Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Hal Ini Selaras dengan Kehendak-Mu”

“Hal Ini Selaras dengan Kehendak-Mu”

“Engkau menyembunyikan hal-hal ini dengan cermat daripada orang yang bijak pandai dan menyingkapkannya kepada anak-anak muda.”—LUK. 10:21.

1. Mengapakah Yesus berasa “sangat bersukacita”? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

BAYANGKAN anda melihat Yesus yang “sangat bersukacita.” Senyuman yang besar mungkin terukir pada wajahnya dan dia kelihatan sangat teruja. Mengapa? Dia telah menghantar 70 orang pengikutnya untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Oleh sebab terdapat banyak musuh yang menentang, Yesus ingin mengetahui bagaimana pengikutnya menangani tugas itu. Musuh-musuh itu termasuk guru Hukum dan orang Farisi yang berpendidikan tinggi. Mereka mahu orang menganggap Yesus sebagai seorang tukang kayu sahaja, dan pengikutnya sebagai “orang biasa yang tidak berpendidikan.” (Kis. 4:13; Mrk. 6:3) Walaupun demikian, para pengikut Yesus kembali dengan sukacita. Mereka telah melaksanakan tugas itu biarpun menerima tentangan, bahkan daripada roh-roh jahat! Mengapakah mereka bersukacita dan berani walaupun ditentang?—Baca Lukas 10:1, 17-21.

2. (a) Mengapakah pengikut Yesus disamakan dengan anak-anak muda? (b) Apakah yang membantu pengikut Yesus memahami kebenaran Bible yang mendalam?

2 Yesus berkata kepada Yehuwa: “Aku memuji-Mu di hadapan umum, ya Bapa, Pemerintah langit dan bumi, kerana Engkau menyembunyikan hal-hal ini daripada orang yang bijak pandai dan menyingkapkannya kepada anak-anak muda. Ya Bapa, hal ini selaras dengan kehendak-Mu.” (Mat. 11:25, 26) Mengapakah Yesus memanggil pengikutnya anak-anak muda? Guru Hukum dan orang Farisi yang berpendidikan tinggi menganggap diri mereka pandai. Para pengikut Yesus pula sudi diajar, seperti anak-anak muda. Mereka rendah hati dan tidak sombong. (Mat. 18:1-4) Oleh itu, Yehuwa menggunakan daya aktif-Nya untuk membantu mereka memahami kebenaran Bible yang mendalam. Tetapi pemimpin agama Yahudi yang sombong tidak dapat memahami kebenaran Bible dan mereka dibutakan oleh Syaitan.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Tidak hairanlah Yesus sangat bersukacita! Dia gembira kerana Yehuwa membantu orang yang rendah hati untuk memahami kebenaran Bible yang mendalam, tanpa mengira latar belakang pendidikan mereka. Cara mengajar yang jelas dan mudah difahami dapat membantu orang yang rendah hati menerima kebenaran. Hal ini selaras dengan kehendak Tuhan, dan Tuhan tidak berubah. Bagaimanakah kita tahu bahawa cara mengajar ini masih selaras dengan kehendak-Nya? Dalam rencana ini, kita akan belajar bagaimana Yehuwa membantu orang yang rendah hati untuk memahami kebenaran Bible yang mendalam.

MENJELASKAN AJARAN ALKITAB YANG MENDALAM

4. Mengapakah majalah Menara Pengawal edisi yang mudah difahami merupakan hadiah yang pengasih?

4 Kebelakangan ini, organisasi Yehuwa menekankan cara mengajar yang lebih jelas dan mudah fahami. Mari kita lihat tiga contoh. Pertama, kita mempunyai majalah Menara Pengawal edisi yang mudah difahami. * Edisi ini sememangnya suatu hadiah yang pengasih bagi ramai orang, termasuk mereka yang berasa susah untuk membaca atau yang tidak fasih dalam bahasa tertentu. Ketua keluarga juga mendapati bahawa anak-anak mereka lebih memahami edisi ini. Ramai orang telah menulis surat penghargaan kepada Badan Pimpinan. Seorang saudari yang dahulunya takut untuk memberikan komen semasa pembelajaran majalah berkata, “Sekarang saya memberikan lebih daripada satu komen dan saya tidak takut lagi!” Dia sangat bersyukur kepada Yehuwa dan Badan Pimpinan.

5. Apakah beberapa manfaat Alkitab New World Translation of the Holy Scriptures yang dikemaskinikan?

5 Kedua, semasa mesyuarat tahunan pada 5 Oktober 2013, Alkitab New World Translation of the Holy Scriptures yang dikemaskinikan telah dikeluarkan dalam bahasa Inggeris. * Banyak ayat dalam edisi ini lebih pendek. Namun, maksudnya tidak berubah dan lebih mudah difahami. Misalnya, di Ayub 10:1, jumlah perkataan dikurangkan daripada 27 kepada 19 perkataan. Jumlah perkataan di Amsal 8:6 pula dikurangkan daripada 20 kepada 13 perkataan. Kedua-dua ayat ini lebih mudah difahami dalam edisi baru. Seorang saudara terurap yang telah bertahun-tahun menyembah Yehuwa berkata, “Saya baru saja membaca buku Ayub dalam edisi baru. Saya berasa seolah-olah saya memahaminya buat kali pertama!” Ramai juga yang setuju dengannya.

6. Apakah perasaan anda tentang pemahaman yang lebih jelas mengenai Matius 24:45-47?

6 Ketiga, fikirkan pemahaman kita yang dikemaskinikan baru-baru ini. Contohnya, pemahaman yang lebih jelas mengenai “hamba yang setia dan bijaksana” telah diterbitkan dalam Menara Pengawal 15 Julai 2013. (Mat. 24:45-47) Rencana itu menerangkan bahawa hamba yang setia ialah Badan Pimpinan. Merekalah yang menyediakan makanan rohani bagi “hamba-hamba lain,” iaitu kaum terurap dan “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16) Betapa gembiranya kita untuk memahami ajaran ini dan berpeluang untuk mengajarkannya kepada orang lain. Selain itu, bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia ingin kita menggunakan cara mengajar yang jelas dan mudah difahami?

PENJELASAN KISAH BIBLE YANG LEBIH MUDAH

7, 8. Apakah contoh-contoh kisah Bible yang melambangkan perkara atau peristiwa pada masa depan?

7 Jika anda telah bertahun-tahun menyembah Yehuwa, anda mungkin mendapati bahawa cara bahan bacaan kita menjelaskan sesetengah kisah Bible telah berubah. Pada masa dahulu, bahan bacaan kita sering menjelaskan bahawa sesetengah kisah Bible melambangkan perkara atau peristiwa pada masa depan. Adakah cara penjelasan sebegini berdasarkan Bible? Ya. Misalnya, Yesus bercakap tentang “mukjizat yang berlaku kepada nabi Yunus.” (Baca Matius 12:39, 40.) Yesus menjelaskan bahawa jangka masa Yunus berada di dalam perut ikan besar merujuk kepada jangka masa dia berada di dalam kubur.

8 Terdapat juga beberapa kisah Bible lain yang merujuk kepada perkara atau peristiwa pada masa depan. Contohnya, rasul Paulus mengatakan bahawa hubungan Abraham dengan Hagar dan Sara melambangkan hubungan Yehuwa dengan bangsa Israel jasmani dan organisasi Yehuwa di syurga. (Gal. 4:22-26) Dalam cara yang sama, khemah suci, rumah Tuhan, Hari Pengampunan Dosa, imam agung, dan aspek-aspek lain Hukum Musa merupakan “bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan datang.” (Ibr. 9:23-25; 10:1) Iman kita tentu menjadi lebih kuat apabila kita mempelajari apa yang dilambangkan oleh kisah-kisah Bible. Namun, adakah hal ini bermaksud setiap individu, peristiwa, dan objek dalam kisah Bible melambangkan sesuatu atau seseorang?

9. Pada masa dahulu, bagaimanakah kisah Bible tentang Nabot dijelaskan?

9 Pada masa dahulu, bahan bacaan kita sering menjelaskan bahawa setiap individu, peristiwa, atau objek dalam sesetengah kisah Bible melambangkan sesuatu atau seseorang. Misalnya, Permaisuri Izebel yang jahat telah membunuh Nabot supaya suaminya, Ahab, dapat mengambil alih ladang anggur Nabot. (1 Raj. 21:1-16) Pada tahun 1932, majalah The Watchtower menjelaskan bahawa Ahab dan Izebel merujuk kepada Syaitan dan organisasinya, Nabot merujuk kepada Yesus, dan kematian Nabot merujuk kepada hukuman mati Yesus. Tetapi, pada tahun 1961, buku “Let Your Name Be Sanctified” menjelaskan bahawa Nabot merujuk kepada kaum terurap dan Izebel merujuk kepada agama Kristian palsu. Penganiayaan Nabot daripada Izebel pula merujuk kepada penganiayaan kaum terurap pada hari-hari terakhir. Selama bertahun-tahun, penjelasan ini telah menguatkan iman umat Tuhan. Jadi, mengapakah cara kita menjelaskan kisah Bible berubah sekarang?

10. (a) Bagaimanakah hamba yang setia lebih berhati-hati apabila menjelaskan kisah-kisah Bible? (b) Bahan bacaan kita kini lebih bertumpu kepada apa?

10 Selama bertahun-tahun, Yehuwa telah membantu “hamba yang setia dan bijaksana” untuk menjadi lebih bijak. Bagaimana? Kini hamba yang setia lebih berhati-hati apabila menjelaskan kisah-kisah Bible. Jika terdapat bukti kukuh daripada Bible bahawa suatu kisah melambangkan suatu perkara pada masa depan, barulah kita mempercayainya. Namun, pada masa dahulu, terlalu banyak penekanan diberikan kepada apa yang dilambangkan oleh suatu kisah Bible sehingga pengajaran dan nilai-nilai praktikal daripada kisah itu diabaikan. Hal itu menyebabkan kita berasa susah untuk memahami, mengingati, dan menerapkan apa yang dipelajari. Maka hari ini, bahan bacaan kita lebih berfokus kepada pengajaran praktikal. Kita belajar tentang iman, ketabahan, kasih terhadap Tuhan, dan sifat-sifat lain daripada kisah-kisah Bible. *

Contoh Nabot memberi kita satu pengajaran yang baik (Lihat perenggan 11)

11. (a) Apakah pemahaman kita sekarang tentang kisah Nabot, dan bagaimanakah teladannya membantu kita? (b) Kebelakangan ini, mengapakah bahan bacaan kita jarang bertumpu kepada apa yang dilambangkan oleh kisah-kisah Bible? (Lihat rencana “Pertanyaan Pembaca” dalam terbitan ini.)

11 Pemahaman kita tentang kisah Nabot kini menjadi semakin jelas. Nabot tidak mati kerana dia melambangkan Yesus atau kaum terurap. Sebaliknya, dia mati kerana dia bertekad untuk setia kepada Tuhan. Meskipun dianiaya oleh pemerintah yang berkuasa, dia tetap mentaati Hukum Yehuwa. (Bil. 36:7; 1 Raj. 21:3) Dia memberikan teladan yang baik kepada semua umat Tuhan hari ini yang juga mengalami penganiayaan. (Baca 2 Timotius 3:12.) Semua orang Kristian dapat memahami, mengingati, dan menerapkan pengajaran itu dan iman mereka juga dikuatkan.

12. (a) Apakah yang tidak patut kita simpulkan tentang kisah-kisah Bible? (b) Mengapakah kita dapat memperoleh pemahaman yang jelas mengenai ajaran Bible yang mendalam? (Lihat nota kaki.)

12 Patutkah kita menyimpulkan bahawa kisah-kisah Bible hanya mempunyai pengajaran yang praktikal dan tiada maksud lain? Tidak. Bahan bacaan kita kini lebih bertumpu kepada bagaimana sebuah kisah Bible berkait dengan kisah Bible yang lain. Misalnya, kesetiaan Nabot mengingatkan kita tentang kesetiaan Yesus dan kaum terurap. Kita juga diingatkan tentang kesetiaan “biri-biri lain.” Jelaslah bahawa Yehuwa sedang mengajar kita dengan cara yang mudah difahami. *

PENJELASAN YANG MUDAH DIFAHAMI BAGI PERUMPAMAAN YESUS

13. Apakah contoh yang menunjukkan bahawa kini perumpamaan Yesus dijelaskan dalam cara yang lebih mudah difahami?

13 Yesus Kristus merupakan Guru yang agung. Dia suka menggunakan perumpamaan atau contoh untuk mengajar. (Mat. 13:34) Perumpamaan dapat menjelaskan perkara yang rumit dalam cara yang mudah difahami. Hal ini mencapai hati dan minda kita. Selama bertahun-tahun, bahan bacaan kita menerangkan perumpamaan Yesus dalam cara yang mudah difahami. Contohnya, majalah Menara Pengawal terbitan 15 Disember 2014 membantu kita memahami perumpamaan Yesus tentang ragi, biji sawi, dan pukat. Kini kita faham bahawa perumpamaan ini merujuk kepada Kerajaan Tuhan yang berjaya mengumpulkan ramai orang daripada dunia Syaitan untuk menjadi pengikut Kristus.

14. (a) Dahulu, bagaimanakah kita menjelaskan perumpamaan tentang orang Samaria? (b) Kini, apakah pemahaman kita tentang perumpamaan itu?

14 Bagaimanakah kita dapat memahami perumpamaan Yesus yang mempunyai banyak butiran? Sesetengah perumpamaan ini melambangkan sesuatu. Perumpamaan yang lain pula menekankan pengajaran yang praktikal. Tetapi bagaimanakah kita tahu jika perumpamaan Yesus melambangkan sesuatu atau hanya mempunyai pengajaran praktikal? Semakin hari, jawapannya semakin jelas. Misalnya, fikirkan cara kita menjelaskan perumpamaan tentang orang Samaria. (Luk. 10:30-37) Pada tahun 1924, The Watch Tower menyatakan bahawa orang Samaria itu merujuk kepada Yesus dan jalan yang menurun ke Yerikho dari Yerusalem menggambarkan keadaan manusia yang semakin merosot sejak pemberontakan di Taman Eden. Penyamun merujuk kepada koperasi besar dan pedagang yang tamak. Imam dan orang Lewi pula merujuk kepada agama Kristian palsu. Tetapi kini, bahan bacaan kita menggunakan perumpamaan itu untuk memperingatkan semua orang Kristian supaya tidak berat sebelah. Kita harus membantu orang yang memerlukan bantuan, terutamanya dengan mengajar mereka kebenaran. Kita bersukacita kerana Yehuwa membantu kita memahami kebenaran dengan lebih jelas.

15. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

15 Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan perumpamaan Yesus mengenai 10 orang anak dara. (Mat. 25:1-13) Apakah maksud Yesus di sebalik perumpamaan ini? Adakah setiap individu, objek, atau peristiwa dalam perumpamaan ini melambangkan seseorang atau sesuatu perkara pada masa depan? Atau adakah Yesus menginginkan kita memperoleh pengajaran praktikal yang dapat membantu kita pada hari-hari terakhir? Mari kita lihat.

^ per. 4 Edisi yang mudah difahami ini mula disediakan dalam bahasa Inggeris pada Julai 2011. Sejak itu, edisi ini juga disediakan dalam beberapa bahasa lain.

^ per. 5 Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Melayu diterjemahkan daripada edisi yang dikemaskinikan. Alkitab edisi yang dikemaskinikan juga akan disediakan dalam bahasa lain.

^ per. 10 Contohnya, buku Imitate Their Faith membincangkan kisah hidup 14 individu dalam Bible. Buku ini bertumpu kepada nilai-nilai praktikal, bukannya kepada apa yang dilambangkan oleh kisah Bible.

^ per. 12 Firman Tuhan mengandungi perkara-perkara yang nampaknya “sukar difahami,” seperti sesetengah bahagian daripada surat-surat Paulus. Namun, semua penulis Bible diilhami oleh daya aktif. Daya aktif Tuhan membantu orang Kristian sejati memahami Bible serta “kebijaksanaan Tuhan yang sangat dalam.”—2 Ptr. 3:16, 17; 1 Kor. 2:10.