Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sentiasa Percaya kepada Yehuwa!

Sentiasa Percaya kepada Yehuwa!

‘Hai bangsaku, percayalah kepada Yehuwa setiap masa.’—MZM. 62:9.

1-3. Mengapakah Paulus yakin bahawa dia boleh bergantung pada Yehuwa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

CUBA bayangkan bahawa anda ialah orang Kristian yang hidup di Roma pada abad pertama. Keadaan di sana sangat bahaya. Orang Kristian dianiaya oleh orang Roma dengan kejam. Orang Kristian dituduh membenci orang dan menyebabkan sebuah kebakaran besar di Roma. Kebanyakan saudara saudari anda ditahan. Sesetengah daripada mereka dibiarkan untuk dibaham oleh binatang. Ada pula yang dipakukan pada tiang dan kemudian dibakar hidup-hidup pada waktu malam. Setiap hari, anda hidup dalam ketakutan.

2 Ketika masa yang susah itu, rasul Paulus telah dipenjarakan. Dia berkata, “Semasa aku membela diri buat kali pertama, tiada seorang pun yang ada di sisiku.” Oleh itu, Paulus mungkin meragui bantuan daripada saudaranya. Walaupun begitu, Paulus yakin Yesus akan membantunya. Dia berkata, “Tuan berdiri berhampiranku dan memberikan kuasa kepadaku.” Yesus telah menguatkan Paulus. Hasilnya, Paulus menyatakan bahawa dia “telah diselamatkan daripada mulut singa.”—2 Tim. 4:16, 17. *

3 Paulus ingat bagaimana Yehuwa membantunya pada masa dahulu. Jadi, dia yakin bahawa Yehuwa akan menguatkannya untuk menghadapi cabarannya sekarang dan juga pada masa depan. Dia menulis: “Tuan kita akan menyelamatkan aku daripada segala perbuatan jahat.” (2 Tim. 4:18) Paulus tahu walaupun saudara saudari tidak dapat membantunya dalam situasi tertentu, dia masih akan mendapat bantuan Yehuwa dan Yesus. Dia tidak meragui hal ini.

PELUANG UNTUK PERCAYA KEPADA TUHAN

4, 5. (a) Siapakah yang sentiasa dapat membantu anda? (b) Bagaimanakah anda dapat mengeratkan hubungan anda dengan Yehuwa?

4 Pernahkah anda menghadapi situasi yang sukar dan berasa bahawa orang lain tidak dapat membantu anda? Anda mungkin telah dipecat atau menghadapi tekanan di sekolah. Anda juga mungkin jatuh sakit atau menghadapi cabaran lain. Anda mungkin meminta bantuan orang, tetapi kecewa kerana mereka tidak memberikan bantuan yang diperlukan. Sesetengah masalah memang tidak dapat diselesaikan oleh manusia. Jadi, apakah yang boleh anda lakukan? Bible berkata, ‘Percayalah kepada Yehuwa.’ (Ams. 3:5, 6) Tetapi, adakah Dia akan membantu anda? Sudah tentu! Terdapat banyak contoh Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa membantu umat-Nya.

5 Jangan berasa kecewa jika anda tidak menerima bantuan yang diperlukan. Sebaliknya, seperti Paulus, fikirkan cabaran itu sebagai satu peluang untuk mempercayai Yehuwa dengan sepenuhnya. Anggaplah cabaran ini sebagai peluang untuk melihat bagaimana Yehuwa akan menjaga anda. Dengan demikian, anda akan lebih percaya kepada-Nya dan hubungan anda dengan-Nya akan semakin erat.

KITA PERLU PERCAYA KEPADA YEHUWA

6. Mengapakah tidak senang untuk mempercayai Yehuwa semasa menghadapi masalah?

6 Anda mungkin menghadapi masalah yang merunsingkan. Anda mungkin berusaha untuk mengatasi masalah itu dan anda juga sudah berdoa. Bolehkah anda berasa tenang dan yakin bahawa Yehuwa akan membantu anda? Sudah tentu! (Baca Mazmur 62:9; 1 Petrus 5:7.) Untuk mempunyai hubungan baik dengan Tuhan, anda harus mempercayai-Nya. Namun hal ini tidak senang. Mengapa? Salah satu sebab adalah kerana Yehuwa mungkin tidak menjawab doa anda dengan segera.—Mzm. 13:2, 3; 74:10; 89:47; 90:13; Hab. 1:2.

7. Mengapakah Yehuwa tidak menjawab doa kita dengan segera?

7 Mengapakah Yehuwa tidak menjawab doa kita dengan segera? Dalam Bible, Yehuwa ialah Bapa dan kita ialah anak-Nya. (Mzm. 103:13) Seorang bapa tidak akan memberikan apa yang diminta oleh anak dengan segera. Anak mungkin meminta sesuatu tetapi kemudiannya tidak lagi menginginkannya. Barangkali, perkara yang diinginkan oleh anak akan mempengaruhi orang lain juga. Bapa tahu keperluan anak dan bila masa yang sesuai untuk memenuhi permintaannya. Jika seorang bapa memenuhi segala permintaan anak dengan segera, dia seperti seorang hamba kepada anak itu. Yehuwa, Bapa kita di syurga, sangat mengasihi kita. Oleh sebab Dia Pencipta yang bijaksana, Dia tahu apa yang kita perlukan serta bila kita memerlukannya. Maka adalah baik untuk terus bersabar semasa menunggu Yehuwa menjawab doa kita.—Bandingkan Yesaya 29:16; 45:9.

8. Apakah janji Yehuwa mengenai cubaan yang kita alami?

8 Yehuwa juga tahu batas kita. (Mzm. 103:14) Jadi Dia memberi kita kekuatan yang diperlukan. Ada kalanya kita ingin putus asa. Jika cubaan yang dialami sangat berat, Yehuwa berjanji bahawa “Dia akan memberikan jalan keluar.” (Baca 1 Korintus 10:13.) Maka kita berasa lega kerana Yehuwa tahu sejauh mana kita dapat bertahan.

9. Apakah yang harus kita lakukan jika Yehuwa tidak menjawab doa kita dengan segera?

9 Jika kita berdoa meminta bantuan Yehuwa tetapi Dia tidak menjawab dengan segera, kita harus bersabar. Yehuwa benar-benar ingin membantu kita dan Dia tahu masa yang terbaik untuk berbuat demikian. Bible memberitahu kita, ‘Yehuwa menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. Dia mengasihani kamu kerana Dia Tuhan yang sentiasa berbuat adil. Berbahagialah mereka yang berharap kepada Yehuwa.’—Yes. 30:18.

“MULUT SINGA”

10-12. (a) Mengapakah mereka yang menjaga ahli keluarga yang sakit menghadapi situasi yang susah? (b) Apabila anda percaya kepada Yehuwa pada masa yang susah, apakah kesannya terhadap hubungan anda dengan-Nya? Berikan contoh.

10 Cabaran yang anda hadapi mungkin sangat susah, dan anda berasa seperti Paulus yang perlu diselamatkan daripada “mulut singa.” (2 Tim. 4:17) Pada masa sebegini, adalah sangat penting untuk percaya kepada Yehuwa. Contohnya, anda mungkin sedang menjaga ahli keluarga yang sakit. Oleh itu, anda memohon kebijaksanaan dan kekuatan daripada Yehuwa. * Selepas berbuat demikian, anda akan berasa tenang kerana Yehuwa mengambil berat dan memahami situasi anda. Dia akan membantu anda untuk tetap bertahan dan setia kepada-Nya.—Mzm. 32:8.

11 Ada kalanya anda mungkin tidak merasai bantuan Yehuwa. Para doktor mungkin mempunyai pendapat yang berbeza tentang rawatan yang harus dilakukan. Anda juga mungkin berharap bahawa saudara-mara anda akan melegakan hati anda. Tetapi mereka memburukkan lagi situasi. Oleh itu, bergantunglah pada Yehuwa selalu dan mintalah kekuatan daripada-Nya. Teruslah hampiri Yehuwa. (Baca 1 Samuel 30:3, 6.) Lambat laun, anda akan sedar bahawa Yehuwa telah membantu anda dan hubungan anda dengan-Nya akan menjadi lebih kuat.

12 Itulah yang pernah dirasai oleh Linda. * Linda telah menjaga ibu bapanya yang sakit untuk masa yang lama sebelum mereka meninggal. Dia berkata, “Semasa menghadapi situasi tersebut, saya, suami, dan adik lelaki saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Kami berasa tidak terdaya. Tetapi apabila kami mengenang kembali, kami dapat lihat dengan jelas bahawa Yehuwa telah menyertai kami. Dia telah menguatkan kami dan memberi kami apa yang diperlukan, walaupun pada masa itu nampaknya tiada jalan keluar.”

13. Bagaimanakah Rhonda menunjukkan bahawa dia bergantung pada Yehuwa semasa mengharungi tragedi?

13 Semasa menghadapi tragedi, adalah sangat penting untuk percaya kepada Yehuwa dengan sepenuhnya. Itulah yang dilakukan oleh Rhonda. Suaminya yang bukan seorang Saksi Yehuwa ingin menceraikannya. Pada masa yang sama, adik lelakinya disahkan menghidapi penyakit yang serius. Beberapa bulan kemudian, isteri adik lelakinya meninggal. Apabila Rhonda mula pulih daripada pengalaman yang pahit itu, dia mula merintis. Tetapi ibunya pula meninggal. Bagaimanakah Rhonda mengharungi tragedi-tragedi tersebut? Dia berkata, “Saya berkomunikasi dengan Yehuwa setiap hari, tidak kira tentang perkara yang kecil atau besar. Dengan berbuat demikian, Yehuwa menjadi nyata bagi saya. Saya belajar untuk bergantung pada-Nya dan bukan pada diri sendiri atau orang lain. Saya benar-benar merasai bantuan Yehuwa. Segala keperluan saya dipenuhi.” Rhonda mendapat manfaat kerana bergantung pada Yehuwa.

Situasi dalam keluarga anda boleh menguji kesetiaan anda kepada Yehuwa (Lihat perenggan 14-16)

14. Bagaimanakah Yehuwa membantu anda jika seorang ahli keluarga anda disingkirkan?

14 Fikirkan satu lagi situasi yang susah. Bayangkan salah seorang ahli keluarga anda disingkirkan. Anda tahu perintah Bible mengenai hal ini. (1 Kor. 5:11; 2 Yoh. 10) Namun, oleh sebab anda mengasihi ahli keluarga itu, anda mungkin berasa bahawa perintah Bible sangat susah, bahkan mustahil untuk ditaati. * Adakah anda percaya bahawa Yehuwa akan memberi anda kekuatan yang diperlukan untuk mentaati perintah-Nya? Bolehkah anda menganggap situasi ini sebagai satu peluang untuk menghampiri Yehuwa?

15. Mengapakah Adam mengingkari perintah Yehuwa?

15 Cuba bandingkan situasi ini dengan situasi manusia pertama, Adam. Adakah dia percaya bahawa dia boleh mengingkari perintah Yehuwa dan terus hidup? Tidak, kerana “Adam tidak tertipu.” (1 Tim. 2:14) Jadi, mengapakah dia mengingkari perintah Yehuwa? Adam memakan buah yang diberikan oleh isterinya kerana dia lebih mengasihi isterinya berbanding Yehuwa. Dia mendengarkan kata-kata isterinya, tetapi mengabaikan perintah Yehuwa.—Kej. 3:6, 17.

16. Mengapakah kita harus mengasihi Yehuwa lebih daripada orang lain?

16 Kisah Adam mengajar kita bahawa kita harus mengasihi Yehuwa lebih daripada orang lain. (Baca Matius 22:37, 38.) Jika kasih kita kepada Yehuwa kuat, kita dapat membantu saudara-mara kita tidak kira mereka sedang menyembah Yehuwa atau tidak lagi menyembah-Nya. Jadi teruslah kuatkan kasih anda kepada Yehuwa dan percayalah kepada-Nya dengan sepenuh hati. Jika anda bimbang kerana salah seorang ahli keluarga anda disingkirkan, berdoalah kepada Yehuwa dan luahkan segala perasaan anda. * (Rm. 12:12; Flp. 4:6, 7) Anggaplah situasi ini sebagai satu peluang untuk menguatkan hubungan anda dengan Yehuwa. Dengan demikian, anda akan percaya kepada-Nya dan tahu bahawa anda mendapat manfaat yang terbaik dengan mentaati-Nya.

SEMENTARA KITA MENUNGGU

Tunjukkan keyakinan kepada Yehuwa dengan melakukan kerja penyebaran dengan rajin (Lihat perenggan 17)

17. Jika kita rajin menginjil, kita boleh yakin akan apa?

17 Mengapakah Yehuwa menyelamatkan Paulus daripada “mulut singa”? Paulus berkata, “Supaya melalui aku kerja penyebaran dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.” (2 Tim. 4:17) Yehuwa juga mengamanahkan “kerja menyebarkan berita baik” kepada kita dan kita dipanggil sebagai “rakan sekerja Tuhan.” (1 Tes. 2:4; 1 Kor. 3:9) Jika kita rajin melakukan kerja ini, kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan memenuhi segala keperluan kita. (Mat. 6:33) Hal ini membantu kita untuk bersabar sementara kita menunggu jawapan Yehuwa kepada doa kita.

18. Bagaimanakah anda dapat menguatkan hubungan anda dengan Yehuwa dan percaya kepada-Nya?

18 Jadi kuatkan hubungan anda dengan Yehuwa setiap hari. Jika anda berasa bimbang kerana menghadapi suatu cabaran, gunakan peluang ini untuk menghampiri Yehuwa. Baca, belajar, dan renungkan Firman Tuhan. Teruslah berdoa kepada Yehuwa dan lakukan aktiviti rohani dengan rajin. Jika anda melakukan semua ini, anda boleh yakin bahawa Yehuwa akan membantu anda menghadapi semua cabaran hari ini dan juga pada masa depan.

^ per. 2 Paulus mungkin telah diselamatkan daripada seekor singa atau situasi lain yang berbahaya.

^ per. 10 Rencana telah diterbitkan untuk membantu orang Kristian yang menghadapi masalah kesihatan dan yang menjaga ahli keluarga yang sakit. Sila lihat Menara Pengawal 15 Disember 2011, muka surat 27-30; Menara Pengawal 15 Mac 2014, muka surat 25-29; dan buku Rahsia Kebahagiaan Keluarga bab 15.

^ per. 12 Nama-nama telah diubah.

^ per. 14 Lihat rencana “Mengapa Penyingkiran ialah Aturan yang Penuh Kasih” dalam terbitan ini.