Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Bersyukur atas Apa yang Diterima?

Adakah Anda Bersyukur atas Apa yang Diterima?

‘Kita menerima daya aktif Tuhan, supaya kita mengetahui semua yang telah dikurniakan Tuhan kepada kita.’—1 KOR. 2:12.

1. Apakah perasaan ramai orang terhadap apa yang telah diterima?

SESETENGAH orang berkata, “Bila sudah tiada, baru terasa.” Anda mungkin pernah mengalami perasaan sebegini. Misalnya, seseorang yang dibesarkan oleh keluarga yang kaya mungkin kurang menghargai apa yang dimilikinya. Selain itu, orang muda yang kurang berpengalaman mungkin berasa susah untuk mengetahui apa yang paling penting dalam kehidupan.

2, 3. (a) Apakah pemikiran yang harus dielakkan oleh kaum muda? (b) Apakah yang dapat membantu kita untuk menghargai apa yang diterima?

2 Jika anda masih remaja, atau berumur awal 20-an, apakah perkara yang paling penting bagi anda? Kaum muda hari ini biasanya lebih mementingkan harta benda berbanding hubungan mereka dengan orang lain. Mereka menginginkan pekerjaan yang baik, rumah yang mewah, atau alat elektronik yang terkini. Dengan bertumpu kepada semua ini, mereka sebenarnya melupakan perkara yang terpenting, iaitu hubungan mereka dengan Tuhan. Jika anda dibesarkan dalam kebenaran, anda sebenarnya telah menerima warisan rohani yang sangat istimewa. (Mat. 5:3) Jika anda tidak menghargai hal-hal rohani, masa depan anda mungkin terjejas.

3 Janganlah biarkan hal itu terjadi kepada anda. Kita akan mengkaji contoh-contoh dalam Bible yang dapat membantu anda untuk menghargai warisan rohani anda. Contoh-contoh ini akan membantu kaum muda, malah semua orang Kristian untuk bersyukur atas pemberian Yehuwa.

MEREKA YANG TIDAK BERSYUKUR

4. Bagaimanakah 1 Samuel 8:1-5 menggambarkan anak-anak Samuel?

4 Terdapat beberapa contoh dalam Bible tentang orang yang tidak bersyukur atas warisan rohani mereka. Nabi Samuel berkhidmat kepada Yehuwa sejak kecil lagi, dan selalu setia kepada-Nya. (1 Sam. 12:1-5) Samuel telah menunjukkan teladan yang baik, tetapi anak-anaknya, Yoel dan Abia, tidak mengikut contoh baiknya. Sebaliknya, mereka “menerima rasuah dan menghakimi rakyat dengan tidak adil.”—Baca 1 Samuel 8:1-5.

5, 6. Apakah yang terjadi dengan anak-anak dan cucu Yosia?

5 Hal ini serupa dengan anak-anak Raja Yosia. Yosia merupakan raja yang setia dan dia mengasihi serta menyembah Yehuwa. Apabila kitab Taurat dijumpai dan dibacakan kepada Yosia, dia menerapkan apa yang dipelajarinya. Dia memusnahkan segala penyembahan berhala dan spiritisme, lalu menyuruh rakyatnya untuk mentaati Yehuwa. (2 Raj. 22:8; 23:2, 3, 12-15, 24, 25) Anak-anaknya telah menerima warisan rohani yang istimewa daripada bapa mereka! Tetapi apabila tiga orang anaknya dan seorang cucunya menjadi raja, tiada seorang pun yang bersyukur atas warisan rohani mereka.

6 Apabila anak Yosia, Yoahas, menjadi raja, dia ‘berdosa terhadap Yehuwa.’ Dia menjadi raja selama tiga bulan sahaja lalu dia dipenjarakan oleh Firaun Mesir. Kemudian, dia meninggal di sana, jauh dari tempat asalnya. (2 Raj. 23:31-34) Selepas itu, abangnya Yoyakim menjadi raja selama 11 tahun. Dia juga tidak bersyukur atas warisan rohaninya. Dia begitu jahat sekali sehingga Yeremia bernubuat bahawa cara dia dikuburkan adalah “seperti yang dilakukan orang terhadap bangkai keldai.” (Yer. 22:17-19) Anak Yosia, Zedekia dan cucu Yosia, Yoyakhin, juga merupakan raja yang jahat dan tidak mengikut teladan Yosia yang setia.—2 Raj. 24:8, 9, 18, 19.

7, 8. (a) Bagaimanakah Salomo menunjukkan bahawa dia tidak bersyukur atas warisan rohaninya? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Bible tentang mereka yang tidak bersyukur atas warisan rohani mereka?

7 Seperti bapanya Daud, Raja Salomo menyembah Yehuwa. Tetapi dia tidak bersyukur atas warisan rohani yang diterimanya. Isteri-isterinya ‘berjaya membujuknya menyembah tuhan-tuhan lain ketika Raja Salomo sudah tua. Raja Daud, ayahanda Raja Salomo setia kepada Yehuwa, Tuhannya, tetapi Raja Salomo tidak seperti ayahandanya.’ (1 Raj. 11:4) Oleh itu, Salomo tidak lagi diperkenankan oleh Tuhan Yehuwa.

8 Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa mereka sebenarnya mempunyai peluang untuk mendapat perkenan Yehuwa dan melakukan perkara yang betul. Sedihnya, mereka telah mensia-siakan peluang tersebut. Tetapi, bukan semua orang muda begitu. Mari kita kaji beberapa contoh orang muda dalam Bible yang mempunyai teladan yang baik.

MEREKA BERSYUKUR ATAS APA YANG DITERIMA

9. Mengapakah anak-anak Nuh menetapkan teladan yang baik? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Anak-anak Nuh telah menetapkan teladan yang baik. Yehuwa telah menyuruh Nuh membina bahtera untuk menyelamatkan manusia. Anak-anak Nuh tentu terdorong untuk melakukan kehendak Tuhan. Oleh itu, mereka membantu bapa mereka untuk membina bahtera dan memasukinya sebelum Banjir tiba. (Kej. 7:1, 7) Kejadian 7:2, 3 menyatakan bahawa mereka membawa binatang-binatang masuk ke dalam bahtera supaya “binatang dan burung . . . terselamat, lalu dapat membiak semula di bumi.” Manusia juga terselamat. Nuh dan anak-anaknya bersyukur atas warisan rohani mereka. Perbuatan mereka telah menyebabkan umat manusia terselamat dan ibadat sejati dipulihkan.—Kej. 8:20; 9:18, 19.

10. Bagaimanakah empat pemuda Ibrani menunjukkan bahawa mereka menghargai warisan rohani mereka?

10 Ratusan tahun kemudian, empat pemuda Ibrani telah menolak gaya hidup orang Babilon. Hananya, Misael, Azarya dan Daniel dibawa ke Babilon sebagai tawanan pada tahun 617 SM. Mereka kacak dan bijaksana. Mereka boleh menjadi orang ternama di sana. Namun mereka tidak melupakan identiti mereka yang sebenar dan semua yang telah dipelajari oleh mereka. Oleh itu, Yehuwa memberkati mereka dengan berlimpah.—Baca Daniel 1:8, 11-15, 20.

11. Mengapakah orang lain meraih manfaat daripada warisan rohani Yesus?

11 Yesus merupakan teladan yang terunggul kerana dia benar-benar menghargai warisan rohaninya. Yesus sangat menyukai apa yang diajar oleh Yehuwa kepadanya. Maka dia berkata, ‘Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepadaku.’ (Yoh. 8:28) Dia gemar berkongsi pengetahuannya dengan orang lain supaya mereka juga dapat meraih manfaat. Dia berkata kepada orang, ‘Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Tuhan mengutus aku untuk melakukan tugas itu.’ (Luk. 4:18, 43, nota kaki) Dunia tidak menghargai hal-hal rohani. Oleh itu, Yesus berkata kepada pengikutnya bahawa mereka tidak patut “menjadi milik dunia.”—Yoh. 15:19.

BERSYUKURLAH ATAS APA YANG TELAH ANDA TERIMA

12. (a) Bagaimanakah kaum muda hari ini dapat menerapkan ayat di 2 Timotius 3:14-17? (b) Apakah soalan yang harus difikirkan oleh orang Kristian muda?

12 Jika anda dibesarkan dalam kebenaran, anda telah menerima warisan rohani daripada ibu bapa anda. Apa yang dikatakan dalam Bible tentang Timotius juga boleh ditujukan kepada anda. (Baca 2 Timotius 3:14-17.) Sejak kecil lagi, ibu bapa telah mengajar anda tentang Yehuwa dan cara untuk menggembirakan hati-Nya. Hal ini membolehkan anda “mendapat penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus.” Anda juga “dilengkapi dengan sempurna” untuk berkhidmat kepada Tuhan. Jadi, adakah anda benar-benar menghargai warisan ini? Tanyalah diri: “Apakah perasaan saya terhadap penyembah Yehuwa pada zaman kuno? Adakah saya bangga menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa? Adakah saya bersyukur kerana Tuhan mengenali saya? Adakah saya sedar bahawa saya telah menerima penghormatan yang sangat istimewa?”

Ramai orang menyembah Yehuwa sejak dulu lagi. Adakah anda bangga untuk menjadi seperti mereka? (Lihat perenggan 9, 10, 12)

13, 14. Kaum muda yang dibesarkan dalam kebenaran tergoda untuk melakukan apa? Berikan contoh.

13 Sesetengah kaum muda yang dibesarkan dalam kebenaran mungkin tidak menyedari bahawa cahaya rohani jauh berbeza daripada kegelapan dunia Syaitan. Malah, ada yang sangat ingin merasai kehidupan di dunia. Namun, fikirkan situasi ini: Adakah anda akan sengaja membiarkan diri dilanggar oleh kereta hanya untuk mengetahui bagaimana rasanya semasa tercedera? Sudah tentu tidak! Jadi kita tidak perlu mencuba perkara-perkara jahat di dunia hanya untuk mengetahui betapa perit kesannya ke atas kita.—1 Ptr. 4:4.

14 Seorang pemuda bernama Gener di Asia, telah dibesarkan dalam kebenaran. Dia dibaptis pada umur 12 tahun. Tetapi ketika remaja, dia tergoda untuk merasai kehidupan di dunia dan menginginkan kebebasan. Gener mula berbohong kepada keluarganya dan menyimpan rahsia. Semasa berumur 15 tahun, dia mula minum arak dan menggunakan kata-kata kesat seperti rakan-rakannya. Dia bermain biliard dan permainan komputer yang ganas bersama rakan-rakannya dan balik ke rumah lewat malam. Akhirnya, dia sedar bahawa dia tidak gembira dan kehidupannya tidak bermakna. Kini, dia sudah kembali ke sidang. Dia berkata bahawa, dari masa ke masa, dia masih tergoda oleh dunia Syaitan. Namun, mempunyai perkenan Yehuwa jauh lebih penting baginya.

15. Tidak kira kita dibesarkan dalam kebenaran atau tidak, apakah perkara yang harus kita fikirkan?

15 Bagaimana pula jika anda tidak dibesarkan dalam kebenaran? Anda juga telah menerima peluang yang istimewa, iaitu untuk mengenali dan berkhidmat kepada Pencipta kita! Cuba fikirkan: Bumi kita didiami oleh berbilion-bilion orang. Namun, Yehuwa memimpin anda kepada-Nya. Jadi anda memang telah diberkati! (Yoh. 6:44, 45) Tidak kira kita dibesarkan dalam kebenaran atau tidak, kita amat gembira kerana mengetahui kebenaran Bible. (Baca 1 Korintus 2:12.) Apabila Gener berfikir dengan mendalam, dia kagum dan berkata, “Siapakah saya ini sehinggakan Tuhan, Pemilik alam semesta, mengenali saya?” (Mzm. 8:5) Seorang saudari berkata, “Murid-murid berasa bangga jika dikenali oleh guru mereka. Sudah tentu kita berasa bangga kerana dikenali oleh Yehuwa, Guru Yang Maha Agung!”

APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?

16. Apakah pilihan yang bijak bagi pemuda-pemudi Kristian?

16 Fikirkanlah tentang warisan rohani anda dan tetapkan matlamat untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Ikutlah teladan baik penyembah Tuhan yang setia pada masa lampau. Janganlah ikut cara hidup kaum muda di dunia yang mensia-siakan kehidupan mereka.—2 Kor. 4:3, 4.

17-19. Kita memilih kehidupan yang berbeza daripada orang di dunia. Mengapakah hal ini tindakan yang bijak?

17 Kita menghadapi cabaran kerana kita berbeza daripada orang di dunia. Namun, inilah tindakan yang bijak. Fikirkanlah: Seorang olahraga Sukan Olimpik tentu mempunyai gaya hidup yang berbeza daripada rakan-rakannya. Dia perlu menghindari semua perkara yang boleh mengganggu perhatian dan masa latihannya. Kerelaannya untuk hidup berbeza membolehkannya untuk berlatih dengan lebih giat dan mencapai matlamatnya.

18 Kebanyakan orang di dunia tidak berfikir dengan mendalam tentang akibat buruk daripada tindakan mereka. Tetapi penyembah Yehuwa berbeza. Kita mengelakkan perkara-perkara yang tidak bermoral supaya hubungan baik kita dengan Yehuwa tidak terjejas. Dengan demikian, kita berpeluang “mendapat hidup kekal iaitu hidup sejati.” (1 Tim. 6:19) Saudari yang disebut tadi berkata: “Jika anda berpegang teguh pada pendirian anda, anda akan berasa gembira. Hal ini membuktikan bahawa anda dapat menentang arus dunia Syaitan. Anda seolah-olah dapat melihat Tuhan Yehuwa tersenyum kerana Dia berasa bangga dengan anda! Pada masa itulah anda berasa puas hati kerana anda berbeza daripada dunia ini!”

19 Janganlah mensia-siakan kehidupan anda dengan bertumpu kepada apa yang dapat anda capai sekarang. (Pkh. 9:2, 10) Anda harus sedar bahawa anda mempunyai tujuan hidup dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya. Hal ini akan membantu anda membuat pilihan yang bijak dan mengelak daripada ‘hidup seperti orang yang tidak mengenal Tuhan.’ Dengan itu, kehidupan anda akan lebih bermakna.—Ef. 4:17; Mal. 3:18.

20, 21. Apakah masa depan kita jika kita membuat keputusan yang bijak? Tetapi apakah yang harus kita lakukan?

20 Jika kita membuat keputusan yang bijak, kita akan hidup dengan bahagia sekarang dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya di dunia baru. Yehuwa akan memberkati kita dengan berlimpah-limpah. (Mat. 5:5; 19:29; 25:34) Tetapi, Dia tidak memberikan berkat-Nya kepada sesiapa sahaja. Dia hanya memberkati kita jika kita mentaati-Nya. (Baca 1 Yohanes 5:3, 4.) Oleh itu, usaha kita untuk menyembah Yehuwa dengan setia memang berbaloi!

21 Kita telah menerima banyak berkat daripada Yehuwa. Kita mempunyai pengetahuan Bible yang tepat dan pemahaman yang jelas tentang kebenaran dan tujuan-Nya. Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita mempunyai penghormatan untuk menjadi umat yang menyandang nama-Nya. Tuhan juga berjanji bahawa Dia akan sentiasa membantu kita. (Mzm. 118:7) Tidak kira kita tua atau muda, marilah kita tunjukkan penghargaan terhadap warisan rohani kita dan ‘memuji Tuhan selama-lamanya.’—Rm. 11:33-36; Mzm. 33:12.