Adakah Anda Berusaha Menerima “Pekerjaan yang Baik”?
PENYELIA litar telah mengunjungi sidang Fernando * beberapa kali, dan para penatua memberitahu Fernando apa yang harus dia lakukan untuk melayakkan diri sebagai penatua. Seraya masa berlalu, Fernando mula tertanya-tanya sama ada dia akan dilantik atau tidak. Baru-baru ini penyelia litar mengunjungi sidangnya lagi. Maka, Fernando berasa gentar apabila dua penatua ingin bercakap dengannya. Apakah yang akan mereka katakan?
Salah seorang penatua menyebut tentang ayat di 1 Timotius 3:1 dan memberitahu Fernando bahawa dia telah dilantik sebagai penatua. Fernando terkejut seolah-olah tidak percaya. Saudara itu pun mengulangi apa yang dia baru katakan. Senyuman terukir pada muka Fernando. Kemudian, pelantikannya diumumkan kepada sidang. Seluruh sidang turut bergembira.
Adakah salah untuk menginginkan tanggungjawab dalam sidang? Tidak. Menurut 1 Timotius 3:1 (NW), “jika seseorang sedang berusaha untuk menjadi seorang penyelia, dia menginginkan pekerjaan yang baik.” Ayat ini menggalakkan ramai saudara untuk membuat kemajuan rohani agar layak memikul tanggungjawab sidang. Hasilnya, umat Tuhan diberkati dengan ribuan penatua dan pembantu sidang. Oleh sebab sidang semakin banyak, lebih ramai saudara diperlukan untuk berkhidmat. Apakah cara terbaik untuk melayakkan diri? Perlukah saudara yang ingin menjadi penyelia risau tentang hal ini, seperti Fernando?
APAKAH MAKSUD BERUSAHA MEMIKUL TANGGUNGJAWAB?
Frasa Yunani yang diterjemahkan sebagai “berusaha untuk menjadi” membawa maksud menginginkan dengan bersungguh-sungguh. Hal ini
bagaikan orang yang sedang menghulurkan tangannya untuk mencapai buah di atas pokok. Tetapi hal ini tidak bermakna orang itu didorong oleh sifat tamak. Tujuan seseorang menjadi penatua adalah untuk melakukan “pekerjaan yang baik,” bukannya untuk mendapatkan kedudukan atau kuasa.Kebanyakan syarat untuk menerima “pekerjaan yang baik” ini terdapat di 1 Timotius 3:2-7 dan Titus 1:5-9. Mengenai syarat-syarat ini, Raymond yang sudah lama menjadi penatua berkata, “Kebolehan berceramah dan mengajar penting, tetapi yang lebih penting ialah kita harus berfikiran seimbang, bersifat sederhana, teratur, ramah, munasabah, dan tidak bercela.”
Saudara yang berusaha untuk menjadi penyelia haruslah menghindari segala perbuatan yang tidak jujur dan tidak bermoral supaya tidak bercela. Jika dia berfikiran seimbang, bersifat sederhana, teratur, dan munasabah, rakan seiman akan yakin terhadap pimpinannya dan rela meminta bantuannya. Dengan bersikap ramah, dia dapat menggalakkan orang muda atau orang baru dalam sidang. Dia juga membawa kelegaan dan membantu mereka yang sakit atau tua kerana dia suka berbuat baik. Dia memupuk semua sifat ini untuk membantu sidang dan bukan demi kepentingan diri. *
Badan penatua rela memberikan nasihat dan galakan, tetapi anda perlu berusaha untuk melayakkan diri. Henry, seorang penatua yang berpengalaman berkata, “Jika anda ingin memikul lebih banyak tanggungjawab, anda perlu bekerja keras untuk memenuhi segala kelayakan.” Merujuk kepada Pengkhutbah 9:10, dia menjelaskan, “‘Jalankanlah segala tugasmu dengan sungguh-sungguh.’ Apa sahaja tugas yang diberi penatua, laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Nikmati segala kerja dalam sidang, termasuk menyapu lantai. Lama-kelamaan, kerja dan usaha anda akan berhasil.” Jika anda ingin menjadi penatua, anda perlu menunjukkan bahawa anda rajin dan boleh dipercayai. Anda harus rendah hati dan tidak membanggakan diri.—Mat. 23:8-12.
MENOLAK PEMIKIRAN DAN PERBUATAN SALAH
Seseorang yang menginginkan tanggungjawab dalam sidang mungkin tergoda untuk menyatakan niatnya secara tidak langsung atau mencuba mengampu para penatua. Yang lain pula mungkin berasa tidak senang dengan nasihat yang diberikan para penatua. Jika demikian, tanyalah diri, “Adakah saya mahu mencapai keinginan sendiri, atau adakah saya ingin membantu kawanan domba Tuhan dengan ikhlas?”
Orang yang ingin berkhidmat sebagai penatua perlu ‘menjadi teladan kepada kawanan domba.’ (1 Ptr. 5:1-3) Maksudnya dia akan mengelakkan pemikiran dan perbuatan yang licik. Dia akan memupuk kesabaran tidak kira dia dilantik atau tidak. Pelantikan sebagai penatua tidak bermaksud seseorang itu sempurna. (Bil. 12:3; Mzm. 106:32, 33) Seorang saudara mungkin berasa dia tiada kelemahan. Namun, orang lain mungkin dapat melihat kelemahannya lalu berpandangan negatif terhadapnya. (1 Kor. 4:4) Jadi, jika penatua memberi nasihat Bible dengan ikhlas, dengarlah dan terapkan nasihat itu tanpa berasa tersinggung.
MENGAPA BEGITU LAMA?
Sesetengah saudara berasa bahawa mereka telah lama menunggu untuk dilantik. Jika anda sudah berusaha beberapa tahun “untuk menjadi seorang penyelia,” adakah anda kadangkala berasa resah? Jika ya, fikirkan ayat ini: “Apabila harapan hancur, hati pun hancur; apabila hasrat tercapai, hati gembira.”—Ams. 13:12.
Sememangnya kita sakit hati apabila matlamat kita tidak tercapai. Abraham pernah berasa sedemikian. Yehuwa menjanjikan seorang anak lelaki kepadanya, tetapi selepas bertahun-tahun, dia masih tiada anak. (Kej. 12:1-3, 7) Abraham yang sudah tua menyeru kepada Yehuwa, ‘Ya Yehuwa, apakah gunanya pahala itu bagiku kerana aku tidak mempunyai anak? Engkau tidak mengurniakan anak kepadaku.’ Yehuwa meyakinkan Abraham lagi bahawa janji-Nya itu akan dikotakan. Namun, Abraham perlu menunggu sekurang-kurangnya 14 tahun sebelum janji Tuhan ditunaikan.—Kej. 15:2-4; 16:16; 21:5.
Sementara menunggu, adakah Abraham kehilangan sukacita? Tidak. Dia tidak pernah meragui Yehuwa. Dia terus berharap akan masa depan yang baik. Paulus menulis: ‘Abraham bersabar. Oleh itu dia menerima apa yang dijanjikan oleh Tuhan.’ (Ibr. 6:15) Akhirnya, Tuhan memberkati Abraham lebih daripada yang dijangkakannya. Apakah yang boleh anda pelajari daripada Abraham?
Jika anda sudah lama menunggu tetapi masih belum dilantik sebagai penatua, tetaplah yakin kepada Yehuwa. Janganlah hilang sukacita untuk berkhidmat kepada-Nya. Warren, yang telah
membantu ramai saudara maju secara rohani berkata, “Proses untuk melayakkan diri akan mengambil masa. Sikap dan kebolehan seseorang ditunjukkan secara beransur-ansur melalui kelakuannya dan cara dia melaksanakan tugas. Sesetengah orang berfikir bahawa mereka berjaya hanya setelah dilantik. Pemikiran sedemikian adalah salah dan keterlaluan. Kita sebenarnya sudah berjaya selagi kita setia berkhidmat kepada Yehuwa dalam apa jua keadaan.”Seorang saudara dilantik sebagai penatua setelah menunggu lebih daripada 10 tahun. Dia mendapat pengajaran daripada Yehezkiel bab 1. Dia berkata, “Yehuwalah yang memimpin organisasi-Nya seperti kenderaan. Dialah yang menentukan kelajuannya.” Mengenai hal menjadi penatua, saudara itu sedar bahawa Yehuwalah yang tahu masa yang sesuai. Dia menambah, “Ini bukan soal apa yang saya mahu. Yehuwa tahu apa yang saya perlukan.”
Jika anda ingin berkhidmat sebagai penatua, berusahalah sekarang untuk menyumbang kepada kesejahteraan sidang. Sementara itu, janganlah resah dan hilang sabar. Raymond, yang disebut tadi, menerangkan bahawa mereka yang terlalu risau akan kehilangan kepuasan dan sukacita untuk menyembah Yehuwa. Oleh itu, teruslah memupuk buah daya aktif Tuhan, terutamanya sifat kesabaran. Kuatkanlah kerohanian anda melalui pembelajaran peribadi. Luangkanlah lebih masa untuk menginjil dan mengajar kebenaran kepada orang yang berminat. Bimbinglah keluarga anda dalam aktiviti rohani dan penyembahan keluarga. Bergaullah bersama saudara saudari dengan mesra. Semua ini akan membantu anda bersukacita dalam khidmat Yehuwa.
Usaha untuk melayakkan diri sebagai penyelia dalam sidang ialah penghormatan daripada Yehuwa. Dia dan organisasi-Nya tidak ingin kita menjadi hampa dan susah hati semasa berkhidmat kepada-Nya. Yehuwa akan menyokong dan memberkati orang yang berkhidmat dengan niat yang baik. Apabila Yehuwa memberkati kita, Dia “tidak menambah kesedihan.”—Ams. 10:22, nota kaki.
Walaupun anda sudah lama berusaha untuk melayakkan diri, anda masih boleh membuat banyak kemajuan rohani. Contohnya, anda boleh memupuk sifat-sifat Kristian dan membantu sidang sambil menjaga keperluan keluarga sendiri. Yehuwa tidak akan melupakan semua usaha anda. Semoga anda terus menikmati sukacita dalam apa jua tugas yang anda lakukan demi Yehuwa.
^ per. 2 Nama-nama telah diubah.
^ per. 8 Prinsip-prinsip dalam rencana ini juga boleh diterapkan oleh mereka yang ingin menjadi pembantu sidang. Syarat-syaratnya terdapat di 1 Timotius 3:8-10, 12, 13.