Dia ‘Mengetahui Jalan Itu’
GUY HOLLIS PIERCE, salah seorang daripada ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Selasa, 18 Mac 2014, pada usia 79 tahun. Sebagai saudara Kristus, dia telah dibangkitkan ke syurga.—Ibr. 2:10-12; 1 Ptr. 3:18.
Guy Pierce dilahirkan di Auburn, California, A.S., pada 6 November 1934, dan dibaptis pada tahun 1955. Dia dan isterinya, Penny, berkahwin pada tahun 1977 dan mempunyai anak. Dia juga menjadi seperti seorang bapa kepada ramai orang. Pada tahun 1982, dia dan Penny mula merintis. Sejak 1986, dia berkhidmat sebagai penyelia litar selama 11 tahun di Amerika Syarikat.
Pada tahun 1997, Guy dan Penny Pierce mula berkhidmat di Bethel, Amerika Syarikat. Saudara Pierce bekerja di Bahagian Kerja Penyebaran, dan pada tahun 1998 dia dilantik sebagai pembantu Jawatankuasa Kakitangan bagi Badan Pimpinan. Saudara Pierce diumumkan sebagai ahli Badan Pimpinan pada 2 Oktober 1999, semasa mesyuarat tahunan. Kebelakangan ini, dia telah berkhidmat dalam Jawatankuasa Koordinator, Kakitangan, Penulisan, dan Penerbitan.
Saudara Pierce mempunyai senyuman yang mesra dan pandai bergurau senda. Orang dari pelbagai latar belakang dan budaya berasa selesa bersamanya. Namun, apa yang benar-benar menarik hati orang ialah sifatnya yang pengasih dan rendah hati. Dia menghormati hukum dan prinsip Tuhan, serta memiliki iman yang kuat kepada Yehuwa. Guy Pierce sering berkata bahawa biarpun matahari tidak terbit, janji-janji Yehuwa akan tetap terlaksana. Dia ingin semua orang juga yakin akan janji Tuhan.
Saudara Pierce bekerja keras untuk Yehuwa. Dia bermula awal pagi dan sering kali bekerja sehingga larut malam. Dia melawat saudara saudari di serata dunia untuk menggalakkan mereka, dan dia tidak terlampau sibuk untuk meluangkan masa dengan sesiapa yang memerlukan bantuan atau nasihatnya. Walaupun bertahun-tahun sudah berlalu, saudara saudari masih ingat akan kemesraan, pergaulan dan nasihat Bible daripadanya.
Saudara Pierce akan dirindu oleh isteri, enam orang anak, cucu-cicit, dan banyak anak rohaninya. Sebuah ceramah untuk Saudara Pierce telah disampaikan oleh Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan, di Bethel Brooklyn pada hari Sabtu, 22 Mac 2014. Dia telah bercakap tentang harapan Saudara Pierce untuk naik ke syurga dan membaca kata-kata Yesus: ‘Di dalam rumah Bapaku terdapat banyak tempat kediaman. Setelah aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempatku, supaya kamu tinggal di tempat aku tinggal. Kamu mengetahui jalan ke tempat aku pergi itu.’—Yoh. 14:2-4.
Kita akan merindui Saudara Pierce. Namun, kita bersukacita kerana dia ‘mengetahui jalan itu’ yang menuju ke ‘tempat kediamannya’ yang tetap.