Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menghadapi Akhir Dunia Ini Bersama-sama

Menghadapi Akhir Dunia Ini Bersama-sama

“Kita semua ialah anggota satu tubuh.”—EF. 4:25, NW.

1, 2. Tidak kira tua atau muda, bagaimanakah kita sepatutnya menyembah Tuhan?

ADAKAH anda seorang pemuda? Jika ya, anda merupakan bahagian yang penting dalam sidang sedunia. Di banyak negara, ramai kaum muda dibaptis. Keinginan mereka untuk menyembah Yehuwa amat menggalakkan!

2 Sebagai seorang pemuda, adakah anda suka bergaul dengan rakan sebaya? Sudah pasti. Namun, Yehuwa ingin kita menyembah-Nya bersama semua saudara saudari kita. Dia ingin umat-Nya bersatu padu, tidak kira umur atau latar belakang mereka. Rasul Paulus menulis bahawa kehendak Tuhan adalah supaya “semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar.” (1 Tim. 2:3, 4) Wahyu 7:9 juga menerangkan bahawa penyembah-penyembah Tuhan datang daripada “setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa.”

3, 4. (a) Apakah sikap yang ditunjukkan oleh banyak kaum muda hari ini? (b) Menurut Efesus 4:25, bagaimanakah Paulus menggambarkan perpaduan sidang Kristian?

3 Terdapat perbezaan antara kaum muda yang menyembah Yehuwa dengan yang tidak. Banyak kaum muda yang tidak menyembah Yehuwa mementingkan diri sendiri. Mereka hanya bertumpu kepada apa yang mereka inginkan. Sebenarnya, beberapa penyelidik berkata bahawa generasi muda semakin mementingkan diri. Cara mereka bercakap dan berpakaian menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati orang lain, terutamanya orang yang lebih tua.

4 Sikap sedemikian boleh dilihat di mana-mana sahaja. Jadi, kita perlu berusaha untuk menghindarinya dan menyenangkan hati Yehuwa. Pada abad pertama, Paulus memberikan amaran kepada orang Kristian yang bersikap sedemikian. Sikap ini merupakan semangat yang ‘menguasai orang yang tidak taat kepada Tuhan.’ (Baca Efesus 2:1-3.) Kita gembira melihat kaum muda dalam sidang Kristian yang tidak menunjukkan sikap buruk ini. Mereka ingin menyembah Yehuwa bersama saudara saudari mereka. Mereka juga faham bahawa sidang adalah seperti anggota-anggota badan yang saling bekerjasama. Paulus menulis, “Kita semua ialah anggota satu tubuh.” (Ef. 4:25, NW) Akhir dunia Syaitan mendekat, jadi adalah penting bagi kita untuk bersatu padu dengan saudara saudari. Contoh-contoh Bible yang berikut akan membantu kita memahami sebab kita perlu bersatu padu.

MEREKA BERSATU PADU

5, 6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Lot dan keluarganya?

5 Pada masa lampau, umat Yehuwa telah menghadapi situasi yang berbahaya. Yehuwa telah membantu mereka kerana mereka bersatu padu. Tidak kira tua atau muda, kita boleh belajar daripada kisah tersebut. Marilah kita lihat contoh Lot.

6 Lot dan keluarganya menghadapi bahaya. Yehuwa ingin membinasakan kota Sodom yang merupakan tempat tinggal mereka. Dia telah mengutus malaikat untuk memberikan amaran kepada Lot supaya melarikan diri ke pergunungan. Malaikat berkata kepadanya, “Larilah, selamatkanlah diri kamu!” (Kej. 19:12-22) Lot dan dua orang anak perempuannya mengikut arahan itu. Namun, ahli keluarga Lot yang lain tidak berbuat demikian. Apabila Lot memberitahu bakal menantunya bahawa mereka harus melarikan diri, mereka berfikir bahawa orang tua tersebut “bergurau sahaja.” Mereka tidak menganggap arahan itu serius. Maka mereka mati semasa Sodom dibinasakan. (Kej. 19:14) Hanya Lot dan dua orang anak perempuannya selamat kerana mereka bersatu padu dan mengikut arahan Tuhan.

7. Bagaimanakah Yehuwa membantu orang Israel yang bersatu padu semasa meninggalkan Mesir?

7 Fikirkan juga tentang contoh orang Israel semasa mereka meninggalkan Mesir. Mereka tidak membentuk kumpulan-kumpulan kecil lalu memilih haluan tersendiri ke Tanah yang Dijanjikan. Sebaliknya, mereka berjalan dalam satu kumpulan yang bersatu padu. Apabila Yehuwa membelah Laut Merah, Musa tidak menyeberanginya seorang diri atau bersama segelintir orang sahaja. Seluruh bangsa Israel telah menyeberangi laut itu bersama Musa, dan Yehuwa telah melindungi mereka. (Kel. 14:21, 22, 29, 30) Bahkan orang bukan Israel juga menyertai mereka. Mereka semua bersatu padu. (Kel. 12:38) Sudah pasti tidak berbaloi jika sekumpulan orang, kemungkinan orang muda, mengikut haluan tersendiri kerana berfikir bahawa haluan mereka lebih baik. Mereka yang mengikut haluan tersendiri tidak mendapat perlindungan Yehuwa.—1 Kor. 10:1.

8. Pada zaman Raja Yosafat, bagaimanakah umat Tuhan bersatu padu?

8 Pada zaman Raja Yosafat, sekumpulan tentera datang untuk menyerang umat Tuhan. (2 Taw. 20:1, 2) Apakah yang dilakukan oleh orang Israel apabila dikepung oleh musuh? Mereka percaya kepada Yehuwa dan meminta bimbingan-Nya. (Baca 2 Tawarikh 20:3, 4.) Tiada orang yang cuba mencari jalan keluar sendiri, sebaliknya mereka semua berkumpul bersama. Bible menyatakan, ‘Semua kaum lelaki Yehuda, bersama-sama anak isteri mereka, berdiri di Rumah Yehuwa.’ (2 Taw. 20:13) Segenap umat Tuhan, tua dan muda, mengikut bimbingan Yehuwa. Mereka telah bersatu padu, dan Yehuwa melindungi mereka daripada tangan musuh. (2 Taw. 20:20-27) Kisah ini menunjukkan bagaimana umat Tuhan hari ini boleh menghadapi tentangan musuh bersama-sama.

9. Apakah yang boleh kita pelajari daripada orang Kristian abad pertama?

9 Pada abad pertama, orang Kristian menyembah Yehuwa dengan aman dan damai. Contohnya, orang Yahudi dan orang bukan Yahudi menjadi orang Kristian, dan mereka mengikut ajaran daripada rasul-rasul. Mereka meluangkan masa bersama, makan bersama, dan berdoa bersama. (Kis. 2:42) Semasa mereka dianiaya, mereka tetap bersatu padu. Itulah masanya mereka memerlukan satu sama lain. (Kis. 4:23, 24) Ketika dianiaya, kita juga harus bersatu padu dan menyokong satu sama lain.

BERSATULAH SEBELUM HARI YEHUWA TIBA

10. Bilakah kita memerlukan perpaduan yang paling teguh?

10 Tidak lama lagi, kita akan menghadapi situasi yang paling sukar dalam sejarah manusia. Nabi Yoel menyatakan bahawa masa itu seperti hari yang “gelap dan mendung.” (Yl. 2:1, 2; Zef. 1:14) Ketika itu, umat Tuhan memerlukan perpaduan yang lebih teguh daripada dahulu. Ingatlah kata-kata Yesus: “Negeri yang berpecah . . . tidak akan tahan lama.”—Mat. 12:25.

11. Berdasarkan Mazmur 122:3, 4, apakah yang dapat kita pelajari mengenai perpaduan?

11 Apabila masa sengsara tiba, kita harus menjalinkan hubungan yang rapat dengan saudara saudari. Perpaduan kita boleh dibandingkan dengan corak perumahan di Yerusalem kuno. Jarak antara rumah-rumah begitu dekat sekali. Oleh itu, sang pemazmur menggambarkannya “sebagai kota yang tersusun rapi dan indah.” Penduduk di sana berasa selamat kerana semua orang tinggal berhampiran. Mereka dapat saling membantu dan melindungi satu sama lain. Corak perumahan itu juga mengingatkan pemazmur tentang suku-suku Israel yang bersatu menyembah Yehuwa. (Baca Mazmur 122:3, 4.) Sekarang dan pada masa yang akan datang, umat Tuhan perlu menjalinkan hubungan yang rapat dan bersatu padu.

12. Bagaimanakah kita boleh dilindungi semasa serangan Gog?

12 Mengapakah perpaduan sangat penting pada masa depan? Yehezkiel 38 telah menubuatkan bahawa Gog dari tanah Magog akan menyerang umat Yehuwa. Pada masa itu, janganlah biarkan apa-apa untuk menyebabkan kita berpecah belah. Kita sebenarnya membuat kesilapan yang besar jika kita berfikir dunia Syaitan dapat melindungi kita. Sebaliknya, kita harus bersatu dengan saudara saudari kita. Selain itu kita sendiri juga perlu percaya dan mematuhi Yehuwa. Dengan demikian, Yehuwa dan Yesus akan melindungi kita ketika diserang. (Yl. 2:32; Mat. 28:20) Pada pendapat anda, adakah Yehuwa akan menyelamatkan kita jika kita bersatu padu atau jika kita memilih haluan sendiri?—Mi. 2:12.

13. Apakah yang dapat dipelajari oleh kaum muda daripada apa yang sudah dibincangkan?

13 Pemuda-pemudi, adakah anda memahami betapa pentingnya untuk menjalinkan hubungan yang rapat dengan saudara saudari? Cubalah elakkan kecenderungan untuk bersendirian atau bergaul dengan rakan sebaya sahaja. Masanya akan tiba apabila kita memerlukan satu sama lain, tidak kira tua atau muda. Kuatkan ikatan persahabatan anda dengan saudara saudari sekarang dan sembahlah Yehuwa bersama-sama. Pada masa depan, perpaduan inilah yang akan menyelamatkan nyawa anda!

“KITA SEMUA IALAH ANGGOTA SATU TUBUH”

14, 15. (a) Mengapakah Yehuwa mempersiapkan kita untuk bersatu padu? (b) Apakah nasihat yang diberikan oleh Yehuwa supaya kita dapat bersatu padu?

14 Yehuwa membantu kita untuk menyembah-Nya bersama saudara saudari. (Zef. 3:8, 9) Sebenarnya, Dia mempersiapkan kita untuk masa depan ketika Dia “menyatukan segala sesuatu yang telah diciptakan . . . dengan Kristus sebagai kepala.” (Baca Efesus 1:9, 10.) Yehuwa ingin menyatukan segala sesuatu di syurga dan di bumi sebagai satu keluarga. Yehuwa pasti akan melaksanakan hal ini. Kaum muda, anda boleh menjadi sebahagian daripada keluarga ini untuk selama-lamanya. Adakah anda ingin bersatu padu dengan organisasi Yehuwa?

15 Yehuwa sedang mempersiapkan kita sekarang untuk hidup bersatu padu. Hal ini adalah supaya kita dapat hidup aman dengan satu sama lain di dunia baru. Dia mengajar kita untuk “saling memperhatikan,” “saling mengasihi dengan mesra,” “saling menggalakkan dan saling menguatkan.” (1 Kor. 12:25; Rm. 12:10; 1 Tes. 4:18; 5:11) Yehuwa faham bahawa kita tidak sempurna. Bukan senang bagi kita untuk selalu bersatu padu. Itulah sebabnya Dia menggalakkan kita untuk terus “saling mengampuni.”—Ef. 4:32.

16, 17. (a) Apakah tujuan perjumpaan diadakan? (b) Apakah yang dapat dipelajari oleh kaum muda daripada teladan Yesus?

16 Selain itu, Yehuwa membantu kita untuk bersatu padu melalui perjumpaan. Tujuan perjumpaan diadakan adalah “supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik.” (Ibr. 10:24, 25) Hari Yehuwa semakin dekat dan kita memerlukan perjumpaan sebegini.

17 Yesus merupakan teladan yang baik. Ketika berumur 12 tahun, dia pergi ke perjumpaan yang besar bersama ibu bapanya. Namun pada satu ketika, ibu bapa Yesus tidak dapat mencarinya. Adakah Yesus sedang bergaul dengan pemuda-pemudi lain? Tidak. Yesus sedang membincangkan ayat-ayat Alkitab dengan guru-guru di Rumah Tuhan.—Luk. 2:45-47.

18. Bagaimanakah doa dapat menguatkan perpaduan kita?

18 Kita juga dapat menguatkan perpaduan kita dengan berdoa secara spesifik untuk saudara saudari. Berdoa untuk rakan seiman membantu kita untuk mengambil berat tentang mereka. Kita semua perlu mengasihi saudara saudari kita, menggalakkan mereka di perjumpaan, dan berdoa untuk mereka. Kaum muda, sudahkah anda melakukan perkara-perkara ini? Dengan berbuat demikian, anda dapat menjalinkan hubungan rapat dengan saudara saudari. Untuk menghadapi akhir dunia ini, kita perlu bersatu padu dengan saudara saudari, bukannya dengan dunia Syaitan.

Kita boleh berdoa demi saudara saudari kita (Lihat perenggan 18)

TUNJUKKAN BAHAWA KITA “ANGGOTA-ANGGOTA DARIPADA SATU TUBUH”

19-21. (a) Memandangkan kita seperti “anggota-anggota daripada satu tubuh,” kita terdorong untuk melakukan apa? Berikan contoh. (b) Apakah yang dapat anda pelajari daripada cara saudara saudari saling membantu semasa bencana?

19 Umat Yehuwa hari ini seperti “anggota-anggota daripada satu tubuh.” (Rm. 12:5) Apabila bencana berlaku, kita ingin membantu rakan seiman kita. Pada Disember 2011, ribut taufan telah melanda pulau Mindanao di Filipina. Dalam satu malam, 40,000 rumah dilanda banjir, termasuk rumah saudara saudari kita. Sebelum bantuan daripada pejabat cawangan tiba, saudara saudari dari tempat lain sudah pun membantu mangsa bencana.

20 Di Jepun pula, rakan seiman kita merana apabila gempa bumi dan tsunami melanda bahagian timur negara itu. Ramai yang kehilangan harta benda. Contohnya, rumah Yoshiko telah hancur. Dia tinggal kira-kira 40 km dari Dewan Perjumpaan. Dia berkata, “Saya hairan melihat penyelia litar bersama seorang saudara datang mencari kami sehari selepas gempa bumi itu.” Sambil tersenyum, dia berkata, “Kami sangat menghargai bantuan rohani yang diterima menerusi sidang. Selain itu, kami menerima baju sejuk, kasut, beg, dan baju tidur.” Seorang ahli jawatankuasa bantuan bencana berkata, “Saudara saudari dari serata Jepun telah bersatu padu untuk membantu mangsa bencana. Malah ada yang datang dari Amerika Syarikat. Apabila ditanya mengapa mereka sanggup datang dari tempat jauh, mereka menjawab, ‘Kami bersatu padu dengan saudara saudari di Jepun, dan mereka memerlukan bantuan.’” Adakah anda berasa bangga menjadi sebahagian daripada organisasi yang penuh kasih ini? Yehuwa pasti berbesar hati dengan perpaduan umat-Nya.

21 Jika kita bergantung pada satu sama lain, kita akan bersedia untuk menghadapi situasi mencabar yang akan datang. Kita mungkin tidak dapat berhubung dengan saudara di serata dunia, tetapi kita masih dapat bersatu dengan rakan seiman tempatan. Saudari Fumiko, seorang mangsa taufan di Jepun berkata, “Akhir sudah dekat. Kita harus saling membantu sambil menanti-nantikan masanya apabila tiada lagi bencana.”

22. Bagaimanakah perpaduan dapat membantu kita kelak?

22 Anda boleh bersiap sedia untuk hari besar Yehuwa dengan berusaha sedaya upaya untuk bersatu padu dengan rakan seiman sekarang. Apabila dunia Syaitan binasa kelak, Yehuwa akan menyelamatkan umat-Nya seperti yang dilakukan-Nya pada masa lampau. (Yes. 52:9, 10) Tidak kira tua atau muda, kita harus bersatu dengan umat Tuhan jika ingin diselamatkan. Dalam rencana yang seterusnya, kita akan membincangkan mengapa kita harus menghargai segala yang kita terima.