Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Seberapa Nyatakah Hubungan Anda dengan Yehuwa?

Seberapa Nyatakah Hubungan Anda dengan Yehuwa?

“Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.”—YAK. 4:8.

1. Mengapakah kita harus berusaha untuk menguatkan hubungan kita dengan Yehuwa?

JIKA anda ialah salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang dibaptis, anda memiliki sesuatu yang sangat bernilai, iaitu hubungan peribadi dengan Yehuwa. Namun, hubungan anda mungkin diserang oleh dunia Syaitan atau menjadi lemah kerana ketidaksempurnaan sendiri. Itulah sebabnya kita harus berusaha untuk menguatkan hubungan kita dengan Yehuwa.

2. (a) Apakah yang terangkum dalam suatu hubungan? (Lihat nota kaki.) (b) Bagaimanakah kita dapat menguatkan hubungan dengan Yehuwa?

2 Adakah Yehuwa nyata bagi anda? Adakah anda menganggap-Nya sebagai Sahabat? Adakah anda ingin menguatkan hubungan anda dengan-Nya? Yakobus 4:8 memberitahu kita caranya: “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” Hubungan anda dengan Yehuwa melibatkan dua pihak: Anda dan Yehuwa. * Jika anda berusaha untuk menghampiri Yehuwa, dia akan menghampiri anda. Semakin kerap anda berbuat demikian, semakin kuat hubungan anda dengan Yehuwa dan Dia akan menjadi semakin nyata. Anda akan berasa seperti Yesus yang berkata: “Dia yang mengutus aku benar-benar wujud,” dan “aku mengenal Dia.” (Yoh. 7:28, 29) Jadi bagaimanakah anda dapat menghampiri Tuhan?

Bagaimanakah anda dapat berkomunikasi dengan Tuhan (Lihat perenggan 3)

3. Bagaimanakah kita berkomunikasi dengan Yehuwa?

3 Jika anda ingin menghampiri Yehuwa, anda harus berkomunikasi dengan-Nya setiap hari. Bagaimana? Bayangkan anda mempunyai seorang kawan yang tinggal di tempat yang jauh. Anda mungkin boleh menulis surat kepadanya atau bercakap menerusi telefon. Begitu juga, anda boleh bercakap dengan Yehuwa menerusi doa setiap hari. (Baca Mazmur 142:3.) Tetapi bagaimanakah kita dapat mendengar kata-kata Yehuwa? Dengan membaca Bible dan merenungkannya. (Baca Yesaya 30:21.) Mari kita lihat bagaimana komunikasi dua hala ini dapat menguatkan hubungan anda dengan Yehuwa dan menjadikan-Nya lebih nyata bagi anda.

YEHUWA BERCAKAP DENGAN ANDA MELALUI BIBLE

4, 5. Bagaimanakah Yehuwa bercakap dengan anda apabila anda membaca Bible? Berikan contoh.

4 Kita tahu bahawa Bible merupakan mesej Tuhan kepada semua orang. Tetapi dapatkah Bible membantu anda menghampiri Yehuwa? Ya! Semasa anda membaca dan mempelajari Bible, perhatikan perasaan anda terhadap apa yang dibaca. Fikirkan juga cara untuk menerapkan apa yang dipelajari. Apabila anda berbuat demikian, anda sedang mendengar kata-kata Yehuwa. Dia akan menjadi Sahabat karib anda dan anda menjadi rapat dengan-Nya.—Ibr. 4:12; Yak. 1:23-25.

5 Contohnya, apakah perasaan anda apabila membaca kata-kata Yesus: “Jangan lagi mengumpulkan harta di bumi”? Anda mungkin sedang berusaha sedaya upaya untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan. Jika demikian, anda boleh pasti bahawa Yehuwa gembira dengan usaha anda. Namun, kata-kata Yesus itu mungkin menyebabkan anda sedar bahawa anda perlu menyederhanakan hidup dan bertumpu kepada khidmat Yehuwa. Hal itu menunjukkan bahawa Yehuwa sebenarnya sedang membantu anda menghampiri-Nya.—Mat. 6:19, 20.

6, 7. (a) Bagaimanakah pembacaan Bible menguatkan hubungan kita dengan Yehuwa? (b) Apakah seharusnya matlamat kita semasa membaca Bible?

6 Pembacaan Bible bukan sekadar membantu kita membuat kemajuan rohani. Kita juga belajar tentang sifat-sifat Tuhan yang indah. Oleh itu, kita lebih mengasihi-Nya. Apabila kasih kita kepada Tuhan bertambah, kasih-Nya kepada kita juga bertambah, dan hubungan kita dengan-Nya akan menjadi lebih kuat.—Baca 1 Korintus 8:3.

7 Jika kita ingin menghampiri Yehuwa, kita harus membaca Bible dengan motif yang betul. Yesus berkata: “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.” (Yoh. 17:3) Kita memang dapat belajar banyak perkara yang baru dan menarik daripada Bible. Tetapi matlamat kita adalah untuk mengenali Yehuwa dengan lebih mendalam.—Baca Keluaran 33:13; Mzm. 25:4.

8. (a) Apakah tanggapan sesetengah orang mengenai cara Yehuwa memperlakukan Raja Uzia? (b) Jika anda mengenali Yehuwa, apakah perasaan anda terhadap perbuatan-Nya?

8 Apabila Yehuwa menjadi Sahabat karib kita, kita tidak akan meragui tindakan-Nya. Contohnya, apabila Uzia menjadi raja Yehuda, ramai orang menyembah tuhan palsu. Namun, Uzia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, ‘baginda melakukan apa yang menyenangkan hati Yehuwa.’ (2 Raj. 15:1-5) Tetapi, Yehuwa menghukum Uzia dengan penyakit kusta. Mengapa? Kisah ini tidak memberitahu sebabnya. Jadi apakah perasaan anda terhadap perbuatan Yehuwa? Adakah anda berfikir bahawa Yehuwa tidak adil dan menghukum Uzia tanpa alasan munasabah? Anda tidak akan berasa begitu jika anda benar-benar mengenali Yehuwa. Hal ini adalah kerana Yehuwa “akan berlaku adil apabila menghukum” orang. (Yer. 30:11) Jadi, walaupun anda tidak tahu mengapa Yehuwa menghukum Uzia, anda boleh pasti bahawa Yehuwa telah melakukan apa yang benar.

9. Apakah maklumat tambahan yang membantu kita memahami mengapa Yehuwa menghukum Uzia?

9 Bible sebenarnya mengandungi maklumat lanjut tentang Raja Uzia. (2 Raj. 15:7, 32) Ayat di 2 Tawarikh 26:3-5, 16-21 mengatakan bahawa dia ‘melakukan apa yang diperkenankan Yehuwa.’ Tetapi kemudian, dia ‘menjadi sombong; kesombongannya menyebabkan kejatuhannya.’ Raja Uzia cuba melakukan tugas yang hanya boleh dilakukan oleh para imam. Seramai 81 orang imam cuba menghalangnya. Tetapi dia menjadi sombong dan memarahi mereka! Maklumat tambahan ini membantu kita untuk memahami mengapa Yehuwa menghukum raja itu dengan penyakit kusta.

10. Mengapakah kita tidak perlu mengetahui setiap sebab Yehuwa melakukan sesuatu? Bagaimanakah Yehuwa boleh menjadi lebih nyata bagi anda?

10 Apakah pengajarannya? Dalam kisah Raja Uzia, kita mempunyai maklumat yang cukup untuk memahami mengapa Yehuwa menghukumnya. Tetapi bagaimana pula jika Bible tidak memberi kita semua maklumat? Adakah anda akan meragui perbuatan Yehuwa? Atau adakah anda berasa yakin bahawa Tuhan sentiasa melakukan apa yang benar? (Ul. 32:4) Semakin anda mengenali Yehuwa, semakin dalam kasih dan keyakinan anda kepada-Nya. Dengan itu, anda tidak perlu mengetahui setiap sebab mengapa Dia melakukan sesuatu. Dengan membaca dan merenungkan Bible, Yehuwa akan menjadi lebih nyata kepada anda dan anda dapat menghampiri-Nya.—Mzm. 77:13, 14.

BERCAKAP KEPADA YEHUWA SEMASA BERDOA

11-13. Mengapakah anda boleh yakin bahawa Yehuwa mendengar doa anda? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

11 Apabila kita berdoa, kita menghampiri Yehuwa kerana kita memuji-Nya, bersyukur kepada-Nya, dan memohon bantuan-Nya. (Mzm. 32:8) Tetapi jika anda ingin mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa, anda harus percaya bahawa Dia mendengar doa anda.

12 Sesetengah orang berkata bahawa Tuhan sebenarnya tidak mendengar doa kita. Mereka percaya bahawa kita berdoa hanya untuk mendapatkan kelegaan. Menurut mereka, doa membantu kita berfikir masak-masak tentang masalah yang dihadapi serta mencari penyelesaian yang sesuai. Memang benar, doa dapat membantu kita dalam cara ini. Tetapi semasa anda berdoa kepada Yehuwa, Dia benar-benar sedang mendengar doa anda. Mengapakah kita boleh yakin tentang hal ini?

13 Cuba fikirkan: Sebelum Yesus datang ke bumi, dia sendiri pernah melihat Yehuwa menjawab doa umat-Nya. Semasa Yesus di bumi, dia juga meluahkan fikiran dan isi hatinya kepada Yehuwa. Pernah sekali, dia berdoa sepanjang malam. (Luk. 6:12; 22:40-46) Adakah Yesus akan berbuat demikian jika dia berfikir bahawa Yehuwa tidak mendengar doa? Selain itu, adakah Yesus akan mengajar pengikutnya cara untuk berdoa sekiranya Yehuwa tidak mendengar doa? Jelaslah, Yesus yakin bahawa Yehuwa benar-benar mendengar doa kita. Yesus pernah berkata, “Bapa, aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar doaku. Aku tahu bahawa Engkau selalu mendengar doaku.” Seperti Yesus, kita juga boleh yakin bahawa Yehuwa mendengar doa kita.—Yoh. 11:41, 42; Mzm. 65:3.

14, 15. (a) Mengapakah kita digalakkan untuk berdoa secara spesifik? (b) Bagaimanakah doa membantu Kathy menghampiri Yehuwa?

14 Kadangkala, anda mungkin tidak sedar bahawa doa anda sudah dijawab. Tetapi jika anda berdoa secara spesifik, adalah lebih mudah untuk melihat jawapan daripada Yehuwa. Yehuwa juga akan menjadi lebih nyata kepada anda. Jika anda meluahkan segala kerisauan yang terpendam dalam hati anda kepada Yehuwa, Dia akan menghampiri anda.

15 Fikirkan contoh Kathy. * Walaupun dia pergi menginjil, dia tidak menyukainya. Dia berkata, “Saya tidak suka menginjil. Saya benar-benar tidak suka menginjil.” Selepas dia bersara, seorang penatua menggalakkannya untuk menjadi perintis biasa. Kathy berkata, “Penatua itu memberi saya borang permohonan perintis. Jadi saya membuat keputusan untuk merintis. Pada masa yang sama, saya berdoa setiap hari kepada Yehuwa supaya saya menikmati aktiviti penyebaran.” Adakah Yehuwa menjawab doanya? Kathy yang sudah merintis selama tiga tahun berkata, “Saya lebih mahir menginjil sekarang kerana meluangkan lebih banyak masa dalam aktiviti penyebaran serta belajar daripada saudari-saudari lain. Sekarang, saya bukan sahaja menyukai aktiviti penyebaran, saya benar-benar menikmatinya! Lebih-lebih lagi, hubungan saya dengan Yehuwa menjadi semakin rapat.” Doa Kathy membantunya menghampiri Yehuwa.

MAINKAN PERANAN ANDA

16, 17. (a) Apakah yang harus dilakukan untuk menguatkan hubungan kita dengan Yehuwa? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

16 Kita dapat terus menghampiri Yehuwa untuk selama-lamanya. Jadi, marilah kita selalu mendengar kata-kata-Nya menerusi Bible dan bercakap dengan-Nya melalui doa. Dengan berbuat demikian, hubungan kita dengan Yehuwa akan menjadi lebih kuat. Kita juga dapat mengharungi segala cubaan dengan bantuan-Nya.

Kita dapat terus menghampiri Yehuwa (Lihat perenggan 16, 17)

17 Walaupun kita sentiasa berdoa kepada Yehuwa, kita masih bergelut dengan masalah peribadi. Pada masa sebegini, kita mungkin hilang keyakinan kepada Yehuwa. Kita mungkin berasa bahawa Yehuwa tidak mendengar doa kita dan meragui sama ada Dia benar-benar Sahabat kita. Jika anda berasa sedemikian, apakah yang boleh dilakukan? Rencana yang seterusnya dapat membantu anda.

^ per. 2 Hubungan antara dua orang merangkumi perasaan serta cara mereka memperlakukan satu sama lain. Kedua-dua pihak perlu menyumbang kepada hubungan tersebut.

^ per. 15 Nama telah diubah.