Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kamu akan Menjadi Kerajaan Imam

Kamu akan Menjadi Kerajaan Imam

“Kamu akan menjadi umat yang ditahbiskan untuk diri-Ku sendiri, dan kamu akan mengabdikan diri kepada-Ku sebagai [“kerajaan,” NW] imam.”—KEL. 19:6.

1, 2. Mengapakah keturunan perempuan memerlukan perlindungan?

NUBUAT Bible yang pertama menunjukkan bagaimana kehendak Tuhan akan berjaya. Apabila Tuhan membuat janji di Taman Eden, Dia berkata, “Engkau [Syaitan] dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan.” Seberapa hebatkah permusuhan ini? Yehuwa berkata, “Keturunannya [keturunan perempuan] akan meremukkan kepalamu [Syaitan] dan engkau akan mematuk tumitnya.” (Kej. 3:15, nota kaki) Persengketaan antara Syaitan dengan perempuan itu begitu hebat sehingga Si Iblis akan menggunakan segala kuasanya untuk membinasakan keturunan perempuan itu.

2 Tidak hairanlah pemazmur berdoa kepada Tuhan, “Lihatlah! Musuh-Mu memberontak dan orang yang membenci Engkau melawan. Mereka membuat rancangan licik melawan umat-Mu; mereka berkomplot menentang orang yang Engkau lindungi. Kata mereka, ‘Mari kita binasakan bangsa mereka.’” (Mzm. 83:3-5) Syaitan ingin menghapuskan dan mencemarkan umat Tuhan untuk menjejaskan kedatangan “keturunan” yang dijanjikan. Untuk melindungi keturunan itu dan menjamin bahawa Kerajaan Mesias akan berjaya, Yehuwa membuat perjanjian-perjanjian tertentu.

PERJANJIAN YANG MELINDUNGI KETURUNAN

3, 4. (a) Bilakah perjanjian Hukum Musa mula berkuat kuasa? Bangsa Israel bersetuju untuk membuat apa? (b) Perjanjian Hukum Musa melindungi orang Israel daripada apa?

3 Setelah anak cucu Abraham, Ishak, dan Yakub bertambah sehingga berjuta-juta banyaknya, Yehuwa menjadikan mereka bangsa Israel. Melalui Musa sebagai pengantara, Yehuwa membuat perjanjian yang istimewa dengan bangsa ini. Perjanjian ini dipanggil perjanjian Hukum Musa. Seluruh bangsa bersetuju untuk mematuhi syarat perjanjian ini. Bible menyatakan, ‘Musa mengambil kitab perjanjian lalu membacakannya kepada umat. Mereka berkata, “Kami akan mentaati Yehuwa dan melakukan segala perintah-Nya.” Kemudian Musa mengambil darah [lembu yang dikorbankan] lalu menyiramkannya ke atas umat. Dia berkata, “Inilah darah yang memeteraikan perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa dengan kamu ketika Dia memberikan semua perintah ini.”’—Kel. 24:3-8.

4 Perjanjian Hukum Musa mula berkuat kuasa pada 1513 SM. Melalui perjanjian ini, bangsa Israel menjadi umat Tuhan yang terpilih. Yehuwa menjadi ‘Hakim, Pemberi Hukum, dan Raja mereka.’ (Yes. 33:22, NW) Sejarah bangsa Israel menunjukkan apa yang terjadi jika mereka mentaati perintah Tuhan atau tidak. Hukum Musa menyatakan bahawa orang Israel tidak boleh berkahwin dengan orang kafir atau menyembah tuhan lain. Dengan cara itu, Hukum Musa melindungi garis keturunan Abraham daripada tercemar.—Kel. 20:4-6; 34:12-16.

5. (a) Di bawah perjanjian Hukum Musa, bangsa Israel berpeluang untuk menjadi apa? (b) Mengapakah Yehuwa menolak bangsa Israel?

5 Di bawah perjanjian Hukum Musa, terdapat aturan imam bagi bangsa Israel. Aturan ini sebenarnya menggambarkan aturan yang lebih baik pada masa depan. (Ibr. 7:11; 10:1) Melalui perjanjian ini, bangsa Israel berpeluang ‘menjadi umat yang ditahbiskan sebagai [“kerajaan,” NW] imam.’ Tetapi, mereka harus mematuhi perintah Yehuwa. (Baca Keluaran 19:5, 6.) Malangnya, mereka tidak menurut syarat perjanjian itu. Bangsa Israel telah menolak Yesus sebagai Mesias, yang merupakan bahagian utama keturunan Abraham. Maka, Yehuwa juga menolak bangsa Israel.

Perjanjian Hukum Musa tidak gagal walaupun orang Israel tidak setia (Lihat perenggan 3-6)

6. Apakah tujuan Hukum Musa?

6 Bangsa Israel tidak dapat menjadi kerajaan imam kerana mereka tidak setia kepada Yehuwa. Namun, hal ini tidak bermaksud perjanjian Hukum Musa telah gagal. Tujuan Hukum itu adalah untuk melindungi keturunan yang dijanjikan dan membantu orang mengenal pasti Mesias. Jadi, apabila Yesus tiba dan dikenal pasti sebagai Mesias, tujuan Hukum Musa sudah terlaksana. Oleh itu, Bible berkata, “Kristus sudah menyebabkan Taurat [Hukum Musa] tidak lagi berkuat kuasa.” (Rm. 10:4) Sekarang, bangsa manakah yang akan berpeluang menjadi kerajaan imam? Yehuwa telah membuat satu lagi perjanjian bagi bangsa baru.

SEBUAH BANGSA BARU

7. Apakah yang diberitahu oleh Yehuwa kepada Yeremia?

7 Lama sebelum perjanjian Hukum Musa dibatalkan, Yehuwa telah memberitahu Yeremia bahawa Dia akan membuat “perjanjian yang baru” dengan bangsa Israel. (Baca Yeremia 31:31-33.) Perjanjian itu berbeza daripada perjanjian Hukum Musa kerana perjanjian itu tidak memerlukan korban binatang untuk pengampunan dosa. Bagaimanakah hal ini mungkin terjadi?

8, 9. (a) Apakah yang dicapai oleh darah Yesus? (b) Apakah peluang yang diterima oleh mereka yang terlibat dalam perjanjian baru? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

8 Ratusan tahun kemudian, pada 14 Nisan, 33 M, Yesus memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan. Yesus memberitahu 11 orang rasulnya, ‘Cawan wain ini perjanjian Tuhan yang baru, yang disahkan dengan darahku, darah yang dicurahkan untuk kamu.’ (Luk. 22:20) Menurut Matius, Yesus berkata, ‘Inilah darahku yang mengesahkan perjanjian Tuhan dengan umat-Nya; darahku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan.’—Mat. 26:27, 28.

9 Darah Yesus telah mengesahkan perjanjian baru itu. Darah Yesus dicurahkan hanya sekali, dan membolehkan ramai orang untuk menerima pengampunan dosa buat selama-lamanya. Yesus tidak terlibat dalam perjanjian baru kerana dia tidak berdosa dan tidak memerlukan pengampunan dosa. Namun, Yehuwa telah menggunakan darah Yesus demi kebaikan manusia. Yehuwa juga boleh menjadikan orang Kristian yang terpilih sebagai ‘anak-anak-Nya’ dan mengurapi mereka dengan daya aktif. (Baca Roma 8:14-17.) Maka, dalam pandangan Tuhan, kaum terurap tidak berdosa, seperti anak-Nya, Yesus. Mereka akan menerima warisan seperti yang diberikan kepada Kristus dan berpeluang untuk menjadi ‘umat yang ditahbiskan sebagai [“kerajaan,” NW] imam.’ Peluang ini pernah menjadi milik bangsa Israel. Rasul Petrus berkata, ‘Kamu ialah “bangsa yang terpilih, imam-imam yang berkhidmat sebagai raja, bangsa yang suci, dan umat yang dijadikan milik Tuhan, supaya kamu mengisytiharkan kemuliaan” Tuhan yang telah memanggil kamu keluar daripada kegelapan untuk masuk ke dalam cahaya-Nya yang menakjubkan.’ (1 Ptr. 2:9, NW) Jadi, jelaslah bahawa perjanjian baru sangat penting! Perjanjian itu membolehkan pengikut Yesus untuk menjadi bahagian kedua keturunan Abraham.

PERJANJIAN BARU BERKUAT KUASA

10. Bilakah perjanjian baru berkuat kuasa? Apakah yang perlu dilakukan sebelum itu?

10 Perjanjian baru tidak berkuat kuasa pada Perjamuan Malam Tuan. Mengapa? Kerana Yesus perlu naik ke syurga dan mempersembahkan nilai darahnya kepada Tuhan terlebih dahulu. Selain itu, orang Kristian yang akan memerintah bersama Yesus juga perlu diurapi dengan daya aktif. Maka, perjanjian baru ini hanya mula berkuat kuasa pada Pentakosta 33 M, apabila murid-murid Yesus menerima daya aktif Tuhan.

11. Bagaimanakah perjanjian baru membolehkan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi untuk menjadi Israel rohani? Berapa ramaikah yang akan terlibat dalam perjanjian baru?

11 Yehuwa telah memberitahu Yeremia tentang perjanjian baru. Hal ini menunjukkan bahawa perjanjian Hukum Musa tidak diperlukan lagi. Perjanjian Hukum Musa dibatalkan semasa perjanjian baru berkuat kuasa. (Ibr. 8:13) Menerusi perjanjian baru, orang Yahudi serta orang bukan Yahudi berpeluang mewarisi Kerajaan Tuhan. Menurut Bible, ‘Hati mereka disunat oleh roh Tuhan dan bukan oleh apa yang tertulis di dalam Taurat [Hukum Musa].’ (Rm. 2:29) Tuhan akan meletakkan hukum-Nya “di dalam fikiran mereka, dan menuliskannya di dalam hati mereka.” (Ibr. 8:10) Perjanjian baru melibatkan 144,000 orang terurap. Merekalah yang dipanggil “Israel milik Tuhan,” atau Israel rohani.—Gal. 6:16, NW; Why. 14:1, 4.

12. Apakah perbezaan perjanjian Hukum Musa dengan perjanjian baru?

12 Apakah perbezaan perjanjian Hukum Musa dengan perjanjian baru? Perjanjian Hukum Musa ialah antara Yehuwa dengan bangsa Israel, manakala perjanjian baru ialah antara Yehuwa dengan bangsa Israel rohani. Musa merupakan pengantara bagi perjanjian Hukum Musa, tetapi Yesus merupakan pengantara bagi perjanjian baru. Perjanjian Hukum Musa disahkan dengan darah binatang. Perjanjian baru pula disahkan dengan darah Yesus yang dicurahkan. Menurut perjanjian Hukum Musa, pemimpin bangsa Israel ialah Musa. Manakala mereka yang terlibat dalam perjanjian baru dipimpin oleh Yesus, iaitu ketua sidang Kristian.—Ef. 1:22.

13, 14. (a) Apakah kaitan perjanjian baru dengan Kerajaan Tuhan? (b) Apakah yang diperlukan supaya bangsa Israel rohani dapat memerintah bersama Kristus di syurga?

13 Apakah kaitan perjanjian baru dengan Kerajaan Tuhan? Perjanjian ini mewujudkan suatu bangsa suci yang akan menjadi raja dan imam dalam Kerajaan syurga. Bangsa suci ini ialah bahagian kedua keturunan Abraham. (Gal. 3:29) Maka, perjanjian baru menjamin bahawa perjanjian Abraham akan menjadi kenyataan.

14 Perjanjian baru mewujudkan bangsa Israel rohani dan menjadi dasar bagi mereka untuk memerintah bersama Kristus di syurga. Tetapi bagaimanakah kaum terurap dapat memerintah sebagai raja dan imam bersama Yesus? Satu lagi perjanjian diperlukan.

PERJANJIAN AGAR ORANG LAIN MEMERINTAH BERSAMA KRISTUS

15. Apakah perjanjian antara Yesus dengan para rasul yang setia?

15 Selepas memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan, Yesus membuat perjanjian dengan para rasul yang setia. Perjanjian ini dikenali sebagai perjanjian Kerajaan. (Baca Lukas 22:28-30.) Yehuwa tidak terlibat dalam perjanjian ini. Perjanjian ini hanya di antara Yesus dengan kaum terurap. Apabila Yesus berkata ‘sebagaimana Bapaku telah memberikan hak kepadaku untuk memerintah,’ dia mungkin merujuk kepada perjanjian antara Yehuwa dengannya, iaitu perjanjian untuk ‘menjadi imam selama-lamanya, seperti imam Melkisedek.’—Ibr. 5:5, 6.

16. Menerusi perjanjian Kerajaan, orang Kristian terurap dapat melakukan apa?

16 Sebelas rasul ‘telah bersama-sama Yesus dalam segala kesusahannya.’ Perjanjian Kerajaan menjamin bahawa para rasul akan menjadi raja dan imam bersama Yesus di syurga. Adakah hanya 11 orang rasul yang menerima peluang itu? Dalam sebuah penglihatan kepada Yohanes, Yesus berkata, ‘Mereka yang menang akan aku benarkan duduk di takhtaku, sebagaimana aku sendiri sudah menang dan duduk bersama Bapaku di takhta-Nya.’ (Why. 3:21) Sebenarnya, perjanjian Kerajaan melibatkan 144,000 orang Kristian terurap. (Why. 5:9, 10; 7:4) Perjanjian ini mengesahkan bahawa mereka boleh memerintah bersama Yesus di syurga. Hal ini serupa dengan seorang pengantin perempuan yang bakal berkahwin dengan seorang raja. Selepas berkahwin mereka boleh memerintah bersama-sama. Sebenarnya, Bible merujuk kepada kaum terurap sebagai “pengantin perempuan” dan “anak dara yang suci” yang akan berkahwin dengan Kristus.—Why. 19:7, 8; 21:9; 2 Kor. 11:2.

MILIKILAH IMAN YANG TEGUH TERHADAP KERAJAAN TUHAN

17, 18. (a) Jelaskan secara ringkas enam perjanjian yang berkait dengan Kerajaan Tuhan. (b) Mengapakah kita dapat memiliki iman yang teguh terhadap Kerajaan Tuhan?

17 Semua perjanjian yang telah kita bincangkan dalam dua rencana ini berkait dengan Kerajaan Mesias. (Lihat penerangan “Bagaimana Yehuwa akan Melaksanakan Tujuan-Nya.”) Semua perjanjian ini memberikan jaminan bahawa Kerajaan Mesias pasti berjaya. Kita boleh yakin dengan sepenuhnya bahawa Tuhan akan menggunakan Kerajaan ini untuk melaksanakan tujuan-Nya bagi manusia dan bumi.—Why. 11:15.

Menerusi Kerajaan Mesias, tujuan Yehuwa bagi bumi akan terlaksana(Lihat perenggan 15-18)

18 Hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh manusia. Kita yakin sepenuhnya bahawa Kerajaan ini akan membawa berkat yang berkekalan kepada umat manusia. Oleh itu, marilah kita sebarkan kebenaran yang menakjubkan ini dengan semangat yang berkobar-kobar!—Mat. 24:14.