Adakah Anda akan ‘Terus Berjaga-jaga’?
“Maka, teruslah berjaga-jaga, kerana kamu semua tidak tahu hari atau waktunya.”—MAT. 25:13.
1, 2. (a) Apakah yang diberitahu oleh Yesus tentang hari-hari terakhir? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?
BAYANGKAN Yesus berada di Bukit Zaitun sambil melihat Rumah Tuhan di Yerusalem. Dia bersama empat orang rasulnya, Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes. Mereka memberikan perhatian apabila Yesus memberitahu mereka sebuah nubuat tentang masa depan. Nubuat ini menunjukkan apa yang akan terjadi kepada dunia yang jahat ini pada hari-hari terakhir apabila Yesus memerintah di syurga. Yesus memberitahu mereka bahawa pada masa itu, “hamba yang setia dan bijaksana” akan mewakilinya dan memberikan makanan rohani pada masa yang sesuai kepada pengikutnya di bumi.—Mat. 24:45-47.
2 Selepas itu, dalam nubuat yang sama, Yesus memberitahu satu perumpamaan tentang 10 anak dara. (Baca Matius 25:1-13.) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan soalan-soalan ini: (1) Apakah mesej utama perumpamaan ini? (2) Bagaimanakah kaum terurap yang setia menerapkan nasihat daripada perumpamaan ini, dan apakah hasilnya? (3) Bagaimanakah semua pengikut Yesus meraih manfaat daripada perumpamaan ini?
APAKAH MESEJ PERUMPAMAAN INI?
3. Pada masa dahulu, bagaimanakah bahan bacaan kita menjelaskan perumpamaan 10 anak dara, dan apakah kesannya?
3 Dalam rencana sebelumnya, kita belajar bahawa baru-baru ini hamba yang setia telah mengubah cara sesetengah kisah Bible diterangkan. Sekarang mereka lebih bertumpu kepada pengajaran praktikal, bukannya kepada apa yang dilambangkan oleh suatu perumpamaan. Contohnya, bahan bacaan kita pernah menjelaskan dengan terperinci tentang apa yang dilambangkan oleh pelita, minyak, dan bekas minyak dalam perumpamaan 10 anak dara. Namun, dengan berfokus kepada butiran kecil sebegini, kita mungkin mengabaikan mesej utama perumpamaan itu.
4. Dalam perumpamaan ini, bagaimanakah kita tahu (a) siapa ialah pengantin lelaki? (b) siapa ialah anak dara?
4 Apakah mesej utama perumpamaan 10 anak dara? Mari kita kaji perumpamaan itu. Pertama, fikirkanlah tentang watak-watak dalam perumpamaan ini. Siapakah yang dilambangkan oleh pengantin lelaki? Dia ialah Yesus. Hal ini adalah kerana Yesus pernah merujuk kepada dirinya sebagai pengantin lelaki. (Luk. 5:34, 35) Siapakah yang dilambangkan oleh anak dara? Mereka ialah “kawanan kecil” orang terurap. Bagaimanakah kita mengetahui hal ini? Dalam perumpamaan ini, anak dara harus bersedia dan memegang pelita untuk menyambut kedatangan pengantin lelaki. Perhatikan bahawa Yesus pernah berkata kepada orang terurap, “Hendaklah kamu mengikat pinggang dan memastikan pelita kamu dinyalakan. Jadilah seperti hamba yang sedang menunggu tuan mereka pulang dari majlis perkahwinan.” (Luk. 12:32, 35, 36) Rasul Paulus dan Yohanes juga menyamakan orang terurap dengan anak dara yang suci. (2 Kor. 11:2; Why. 14:4) Maka, kita faham bahawa nasihat dan amaran dalam perumpamaan 10 anak dara ditujukan kepada golongan terurap.
5. Bagaimanakah kita tahu bila perumpamaan 10 anak dara menjadi kenyataan?
5 Perumpamaan ini merujuk kepada jangka masa yang mana? Pada akhir perumpamaannya Yesus berkata, “Pengantin lelaki sampai” atau datang. (Mat. 25:10) Menara Pengawal bertarikh 15 Julai 2013 menjelaskan bahawa Yesus menyebut tentang ‘kedatangannya’ sebanyak lapan kali di Matius 24 dan 25. ‘Kedatangan’ Yesus merujuk kepada masanya dia akan menghakimi dan membinasakan dunia jahat ini semasa kesengsaraan besar. Maka kita boleh menyimpulkan bahawa perumpamaan 10 anak dara menjadi kenyataan pada hari-hari terakhir, tetapi Yesus akan datang semasa kesengsaraan besar.
6. Apakah mesej dalam perumpamaan 10 anak dara?
6 Apakah mesej utama perumpamaan ini? Fikirlah tentang konteks perumpamaan ini. Dalam Matius bab 24, Yesus berbincang mengenai “hamba yang setia dan bijaksana.” Hamba itu merupakan sekumpulan kecil orang lelaki terurap yang memimpin umat Tuhan pada hari-hari terakhir. Dalam bab itu, Yesus memberikan amaran kepada mereka untuk tetap setia. Kemudian dalam bab 25, Yesus memberikan perumpamaan 10 anak dara sebagai nasihat kepada semua orang terurap pada hari-hari terakhir. Mesej perumpamaan itu adalah supaya mereka ‘terus berjaga-jaga’ dan tidak menggadaikan ganjaran mereka. (Mat. 25:13) Marilah kita kaji perumpamaan itu dan lihat bagaimana golongan terurap menerapkan nasihat itu.
BAGAIMANAKAH GOLONGAN TERURAP MENERAPKAN PERUMPAMAAN ITU?
7, 8. (a) Apakah dua sifat baik anak dara yang bijaksana? (b) Bagaimanakah kaum terurap membuktikan bahawa mereka sudah bersiap sedia?
7 Dalam perumpamaan itu, Yesus menekankan bahawa anak dara yang bijaksana tidak seperti anak dara yang bodoh. Mengapa? Kerana anak dara yang bijaksana mempunyai dua sifat baik, iaitu mereka bersiap sedia dan berjaga-jaga. Kesemua anak dara itu harus berjaga-jaga dan memastikan pelita mereka tetap bernyala sepanjang malam. Tidak seperti anak dara yang bodoh, anak dara yang bijaksana membawa minyak tambahan untuk pelita mereka. Jadi, mereka dapat bersedia sehingga pengantin lelaki tiba. Bagaimanakah kaum terurap hari ini membuktikan bahawa mereka sudah bersiap sedia untuk kedatangan Yesus?
8 Kaum terurap bersedia untuk melaksanakan tugas mereka hingga akhir. Mereka rela mengorbankan keselesaan hidup untuk berkhidmat kepada Tuhan. Mereka melakukan hal ini, bukan kerana akhir sudah dekat, tetapi kerana mereka mengasihi Yehuwa dan Anak-Nya. Mereka tetap setia kepada Tuhan dan memastikan bahawa mereka tidak dipengaruhi oleh sikap orang di dunia yang tidak bermoral, mementingkan diri, dan mengejar harta benda. Seperti anak dara yang memegang pelita yang bernyala, kaum terurap terus bersinar terang dan bersabar walaupun ketibaan Pengantin Lelaki nampaknya lambat.—Flp. 2:15.
9. (a) Bagaimanakah Yesus memberikan amaran mengenai perasaan mengantuk? (b) Bagaimanakah kaum terurap menyambut seruan “Pengantin lelaki sudah sampai”? (Lihat nota kaki.)
9 Anak dara yang bijaksana juga berjaga-jaga sampai kedatangan pengantin lelaki. Dalam perumpamaan itu, Yesus memberitahu bahawa semua anak dara “mengantuk lalu tertidur” sementara menunggu kedatangan pengantin lelaki yang nampaknya lambat. Jadi, bolehkah orang Kristian terurap hari ini “tertidur” secara rohani, iaitu tumpuan mereka teralih sewaktu menunggu ketibaan Kristus? Ya boleh. Yesus tahu bahawa sekuat mana pun tekad seseorang, dia boleh menjadi lemah dan hilang tumpuan. Jadi, kaum terurap telah berusaha dengan lebih giat untuk tetap berjaga-jaga. Dalam perumpamaan Yesus, 10 orang anak dara bangun apabila “orang berseru, ‘Pengantin lelaki sudah sampai!’” Tetapi, hanya anak dara yang bijaksana tetap berjaga-jaga sampai kedatangan pengantin lelaki. (Mat. 25:5, 6; 26:41) Begitu juga hari ini, kaum terurap mendengar seruan “Pengantin lelaki sudah sampai!” Mereka mempercayai bukti kukuh bahawa Yesus akan tiba, dan mereka bersedia untuk menyambutnya. * Mari kita kaji bahagian terakhir perumpamaan Yesus yang bertumpu kepada suatu jangka masa yang khusus.
GANJARAN BAGI YANG BIJAKSANA DAN HUKUMAN BAGI YANG BODOH
10. Apakah yang mungkin kita tanya tentang perbualan antara anak dara yang bijaksana dengan yang bodoh?
10 Sebelum perumpamaan itu berakhir, anak dara yang bodoh meminta minyak untuk pelita mereka daripada anak dara yang bijaksana. Namun, anak dara yang bijaksana enggan memberikan minyak itu. (Baca Matius 25:8, 9.) Tetapi, pernahkah golongan terurap enggan menolong orang? Cuba fikirkan, perumpamaan itu merujuk kepada jangka masa bila? Yesus, iaitu Pengantin Lelaki, akan datang sebelum kesengsaraan besar berakhir untuk membuat penghakiman. Jadi, kemungkinan besar perbualan antara anak dara itu merujuk kepada apa yang berlaku sebelum kesengsaraan besar berakhir. Mengapakah kita berkata sedemikian? Kerana pada waktu itu, kaum terurap sudah pun menerima meterai terakhir.
11. (a) Apakah yang akan berlaku sebelum kesengsaraan besar bermula? (b) Dalam perumpamaan itu, anak dara yang bijaksana menyuruh anak dara yang bodoh untuk pergi membeli minyak. Apakah yang dimaksudkan oleh hal ini?
11 Maksudnya, sebelum kesengsaraan besar bermula, orang terurap yang setia di bumi akan menerima meterai terakhir. (Why. 7:1-4) Hal itu menunjukkan bahawa mereka pasti akan naik ke syurga. Namun, fikirkan jangka masa sebelum kesengsaraan besar bermula. Apakah yang akan berlaku kepada kaum terurap yang tidak berjaga-jaga lalu menjadi tidak setia? Mereka tidak akan menerima meterai terakhir. Orang Kristian lain pula akan diurapi untuk menggantikan mereka. Apabila kesengsaraan besar bermula dan Babilon Besar dimusnahkan, mereka akan terkejut dan sedar bahawa mereka tidak bersedia untuk kedatangan Yesus. Pada masa itu, apakah yang berlaku jika mereka meminta bantuan? Berdasarkan perumpamaan Yesus, anak dara yang bijaksana enggan memberikan minyak kepada anak dara yang bodoh, tetapi menyuruh mereka pergi membeli minyak. Memandangkan hal itu terjadi “pada tengah malam,” tiada orang yang menjual minyak. Mereka sudah terlambat!
12. (a) Semasa kesengsaraan besar, apakah yang berlaku kepada kaum terurap yang tidak setia? (b) Apakah kesudahannya bagi mereka yang menjadi seperti anak dara yang bodoh?
12 Semasa kesengsaraan besar, kaum terurap yang setia tidak dapat membantu mereka yang tidak setia. Pada masa itu sudah terlambat. Jadi apakah yang akan berlaku kepada mereka yang tidak setia? Sila perhatikan apa yang berlaku selepas anak dara yang bodoh pergi membeli minyak: “Pengantin lelaki sampai. Anak-anak dara yang sudah bersedia mengikutnya ke dalam rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan, lalu pintu ditutup.” Apabila Yesus datang dengan kemuliaannya sejurus sebelum kesengsaraan besar berakhir, dia akan mengumpulkan kaum terurap yang setia ke syurga. (Mat. 24:31; 25:10; Yoh. 14:1-3; 1 Tes. 4:17) Tetapi Yesus akan menolak mereka yang tidak setia. Seperti anak dara yang bodoh, mereka akan berkata, “Tuan, Tuan, bukalah pintu untuk kami!” Namun sedihnya, Yesus akan menjawab mereka dengan cara yang sama dia menjawab orang yang bersifat kambing: “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Aku tidak mengenal kamu.”—Mat. 7:21-23; 25:11, 12.
13. (a) Mengapakah kita tidak menyimpulkan bahawa ramai orang terurap akan menjadi tidak setia? (b) Mengapakah kita berkata bahawa perumpamaan Yesus menunjukkan bahawa dia yakin terhadap kaum terurap? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
Matius bab 24, Yesus memberikan amaran kepada hamba yang setia dan bijaksana agar tidak menjadi hamba yang jahat. Amaran itu tidak bermaksud bahawa Yesus menjangka hal itu akan berlaku. Begitu juga, perumpamaan tentang 10 anak dara ialah satu amaran. Sebagaimana lima orang anak dara bodoh dan lima lagi bijaksana, setiap orang Kristian terurap harus memilih untuk bersiap sedia dan berjaga-jaga. Paulus juga memberikan amaran yang serupa kepada saudara saudarinya yang terurap. (Baca Ibrani 6:4-9; bandingkan Ulangan 30:19.) Amaran itu tegas, tetapi Paulus yakin bahawa mereka akan menerima ganjarannya. Amaran dalam perumpamaan 10 anak dara menunjukkan bahawa Yesus juga yakin terhadap kaum terurap. Dia tahu setiap daripada mereka boleh setia sehingga akhir dan menerima ganjaran yang istimewa!
13 Adakah Yesus ingin memberitahu bahawa ramai orang terurap akan menjadi tidak setia dan perlu diganti? Tidak. DiBAGAIMANAKAH “BIRI-BIRI LAIN” MEMPEROLEH MANFAAT?
14. Mengapakah “biri-biri lain” juga memperoleh manfaat daripada perumpamaan 10 anak dara?
14 Perumpamaan Yesus ditujukan kepada golongan terurap. Namun dapatkah “biri-biri lain” memperoleh manfaat daripada perumpamaan Yesus? (Yoh. 10:16) Sudah tentu! Mesej utama perumpamaan ini ialah “Teruslah berjaga-jaga.” Yesus pernah berkata: “Apa yang aku katakan kepada kamu, aku katakan kepada semua: Teruslah berjaga-jaga.” (Mrk. 13:37) Yesus menghendaki semua pengikutnya untuk tetap bersedia dan berjaga-jaga. Semua orang Kristian boleh meniru teladan baik golongan terurap yang mengutamakan kerja penyebaran dalam kehidupan mereka. Ingatkah anda, dalam perumpamaan itu, anak dara yang bodoh meminta minyak daripada anak dara yang bijak? Tetapi permintaan mereka ditolak. Hal ini mengajar kita bahawa kita sendiri mesti tetap setia kepada Tuhan dengan bersiap sedia dan berjaga-jaga. Orang lain tidak boleh melakukan hal ini bagi pihak kita. Kita masing-masing bertanggungjawab terhadap Yesus, Hakim yang dilantik oleh Yehuwa. Dia akan datang tidak lama lagi. Oleh itu, kita harus tetap bersedia!
Orang lain tidak boleh bersedia atau berjaga-jaga bagi pihak kita
15. Mengapakah semua orang Kristian sejati teruja dengan perkahwinan Kristus?
15 Semua orang Kristian teruja dengan perkahwinan yang disebutkan dalam perumpamaan Yesus. Pada masa depan, selepas perang Armagedon, orang Kristian terurap akan menjadi pengantin perempuan Kristus. (Why. 19:7-9) Pada masa itu, setiap orang di bumi akan meraih manfaat daripada perkahwinan di syurga. Mengapa? Hal ini adalah kerana perkahwinan itu menjamin bahawa sebuah kerajaan yang sempurna akan memerintah umat manusia. Sama ada kita mempunyai harapan untuk tinggal di bumi atau naik ke syurga, marilah kita bertekad untuk tetap bersedia dan berjaga-jaga. Jika kita berbuat demikian, kita akan menikmati masa depan indah yang disediakan oleh Yehuwa.
^ per. 9 Dalam perumpamaan itu, selepas seruan “Pengantin lelaki sudah sampai” (ayat 6), satu jangka masa telah berlalu sebelum ketibaan pengantin lelaki (ayat 10). Sepanjang hari-hari terakhir, kaum terurap telah pun berjaga-jaga. Mereka mengenal tanda kehadiran Yesus dan tahu bahawa dia sedang memerintah di syurga. Namun, mereka masih perlu berjaga-jaga sehingga dia datang semasa kesengsaraan besar.