Yehuwa Memberkati Semangat yang Rela
PENCIPTA kita telah mengurniai kita sebuah pemberian yang sangat bernilai, iaitu kebebasan untuk memilih. Dia memberkati mereka yang menggunakan kebebasan ini demi memajukan ibadat sejati, menyucikan nama-Nya, serta menyokong kehendak-Nya. Yehuwa tidak ingin kita mentaati-Nya kerana terpaksa atau diancam untuk berbuat demikian. Sebaliknya, Dia ingin kita mematuhi-Nya kerana kita mengasihi dan menghargai-Nya.
Contohnya, apabila orang Israel berada di padang belantara, Yehuwa telah mengarahkan mereka untuk membina tempat penyembahan. Dia berkata, ‘Bawalah persembahan kepada Yehuwa. Sesiapa yang ingin memberikan persembahan’ boleh berbuat demikian. (Kel. 35:5) Setiap orang Israel boleh memberikan apa sahaja dan seberapa banyak yang mereka mahu. Pemberian ini akan digunakan untuk melaksanakan kehendak Tuhan. Jadi, apakah reaksi orang Israel?
‘Setiap orang yang tergerak hatinya membawa persembahan kepada Yehuwa.’ Ramai lelaki dan wanita telah memberikan kerongsang, anting-anting, cincin, emas, perak, gangsa, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, kain linen halus, kain yang dibuat daripada bulu kambing, kulit domba jantan yang dicelup merah, kulit halus, kayu akasia, batu permata, rempah-ratus, dan minyak. Akhirnya, “bahan-bahan yang sudah diberikan lebih daripada cukup untuk menyelesaikan segala pekerjaan itu.”—Kel. 35:21-24, 27-29; 36:7.
Yehuwa sangat senang hati dengan semangat mereka yang rela menyokong ibadat sejati. Orang Israel juga tergerak untuk menyumbangkan masa dan tenaga mereka. Bible berkata bahawa “semua perempuan yang mahir memintal” telah menyumbangkan kemahiran mereka dengan rela. Selain itu, Yehuwa memberi Bezaleel “kemahiran, kebolehan, dan pengertian dalam segala jenis karya seni.” Yehuwa mengurniai Bezaleel dan Oholiab kemahiran yang diperlukan supaya dapat melaksanakan segala yang ditugaskan kepada mereka.—Kel. 35:25, 26, 30-35.
Apabila Yehuwa meminta orang Israel memberikan sumbangan demi ibadat sejati, Dia sangat yakin bahawa mereka akan berbuat demikian dengan hati yang rela. Oleh itu, Dia telah memberi mereka bimbingan dan sukacita. Yehuwa menunjukkan bahawa penyembah-Nya yang berhati rela pasti diberkati dengan berlimpah. Dia akan memastikan bahawa bahan-bahan dan kemahiran untuk melaksanakan kehendak-Nya tidak berkekurangan. (Mzm. 34:10) Jika anda menyembah Tuhan dengan rela, Dia pasti akan memberkati anda juga.