Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Patutkah Anda Mengubah Fikiran?

Patutkah Anda Mengubah Fikiran?

SEKUMPULAN Saksi-Saksi muda ingin menonton sebuah wayang. Di sekolah, semua orang berkata bahawa wayang itu sangat bagus. Apabila mereka tiba di pawagam dan melihat poster wayang itu, mereka nampak senjata yang hebat dan perempuan yang berpakaian tidak senonoh. Apakah yang akan dilakukan oleh mereka? Adakah mereka akan menonton wayang itu?

Setiap hari kita perlu membuat keputusan. Keputusan kita boleh menguatkan atau melemahkan hubungan kita dengan Yehuwa. Anda mungkin ingin melakukan sesuatu, tetapi selepas berfikir masak-masak anda mengubah fikiran anda. Adakah hal ini bermaksud anda tidak pandai membuat keputusan, atau adakah anda memang patut mengubah fikiran anda?

Bila Kita Tidak Patut Mengubah Fikiran

Oleh sebab kita sangat mengasihi Yehuwa, kita membaktikan diri kepada-Nya dan dibaptis. Kita berjanji untuk tetap setia kepada-Nya, dan kita tidak mahu memungkiri janji ini. Tetapi musuh kita, Syaitan, akan membuat apa sahaja untuk menyebabkan kita mengingkari Tuhan. (Why. 12:17) Kita telah memutuskan untuk mentaati Yehuwa. Jika kita mengubah fikiran, kita mungkin kehilangan harapan untuk hidup kekal.

Lebih daripada 2,600 tahun dahulu, Raja Nebukadnezar dari Babilon membina sebuah patung emas dan memerintah semua orang untuk menyembah patung itu. Orang yang enggan akan dilemparkan ke dalam relau api. Tiga orang pemuda yang menyembah Yehuwa iaitu Sadrakh, Mesakh, dan Abednego ingin menyenangkan hati Tuhan. Jadi mereka enggan mentaati perintah raja itu, dan mereka dilemparkan ke dalam relau api. Yehuwa telah melakukan mukjizat untuk menyelamatkan mereka. Mereka enggan mengingkari Tuhan walaupun nyawa mereka diancam.—Dan. 3:1-27.

Nabi Daniel pula tahu bahawa jika orang nampak dia berdoa kepada Tuhan, dia akan dilemparkan ke dalam gua singa dan mati dalam cara yang mengerikan. Tetapi dia tetap berdoa tiga kali sehari. Dia tidak mengubah keputusannya untuk menyembah Tuhan yang benar. Hasilnya, Yehuwa “menyelamatkan Daniel daripada terkaman singa.”—Dan. 6:2-28.

Umat Tuhan hari ini juga berpegang pada janji mereka kepada Yehuwa. Sekumpulan Saksi muda di Afrika enggan mengangkat tabik kepada lambang negara semasa perhimpunan sekolah. Pihak sekolah mengancam mereka. Jika mereka enggan berbuat demikian mereka akan dibuang sekolah. Kemudian, menteri pendidikan bercakap dengan Saksi-Saksi muda ini. Mereka tidak takut, bahkan menjelaskan pendirian mereka dengan sopan. Sejak itu, isu ini tidak diungkit lagi. Mereka boleh pergi ke sekolah tanpa berasa tertekan untuk mengingkari Yehuwa.

Joseph juga menghadapi cubaan apabila isterinya meninggal secara tiba-tiba akibat penyakit barah. Keluarga Joseph menghormati cara dia menjalankan upacara pengebumian. Namun, keluarga isterinya bukan dalam kebenaran. Mereka mahu adat-adat yang tidak menyenangkan Tuhan dijalankan semasa upacara pengebumian itu. Joseph berkata: “Oleh sebab saya enggan berbuat demikian, mereka cuba memujuk anak-anak saya; tetapi anak-anak saya tidak mengubah fikiran. Saudara-mara saya juga ingin mengaturkan upacara tertentu di rumah saya. Tetapi saya memberitahu mereka jika mereka berkeras untuk mengadakan upacara tersebut, mereka tidak boleh melakukannya di rumah saya. Mereka tahu bahawa upacara itu tidak selaras dengan kepercayaan saya dan isteri saya. Selepas lama berbincang, mereka mengadakan upacara tersebut di tempat lain.”

“Pada masa yang susah dan sedih ini, saya memohon bantuan Yehuwa agar kami tidak mengingkari hukum-hukum-Nya. Dia mendengar doa saya dan membantu kami untuk tetap teguh semasa menghadapi tekanan.” Joseph dan anak-anaknya tidak pernah terfikir untuk mengubah keputusan mereka untuk mentaati Yehuwa.

Bila Kita Mungkin Perlu Mengubah Fikiran

Pada tahun 32 M, seorang wanita bukan Israel telah meminta Yesus untuk menghalau roh jahat daripada anak perempuannya. Dia telah meminta berkali-kali, tetapi Yesus tidak menjawab. Dia menerangkan kepada para pengikutnya, “Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.” Oleh sebab wanita itu masih merayu, Yesus memberitahunya, “Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.” Tetapi wanita itu menunjukkan iman yang kuat dengan berkata, ‘Betul, tuan, tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.’ Akhirnya, Yesus mengubah fikirannya dan menyembuhkan anak wanita tersebut.—Mat. 15:21-28.

Yesus mengikut teladan Yehuwa yang juga mengubah fikiran-Nya apabila perlu. Contohnya, orang Israel telah mengingkari Yehuwa dan mula menyembah patung lembu emas. Oleh itu, Yehuwa membuat keputusan untuk menghapuskan mereka. Tetapi Musa merayu kepada Yehuwa untuk tidak berbuat demikian. Maka, Yehuwa pun mengubah fikiran-Nya.—Kel. 32:7-14.

Seperti Yehuwa dan Yesus, rasul Paulus juga rela mengubah fikirannya apabila perlu. Semasa Paulus membuat perjalanan menginjil yang pertama, Markus telah meninggalkannya dan Barnabas. Oleh itu, Paulus tidak mahu Markus menyertai perjalanannya yang lain. Tetapi kemudiannya Paulus melihat bahawa Markus telah menjadi matang dan mempunyai sifat-sifat yang baik. Jadi, Paulus memberitahu Timotius, “Jemputlah Markus dan bawalah dia bersama denganmu, kerana dia dapat menolong aku dalam pekerjaanku.”—2 Tim. 4:11.

Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh-contoh ini? Walaupun Yehuwa sempurna, Dia rela mengubah fikiran-Nya kerana Dia berbelas kasihan, sabar, dan penuh dengan kasih. Kita pula tidak sempurna, dan ada kalanya kita tidak mempunyai pandangan yang betul. Jadi kita perlu mengubah fikiran kita sekali-sekala. Contohnya, kita mungkin mengubah fikiran tentang seseorang selepas memahami situasinya dengan lebih mendalam.

Ada kalanya kita mungkin perlu mengubah fikiran tentang matlamat rohani kita. Contohnya, kita mungkin belajar Bible dan menghadiri perjumpaan tetapi masih tidak mahu dibaptis. Kita mungkin berasa ragu-ragu untuk mula merintis walaupun situasi kita mengizinkan. Ada saudara pula segan menjadi pembantu sidang atau penatua. (1 Tim. 3:1) Pernahkah anda berasa sedemikian? Bolehkah anda mengubah fikiran anda? Yehuwa ingin anda berkhidmat dan menyembah-Nya dengan sukacita.

Anda mungkin meraih berkat jika anda mengubah fikiran anda

Ella, seorang ahli Bethel di Afrika berkata, “Apabila saya datang ke Bethel, saya tidak pasti jika saya akan terus berkhidmat di sini. Saya ingin menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati, tetapi saya juga sangat rapat dengan keluarga. Pada mulanya, saya sangat merindui mereka! Namun, rakan sebilik saya menggalakkan saya. Jadi saya memutuskan untuk terus berkhidmat di sini. Selepas 10 tahun di Bethel, saya masih ingin berkhidmat di sini supaya dapat membantu saudara saudari lain.”

Bila Kita Patut Mengubah Fikiran

Kadangkala kita memang patut mengubah fikiran kita. Misalnya, “Kain naik marah” apabila dia cemburu dengan adiknya. Tuhan nampak bahawa Kain akan melakukan sesuatu yang jahat lalu menyuruhnya untuk mengawal kemarahannya. Tuhan berkata kepada Kain, “dosa menunggu untuk masuk ke dalam hatimu.” Namun Kain tidak peduli. Akhirnya, Kain membunuh adiknya.—Kej. 4:2-8.

Bagaimana pula jika Kain mengubah fikirannya?

Cuba fikir tentang Raja Uzia. Pada mulanya, dia mentaati Tuhan dan mempunyai hubungan yang erat dengan-Nya. Namun, dia menjadi sombong. Dia memasuki Rumah Tuhan untuk membakar kemenyan walaupun kerja itu hanya boleh dilakukan oleh para imam. Para imam memberikan amaran kepadanya, tetapi dia tidak mengubah fikirannya. Dia menjadi “murka” dan tidak mempedulikan amaran mereka. Jadi, Yehuwa menghukumnya dengan penyakit kulit yang mengerikan.—2 Taw. 26:3-5, 16-20.

Perhatikan juga contoh Joachim. Dia dibaptis pada tahun 1955, tetapi disingkirkan pada tahun 1978. Lebih daripada 20 tahun kemudian, dia mengubah fikirannya, bertaubat, dan kembali ke sidang. Apabila penatua bertanya mengapa dia mengambil masa yang lama untuk kembali, Joachim menjawab, “Saya sangat marah dan sombong. Saya memang menyesal kerana menunggu begitu lama untuk kembali ke sidang. Selama saya disingkirkan, saya tahu bahawa Saksi-Saksi Yehuwa memang mengajarkan kebenaran.”

Kita juga patut mengubah fikiran dan tindakan kita jika perlu. Jika kita rela berbuat demikian, Yehuwa pasti gembira.—Mzm. 34:9.