Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda ‘Memahami Maksudnya’?

Adakah Anda ‘Memahami Maksudnya’?

“Yesus membuka fikiran mereka supaya memahami maksud Alkitab.”—LUK. 24:45.

1, 2. Bagaimanakah Yesus menguatkan iman pengikutnya pada hari dia dibangkitkan?

DUA orang murid Yesus sedang berjalan ke sebuah pekan yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Yerusalem. Mereka sedih kerana Yesus baru meninggal. Mereka belum tahu bahawa dia dibangkitkan. Tiba-tiba, Yesus muncul dan berjalan dengan mereka. Kemudian ‘Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang dirinya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi.’ (Luk. 24:13-15, 27) Maka, hati murid Yesus “berasa seperti meluap” sebab Yesus “menerangkan isi Alkitab” kepada mereka.—Luk. 24:32.

2 Pada petang itu juga, dua orang murid Yesus itu kembali ke Yerusalem. Di sana mereka berjumpa dengan para rasul dan memberitahu segala yang sudah berlaku. Sedang mereka bercakap, Yesus muncul di hadapan mereka semua. Para rasul berasa terkejut. Mereka tertanya-tanya sama ada dia betul-betul Yesus. Bible menerangkan cara Yesus menguatkan iman mereka: “Yesus membuka fikiran mereka supaya memahami maksud Alkitab.”—Luk. 24:45.

3. Mengapakah kita mungkin berasa tawar hati semasa berkhidmat untuk Yehuwa? Bagaimanakah kita boleh tetap bahagia?

3 Ada kalanya kita berasa sangat sedih seperti murid-murid Yesus. Kita melakukan kerja Yehuwa dengan bersemangat, tetapi sambutan orang lain kurang baik. (1 Kor. 15:58) Kita juga mungkin berasa bahawa kemajuan rohani pelajar Bible kita tidak cukup baik. Malah, ada pelajar Bible yang tidak mahu menyembah Yehuwa lagi. Jadi, bagaimanakah kita boleh tetap bersukacita? Salah satu cara adalah dengan memahami maksud perumpamaan-perumpamaan Yesus. Mari kita kaji tiga perumpamaan Yesus, dan pengajaran yang dapat diperoleh daripadanya.

PENABUR BENIH YANG TIDUR

4. Apakah maksud perumpamaan Yesus tentang penabur benih yang tidur?

4 Baca Markus 4:26-29. Apakah maksud perumpamaan Yesus tentang penabur benih yang tidur? Penabur benih menggambarkan penyiar berita baik. Benih pula menggambarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan yang disampaikan kepada orang yang berhati jujur. Penabur benih melakukan perkara yang biasa seperti orang lain. “Pada malam hari dia tidur; pada siang hari dia bekerja.” Selepas ditanam, benih memerlukan masa untuk tumbuh sehingga masa menuai. Dalam jangka masa itu, “benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar.” Pertumbuhan benih berlaku secara beransur-ansur. Begitu juga dengan seorang pelajar Bible. Dia akan membuat kemajuan rohani dan menjalinkan hubungan dengan Yehuwa secara beransur-ansur. Pada tahap tertentu, dia mungkin membuat keputusan untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis.

5. Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan tentang penabur benih yang tidur?

5 Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan ini? Yesus ingin kita sedar bahawa Yehuwalah yang menyebabkan kebenaran tumbuh dalam hati orang yang jujur. (Kis. 13:48; 1 Kor. 3:7) Kita menanam dan menyiram, tetapi kita tidak boleh memaksa atau mempercepatkan pertumbuhan rohani seseorang. Seperti penabur benih itu, kita tidak tahu bagaimana pertumbuhan benih berlaku. Begitu juga, kita mungkin tidak menyedari bagaimana berita baik bercambah dalam hati seseorang. Seperti benih yang akhirnya menghasilkan buah, lambat laun seseorang mungkin menyertai kita dalam kerja penyebaran.—Yoh. 4:36-38.

6. Apakah yang harus kita ingat tentang kemajuan rohani pelajar Bible?

6 Apakah yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan ini? Pertama, kita harus sedar bahawa kita tidak dapat mengawal kemajuan rohani pelajar Bible. Walaupun kita ingin memberikan bantuan dan sokongan yang terbaik, kita tidak akan memaksanya untuk dibaptis. Sebaliknya, kita harus rendah hati dan sedar bahawa dia perlu membuat keputusan sendiri. Yehuwa hanya menerima pembaktian kita jika kita benar-benar mengasihi-Nya.—Mzm. 51:14; 54:8; 110:3.

7, 8. (a) Apakah pengajaran lain daripada perumpamaan Yesus tentang penabur benih yang tidur? Berikan contoh. (b) Apakah yang anda pelajari daripada perumpamaan ini mengenai Yehuwa dan Yesus?

7 Kedua, perumpamaan ini mengajar kita untuk bersabar dan tidak kecewa jika hasil kerja penyebaran tidak kelihatan dengan serta merta. (Yak. 5:7, 8) Jika kita sudah berusaha dengan sebaik-baiknya tetapi kebenaran tidak bercambah dalam hati pelajar Bible, hal itu bukan salah kita. Yehuwa hanya membenarkan benih kebenaran bercambah dalam hati orang yang rendah hati dan yang rela membuat perubahan. (Mat. 13:23) Jadi, jika tidak ramai orang dibaptis, janganlah menganggap kerja penyebaran kita tidak berkesan. Yehuwa tidak mengukur kejayaan kita berdasarkan sambutan orang. Sebaliknya, Dia menghargai segala usaha kita.—Baca Lukas 10:17-20; 1 Korintus 3:8.

8 Ketiga, kita tidak selalu menyedari perubahan yang berlaku dalam hati seseorang. Contohnya, seorang perintis di negara asing mengajarkan Bible kepada sepasang suami isteri. Mereka memberitahunya bahawa mereka ingin menjadi penyiar. Saudara itu memberitahu bahawa mereka perlu berhenti merokok terlebih dahulu. Namun, dia terkejut apabila mereka memberitahunya bahawa mereka telah berhenti merokok beberapa bulan yang lalu. Mereka sedar bahawa walaupun mereka merokok secara rahsia, Yehuwa masih nampak. Mereka tahu bahawa Yehuwa membenci orang yang bermuka dua. Oleh itu mereka memutuskan untuk berhenti merokok. Mereka telah membuat kemajuan rohani tanpa disedari oleh saudara itu. Kasih kepada Yehuwa mendorong mereka untuk membuat keputusan yang betul.

PERUMPAMAAN PUKAT

9. Apakah maksud perumpamaan Yesus tentang pukat?

9 Baca Matius 13:47-50. Apakah maksud perumpamaan Yesus tentang pukat? Yesus menggambarkan kerja penyebaran sebagai pukat besar yang dilabuhkan ke dalam laut. Seperti pukat yang menangkap “bermacam-macam ikan,” kerja penyebaran menarik minat jutaan orang daripada pelbagai latar belakang. (Yes. 60:5) Berjuta-juta orang menghadiri konvensyen dan Peringatan setiap tahun. Ada dalam kalangan mereka seperti ikan yang “baik,” mereka menerima kebenaran. Yang lain pula seperti ikan yang “tidak baik,” mereka tidak diterima oleh Yehuwa.

Selepas membaca Matius 13:47-50, fikirkan maksud perumpamaan ini

Sesetengah orang yang berminat dalam kebenaran akan menjadi umat Yehuwa (Lihat perenggan 9-12)

10. Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan tentang pukat?

10 Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan ini? Pengasingan ikan dalam perumpamaan ini tidak merujuk kepada penghakiman terakhir semasa kesengsaraan besar. Sebaliknya, hal ini merujuk kepada peristiwa pada hari-hari terakhir. Yesus menunjukkan bahawa bukan semua yang tertarik kepada berita baik akan menjadi umat Yehuwa. Ramai orang yang menghadiri perjumpaan atau belajar Bible dengan kita tidak rela membaktikan diri kepada Yehuwa. (1 Raj. 18:21) Yang lain pula bahkan berhenti menghadiri perjumpaan. Walaupun sesetengah kaum muda dibesarkan dalam kebenaran, mereka mungkin tidak mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati. Yesus menekankan bahawa setiap orang mesti membuat keputusan sendiri. Jika kita membuat keputusan yang betul, Yehuwa akan menganggap kita sebagai “harta benda” yang bernilai.—Hag. 2:7.

11, 12. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan pukat? (b) Apakah yang anda pelajari daripada perumpamaan ini mengenai Yehuwa dan Yesus?

11 Apakah yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan pukat? Perumpamaan ini membantu kita untuk tidak berasa terlalu sedih atau kecewa apabila pelajar Bible atau anak kita menolak Yehuwa. Kita mungkin sudah berusaha sebaik-baiknya untuk mengajar dan melatih mereka, tetapi hal ini tidak menjamin bahawa mereka akan menjadi sahabat Yehuwa. Jika mereka tidak rela menerima Yehuwa sebagai pemerintah, mereka tidak boleh menjadi umat-Nya.

12 Adakah hal ini bermaksud mereka yang meninggalkan kebenaran tidak boleh kembali ke sidang? Adakah orang yang belum dibaptis tiada harapan? Tidak. Mereka masih berpeluang untuk menjadi sahabat Yehuwa sebelum kesengsaraan besar bermula. Yehuwa berkata: “Kembalilah kepada-Ku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu.” (Mal. 3:7) Perumpamaan Yesus tentang anak yang sesat menekankan hal ini.—Baca Lukas 15:11-32.

ANAK YANG SESAT

13. Apakah maksud perumpamaan anak yang sesat?

13 Apakah maksud perumpamaan Yesus tentang anak yang sesat? Bapa yang berbelas kasihan dalam perumpamaan ini menggambarkan Bapa pengasih di syurga, Yehuwa. Anak yang memboroskan hartanya menggambarkan mereka yang meninggalkan sidang Kristian. Mereka menjauhi Yehuwa dan menjadi sebahagian daripada dunia Syaitan yang digambarkan sebagai “negeri yang jauh.” (Ef. 4:18; Kol. 1:21) Kemudian ada di antara mereka sedar akan kesilapan mereka dan ingin kembali kepada Yehuwa. Hal ini memang memerlukan usaha. Tetapi mereka rendah hati dan benar-benar menyesali perbuatan mereka. Oleh itu, Yehuwa menerima mereka kembali dengan tangan terbuka.—Yes. 44:22; 1 Ptr. 2:25.

14. Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan mengenai anak yang sesat?

14 Mengapakah Yesus memberikan perumpamaan ini? Yesus menunjukkan bahawa Yehuwa benar-benar ingin mereka yang telah meninggalkan-Nya untuk kembali ke pangkuan-Nya. Bapa dalam perumpamaan ini tidak putus harapan bahawa anaknya mungkin pulang. Semasa anaknya kembali dan “masih jauh dari rumah,” bapa tersebut telah berlari untuk menyambut kepulangannya. Perumpamaan ini menggalakkan mereka yang meninggalkan Yehuwa untuk kembali kepada-Nya dengan serta-merta. Hubungan mereka dengan Yehuwa mungkin sudah menjadi lemah. Mereka juga mungkin berasa malu dan susah untuk kembali ke sidang. Namun segala usaha mereka pasti berbaloi! Yehuwa, Yesus, dan malaikat sangat gembira apabila penyembah Tuhan kembali ke sidang.—Luk. 15:7.

15, 16. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan anak yang sesat? Berikan contoh. (b) Apakah yang anda pelajari daripada perumpamaan ini mengenai Yehuwa dan Yesus?

15 Apakah yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan anak yang sesat? Kita harus meniru teladan Yehuwa yang penuh kasih. Kita tidak mahu menganggap diri “terlalu baik” sehingga tidak mahu menerima kembali orang yang telah meninggalkan Yehuwa. Jika kita berbuat demikian, kita akan menjejaskan hubungan kita dengan Yehuwa. (Pkh. 7:16) Perumpamaan ini juga mengajar kita untuk menganggap orang yang sudah meninggalkan Yehuwa seperti “domba yang sesat” yang boleh kembali ke sidang. (Mzm. 119:176) Jika kita terjumpa orang yang meninggalkan Yehuwa tetapi dia tidak disingkirkan, adakah kita akan membantunya untuk kembali ke sidang? Tidak kira orang itu disingkirkan atau tidak, kita perlu segera memberitahu para penatua supaya mereka dapat membantunya. Itulah yang akan kita lakukan jika kita memahami dan menerapkan pengajaran daripada perumpamaan ini.

16 Mereka yang telah kembali sangat menghargai belas kasihan Yehuwa dan kasih yang ditunjukkan oleh sidang. Seorang saudara yang telah disingkirkan selama 25 tahun berkata, “Sejak saya kembali ke sidang, sukacita saya bertambah. Saya telah disegarkan oleh Yehuwa. (Kis. 3:19) Semua di sidang menggalakkan dan menyayangi saya. Kini saya mempunyai keluarga rohani yang terbaik!” Seorang saudari yang kembali ke sidang selepas lima tahun berkata, “Saya tidak dapat menyingkapkan betapa gembiranya saya apabila melihat kasih Kristian yang ditunjukkan kepada saya. Peluang untuk menjadi sebahagian daripada organisasi Yehuwa memang sangat bernilai!”

17, 18. (a) Apakah pengajarannya daripada tiga perumpamaan yang kita pelajari? (b) Apakah tekad anda?

17 Apakah pengajaran daripada tiga perumpamaan ini? Pertama, kita tidak boleh mengawal pertumbuhan rohani pelajar Bible. Serahkanlah hal ini kepada Yehuwa. Kedua, memang tidak munasabah untuk menganggap bahawa semua yang menghadiri perjumpaan dan mempelajari kebenaran akan menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Ketiga, walaupun ada yang meninggalkan Yehuwa, kita tidak putus harapan bahawa mereka mungkin kembali ke sidang. Apabila mereka kembali, sambutlah mereka dengan mesra dan cerminkanlah kasih Yehuwa.

18 Semoga kita terus mencari pengetahuan, pengertian, dan hikmat daripada Bible. Semasa anda membaca perumpamaan Yesus, tanyalah diri, “Apakah maksud perumpamaan Yesus? Mengapakah perumpamaan ini tercatat dalam Bible? Bagaimanakah saya boleh menerapkannya? Apakah yang saya pelajari daripada perumpamaan ini mengenai Yehuwa dan Yesus?” Dengan berbuat demikian, kita akan benar-benar memahami maksud Yesus.