Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hidup Selaras dengan Doa Yesus—Bahagian I

Hidup Selaras dengan Doa Yesus—Bahagian I

“Semoga nama-Mu disucikan.”—MAT. 6:9.

1. Semasa menginjil, bagaimanakah kita menggunakan doa Yesus yang tercatat di Matius 6:9-13?

RAMAI orang tahu tentang doa yang tercatat di Matius 6:9-13. Semasa menginjil, kita menggunakan doa ini untuk mengajar orang bahawa Kerajaan Tuhan benar-benar wujud dan akan mengubah bumi menjadi firdaus. Selain itu, kita juga menggunakan ungkapan “semoga nama-Mu disucikan” untuk menunjukkan bahawa Tuhan mempunyai nama dan kita harus menghormati nama yang suci itu.—Mat. 6:9.

2. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus tidak ingin kita menggunakan kata-kata yang sama semasa berdoa?

2 Adakah Yesus ingin kita menggunakan kata-kata yang sama setiap kali kita berdoa? Tidak. Yesus pernah berkata, “Semasa kamu berdoa, jangan asyik mengulangi kata-kata yang sama.” (Mat. 6:7) Pada suatu ketika, semasa dia mengajar pengikutnya cara untuk berdoa, Yesus berdoa tentang perkara yang sama tetapi menggunakan kata-kata yang berbeza. (Luk. 11:1-4) Doa Yesus ialah contoh yang baik dan mengajar kita perkara yang harus kita doakan.

3. Apakah soalan yang boleh kita tanya semasa membincangkan doa Yesus?

3 Dalam rencana ini dan yang seterusnya, kita akan membincangkan doa Yesus. Maka, tanyalah diri, “Bagaimanakah doa Yesus membantu saya mengucapkan doa yang lebih bermakna?” Yang penting lagi, “Adakah saya hidup selaras dengan doa Yesus?”

“BAPA KAMI YANG DI SYURGA”

4. Mengapakah Yesus menggunakan frasa “Bapa kami”? Mengapakah kita yang berpeluang untuk hidup kekal di bumi memanggil Yehuwa sebagai “Bapa”?

4 Yesus tidak memulakan doanya dengan berkata, “Bapa saya,” tetapi dia berkata, “Bapa kami.” Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Bapa kepada saudara saudari di serata dunia. (1 Ptr. 2:17) Mereka yang dipilih oleh Yehuwa untuk naik ke syurga “dijadikan anak angkat Tuhan.” Yehuwa menjadi Bapa yang istimewa bagi mereka. (Rm. 8:15-17) Umat Tuhan yang berpeluang untuk hidup selama-lamanya di bumi juga memanggil Yehuwa sebagai “Bapa.” Hal ini kerana Yehuwa memberi mereka nyawa dan segala keperluan mereka. Selepas mereka mencapai kesempurnaan dan berjaya mengharungi ujian terakhir, mereka akan dipanggil “anak-anak Tuhan.”—Rm. 8:21; Why. 20:7, 8.

5, 6. Apakah pemberian yang terbaik daripada ibu bapa kepada anak-anak? Apakah tanggungjawab anak? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Ibu bapa dapat mengajar anak bahawa Yehuwa ialah Bapa di syurga dan kita harus berdoa kepada-Nya. Hal ini ialah pemberian yang bernilai bagi anak. Seorang penyelia litar di Afrika Selatan berkata, “Sejak anak-anak perempuan kami dilahirkan, saya akan berdoa bersama mereka setiap malam kecuali kalau saya tiada di rumah. Anak kami berkata bahawa mereka tidak ingat kata-kata yang saya gunakan semasa berdoa. Tetapi mereka ingat akan suasana yang penuh hormat semasa kami berkomunikasi dengan Bapa Yehuwa. Mereka juga berasa tenang dan selamat. Saya juga menggalakkan mereka untuk berdoa supaya saya dapat mendengar luahan hati mereka. Hal ini membolehkan saya mengetahui apa yang tersirat dalam hati mereka. Kemudian saya dapat membimbing mereka untuk mencontohi doa Yesus supaya doa mereka menjadi lebih bermakna.”

6 Anak-anak perempuannya mempunyai hubungan yang erat dengan Yehuwa sehingga dewasa. Sekarang, mereka sudah berkahwin dan sedang berkhidmat sepenuh masa. Pemberian yang paling bernilai daripada ibu bapa adalah untuk mengajar anak-anak bahawa Yehuwa benar-benar wujud dan boleh menjadi Sahabat karib mereka. Namun anak-anak bertanggungjawab untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan Tuhan.—Mzm. 5:12, 13; 91:14.

“SEMOGA NAMA-MU DISUCIKAN”

7. Apakah penghormatan istimewa yang kita miliki? Apakah yang harus kita lakukan?

7 Kita mempunyai penghormatan istimewa untuk mengenali nama Tuhan dan menjadi “umat yang menyandang nama-Nya.” (Kis. 15:14; Yes. 43:10) Kita berdoa, “Semoga nama-Mu disucikan.” Kita juga berdoa sedemikian untuk memohon bantuan Yehuwa agar kita tidak melakukan atau mengatakan sesuatu yang dapat memburukkan nama-Nya. Kita tidak harus menjadi seperti sesetengah orang pada abad pertama yang tidak hidup selaras dengan apa yang diajarkan oleh mereka. Paulus menulis kepada mereka: “Kerana kamu, nama Tuhan kini dihina oleh bangsa-bangsa lain.”—Rm. 2:21-24.

8, 9. Bagaimanakah Yehuwa membantu orang yang ingin menyucikan nama-Nya? Berikan contoh.

8 Kita ingin melakukan apa sahaja untuk memuliakan nama Yehuwa. Seorang saudari dari Norway menjadi balu selepas suaminya meninggal. Dia mempunyai seorang anak yang berumur dua tahun. Dia berkata, “Pada masa itu, kehidupan saya sangat susah. Namun saya berdoa setiap hari, hampir setiap jam, untuk meminta kekuatan daripada Yehuwa supaya emosi saya stabil. Saya tidak mahu Syaitan mencela nama Yehuwa kerana ketidaksetiaan atau keputusan buruk saya. Saya ingin menyucikan nama Yehuwa, dan saya ingin anak saya bertemu dengan bapanya sekali lagi di Firdaus.”—Ams. 27:11.

9 Adakah Yehuwa mengabulkan doanya? Ya. Dia menerima sokongan kerana dia sentiasa bergaul dengan saudara saudari. Lima tahun kemudian, dia berkahwin dengan seorang penatua. Sekarang, anaknya sudah berumur 20 tahun dan telah dibaptis. Dia berkata, “Saya sangat gembira kerana suami membantu saya untuk membesarkannya.”

10. Bagaimanakah Tuhan akan menyucikan nama-Nya dengan sepenuhnya?

10 Yehuwa akan menyucikan nama-Nya dengan sepenuhnya apabila dia menyingkirkan semua orang yang tidak menghormati-Nya dan menolak-Nya sebagai Pemerintah. (Baca Yehezkiel 38:22, 23.) Kemudian, umat manusia akan menjadi sempurna. Semua orang dan malaikat akan menyembah Yehuwa dan memuliakan nama suci Tuhan. Akhirnya, Bapa kita yang pengasih “akan menjadi satu-satunya Pemerintah ke atas semuanya.”—1 Kor. 15:28.

“DATANGLAH KERAJAAN-MU”

11, 12. Pada tahun 1876, Yehuwa membantu umat-Nya untuk memahami apa?

11 Sebelum Yesus kembali ke syurga, para pengikutnya bertanya, “Adakah Tuan akan memulihkan pemerintahan Tuhan bagi bangsa Israel pada masa sekarang?” Yesus berkata bahawa masanya belum tiba bagi mereka untuk mengetahui bila Kerajaan Tuhan akan mula memerintah. Dia memberitahu pengikutnya untuk bertumpu kepada kerja yang lebih penting, iaitu kerja penyebaran. (Baca Kisah 1:6-8.) Walaupun demikian, dia mengajar mereka untuk berdoa dan menantikan kedatangan Kerajaan Tuhan. Itulah sebabnya kita masih berdoa, “Datanglah Kerajaan-Mu.”

12 Sebelum Kerajaan Tuhan mula memerintah di syurga, Yehuwa telah membantu umat-Nya untuk memahami bila hal itu akan terjadi. Pada tahun 1876, Charles Taze Russell menulis sebuah rencana yang bertajuk: “Zaman Orang Bukan Yahudi: Bilakah Zaman itu Berakhir?” (“Gentile Times: When Do They End?”) Dia menjelaskan bahawa “tujuh tahun” yang dinyatakan dalam nubuat Daniel adalah sama dengan “waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain” dalam nubuat Yesus. Rencana itu menjelaskan bahawa masa itu akan berakhir pada tahun 1914. *Dan. 4:16; Luk. 21:24.

13. Apakah yang berlaku pada tahun 1914, dan hal ini membuktikan apa?

13 Pada tahun 1914, peperangan berlaku di Eropah dan tidak lama kemudian melibatkan seluruh dunia. Kejadian ini telah menyebabkan kebuluran yang teruk sekali. Menjelang akhir peperangan ini pada tahun 1918, sejenis penyakit selesema telah meragut nyawa lebih ramai orang berbanding kematian akibat peperangan ini. Semua ini adalah sebahagian daripada “tanda” yang disebut oleh Yesus. Tanda ini membuktikan bahawa Yesus telah menjadi Raja di syurga pada tahun 1914. (Mat. 24:3-8; Luk. 21:10, 11) Pada tahun itu, “dia pergi untuk menakluki musuhnya dan mengalahkan mereka.” (Why. 6:2) Yesus berperang melawan Syaitan dan roh-roh jahat di syurga, lalu melemparkan mereka ke bumi. Setelah itu, manusia di bumi mengalami apa yang disebut dalam buku Wahyu, iaitu: “Malanglah bumi dan laut kerana Iblis sudah turun kepada kamu dengan kemarahan yang besar, kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.”—Why. 12:7-12.

14. (a) Mengapakah kita masih berdoa untuk kedatangan Kerajaan Tuhan? (b) Apakah kerja penting yang harus kita lakukan?

14 Nubuat di Wahyu bab 12 membantu kita memahami sebab-sebab perkara buruk berlaku di bumi sejak Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan. Yesus memerintah di syurga, tetapi dunia masih dikuasai oleh Syaitan. Namun tidak lama lagi, Yesus akan “menakluki musuhnya” dan menyingkirkan segala kejahatan di bumi. Sementara itu, kita berdoa dengan tekun untuk kedatangan Kerajaan Tuhan, dan kita menyebarkan berita baik tentang Kerajaan itu. Kerja yang penting ini telah dinubuatkan oleh Yesus: “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.”—Mat. 24:14.

“SEMOGA KEHENDAK-MU TERLAKSANA DI BUMI”

15, 16. Bagaimanakah kita dapat hidup selaras dengan doa “semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi”?

15 Kira-kira 6,000 tahun dahulu, kehendak Tuhan telah terlaksana di bumi. Itulah sebabnya Yehuwa “sangat berpuas hati” dengan ciptaan-Nya. (Kej. 1:31) Kemudian Syaitan memberontak, dan sejak itu, ramai orang tidak melakukan kehendak Tuhan. Tetapi pada hari ini, terdapat sekitar lapan juta orang sedang menyembah Yehuwa. Mereka berdoa agar kehendak Tuhan dilaksanakan di bumi. Mereka juga melakukan kehendak Tuhan. Gaya hidup mereka menyenangkan Tuhan dan mereka rajin mengajar orang lain tentang Kerajaan-Nya.

Adakah anda mengajar anak anda untuk melakukan kehendak Tuhan? (Lihat perenggan 16)

16 Contohnya di Afrika, seorang mubaligh yang telah dibaptiskan pada tahun 1948 berkata, “Saya sering berdoa agar semua orang yang berhati jujur dihubungi dan dibantu untuk mengenali Yehuwa sebelum terlambat. Sebelum saya memberi kesaksian kepada seseorang, saya berdoa agar saya dapat mencapai hati orang itu. Bagi orang yang sudah menerima kebenaran, saya berdoa agar Yehuwa memberkati usaha kita untuk menjaga mereka.” Saudari yang berusia 80 tahun ini telah membantu banyak orang untuk mengenali Yehuwa. Anda tentu mengenali beberapa saudara saudari yang melakukan kehendak Yehuwa dengan bersemangat walaupun mereka sudah berusia.—Baca Filipi 2:17.

17. Apakah perasaan anda tentang kehendak Yehuwa yang bakal terlaksana di bumi?

17 Selagi musuh Tuhan belum dihapuskan, kita akan terus berdoa agar kehendak Yehuwa dilaksanakan di bumi. Apabila musuh Tuhan tiada, bumi akan menjadi sebuah firdaus dan berbilion-bilion orang akan dibangkitkan. Yesus berkata bahawa “masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suaranya lalu keluar.” (Yoh. 5:28, 29) Bayangkan betapa gembiranya kita apabila berjumpa dengan orang yang kita kasihi! Tuhan akan “menyapu semua air mata” kita. (Why. 21:4) Kebanyakan daripada mereka yang dibangkitkan ialah “orang yang jahat,” iaitu mereka yang tidak pernah mengenali Yehuwa dan Yesus. Kita akan bersukacita semasa mengajar mereka tentang kehendak Tuhan supaya mereka “mendapat kehidupan kekal.”—Kis. 24:15; Yoh. 17:3.

18. Apakah tiga keperluan manusia yang paling penting?

18 Apabila Kerajaan Tuhan tiba, nama-Nya akan disucikan dan semua manusia dan malaikat akan menyembah Yehuwa dengan bersatu. Tiga permintaan yang disebut dalam rencana ini merupakan keperluan manusia yang paling penting. Permintaan-permintaan ini akan ditunaikan oleh Yehuwa tidak lama lagi. Dalam rencana yang seterusnya, kita akan membincangkan perkara penting yang lain yang harus kita doakan.

^ per. 12 Untuk penjelasan tentang mengapa nubuat ini menjadi kenyataan pada tahun 1914, sila lihat buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? muka surat 247-249.