Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hargailah Pekhidmat Sepenuh Masa

Hargailah Pekhidmat Sepenuh Masa

‘Kami mengingat bagaimana perbuatan kamu menunjukkan kepercayaan, bagaimana kamu mengasihi orang lain sehingga bekerja untuk membantu mereka.’—1 TES. 1:3.

1. Apakah perasaan Paulus terhadap mereka yang bekerja keras untuk menyebarkan berita baik?

PAULUS menghargai mereka yang bekerja keras untuk menyebarkan berita baik. Dia menulis, “Kami mengingat bagaimana perbuatan kamu menunjukkan kepercayaan kamu kepada Kristus, bagaimana kamu mengasihi orang lain sehingga bekerja untuk membantu mereka, dan bagaimana kamu berharap dengan teguh kepada Tuhan.” (1 Tes. 1:3) Yehuwa juga mengingati semua yang kita lakukan untuk menyembah-Nya, sama ada kecil atau besar.—Ibr. 6:10.

2. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

2 Ramai orang Kristian telah membuat banyak pengorbanan untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa contoh pada abad pertama. Kita juga akan belajar tentang pekhidmat sepenuh masa pada hari ini dan cara kita boleh membantu mereka.

ORANG KRISTIAN ABAD PERTAMA

3, 4. (a) Pada abad pertama, bagaimanakah saudara saudari berkhidmat kepada Yehuwa? (b) Bagaimanakah pekhidmat sepenuh masa pada abad pertama menampung perbelanjaan?

3 Selepas dibaptis, Yesus memulakan kerja penyebaran sedunia. (Luk. 3:21-23; 4:14, 15, 43) Selepas Yesus mati, para rasul mengambil pimpinan untuk meneruskan kerja ini. (Kis. 5:42; 6:7) Sesetengah orang Kristian abad pertama meninggalkan rumah dan berkhidmat sebagai mubaligh. Contohnya, Filipus menginjil di daerah Palestin. (Kis. 8:5, 40; 21:8) Paulus pula menginjil di banyak tempat yang jauh dari rumahnya. (Kis. 13:2-4; 14:26; 2 Kor. 1:19) Yang lain, termasuk Markus, Lukas, dan Silas berkhidmat sebagai penulis atau penyalin Bible. (1 Ptr. 5:12) Ramai saudari juga bekerja bersama mereka. (Kis. 18:26; Rm. 16:1, 2) Kita boleh membaca kisah mereka yang menarik dalam Kitab Yunani Kristian. Kisah-kisah ini mengingatkan kita bahawa Yehuwa menghargai kerja umat-Nya dan menjaga keperluan mereka.

4 Bagaimanakah pekhidmat sepenuh masa pada abad pertama menampung perbelanjaan? Mereka tidak menuntut bantuan daripada saudara saudari. (1 Kor. 9:11-15) Jadi, ada kalanya mereka melakukan kerja sambilan. Namun, ada individu atau sidang yang sudi menyokong mereka dengan menjemput mereka untuk makan, menyediakan tempat tinggal, atau membantu dalam cara lain.—Baca Kisah 16:14, 15; Filipi 4:15-18.

PEKHIDMAT SEPENUH MASA HARI INI

5. Apakah yang dikatakan oleh sepasang suami isteri tentang khidmat sepenuh masa?

5 Hari ini, ramai menyertai pelbagai jenis khidmat sepenuh masa. (Lihat kotak “ Pelbagai Khidmat Sepenuh Masa.”) Apakah perasaan mereka tentang khidmat yang mereka pilih? Tentu anda akan digalakkan apabila mendengar pengalaman mereka. Contohnya, seorang saudara yang pernah berkhidmat sebagai perintis biasa, perintis khas, mubaligh, dan ahli Bethel di negara asing berkata, “Menyertai khidmat sepenuh masa adalah keputusan terbaik yang pernah saya buat. Semasa berumur 18 tahun, saya perlu memilih sama ada belajar di universiti, mengejar kerjaya duniawi, atau menjadi perintis. Pengalaman saya menunjukkan bahawa Yehuwa tidak melupakan pengorbanan yang saya lakukan untuk berkhidmat sepenuh masa. Saya dapat menggunakan semua kebolehan yang Yehuwa berikan. Hal ini tidak mungkin terjadi jika saya memilih kerjaya duniawi.” Isterinya pula berkata, “Semua tugas daripada Yehuwa membantu saya untuk bertumbuh secara rohani. Kami berkali-kali merasai perlindungan dan bimbingan Yehuwa. Hal ini tidak mungkin terjadi jika kami hanya mahu hidup selesa. Saya bersyukur kepada Yehuwa setiap hari kerana dapat menikmati khidmat sepenuh masa.” Adakah anda juga ingin berasa sedemikian tentang hidup anda?

6. Apakah perasaan Yehuwa tentang khidmat kita kepada-Nya?

6 Ada yang tidak dapat berkhidmat sepenuh masa. Walaupun begitu, mereka berkhidmat dengan sepenuh hati kepada Yehuwa. Sudah pasti khidmat mereka sangat bernilai bagi-Nya. Fikirkan bagaimana Paulus menunjukkan penghargaan kepada saudara saudari di sidang Kolose. (Baca Filemon 1, 2.) Begitu juga, yakinlah bahawa Yehuwa amat menghargai khidmat anda. Namun, bagaimanakah anda dapat membantu pekhidmat sepenuh masa?

MEMBANTU PARA PERINTIS

7, 8. Apakah yang dilakukan oleh perintis biasa? Bagaimanakah penyiar boleh membantu para perintis?

7 Seperti penginjil pada abad pertama, perintis hari ini merupakan sumber galakan kepada sidang Kristian. Mereka meluangkan kira-kira 70 jam setiap bulan untuk menginjil. Bagaimanakah anda dapat membantu mereka?

8 Seorang saudari perintis bernama Shari berkata, “Para perintis mungkin kuat secara rohani kerana selalu menginjil, tetapi mereka juga perlu digalakkan.” (Rm. 1:11, 12) Seorang saudari yang pernah merintis buat masa yang lama memberitahu bahawa para perintis di sidangnya bekerja keras setiap hari. Maka, mereka amat menghargai bantuan yang diterima. Contohnya, ada penyiar yang membantu dari segi pengangkutan, menjemput mereka untuk makan, atau memberikan wang. Semua ini menunjukkan bahawa penyiar mengambil berat terhadap para perintis.

9, 10. Bagaimanakah sesetengah orang membantu perintis dalam sidang mereka?

9 Cara lain untuk membantu para perintis adalah dengan menginjil bersama mereka. Dua saudari perintis berkata bahawa mereka memerlukan bantuan sebegini terutamanya pada hari Isnin hingga Jumaat. Seorang saudari yang berkhidmat di Bethel Brooklyn mengingat kembali bantuan yang dia terima semasa merintis. Dia menceritakan, “Seorang saudari yang ada kereta memberitahu saya, ‘Jika kamu tiada rakan menginjil, panggillah saya. Saya akan pergi bersama kamu.’” Saudari ini sangat menghargai bantuan tersebut. Shari pula berkata, “Selepas waktu menginjil, perintis bujang biasanya keseorangan. Anda boleh menjemput mereka untuk menyertai penyembahan keluarga ataupun aktiviti lain bersama anda. Hal ini akan membantu mereka tetap tabah.”

10 Seorang saudari yang berkhidmat sepenuh masa selama 50 tahun mengenang kembali waktu dia merintis dengan saudari bujang lain. Dia berkata, “Para penatua melawat kami beberapa bulan sekali. Mereka bertanya tentang kesihatan serta kerja sekular kami, dan jika kami ada apa-apa masalah. Mereka benar-benar mengambil berat. Mereka akan mengunjungi tempat tinggal kami untuk melihat sama ada kami memerlukan bantuan.” Para penatua sebegini mengikut teladan Onesiforus. Dia sudah berkeluarga tetapi masih membantu Paulus.—2 Tim. 1:18.

11. Apakah yang dilakukan oleh perintis khas?

11 Satu lagi khidmat sepenuh masa ialah perintis khas. Ramai perintis khas menginjil sekitar 130 jam sebulan. Mereka juga sibuk dengan aktiviti sidang. Mereka biasanya tidak bekerja. Maka, pejabat cawangan memberi mereka elaun sederhana untuk membiayai kos hidup. Oleh itu, mereka dapat berfokus pada kerja penyebaran.

12. Bagaimanakah penatua dan penyiar lain boleh membantu perintis khas?

12 Apakah yang boleh dilakukan untuk membantu perintis khas? Seorang penatua dari pejabat cawangan yang telah bercakap dengan ramai perintis khas berkata, “Para penatua harus berbincang dengan mereka untuk memahami keadaan mereka. Barulah penatua dapat menentukan cara untuk membantu mereka. Ada Saksi yang menganggap bahawa perintis khas sudah dijaga dengan baik kerana mereka menerima elaun. Namun, saudara saudari tempatan dapat membantu mereka dalam banyak cara.” Perintis khas juga sangat bersyukur jika saudara saudari menginjil bersama mereka. Bolehkah anda berbuat demikian?

MEMBANTU PENYELIA LITAR

13, 14. (a) Apakah yang harus kita ingat tentang penyelia litar dan isteri mereka? (b) Apakah yang boleh anda lakukan untuk membantu penyelia litar?

13 Penyelia litar dan isteri mereka sangat berpengalaman. Iman mereka kuat dan mereka selalu menggalakkan kita. Namun, kita harus ingat bahawa mereka juga memerlukan galakan. Mereka suka menginjil dan juga beriadah bersama saudara saudari lain. Jika penyelia litar atau isteri mereka mengalami masalah kesihatan dan memerlukan bantuan, kita boleh menziarahi dan menjaga keperluan mereka. Lukas, ‘doktor yang dikasihi,’ menjaga keperluan Paulus dan saudara lain yang melawat sidang-sidang.—Kol. 4:14; Kis. 20:5–21:18.

14 Penyelia litar dan isteri mereka juga memerlukan kasih dan dorongan daripada kawan rapat. Seorang penyelia litar berkata, “Kawan-kawan tahu bila saya memerlukan galakan. Mereka bertanya dengan ikhlas, maka saya berasa senang untuk meluahkan isi hati.” Saudara ini benar-benar menghargai sahabat yang mendengarkannya. Penyelia litar amat bersyukur atas saudara saudari yang prihatin dan yang menjadi sahabat sejati mereka.

MEMBANTU AHLI BETHEL

15, 16. Mengapakah kerja mereka yang berkhidmat di Bethel dan di Dewan Perhimpunan penting? Bagaimanakah kita boleh membantu?

15 Mereka yang berkhidmat di Bethel dan di Dewan Perhimpunan melakukan kerja penting yang menyokong aktiviti penyebaran. Jika ada ahli Bethel dalam sidang atau litar anda, bagaimanakah anda dapat membantu?

16 Ahli Bethel yang baru mungkin kesunyian dan merindui keluarga serta sahabat. Mereka tentu gembira apabila ahli Bethel yang lain dan ahli sidang ingin menjadi sahabat mereka. (Mrk. 10:29, 30) Walaupun bertugas di Bethel, mereka boleh menyertai perjumpaan dan kerja menginjil. Namun, ada kalanya mereka perlu melakukan tugas tambahan. Jadi, adalah baik jika sidang memahami hal ini dan menghargai kerja yang mereka lakukan.—Baca 1 Tesalonika 2:9.

MEMBANTU PEKHIDMAT SEPENUH MASA DARI NEGARA LAIN

17, 18. Apakah tugas yang dilakukan oleh pekhidmat sepenuh masa di luar negara?

17 Ada saudara saudari berkhidmat sepenuh masa di luar negara. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan makanan, bahasa, budaya, dan cara hidup yang baru. Apakah tugas yang mereka lakukan?

18 Ada yang berkhidmat sebagai mubaligh, atau perintis seberang laut. Mereka meluangkan banyak masa untuk menginjil dan mahir mengajar orang. Mereka juga mengajar kemahiran ini kepada saudara saudari lain. Pejabat cawangan menyediakan tempat tinggal dan elaun yang sederhana untuk mereka. Selain itu, ada yang berkhidmat di pejabat penterjemahan, atau membantu dalam pembinaan pejabat cawangan, Dewan Perhimpunan, atau Dewan Perjumpaan. Keperluan asas mereka disediakan oleh Pejabat cawangan atau saudara saudari tempatan. Sama seperti ahli Bethel, mereka menghadiri perjumpaan dan menginjil dengan tetap. Maka, ahli sidang mendapat banyak manfaat daripada pengalaman mereka.

19. Bagaimanakah anda boleh membantu pekhidmat sepenuh masa yang datang ke negara anda?

19 Bagaimanakah anda boleh membantu pekhidmat sepenuh masa yang datang ke negara anda? Ingatlah, mereka mungkin belum biasa dengan makanan tempatan. Semasa menjemput mereka makan, tanyalah sama ada mereka ingin cuba makanan baru atau tidak. Selain itu, mereka mungkin perlu mengambil masa untuk belajar bahasa dan budaya tempatan. Maka, teruslah bantu mereka dengan sabar kerana mereka ingin sekali belajar.

20. Bagaimanakah kita boleh membantu pekhidmat sepenuh masa dan ibu bapa mereka?

20 Pekhidmat sepenuh masa di luar negara mungkin risau tentang ibu bapa mereka yang semakin tua. Ibu bapa yang berada dalam kebenaran ingin anak-anak mereka terus berkhidmat. (3 Yoh. 4) Sudah tentu, pekhidmat sepenuh masa akan melawat ibu bapa apabila ada peluang. Namun, saudara saudari yang tinggal berdekatan juga boleh membantu menjaga keperluan ibu bapa tersebut. Ingatlah, pekhidmat sepenuh masa sibuk menyokong kerja yang terpenting di dunia, iaitu kerja penyebaran. (Mat. 28:19, 20) Dapatkah anda membantu ibu bapa pekhidmat sepenuh masa?

21. Apakah perasaan pekhidmat sepenuh masa tentang bantuan dan penghargaan yang diberikan kepada mereka?

21 Ramai orang bekerja keras kerana ingin menjadi kaya. Tetapi, mereka yang berkhidmat sepenuh masa melakukannya demi Yehuwa dan orang lain. Mereka bersyukur atas segala bantuan yang diterima. Seorang saudari yang berkhidmat di luar negara berkata, “Bahkan surat kecil yang berisi kata-kata penghargaan menunjukkan bahawa orang lain sedang berfikir tentang saya dan gembira dengan apa yang saya lakukan.”

22. Apakah perasaan anda terhadap khidmat sepenuh masa?

22 Pekhidmat sepenuh masa telah memilih cara hidup terbaik yang mendatangkan kepuasan sejati. Mereka sedang memupuk sifat-sifat baik dan meraih pengalaman yang berguna. Semua ini sangat diperlukan sekarang dan di dunia baru. Tidak lama lagi, umat Yehuwa akan menikmati kerja yang memuaskan setiap hari. Semoga kita sentiasa ingat bagaimana pekhidmat sepenuh masa “menunjukkan kepercayaan” dan “mengasihi orang lain.”—1 Tes. 1:3.