri Tuhan?

10 Setakat ini, kita sudah membincangkan ayat-ayat daripada 14 buku Bible. Tanpa Bible, kita tidak mungkin menghampiri Pencipta kita. Kita juga tidak akan memahami bagaimana Yesus dan tebusannya dapat membantu kita untuk menghampiri Yehuwa. Bible diilhami oleh Tuhan dan dapat membantu kita mengetahui kehendak serta sifat-sifat-Nya. Misalnya, Keluaran 34:6, 7 menyatakan, ‘Aku Yehuwa, Tuhan yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar. Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan, serta mengampunkan kejahatan dan dosa.’ Tidakkah sifat-sifat ini menarik kita kepada-Nya? Yehuwa tahu bahawa semakin banyak kita belajar tentang-Nya, Dia akan menjadi semakin nyata bagi kita, dan kita juga semakin rapat dengan-Nya.

11. Mengapakah penting untuk belajar tentang Yehuwa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

11 Jika kita ingin menjalin persahabatan dengan seseorang, kita harus mengenalinya dan menyukai sifat-sifatnya. Jadi, untuk memiliki hubungan yang rapat dengan Tuhan, kita harus mempelajari Bible untuk mengenal siapa sebenarnya Tuhan serta sifat-sifat-Nya. Syukurlah, Yehuwa memastikan Bible ditulis dalam cara yang mudah difahami.

12. Mengapakah Yehuwa menggunakan manusia untuk menulis Bible?

12 Sebenarnya, Yehuwa boleh menggunakan malaikat untuk menulis Bible. Lagi pun, mereka prihatin terhadap hidup kita. (1 Ptr. 1:12) Sudah pasti, para malaikat dapat menulis mesej Tuhan. Tetapi, dapatkah mereka merasai keperluan, kelemahan, dan perasaan kita? Tidak. Yehuwa tahu bahawa para malaikat berbeza daripada manusia. Oleh itu, Yehuwa menggunakan manusia untuk menulis Bible. Dengan demikian, kita boleh merasai kekecewaan, keraguan, dan ketakutan penulis Bible. Kita juga boleh merasai kegembiraan dan sukacita mereka. Seperti nabi Elia, semua penulis Bible hanya “orang biasa seperti kita.”—Yak. 5:17.

Bagaimanakah cara Yehuwa memperlakukan Yunus dan Petrus membantu anda menghampiri-Nya? (Lihat perenggan 13, 15)

13. Apakah perasaan anda terhadap doa Yunus?

13 Fikirkan contoh Yunus. Dia melarikan diri daripada tugas penting yang diberikan oleh Yehuwa. Jika malaikat digunakan untuk menulis kisah ini, dia tentu tidak mampu menggambarkan perasaan Yunus dengan sepenuhnya. Oleh sebab itulah, Yehuwa memilih Yunus untuk menulis kisah hidupnya sendiri, termasuk doanya semasa berada di dalam perut ikan. Yunus meluahkan isi hatinya sambil berdoa, ‘Ketika nyawaku hampir pergi daripada diriku, aku ingat akan Yehuwa.’—Yun. 1:3, 10; 2:1-9.

14. Mengapakah kita dapat memahami apa yang ditulis oleh Yesaya?

14 Perhatikan juga apa yang ditulis oleh Yesaya mengenai dirinya. Selepas menyaksikan penglihatan tentang kemuliaan Tuhan, dia berkata tentang dosanya, ‘Malanglah aku! Tiada harapan lagi bagi aku, kerana tiap-tiap perkataanku itu dosa, dan aku hidup di kalangan orang yang begitu juga. Namun dengan mataku sendiri, aku telah melihat Raja Yehuwa Yang Maha Kuasa!’ (Yes. 6:5) Dapatkah malaikat bercakap begitu tentang dirinya? Tentu tidak. Tetapi Yesaya boleh dan kita dapat memahami perasaannya sebab kita juga tidak sempurna.

15, 16. (a) Mengapakah kita memahami perasaan manusia lain? Berikan contoh. (b) Apakah yang dapat membantu kita untuk menghampiri Tuhan?

15 Dapatkah malaikat berkata bahawa mereka “tidak layak,” atau mereka “orang berdosa” seperti yang dikatakan Yakub dan Petrus? (Kej. 32:10; Luk. 5:8) Dapatkah mereka berasa “sangat takut,” atau perlu memupuk “keberanian” apabila menghadapi tentangan seperti yang dialami Paulus dan pengikut Yesus yang lain? (Yoh. 6:19; 1 Tes. 2:2) Tidak. Para malaikat adalah sempurna dan lebih berkuasa daripada manusia. Namun, apabila manusia yang tidak sempurna meluahkan isi hati mereka, kita dapat memahaminya kerana kita juga manusia biasa. Semasa membaca Bible, kita benar-benar dapat ‘bersukacita dengan mereka yang bersukacita, dan menangis dengan mereka yang menangis.’—Rm. 12:15.

16 Jika kita merenungkan cara Yehuwa memperlakukan hamba-Nya yang setia pada zaman dahulu, kita dapat mempelajari banyak perkara yang menakjubkan tentang Tuhan. Kita dapat melihat bagaimana Dia menunjukkan kasih dan kesabaran apabila menghampiri manusia yang tidak sempurna. Seraya kita lebih mengenal dan mengasihi Yehuwa, kita akan menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan-Nya.—Baca Mazmur 25:14.

BINALAH IKATAN YANG KUKUH DENGAN TUHAN

17. (a) Apakah nasihat baik yang Azarya berikan kepada Asa? (b) Bagaimanakah Asa menolak nasihat itu, dan apakah akibatnya?

17 Selepas Raja Asa mengalahkan musuh dari Etiopia, nabi Azarya memberikan nasihat kepadanya, ‘Yehuwa berserta kamu selama kamu berserta Dia. Jika kamu mencari Dia, maka Dia akan berkenan ditemui oleh kamu. Tetapi jika kamu meninggalkan Dia, maka Dia akan meninggalkan kamu.’ (2 Taw. 15:1, 2) Sedihnya, Asa tidak mengikut nasihat ini pada kemudian hari. Apabila diserang oleh kerajaan Israel utara, Asa tidak memohon bantuan Yehuwa tetapi dia mencari pertolongan daripada orang Siria. Pada waktu itu, Asa diberitahu, “Tuanku telah berlaku bodoh, oleh itu mulai sekarang tuanku akan sentiasa berperang.” Maka, sejak itu, tidak ada lagi kedamaian selama pemerintahan Asa. (2 Taw. 16:1-9) Apakah pengajaran bagi kita?

18, 19. (a) Apakah yang harus kita lakukan jika kita menyedari bahawa hubungan kita dengan Yehuwa menjadi kurang erat? (b) Bagaimanakah kita boleh terus menghampiri Yehuwa?

18 Janganlah kita menjauhi Yehuwa. Jika hubungan kita dengan Yehuwa sudah kurang rapat, kita harus segera mengikut nasihat di Hosea 12:7: ‘Kembalilah kepada Yehuwa. Hiduplah dengan penuh kasih dan berlakulah adil, dan tunggulah dengan sabar sehingga Tuhan kamu bertindak.’ Oleh itu, renungkanlah korban tebusan Yesus dan pelajarilah Bible dengan rajin. Hasilnya, hubungan kita dengan Yehuwa bertambah rapat.—Baca Ulangan 13:4.

19 Pemazmur menulis, ‘Bagiku, sungguh baik berada di samping Tuhan.’ (Mzm. 73:28) Bukankah hal ini juga baik untuk kita? Maka, marilah kita bertekad untuk terus mengenali Tuhan Yehuwa. Dengan berbuat demikian, kita akan menghargai dan mengasihi-Nya dengan lebih mendalam. Semoga kita menghampiri Yehuwa supaya Dia pun menghampiri kita bukan sahaja sekarang tetapi juga untuk selama-lamanya!

^ per. 3 Lihat rencana mengenai Asa yang bertajuk “Pekerjaan yang Kamu Lakukan akan Diberikan Ganjaran” dalam majalah pembelajaran terbitan 15 Ogos 2012.