Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

Cahaya Rohani Bersinar di Negara Matahari Terbit

Cahaya Rohani Bersinar di Negara Matahari Terbit

Jemputan diedarkan di Tokyo dan ditaburkan di seluruh Osaka dengan menggunakan pesawat

PADA 6 September 1926, seorang saudara berbangsa Jepun yang tinggal di Amerika Syarikat, diutus ke Jepun sebagai mubaligh. Di Jepun pula, seorang yang melanggan majalah Watch Tower sedang menunggu ketibaannya. Orang ini telah memulakan pembelajaran Bible dengan sekumpulan orang di Kobe. Pada 2 Januari 1927, Pelajar Bible mengadakan perhimpunan pertama di Kobe. Terdapat 36 hadirin dan 8 orang dibaptis. Hal ini memang suatu permulaan yang baik. Tetapi dapatkah kumpulan kecil ini menyinarkan cahaya rohani kepada 60 juta penduduk Jepun?

Pada Mei 1927, Pelajar Bible mengiklankan satu siri ceramah Bible. Ceramah pertama di Osaka diiklankan di kaki lima dan papan iklan besar. Sejumlah 3,000 jemputan diberikan kepada orang kenamaan dan 150,000 lagi diedarkan. Ceramah itu diiklankan di semua akhbar utama Osaka dan pada 400,000 tiket kereta api. Pada hari ceramah itu, dua pesawat telah menaburkan 100,000 jemputan di seluruh kota. Hampir 2,300 hadirin datang mendengar ceramah yang bertajuk “Kerajaan Tuhan Sudah Dekat” di Dewan Asahi, Osaka. Tetapi 1,000 orang lagi tidak dapat masuk kerana dewan sudah penuh. Selepas ceramah, 600 orang hadirin mengambil bahagian dalam sesi soal jawab. Untuk beberapa bulan seterusnya, ceramah Bible diberikan di Kyoto dan kota-kota lain di bahagian barat Jepun.

Pada Oktober 1927, Pelajar Bible mengaturkan ceramah Bible di Tokyo. Jemputan diberikan kepada orang kenamaan, seperti perdana menteri, ahli parlimen, pemimpin tentera dan agama. Poster, surat khabar dan 710,000 jemputan digunakan untuk menjemput orang. Hasilnya, 4,800 hadirin datang mendengar tiga ceramah di Tokyo.

PERINTIS YANG BERSEMANGAT

Katsuo dan Hagino Miura

Perintis memainkan peranan yang penting untuk menyampaikan mesej Kerajaan dari rumah ke rumah. Matsue Ishii, salah seorang perintis yang pertama di Jepun, dan suaminya, Jizo, meliputi sebahagian besar negara Jepun, iaitu di Sapporo, Sendai, Tokyo, Yokohama, Nagoya, Osaka, Kyoto, Okayama, dan Tokushima. Saudari Ishii bersama Saudari Sakiko Tanaka memakai kimono dan pergi melawat pegawai tinggi kerajaan. Salah seorang pegawai meminta 300 buah buku The Harp of God dan Deliverance untuk perpustakaan penjara.

Katsuo dan Hagino Miura mendapat buku daripada Saudari Ishii dan menerima kebenaran. Mereka dibaptiskan pada tahun 1931 dan menjadi perintis. Haruichi dan Tane Yamada serta banyak saudara-mara mereka juga menerima mesej Bible sebelum tahun 1930. Haruichi dan Tane mula merintis manakala anak perempuan mereka, Yukiko, berkhidmat di Bethel, Tokyo.

KENDERAAN “YEHU”

Yehu Besar menjadi rumah bagi 6 orang

Pada zaman itu, kenderaan sangat mahal dan keadaan jalan raya kurang elok. Jadi, Kazumi Minoura dan perintis muda yang lain menggunakan kenderaan tanpa enjin sebagai rumah mereka. Mereka memanggil kenderaan ini “Yehu,” yang merupakan nama seorang raja Israel yang menggunakan kereta kuda. (2 Raj. 10:15, 16) Tiga buah Yehu Besar yang berukuran 2.2 m panjang, 1.9 m lebar, dan 1.9 m tinggi boleh menjadi rumah bagi 6 orang perintis. Manakala 11 buah Yehu Kecil yang ditarik oleh basikal dibina di Bethel Jepun. Kiichi Iwasaki yang membina Yehu tersebut berkata, “Setiap Yehu ada khemah serta bateri yang membekalkan elektrik untuk lampu.” Sambil menarik dan menolak kenderaan Yehu ini, para perintis pun menyinarkan cahaya rohani di serata Jepun. Mereka telah meliputi kawasan dari Hokkaido di utara hingga Kyushu di selatan.

Dua orang muat dalam Yehu Kecil

Seorang perintis, Ikumatsu Ota berkata, “Apabila sampai di sebuah pekan, kami meletakkan kenderaan Yehu di tepi sungai atau di padang. Kami melawat orang kenamaan dulu, seperti datuk bandar. Kemudian kami melawat rumah orang untuk menawarkan bahan bacaan. Selepas meliputi kawasan itu, kami ke pekan yang seterusnya.”

Pada perhimpunan pertama di Kobe, hanya 36 orang hadir. (Za. 4:10) Tetapi selepas 5 tahun, iaitu pada tahun 1932, terdapat 103 perintis dan penyiar di Jepun yang mengedarkan lebih daripada 14,000 buku. Hari ini, kesaksian awam yang teratur dijalankan di kawasan bandar, dan sekitar 220,000 penyiar sedang menyinarkan cahaya rohani di Negara Matahari Terbit.—Dari khazanah rohani kita di Jepun.

Lukisan oleh Kiichi Iwasaki, yang membina kenderaan Yehu di Bethel Jepun