Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Dahulu, bahan bacaan kita sering menjelaskan bahawa kisah-kisah dalam Bible melambangkan sesuatu perkara atau peristiwa pada masa depan. Tetapi baru-baru ini, penjelasan sebegini jarang diterbitkan. Mengapa?

Majalah The Watchtower 15 September 1950 menjelaskan bahawa ada kalanya individu, peristiwa, atau objek dalam sesetengah kisah Bible melambangkan sesuatu atau seseorang pada masa depan. Dahulu, bahan bacaan kita menjelaskan bahawa lelaki dan wanita yang setia, seperti Debora, Elihu, Yefta, Ayub, Rahab, Ribka, dan watak lain melambangkan kaum terurap atau “kumpulan besar manusia.” (Why. 7:9) Contohnya, Yefta, Ayub, dan Ribka, dikatakan melambangkan kaum terurap. Debora dan Rahab pula melambangkan kumpulan besar manusia. Namun baru-baru ini, kita jarang membuat perbandingan sedemikian. Mengapa?

Alkitab memang mengandungi kisah yang melambangkan sesuatu pada masa depan. Misalnya, di Galatia 4:21-31, Paulus menyebut tentang sebuah kisah yang melibatkan dua wanita. Kisah itu mempunyai “erti kiasan.” Wanita yang pertama ialah Hagar, hamba Abraham. Paulus menjelaskan bahawa dia melambangkan bangsa Israel yang terikat kepada Yehuwa melalui Hukum Musa. Wanita kedua ialah “wanita bebas,” iaitu Sara, isteri Abraham. Dia melambangkan organisasi Tuhan di syurga. Paulus juga menyebut tentang banyak persamaan antara Melkisedek, yang merupakan raja dan imam, dengan Yesus. (Ibr. 6:20; 7:1-3) Paulus juga membandingkan nabi Yesaya dan anak-anak lelakinya dengan Yesus dan kaum terurap. (Ibr. 2:13, 14) Memandangkan Yehuwa mengilhami Paulus untuk membuat perbandingan ini, kita boleh pasti bahawa kisah-kisah ini memang melambangkan sesuatu.

KISAH BIBLE

Bebiri Paska yang dikorbankan oleh orang Israel kuno.—Bil. 9:2

PERKARA YANG DILAMBANGKAN

Paulus mengatakan bahawa Kristus ialah “Bebiri Paska.”—1 Kor. 5:7

Bible menunjukkan bahawa sesetengah watak Bible melambangkan orang lain. Namun kita tidak boleh menganggap bahawa semua aspek dalam kehidupan watak itu mempunyai maksud tersirat. Contohnya, Paulus menerangkan bahawa Melkisedek melambangkan Yesus. Namun, Paulus tidak menyebutkan peristiwa apabila Melkisedek memberikan roti dan wain kepada Abraham yang baru menewaskan empat orang raja. Jadi, dari pandangan Alkitab, peristiwa ini tidak melambangkan apa-apa.—Kej. 14:1, 18.

Sesetengah penulis yang hidup selepas kematian Kristus telah melakukan kesilapan yang besar. Mereka menganggap hampir semua kisah Bible melambangkan sesuatu. The International Standard Bible Encyclopaedia menyatakan bahawa Origen, Ambrose, dan Jerome cuba mencari maksud kiasan dalam segala macam kisah Bible, termasuk hal-hal yang remeh. Contohnya, 153 ikan telah dijala oleh pengikut Yesus selepas Yesus dibangkitkan. Ramai orang cuba mencari maksud di sebalik bilangan ikan itu!

Seorang lagi penulis, Augustine dari Hippo, menerangkan bahawa lima ketul roti barli dan dua ekor ikan kecil yang diberikan oleh Yesus kepada 5,000 lelaki mempunyai maksud kiasan. Menurutnya, lima ketul roti itu merujuk kepada lima buku pertama dalam Bible. Memandangkan mutu barli tidak setanding dengan mutu gandum, Perjanjian Lama dianggap tidak setanding dengan Perjanjian Baru. Dua ekor ikan itu pula melambangkan seorang raja dan seorang imam. Seorang lagi cendekiawan Bible menerangkan bahawa bubur kacang merah yang diberikan oleh Yakub kepada Esau untuk membeli hak anak sulung merujuk kepada darah merah Yesus yang dicurahkan untuk membeli harapan bagi pengikutnya untuk naik ke syurga!

Anda mungkin berasa penjelasan yang disebutkan di atas tidak masuk akal. Mengapa? Kerana manusia tidak dapat menentukan kisah Bible mana yang mempunyai maksud kiasan. Jadi, hanya apabila Bible mengajar bahawa sebuah kisah melambangkan sesuatu perkara, barulah kita menerima penjelasan itu. Tetapi jika tiada dasar Bible, kita tidak akan menganggap bahawa kisah itu mempunyai maksud kiasan.

Jadi, bagaimanakah kita dapat meraih manfaat daripada butiran dan peristiwa dalam Bible? Rasul Paulus berkata: “Segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.” (Rm. 15:4) Kata-kata Paulus itu ditujukan kepada kaum terurap pada abad pertama. Dia memberitahu mereka cara untuk meraih manfaat daripada kisah Bible. Tetapi, sejak itu, semua orang Kristian, termasuk “biri-biri lain,” telah meraih manfaat daripada pengajaran yang terdapat dalam Bible.—Yoh. 10:16; 2 Tim. 3:1.

Maka kebanyakan kisah Bible tidak ditujukan kepada satu kumpulan sahaja, seperti kaum terurap, “biri-biri lain,” atau orang Kristian yang hidup pada jangka masa tertentu. Semua umat Tuhan, tidak kira pada masa dahulu atau hari ini, dapat meraih manfaat daripada kisah Bible. Contohnya, penderitaan Ayub bukan hanya melambangkan penderitaan yang dialami oleh kaum terurap semasa Perang Dunia Pertama. Kebanyakan umat Tuhan, tidak kira kaum terurap atau “biri-biri lain,” lelaki atau perempuan, juga menderita seperti Ayub dan mendapat galakan daripada kisahnya. Mereka melihat ‘bagaimana Yehuwa memberkati Ayub pada akhirnya. Dengan ini, mereka tahu bahawa Yehuwa berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.’—Yak. 5:11.

Dalam sidang pada hari ini, terdapat saudari yang setia seperti Debora, dan juga penatua muda yang bijak seperti Elihu. Terdapat juga perintis yang bersemangat dan berani seperti Yefta dan juga saudara saudari yang setia dan sabar seperti Ayub. Kita bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia memastikan “segala yang tertulis sejak dahulu lagi” terpelihara sehingga kini “supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita”!

Oleh itu, kita tidak menganggap bahawa setiap kisah Bible mempunyai maksud kiasan atau melambangkan sesuatu. Sebaliknya, bahan bacaan kita sekarang lebih bertumpu kepada pengajaran praktikal yang dapat diraih daripada kisah Bible.