Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Kami Menemui Kerjaya yang Lebih Memuaskan

Kami Menemui Kerjaya yang Lebih Memuaskan

SAYA dan Gwen berumur lima tahun apabila kami belajar menari. Pada masa itu, kami masih belum berjumpa lagi. Kami bercita-cita untuk menjadikan tarian balet sebagai kerjaya kami. Apabila kami hampir mencapai kemuncak kerjaya kami, kami melepaskan segala-galanya. Mengapakah kami membuat keputusan itu?

David: Saya lahir pada tahun 1945 di daerah Shropshire, England. Ayah saya memiliki sebuah ladang. Selepas sekolah, saya mengumpulkan telur dan memberikan makanan kepada ayam serta menjaga lembu dan biri-biri. Semasa cuti sekolah, saya membantu dalam kerja menuai dan kadangkala memandu traktor.

Tetapi, saya juga gemar menari. Ayah saya memperhatikan bahawa saya menari semasa mendengar muzik. Jadi apabila saya berumur lima tahun, saya dihantar ke sekolah tarian untuk belajar tarian tap. Guru tarian saya juga melatih saya dalam tarian balet. Apabila berumur 15 tahun, saya mendapat biasiswa untuk dilatih di Royal Ballet School di London. Di sana saya berjumpa dengan Gwen, dan kami menjadi pasangan menari.

Gwen: Saya lahir di London pada tahun 1944. Sejak kecil, saya percaya kepada Tuhan. Saya cuba membaca Bible tetapi susah memahaminya. Pada umur lima tahun, saya mula belajar menari. Enam tahun kemudian, saya menjuarai sebuah pertandingan yang terbuka kepada seluruh Britain. Oleh itu, saya dapat menjadi pelajar junior di Royal Ballet School. Sekolah ini terletak di sebuah rumah besar yang dipanggil White Lodge, tidak jauh dari London. Saya menerima pendidikan dan latihan tarian balet daripada guru-guru yang ternama. Semasa berusia 16 tahun, saya menjadi pelajar senior di Royal Ballet School di London. Di situlah saya berjumpa dengan David. Beberapa bulan kemudian, kami menari bersama di Royal Opera House di Covent Garden, London.

Kerjaya sebagai penari balet membawa kami ke serata dunia

David: Ya, seperti yang dikatakan Gwen, kami berpeluang menari di Royal Opera House yang terkenal bersama dengan kumpulan London Festival Ballet (sekarang digelar sebagai English National Ballet). Salah seorang guru tarian daripada Royal Ballet School telah meminta kami untuk menyertai kumpulan penarinya di Wuppertal, Jerman. Kami menari di teater di seluruh dunia, serta menari dengan orang terkenal seperti Margot Fonteyn dan Rudolf Nureyev. Kehidupan yang penuh persaingan ini membuat kami mementingkan diri, dan hanya bertumpu kepada kerjaya kami.

Gwen: Saya hanya bertumpu kepada tarian saya. Saya dan David ingin mencapai yang terbaik dalam kerjaya kami. Saya juga suka menandatangani autograf, menerima bunga, dan mendengar tepukan gemuruh daripada hadirin. Dalam dunia teater, saya dikelilingi oleh orang yang merokok, minum alkohol, dan tidak bermoral. Seperti penari yang lain, saya juga menggunakan azimat untuk mendapatkan nasib baik.

KEHIDUPAN KAMI BERUBAH SEPENUHNYA

Hari perkahwinan kami

David: Selepas bertahun-tahun menari, saya berasa penat kerana selalu berpindah-randah. Memandangkan saya membesar di ladang, saya menginginkan kehidupan yang lebih sederhana di desa. Jadi pada tahun 1967, saya berhenti menari dan bekerja di sebuah ladang besar berdekatan rumah ibu bapa saya. Saya menyewa sebuah rumah kecil. Kemudian, saya menelefon Gwen dan melamarnya. Namun dia perlu membuat keputusan yang sukar kerana dia telah dinaikkan pangkat dan kerjayanya semakin maju. Akhirnya dia menerima lamaran saya dan datang hidup bersama saya di desa.

Gwen: Kehidupan di ladang sangat susah. Memerah susu lembu atau memberikan makanan kepada babi dan ayam ialah sesuatu yang baru bagi saya. David menyertai kursus perladangan di sebuah kolej selama sembilan bulan. Jadi saya berasa sunyi sehingga dia balik pada waktu malam. Pada masa itu, anak perempuan kami yang pertama, Gilly, dilahirkan. David mencadangkan agar saya belajar memandu. Pada suatu hari, ketika saya di pekan, saya bertemu dengan Gael. Saya mengenalinya ketika dia bekerja di salah sebuah kedai tempatan.

Kehidupan di ladang

Gael pun menjemput saya ke rumahnya untuk minum teh. Kami melihat gambar-gambar perkahwinan dan dalam salah satu gambarnya saya melihat sekumpulan orang di luar sebuah bangunan yang dipanggil Dewan Perjumpaan. Saya menanya Gael mengenai bangunan itu. Apabila dia memberitahu bahawa dia dan suaminya ialah Saksi-Saksi Yehuwa, saya berasa gembira. Saya teringat bahawa salah seorang mak cik saya juga seorang Saksi. Bapa saya sangat marah dengannya dan membuang bahan bacaannya ke dalam tong sampah. Saya terfikir mengapa bapa saya yang biasanya peramah, sangat marah dengan mak cik saya yang baik hati.

Akhirnya saya berpeluang untuk belajar mengapa kepercayaan mak cik saya berbeza dengan ajaran gereja. Gael menunjukkan apa sebenarnya yang diajarkan Bible. Saya berasa kagum untuk mengetahui bahawa banyak ajaran gereja seperti Tritunggal dan jiwa yang tidak dapat mati, tidak berasaskan Alkitab. (Pkh. 9:5, 10; Yoh. 14:28; 17:3) Saya juga nampak nama Tuhan, Yehuwa, buat kali pertama dalam Alkitab.—Kel. 6:3.

David: Gwen memberitahu saya apa yang dipelajarinya. Saya teringat ketika saya masih kecil, bapa memberitahu bahawa saya patut membaca Bible. Jadi, saya dan Gwen setuju untuk belajar Bible dengan Gael dan suaminya, Derrick. Enam bulan kemudian, kami berpindah ke Oswestry, Shropshire, kerana kami diberikan peluang untuk menyewa ladang yang kecil. Di sana kami belajar dengan seorang Saksi bernama Deirdre. Pada mulanya, kemajuan kami perlahan kerana sibuk menjaga ternakan. Walaupun demikian, kebenaran memang memberikan kesan baik dalam kehidupan kami.

Gwen: Satu cabaran yang perlu saya atasi ialah kepercayaan karut. Ayat di Yesaya 65:11 membantu saya untuk memahami pandangan Yehuwa mengenai orang yang ‘menyembah dewa nasib.’ Selepas berdoa berulang kali barulah saya dapat membuang semua azimat dan tangkal saya. Selepas belajar bahawa “sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan,” saya berusaha untuk merendahkan diri supaya mendapat perkenan Yehuwa. (Mat. 23:12) Tuhan sangat mengasihi kita sehingga menyerahkan Anak-Nya sebagai tebusan. Maka saya ingin menyembah-Nya. Kemudian, kami dikurniakan anak perempuan yang kedua. Kami sangat teruja untuk belajar bahawa kami sekeluarga dapat hidup selama-lamanya di bumi firdaus.

David: Apabila saya memahami nubuat Bible seperti nubuat di Matius bab 24 dan di buku Daniel, saya yakin bahawa inilah kebenaran. Saya sedar bahawa hubungan baik dengan Yehuwa jauh lebih penting daripada perkara lain di dunia ini. Akhirnya, saya tidak lagi mempunyai cita-cita yang tinggi. Saya sedar bahawa isteri dan anak-anak saya juga sangat penting. Ayat di Filipi 2:4 meyakinkan saya bahawa saya tidak seharusnya mementingkan diri atau mengejar keinginan untuk mendapatkan ladang yang besar. Sebaliknya, saya harus mengutamakan Yehuwa. Saya berhenti merokok. Namun, untuk menghadiri perjumpaan pada hari Sabtu petang tidaklah mudah. Hal ini kerana Dewan Perjumpaan terletak 10 km dari rumah kami dan kami perlu memerah susu lembu pada masa itu. Namun, dengan bantuan Gwen, kami tidak pernah gagal menghadiri perjumpaan. Kami juga selalu keluar menginjil pada pagi Ahad selepas memerah susu lembu.

Saudara-mara kami tidak suka perubahan ini. Bapa Gwen tidak bercakap dengannya selama enam tahun. Ibu bapa saya juga cuba menghalang kami daripada bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa.

Gwen: Yehuwa membantu kami untuk menghadapi cabaran ini. Lama-kelamaan, saudara saudari di Sidang Oswestry menjadi keluarga baru kami dan menyokong kami ketika kesusahan. (Luk. 18:29, 30) Kami membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis pada tahun 1972. Saya ingin membantu sebanyak orang yang mungkin untuk belajar kebenaran. Jadi saya mula merintis.

KERJAYA YANG LEBIH MEMUASKAN

David: Kerja di ladang memang memenatkan. Tetapi kami berusaha untuk menetapkan teladan rohani yang baik bagi anak-anak. Namun, selepas kerajaan mengurangkan sokongan bagi para peladang, kami terpaksa berhenti bekerja. Pada masa itu anak bongsu kami hanya berumur satu tahun, dan kami tiada tempat tinggal atau pekerjaan. Jadi, kami berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan meminta bimbingan. Kami membuat keputusan untuk membuka sebuah pusat tarian. Kami juga bertekad untuk mengutamakan ibadat kepada Yehuwa, dan hal ini membawa hasil yang baik. Kami berasa sangat gembira kerana ketiga-tiga anak perempuan kami mula merintis selepas tamat sekolah. Gwen juga merintis dan menyokong anak-anak kami.

Selepas anak-anak kami, Gilly dan Denise berkahwin, kami pun menutup pusat tarian itu. Jadi kami menulis surat kepada pejabat cawangan untuk mengetahui di mana kami dapat membantu. Mereka menyuruh kami untuk pergi ke sebuah pekan di bahagian tenggara England. Pada masa itu, hanya anak bongsu kami, Debbie, yang tinggal bersama kami. Jadi, saya juga mula merintis. Lima tahun kemudian, kami diminta untuk membantu sidang di bahagian utara. Selepas Debbie berkahwin, kami berpeluang menyertai kerja pembinaan antarabangsa di Zimbabwe, Moldova, Hungary, dan Côte d’Ivoire. Kemudian kami kembali ke England untuk membantu kerja pembinaan di Bethel London. Saya juga diminta untuk membantu di ladang Bethel kerana saya mempunyai pengalaman dalam bidang itu. Sekarang, kami sedang merintis di bahagian barat laut England.

Kami bersukacita semasa menyertai kerja pembinaan antarabangsa

Gwen: Pada mulanya kami berfokus kepada kerjaya kami sebagai penari balet. Walaupun kami menikmatinya, hal itu tidak berkekalan. Kemudian kami berfokus kepada Tuhan, dan hal ini membawa lebih banyak sukacita yang kekal. Dahulu kami ialah pasangan menari, tetapi sekarang kami ialah pasangan menginjil. Kami meraih sukacita yang tidak terhingga dengan membantu orang mempelajari kebenaran yang bernilai. Kerjaya ini jauh lebih baik daripada kemasyhuran di dunia. (2 Kor. 3:1, 2) Tanpa kebenaran Bible, apa yang kami miliki hanyalah kenangan, gambar, dan atur cara daripada kerjaya balet.

David: Khidmat kepada Yehuwa membawa banyak manfaat dalam kehidupan kami. Saya menjadi seorang bapa dan suami yang lebih baik. Bible juga mengatakan Miryam, Raja Daud, dan orang lain meluahkan perasaan sukacita menerusi tarian. Kami juga ingin menari bersama ramai orang dengan penuh sukacita di dunia baru Tuhan.—Kel. 15:20; 2 Sam. 6:14.