Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Yesus memberitahu orang Saduki bahawa mereka yang dibangkitkan “tidak berkahwin.” (Luk. 20:34-36) Adakah dia sedang merujuk kepada pembangkitan di bumi?

Soalan ini penting, terutamanya bagi seseorang yang pasangannya sudah meninggal. Dia mungkin ingin bersatu semula dengan teman hidupnya yang dibangkitkan. Seorang duda berkata, “Saya dan isteri tidak memilih untuk mengakhiri perkahwinan kami. Kami ingin bersatu sebagai suami isteri selama-lamanya. Saya masih mempunyai perasaan ini.” Maka, adakah orang yang dibangkitkan dapat berkahwin? Sebenarnya, hal ini tidak dapat dipastikan.

Selama bertahun-tahun, bahan bacaan kita menyatakan bahawa kata-kata Yesus ini merujuk kepada pembangkitan di bumi, dan bahawa mereka yang dibangkitkan nampaknya tidak akan berkahwin. * (Mat. 22:29, 30; Mrk. 12:24, 25; Luk. 20:34-36) Namun, mungkinkah kata-kata Yesus merujuk kepada pembangkitan ke syurga? Mari kita bincangkan.

Fikirkan latar belakangnya. (Baca Lukas 20:27-33.) Orang Saduki yang tidak percaya dalam pembangkitan cuba memerangkap Yesus dengan menanya mengenai pembangkitan dan perkahwinan antara saudara ipar. * Yesus menjawab, ‘Lelaki dan perempuan yang hidup sekarang ini berkahwin. Tetapi lelaki dan perempuan yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin. Mereka menjadi seperti malaikat; mereka tidak mati lagi. Mereka menjadi anak-anak Tuhan, kerana mereka sudah dibangkitkan daripada kematian.’—Luk. 20:34-36.

Mengapakah bahan bacaan kita menyatakan bahawa Yesus mungkin merujuk kepada pembangkitan di bumi? Kesimpulan itu dibuat berdasarkan dua alasan. Pertama, orang Saduki mungkin berfikir tentang pembangkitan di bumi dan Yesus mungkin telah memberikan jawapan berdasarkan pembangkitan tersebut. Kedua, Yesus mengakhiri jawapannya dengan berkata tentang Abraham, Ishak, dan Yakub yang akan dibangkitkan di bumi.—Luk. 20:37, 38.

Namun, Yesus juga mungkin merujuk kepada pembangkitan ke syurga. Mengapakah kita berkata sedemikian? Mari kita bincang dua ayat kunci.

“Lelaki dan perempuan yang layak dibangkitkan daripada kematian.” Kaum terurap merupakan orang yang ‘layak untuk menikmati Kerajaan Tuhan.’ (2 Tes. 1:5, 11, nota kaki) Mereka mendapat perkenan Tuhan atas dasar korban tebusan Yesus. Maka, mereka tidak mati sebagai pendosa. (Rm. 5:1, 18; 8:1) Mereka dikatakan ‘berbahagia’ dan dianggap layak untuk dibangkitkan ke syurga. (Why. 20:5, 6) Sebaliknya, orang yang dibangkitkan di bumi merangkumi orang yang tidak diperkenankan Tuhan. (Kis. 24:15) Adakah Yesus juga merujuk kepada mereka ini ketika bercakap tentang “lelaki dan perempuan yang layak dibangkitkan”?

“Mereka tidak mati lagi.” Terjemahan lain menyatakan ayat itu sebagai “mereka tidak dikuasai oleh kematian” dan “kematian tidak lagi berkuasa atas mereka.” Kaum terurap yang sudah mati dibangkitkan ke syurga. Kehidupan mereka berterusan dan tidak dapat mati atau dimusnahkan. (1 Kor. 15:53, 54) Kematian tidak dapat mengancam orang yang telah dibangkitkan ke syurga. *

Jadi apakah yang boleh kita simpulkan? Semasa berkata tentang perkahwinan dan pembangkitan, Yesus mungkin merujuk kepada pembangkitan ke syurga. Jika demikian, kita dapat memahami bahawa mereka yang dibangkitkan ke syurga tidak berkahwin, tidak dapat mati, dan menjadi seperti malaikat, iaitu makhluk roh di syurga. Namun, kesimpulan sedemikian menimbulkan beberapa pertanyaan.

Pertama, mengapakah Yesus bercakap tentang pembangkitan ke syurga semasa menjawab orang Saduki yang mungkin berfikir tentang pembangkitan di bumi? Yesus tidak selalu menjawab penentangnya secara terus terang. Contohnya, apabila orang Yahudi meminta suatu petanda, Yesus berkata, ‘Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari aku akan membinanya lagi.’ Yesus tahu mereka berfikir tentang bangunan Rumah Tuhan. Tetapi ‘sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuhnya sendiri.’ (Yoh. 2:18-21) Jadi, Yesus mungkin berasa tidak berbaloi untuk menjawab orang Saduki yang tidak ikhlas dan tidak percaya kepada pembangkitan atau kewujudan malaikat. (Ams. 23:9; Mat. 7:6; Kis. 23:8) Sebaliknya, dia mungkin ingin memberitahu tentang pembangkitan ke syurga demi manfaat pengikutnya yang akan menerima pembangkitan ini.

Kedua, mengapakah Yesus mengakhiri perbincangannya dengan bercakap tentang Abraham, Ishak, dan Yakub yang akan dibangkitkan di bumi? (Baca Matius 22:31, 32.) Sebelum bercakap mengenai Abraham, Ishak, dan Yakub, Yesus telah berkata, “Tentang orang mati dibangkitkan semula.” Frasa ini mungkin merujuk kepada pembangkitan di bumi. Yesus tahu bahawa orang Saduki mempercayai Taurat Musa. Maka, Yesus mengutip kata-kata Yehuwa kepada Musa yang berada berdekatan dengan semak bernyala. Dia berbuat demikian untuk membuktikan bahawa pembangkitan di bumi merupakan kehendak Tuhan.—Kel. 3:1-6.

Ketiga, jika kata-kata Yesus mengenai pembangkitan dan perkahwinan ditujukan kepada mereka yang akan dibangkitkan ke syurga, adakah hal ini bermaksud mereka yang dibangkitkan di bumi dapat berkahwin? Firman Tuhan tidak memberikan jawapannya. Jika Yesus memang merujuk kepada pembangkitan ke syurga, maka kata-katanya tidak menjelaskan sama ada mereka yang dibangkitkan di bumi akan dapat berkahwin di dunia baru.

Firman Tuhan memang menyatakan bahawa kematian menguraikan talian perkahwinan. Jadi, seorang duda atau janda yang ingin berkahwin lagi tidak perlu berasa bersalah. Hal ini merupakan keputusan peribadi, dan orang lain tidak patut mengkritik mereka.—Rm. 7:2, 3; 1 Kor. 7:39.

Kita mungkin mempunyai banyak soalan mengenai kehidupan di dunia baru. Namun, kita tidak perlu meneka jawapan kepada soalan-soalan tersebut. Kita harus menunggu dan melihat. Meskipun demikian, kita boleh pasti bahawa Yehuwa akan memenuhi segala keperluan umat-Nya yang setia.—Mzm. 145:16.

^ per. 4 Lihat The Watchtower, 1 Jun 1987, muka surat 30-31.

^ per. 5 Pada zaman Bible, perkahwinan antara saudara ipar berlaku apabila seorang lelaki yang sudah berkahwin meninggal tanpa anak. Abang atau adik lelaki itu akan berkahwin dengan isterinya untuk meneruskan garis keturunannya.—Kej. 38:8; Ul. 25:5, 6.

^ per. 9 Orang yang dibangkitkan di bumi akan menikmati kehidupan yang kekal. Kehidupan mereka berbeza daripada kehidupan orang yang dibangkitkan ke syurga. Untuk mengetahui perbezaan ini, sila lihat The Watchtower, 15 Februari, 2009 muka surat 25, perenggan 6.