Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Kamu Memerlukan Ketabahan”

“Kamu Memerlukan Ketabahan”

APABILA Anita menjadi seorang Saksi Yehuwa, suaminya sangat marah. * Anita berkata, “Dia menghalang saya daripada menghadiri perjumpaan, malah melarang saya menyebut nama Tuhan. Jika saya menyebut nama Yehuwa, dia akan naik marah.”

Selain itu, suami Anita tidak membenarkannya untuk mengajar anak-anak mereka tentang Yehuwa atau membawa mereka ke Dewan Perjumpaan. Dia menghadapi situasi yang mencabar kerana dia terpaksa membantu anak-anak mereka tanpa pengetahuan suaminya.

Pengalaman Anita menunjukkan bahawa ada kalanya salah seorang ahli keluarga mungkin cuba menghalang anda daripada menyembah Yehuwa. Anda juga mungkin menghadapi situasi yang mencabar kerana menghidapi penyakit yang berlarutan, teman atau anak anda meninggal, atau seorang ahli keluarga yang dikasihi meninggalkan Yehuwa. Maka, apakah yang dapat membantu anda untuk tetap setia kepada Yehuwa?

Rasul Paulus berkata, “Kamu memerlukan ketabahan.” (Ibr. 10:36) Jadi, bagaimanakah anda dapat bertabah?

BERGANTUNG PADA YEHUWA MELALUI DOA

Apabila anda menderita, ingatlah untuk bergantung pada Yehuwa supaya anda dapat bertahan. Berdoalah meminta bantuan-Nya. Itulah yang dilakukan oleh Ana apabila suaminya meninggal. Mereka sudah berkahwin selama 30 tahun. Ana berkata, “Pada satu hari, dia tidak pulang dari kerja. Masa itu umurnya hanya 52 tahun.”

Walaupun Ana sibuk bekerja, hal itu tidak menyingkirkan keperitan yang dirasainya. Jadi, apakah yang dilakukannya? Dia berkata, “Saya meluahkan isi hati kepada Yehuwa dan merayu meminta bantuan-Nya.” Dia tahu bahawa Yehuwa telah menolongnya kerana selepas dia berdoa kepada Yehuwa, jiwanya berasa lebih tenang. Dia menambah, “Saya yakin bahawa Yehuwa akan membangkitkan suami saya.”—Flp. 4:6, 7.

Yehuwa berjanji bahawa Dia akan mendengar doa umat-Nya. (Mzm. 65:3) Dia akan memenuhi segala keperluan mereka supaya mereka dapat terus menyembah-Nya. Yehuwa akan membantu anda untuk tetap setia kepada-Nya walaupun menghadapi cabaran.

ERATKAN HUBUNGAN DENGAN RAKAN SEIMAN

Satu lagi cara Yehuwa membantu kita bertahan adalah melalui saudara saudari. Kita dapat belajar daripada cara saudara saudari di Tesalonika membantu satu sama lain ketika mereka dianiaya dengan kejam. Pada masa itu, mereka amat memerlukan galakan. (1 Tes. 2:14; 5:11) Mereka mengeratkan hubungan dengan rakan seiman dan saling membantu. Oleh itu, mereka dapat tetap setia kepada Yehuwa. Bagaimanakah kita dapat meneladani contoh baik mereka?

Kita perlu menjalinkan persahabatan yang kukuh dengan rakan seiman dan menggalakkan satu sama lain, terutamanya semasa menghadapi kesusahan. (Rm. 14:19) Contohnya, rasul Paulus pernah menghadapi penganiayaan dan masalah yang lain. Namun Yehuwa memberinya kekuatan untuk bertahan melalui rakan seiman. Paulus berkata tentang sahabatnya itu: “Merekalah yang menjadi sumber kelegaan hati yang besar bagiku.” (Kol. 4:10, 11) Saudara saudari mengasihi Paulus. Apabila dia memerlukan bantuan, mereka berada di sampingnya dan menggalakkannya. Anda juga mungkin pernah menerima galakan dan sokongan yang serupa.

MINTALAH BANTUAN PENATUA

Yehuwa juga menyediakan para penatua di sidang. Mereka boleh menggalakkan anda dan memberikan nasihat yang baik berdasarkan Bible. Menurut Bible, “Mereka seperti tempat perlindungan daripada angin dan ribut. Mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di padang gurun, seperti naungan batu besar di tanah yang tandus.” (Yes. 32:2) Kita berasa lega hati kerana para penatua rela membantu kita. Jadi jika anda mempunyai masalah, mintalah bantuan penatua. Mereka dapat membantu anda terus bertahan.

Sudah tentu para penatua tidak dapat menyelesaikan semua masalah kita. Mereka juga manusia yang tidak sempurna. (Kis. 14:15) Namun anda akan berasa lega apabila para penatua berdoa kepada Yehuwa mengenai masalah yang anda hadapi. (Yak. 5:14, 15) Contohnya, seorang saudara di Itali menghidapi penyakit yang serius selama bertahun-tahun. Para penatua telah menggalakkannya. Saudara ini berkata, “Para penatua mengasihi saya dan sering kali melawat saya. Hal ini membantu saya bertabah.” Jika anda sedang menderita, Yehuwa ingin anda meminta bantuan daripada para penatua.

TIDAK MENGABAIKAN AKTIVITI ROHANI

Apabila kita sibuk dalam aktiviti rohani, kita dapat melihat bagaimana Yehuwa membantu kita. Itulah yang dilakukan oleh John. Apabila dia berumur 39 tahun, dia menghidapi penyakit barah. Dia berasa hal ini tidak adil kerana dia masih muda. Dia risau akan isteri dan anaknya yang berumur tiga tahun. Dia berkata, “Isteri saya bukan hanya menjaga anak, dia juga harus menjaga saya, serta selalu membawa saya untuk berjumpa doktor.” Rawatan yang diterima John membuatnya sangat letih dan loya. Bukan itu sahaja. John juga mendapati bahawa bapanya sakit tenat dan memerlukan jagaan.

Apakah yang membantu John dan keluarganya semasa menghadapi cabaran ini? Walaupun John berasa penat, dia memastikan agar keluarganya tidak mengabaikan aktiviti rohani. Dia berkata, “Kami menghadiri semua perjumpaan, menyertai aktiviti penyebaran setiap minggu, dan mengadakan penyembahan keluarga secara tetap walaupun hal itu tidak senang.” John sedar bahawa hubungan yang kuat dengan Yehuwa adalah sangat penting. Walaupun pada mulanya dia terkejut dan risau, lama-kelamaan dia berasa lebih tenang. Dia tahu bahawa Yehuwa mengasihinya dan memberinya kekuatan. Yehuwa juga dapat membantu anda dalam cara yang sama. John berkata, “Yehuwa dapat menguatkan anda sepertimana Dia menguatkan saya.”

Apabila anda menderita, ingatlah kata-kata Paulus: “Kamu memerlukan ketabahan.” Maka bergantunglah pada Yehuwa melalui doa, eratkanlah hubungan anda dengan rakan seiman, mintalah bantuan para penatua, dan janganlah abaikan aktiviti rohani. Anda boleh yakin bahawa Yehuwa akan membantu anda untuk menangani segala masalah anda, sama ada pada masa sekarang ataupun pada masa depan.

^ per. 2 Beberapa nama telah diubah.