Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Anda Dapat Melawan Syaitan dan Berjaya!

Anda Dapat Melawan Syaitan dan Berjaya!

“Kamu harus menentang [Syaitan] dengan iman yang teguh.”—1 PTR. 5:9.

1. (a) Mengapakah penting bagi kita untuk melawan Syaitan hari ini? (b) Mengapakah kita dapat melawan Syaitan dan berjaya?

SYAITAN sedang menentang kaum terurap yang masih di bumi serta “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16) Syaitan tahu masanya tinggal sedikit, jadi dia ingin menghancurkan iman hamba-hamba Yehuwa sebanyak yang mungkin. (Baca Wahyu 12:9, 12.) Tetapi kita dapat melawan Syaitan dan berjaya. Bible menyatakan: “Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.”—Yak. 4:7.

2, 3. (a) Mengapakah Syaitan ingin orang percaya bahawa dia tidak wujud? (b) Bagaimanakah anda tahu bahawa Syaitan benar-benar wujud?

2 Ramai orang tidak percaya bahawa Syaitan wujud. Bagi mereka, Syaitan dan roh-roh jahat sekadar watak dalam buku, filem seram, dan permainan video. Mereka berfikir bahawa orang bijak tidak percaya tentang kewujudan Syaitan dan roh-roh jahat. Adakah Syaitan terganggu jika orang menganggapnya sebagai watak daripada cerita dongeng? Tidak. Syaitan menggalakkan pemikiran sebegini supaya lebih mudah baginya untuk memperdayakan orang.—2 Kor. 4:4.

3 Tetapi hamba Yehuwa tidak tertipu. Kita tahu bahawa Syaitan benar-benar wujud. Mengapa? Bible berkata bahawa Syaitan telah bercakap kepada Hawa melalui seekor ular. (Kej. 3:1-5) Syaitan juga pernah bercakap kepada Yehuwa semasa mempersoalkan niat Ayub untuk menyembah Yehuwa. (Ayb. 1:9-12) Selain itu, Syaitan pernah menggoda Yesus. (Mat. 4:1-10) Selepas Yesus menjadi Raja pada tahun 1914, Syaitan “berperang melawan” golongan terurap di bumi. (Why. 12:17) Peperangan ini berlanjutan hingga sekarang kerana Syaitan ingin memusnahkan iman golongan terurap dan biri-biri lain. Untuk memenangi peperangan ini, kita harus menentang Syaitan dengan iman yang teguh. Rencana ini akan membincangkan tiga cara untuk berbuat demikian.

JANGAN ANGKUH

4. Apakah yang menunjukkan bahawa Syaitan sangat angkuh?

4 Syaitan sangat angkuh. Dia berani mencabar hak Tuhan untuk memerintah, dan ingin orang menyembahnya, bukan Yehuwa. Dia dikenali kerana keangkuhannya. Satu cara kita dapat melawan Syaitan adalah dengan menolak keangkuhan dan memupuk kerendahan hati.—Baca 1 Petrus 5:5.

5, 6. (a) Adakah salah untuk berasa bangga? Jelaskan. (b) Mengapakah sikap angkuh itu bahaya? Berikan contoh.

5 Memang tidak salah untuk mempunyai keyakinan diri. Kita juga berpuas hati apabila kita atau orang lain melakukan sesuatu yang baik. Rasul Paulus berkata kepada orang Kristian di Tesalonika: “Kami membangga-banggakan kamu di hadapan sidang-sidang Tuhan, kerana kamu tetap tabah dan beriman semasa menanggung bermacam-macam penganiayaan dan kesusahan.” (2 Tes. 1:4) Jadi berasa bangga terhadap pencapaian sendiri atau orang lain boleh membawa manfaat kepada kita. Kita juga tidak perlu berasa malu tentang keluarga, budaya, atau tempat kita dibesarkan.—Kis. 21:39.

6 Keangkuhan pula dapat merosakkan hubungan kita dengan orang lain dan Yehuwa. Jika kita angkuh, kita tidak rela menerima teguran dengan rendah hati. Kita akan berasa marah dan menolak teguran itu. (Mzm. 141:5) Seseorang menjadi angkuh apabila dia berfikir terlalu banyak tentang dirinya. Orang angkuh berasa bahawa dirinya lebih baik daripada orang lain. Yehuwa membenci keangkuhan. (Yeh. 33:28; Am. 6:8) Tetapi Syaitan suka melihat manusia meneladani sikap angkuhnya dan bercakap besar tentang diri sendiri. Bayangkan betapa gembiranya Syaitan apabila Nimrod, Firaun Mesir, dan Absalom menunjukkan keangkuhan dengan bercakap besar! (Kej. 10:8, 9, NW; Kel. 5:1, 2; 2 Sam. 15:4-6) Keangkuhan juga menyebabkan hubungan Kain dengan Yehuwa terjejas. Yehuwa menegur Kain, tetapi Kain enggan mendengar kerana keangkuhannya. Dia degil, tidak mempedulikan amaran Tuhan, dan akhirnya berdosa terhadap Yehuwa.—Kej. 4:6-8.

7, 8. (a) Apakah maksud semangat perkauman, dan bagaimanakah semangat ini berkait dengan keangkuhan? (b) Jelaskan bagaimana keangkuhan menjejaskan kedamaian sidang?

7 Keangkuhan juga menimbulkan semangat perkauman. Menurut sebuah kamus, semangat perkauman ialah perasaan prasangka terhadap kaum lain. Orang yang menunjukkan semangat ini percaya bahawa setiap kaum mempunyai sifat dan kebolehan yang berbeza, dan sesetengah kaum bertaraf tinggi, manakala yang lain bertaraf rendah. Semangat perkauman ini telah menyebabkan banyak pergaduhan, pembunuhan, dan peperangan.

8 Hal ini sememangnya tidak patut berlaku antara saudara saudari. Namun perselisihan faham mungkin berlaku kerana keangkuhan, sehingga situasinya tidak terkawal. Situasi ini pernah berlaku di sidang Kristian abad pertama. Maka Yakobus menanya mereka soalan ini: “Apakah punca perbalahan dan pergaduhan antara kamu?” (Yak. 4:1) Jika kita membenci orang lain dan berasa bahawa kita lebih baik daripada mereka, kita mungkin akan mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyakiti mereka. (Ams. 12:18) Jelaslah, keangkuhan dapat menjejaskan kedamaian sidang.

9. Bagaimanakah Bible membantu kita menolak semangat perkauman dan keangkuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Jika kita menganggap diri lebih baik daripada orang lain, kita perlu ingat bahawa ‘Yehuwa membenci orang sombong.’ (Ams. 16:5) Kita juga perlu memeriksa diri dengan menanya soalan berikut: “Adakah saya menganggap diri lebih baik daripada kaum, bangsa, atau budaya yang lain?” Jika ya, kita sudah melupakan hakikat ini: “Daripada seorang manusia, [Tuhan] menjadikan semua bangsa.” (Kis. 17:26) Dalam kata lain, kita semua sebangsa kerana kita keturunan Adam. Maka, tidak masuk akal untuk percaya bahawa Yehuwa menciptakan sesetengah kaum lebih baik daripada kaum yang lain. Jika kita mempunyai semangat perkauman, kita sebenarnya memberikan peluang kepada Syaitan untuk memusnahkan kasih dan perpaduan sidang Kristian. (Yoh. 13:35) Untuk melawan Syaitan dengan jayanya, kita mesti menolak keangkuhan.—Ams. 16:18.

JANGAN MENGUTAMAKAN HAL-HAL DUNIA DAN KEBENDAAN

10, 11. (a) Mengapakah sangat mudah bagi kita untuk mengasihi dunia? (b) Apakah kesudahannya bagi Demas kerana dia lebih mengasihi dunia?

10 Syaitan ialah “pemerintah dunia ini.” (Yoh. 12:31; 1 Yoh. 5:19) Banyak perkara yang digalakkan di dunia bercanggah dengan prinsip Bible. Sudah tentu, bukan semuanya tidak baik. Tetapi kita boleh pasti bahawa Syaitan akan menggunakan dunia ini untuk menggoda kita supaya mengikut keinginan kita yang berdosa. Selain itu, dia menggalakkan kita untuk mengasihi dunia dan mengabaikan ibadat kita kepada Yehuwa.—Baca 1 Yohanes 2:15, 16.

11 Sesetengah orang Kristian abad pertama mengasihi dunia. Contohnya, Paulus menulis: “Demas telah meninggalkan aku kerana dia mencintai sistem dunia ini.” (2 Tim. 4:10) Bible tidak menyatakan secara khusus apa yang dicintai oleh Demas di dunia. Namun hal ini menyebabkannya untuk meninggalkan Paulus. Demas mungkin mengasihi kebendaan lebih daripada khidmatnya kepada Yehuwa. Jika demikian, Demas kehilangan peluang yang istimewa untuk berkhidmat bersama Paulus. Adakah hal ini berbaloi? Tidak. Sememangnya tiada perkara di dunia yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh Yehuwa.—Ams. 10:22.

12. Bagaimanakah Syaitan menggunakan “tipu daya kekayaan” untuk menjerat kita?

12 Hal yang sama boleh berlaku hari ini. Kita tentu ingin menyediakan keperluan sendiri dan keluarga. (1 Tim. 5:8) Yehuwa ingin kita menikmati hidup. Kita mengetahui hal ini kerana Dia memberikan tempat tinggal yang indah kepada Adam dan Hawa. (Kej. 2:9) Tetapi, Syaitan boleh mengambil kesempatan terhadap keinginan ini dengan menggunakan “tipu daya kekayaan.” (Mat. 13:22) Ramai orang berfikir bahawa wang dan harta benda membawa kebahagiaan. Pendapat sedemikian boleh menyebabkan kita kehilangan perkara yang paling bernilai, iaitu hubungan kita dengan Yehuwa. Yesus memberikan amaran: “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan; dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang tetapi memandang hina pada yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” (Mat. 6:24) Jika kita menjadi hamba kekayaan, kita sudah berhenti menyembah Yehuwa. Itulah yang Syaitan inginkan. Semoga kita tidak menjadikan wang atau harta benda lebih penting daripada hubungan kita dengan Yehuwa. Untuk berjaya melawan Syaitan, kita harus mempunyai pandangan yang seimbang terhadap harta benda.—Baca 1 Timotius 6:6-10.

MENOLAK PERBUATAN SEKS YANG TIDAK BERMORAL

13. Bagaimanakah dunia menggalakkan pandangan yang salah mengenai perkahwinan dan hubungan seks?

13 Satu lagi jerat Syaitan ialah perbuatan seks yang tidak bermoral. Hari ini, ramai orang berfikir bahawa perkahwinan dan kesetiaan kepada teman hidup merupakan perkara yang ketinggalan zaman dan mengongkong mereka. Contohnya, seorang pelakon berkata bahawa adalah mustahil bagi dua orang untuk tetap setia selama-lamanya. Dia menambah: “Saya tidak tahu sesiapa yang masih setia atau ingin setia kepada pasangannya.” Seorang lagi pelakon berkata, “Saya tidak pasti jika manusia berupaya untuk tetap setia kepada seorang sahaja sepanjang hayat.” Syaitan pasti gembira apabila orang terkenal sebegini mengkritik aturan perkahwinan yang ditetapkan oleh Tuhan. Syaitan tidak ingin aturan perkahwinan berjaya. Jadi kita harus menolak pandangan Syaitan dan memupuk pandangan Yehuwa mengenai perkahwinan.

14, 15. Apakah yang boleh anda lakukan jika tergoda untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral?

14 Tidak kira kita sudah berkahwin atau bujang, kita harus berusaha untuk menolak segala perbuatan yang tidak bermoral. Hal ini tidak mudah. Mengapa? Kerana orang muda mungkin mendengar rakan sekolah menceritakan pengalaman mereka mengenai seks. Rakan sekolah juga mungkin biasa menghantar mesej, gambar, atau video lucah melalui telefon. Di sesetengah negara, hal ini melanggar undang-undang kerana disamakan dengan mengedarkan bahan lucah yang melibatkan kanak-kanak. Bible menyatakan: “Sesiapa yang mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral berdosa terhadap tubuhnya sendiri.” (1 Kor. 6:18) Banyak penyakit dapat berjangkit melalui hubungan seks. Hal ini boleh membawa kesengsaraan serta kematian. Kebanyakan kaum muda yang terlibat dalam hubungan seks sebelum berkahwin menyesali perbuatan mereka. Dunia hiburan ingin kita percaya bahawa tiada kesan buruk jika kita melanggar hukum Tuhan. Jika kita mempercayai dusta sebegini, kita sebenarnya terpedaya oleh “tipu daya dosa.”—Ibr. 3:13.

15 Jika anda tergoda untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, apakah yang boleh dilakukan? Akuilah kelemahan anda. (Rm. 7:22, 23) Berdoalah kepada Yehuwa meminta bantuan. (Flp. 4:6, 7, 13) Elakkan segala situasi yang mungkin menggoda anda untuk berdosa. (Ams. 22:3) Jika terdapat godaan, tolaklah godaan itu dengan serta-merta.—Kej. 39:12.

16. Apakah jawapan Yesus semasa Syaitan menggodanya? Apakah yang boleh kita pelajari daripada teladan Yesus?

16 Yesus menetapkan teladan yang baik. Dia tidak tertipu dengan janji-janji kosong Syaitan. Bahkan dia tidak berfikir sejenak pun tentang janji tersebut. Dengan serta-merta dia menjawab: “Ada tertulis, . . . ” (Baca Matius 4:4-10.) Yesus tahu isi Firman Tuhan, maka dia dapat memetik ayat suci semasa dia digoda oleh Syaitan. Jika kita ingin berjaya melawan Syaitan, kita harus menolak godaan untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral.—1 Kor. 6:9, 10.

LAWANLAH SYAITAN HINGGA BERJAYA

17, 18. (a) Apakah muslihat lain yang digunakan oleh Syaitan? Mengapakah hal itu tidak mengejutkan kita? (b) Apakah yang akan terjadi kepada Syaitan, dan bagaimanakah hal itu membantu anda untuk bertabah?

17 Kita hanya berbincang tentang tiga jerat Syaitan iaitu, keangkuhan, cinta akan kebendaan, dan perbuatan seks yang tidak bermoral. Terdapat banyak lagi muslihat Syaitan. Contohnya, sesetengah orang Kristian ditentang oleh ahli keluarga atau dipersendakan oleh rakan sekolah. Yang lain pula tinggal di negara di mana kerja penyebaran dilarang. Cabaran sebegini tidak mengejutkan kita. Yesus pernah memberikan amaran: “Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana namaku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.”—Mat. 10:22.

Syaitan akan dibinasakan (Lihat perenggan 18)

18 Bagaimanakah kita dapat melawan Syaitan dan berjaya? Yesus berkata, “Jika kamu tabah, nyawa kamu akan terpelihara.” (Luk. 21:19) Biarpun orang lain menyakiti kita, kesannya tidak akan berkekalan. Tiada seorang pun dapat merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa kecuali kita sendiri. (Rm. 8:38, 39) Walaupun sesetengah umat Yehuwa yang setia meninggal, hal itu tidak bermaksud Syaitan sudah menang. Yehuwa akan membangkitkan mereka. (Yoh. 5:28, 29) Tetapi Syaitan tidak mempunyai masa depan. Selepas dunia yang jahat ini dimusnahkan, dia akan dibuang ke dalam jurang yang dalam untuk 1,000 tahun. (Why. 20:1-3) Pada akhir seribu tahun pemerintahan Kristus, Syaitan akan “dibebaskan dari penjaranya” dan cuba menyesatkan manusia yang sempurna untuk kali terakhir. Kemudian, dia akan dibinasakan. (Why. 20:7-10) Si Iblis memang tiada harapan, tetapi anda mempunyai harapan yang cerah! Jadi, teruslah lawan Syaitan dengan iman yang teguh. Anda dapat berjaya!