Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengindahkan Lagi Firdaus Rohani Kita

Mengindahkan Lagi Firdaus Rohani Kita

“Aku akan memuliakan bangku kaki milik-Ku.”—YES. 60:13, NW.

LAGU: 102, 75

1, 2. Istilah “bangku kaki” merujuk kepada apa dalam Kitab Ibrani?

TUHAN YEHUWA berkata, “Langit ialah takhta-Ku, dan bumi ialah bangku kaki untuk-Ku.” (Yes. 66:1) Tuhan juga pernah berkata, “Aku akan memuliakan bangku kaki milik-Ku.” (Yes. 60:13, NW) Bagaimanakah Tuhan akan memuliakan bangku kaki milik-Nya, iaitu bumi? Apakah maksudnya bagi kita?

2 Dalam Kitab Ibrani, istilah “bangku kaki” juga merujuk kepada Rumah Tuhan di Israel kuno. (1 Taw. 28:2; Mzm. 132:7) Rumah Tuhan itu sangat indah di mata Yehuwa kerana itulah pusat ibadat sejati yang telah memuliakan Yehuwa di bumi.

3. Apakah pusat ibadat sejati pada hari ini, dan bilakah aturan ini bermula?

3 Bangunan Rumah Tuhan tidak lagi wujud di bumi. Hari ini, ibadat sejati diwakili oleh Rumah Rohani Tuhan. Apakah itu Rumah Rohani Tuhan? Hal ini tidak merujuk kepada suatu tempat, tetapi merujuk kepada aturan Yehuwa yang membolehkan umat manusia untuk menyembah-Nya dan menjadi sahabat-Nya. Aturan ini wujud kerana korban tebusan Yesus. Aturan ini bermula pada tahun 29 M apabila Yesus dibaptis dan dilantik sebagai Imam Agung bagi Rumah Rohani Tuhan.—Ibr. 9:11, 12.

4, 5. (a) Apakah hasrat penyembah sejati berdasarkan Mazmur 99? (b) Apakah yang boleh kita tanya diri sendiri?

4 Kita sangat bersyukur atas aturan Yehuwa bagi ibadat sejati. Oleh itu, kita memberitahu orang lain tentang nama Yehuwa dan pemberian-Nya yang berharga, iaitu korban tebusan. Kita sangat gembira kerana lebih daripada lapan juta orang Kristian sejati sedang memuji Yehuwa setiap hari! Ramai orang yang beragama berfikir bahawa mereka akan memuji Tuhan selepas mereka meninggal dan naik ke syurga. Namun umat Yehuwa memuji-Nya sekarang di bumi.

5 Apabila kita memuji Tuhan, kita sedang mencerminkan kata-kata pemazmur di Mazmur 99:1-3, 5. (Baca.) Hamba Yehuwa yang setia seperti Musa, Harun, dan Samuel telah menyokong aturan Yehuwa bagi ibadat sejati. (Mzm. 99:6, 7) Hari ini, golongan terurap juga sedang berkhidmat di Rumah Rohani Tuhan di bumi. Kemudian, golongan terurap akan berkhidmat sebagai imam bersama Yesus di syurga. Berjuta-juta orang yang merupakan “biri-biri lain” juga menyokong kaum terurap. (Yoh. 10:16) Kedua-dua kumpulan ini bergabung untuk menyembah Yehuwa. Namun kita boleh menanya diri, “Adakah saya sedang menyokong aturan ibadat sejati dengan sepenuhnya?”

MENGENAL PASTI MEREKA YANG BERKHIDMAT DI RUMAH ROHANI TUHAN

6, 7. Apakah masalah yang muncul dalam sidang Kristian pada abad pertama? Apakah yang terjadi menjelang tahun 1919?

6 Kurang daripada 100 tahun selepas sidang Kristian ditubuhkan, kemurtadan mula muncul. (Kis. 20:28-30; 2 Tes. 2:3, 4) Selepas itu, tidaklah senang untuk mengenal pasti mereka yang berkhidmat di Rumah Rohani Tuhan. Beratus-ratus tahun kemudian, Yehuwa mengutus Raja Yesus untuk menunjukkan siapa penyembah sejati Tuhan.

7 Menjelang tahun 1919, mereka yang diperkenankan Tuhan dan berkhidmat di Rumah Rohani Tuhan jelas kelihatan. Mereka telah membuat perubahan agar penyembahan mereka diterima oleh Yehuwa. (Yes. 4:2, 3; Mal. 3:1-4) Jadi penglihatan yang dilihat oleh rasul Paulus beratus-ratus tahun dahulu mula menjadi kenyataan.

8, 9. Apakah maksud “firdaus” dalam penglihatan Paulus?

8 Yehuwa telah memberi Paulus suatu penglihatan tentang masa depan. Penglihatan ini tercatat di 2 Korintus 12:1-4. (Baca.) Apakah “firdaus” yang dilihat oleh Paulus dalam penglihatan tersebut? Pertama, firdaus ini merujuk kepada Firdaus di bumi pada masa depan. (Luk. 23:43) Kedua, firdaus ini merujuk kepada firdaus rohani yang akan dinikmati dengan sepenuhnya di dunia baru. Ketiga, firdaus ini merujuk kepada keadaan yang indah di syurga, iaitu “firdaus Tuhan.”—Why. 2:7.

9 Mengapakah Paulus berkata bahawa “dia mendengar kata-kata yang tidak dapat dan tidak boleh diucapkan oleh manusia”? Hal ini adalah kerana masanya belum tiba baginya untuk menjelaskan dengan terperinci perkara indah yang dia nampak dalam penglihatan itu. Namun hari ini, Yehuwa membenarkan kita untuk memberitahu orang lain tentang berkat yang dinikmati oleh umat-Nya sekarang!

10. Mengapakah “firdaus rohani” dan Rumah Rohani Tuhan tidak merujuk kepada perkara yang sama?

10 Kita sering menggunakan istilah “firdaus rohani.” Namun apakah maksudnya? Firdaus rohani ialah suasana damai yang diberikan oleh Tuhan kepada umat-Nya. Jadi firdaus rohani dan Rumah Rohani Tuhan adalah tidak sama. Rumah Rohani Tuhan ialah aturan bagi ibadat sejati. Firdaus rohani pula merangkumi mereka yang diperkenankan Tuhan dan yang menyembah-Nya di Rumah Rohani-Nya.—Mal. 3:18.

11. Apakah penghormatan yang kita miliki hari ini?

11 Sejak tahun 1919, Yehuwa telah membenarkan manusia yang tidak sempurna untuk mengusahakan dan memperluas firdaus rohani di bumi. Adakah anda sedang membantu dalam kerja istimewa ini? Adakah anda menghargai penghormatan untuk bekerjasama dengan Yehuwa dan memuliakan-Nya?

ORGANISASI YEHUWA MENJADI SEMAKIN INDAH

12. Apakah keyakinan kita setelah melihat nubuat di Yesaya 60:17 menjadi kenyataan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

12 Nabi Yesaya pernah bernubuat bahawa banyak perubahan akan berlaku dalam organisasi Yehuwa di bumi. (Baca Yesaya 60:17.) Orang Kristian yang baru atau muda mungkin pernah membaca atau mendengar tentang perubahan-perubahan ini. Namun ramai orang Kristian juga pernah mengalami sendiri perubahan tersebut. Orang Kristian yang setia ini yakin bahawa Tuhan menggunakan Raja Yesus untuk membimbing organisasi-Nya di bumi! Jika kita mendengar pengalaman daripada orang Kristian yang lebih tua, iman dan kepercayaan kita terhadap Yehuwa akan dikukuhkan.

13. Menurut Mazmur 48:13-15, apakah yang harus kita lakukan?

13 Semua orang Kristian sejati harus memberitahu orang lain mengenai organisasi Yehuwa. Walaupun kita hidup di dunia Syaitan, kita menikmati kedamaian dan perpaduan bersama saudara saudari. Hal ini seperti sebuah mukjizat! Kita tentu gembira apabila menceritakan tentang organisasi Yehuwa serta firdaus rohani kepada “keturunan yang akan datang.”—Baca Mazmur 48:13-15.

14, 15. Apakah perubahan-perubahan yang dilakukan pada tahun 1970-an? Bagaimanakah hal ini membawa manfaat kepada organisasi kita?

14 Ramai orang Kristian yang lebih tua pernah melihat perubahan yang dilakukan dalam organisasi Yehuwa di bumi. Mereka ingat masanya apabila sidang dipimpin oleh seorang hamba sidang dan bukannya badan penatua. Pada masa itu, setiap cawangan berada di bawah jagaan seorang pembantu cawangan dan bukannya Jawatankuasa Cawangan. Organisasi Yehuwa pula dipimpin oleh seorang presiden dan bukannya Badan Pimpinan. Walaupun saudara-saudara yang memimpin itu mempunyai pembantu, hanya seorang sahaja yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan di sidang, pejabat cawangan, dan ibu pejabat. Pada tahun 1970-an, perubahan telah dibuat supaya sekumpulan penatua memikul tanggungjawab bersama dan bukannya seorang individu sahaja.

15 Mengapakah perubahan-perubahan sebegini membawa manfaat kepada organisasi kita? Kerana perubahan-perubahan ini berdasarkan pemahaman Alkitab yang lebih tepat. Manfaat yang besar diperoleh apabila sekumpulan penatua membuat keputusan dan bukannya seorang sahaja. Dengan demikian, sifat baik semua penatua tersebut menyumbang kepada keputusan yang dibuat. Para penatua memang merupakan “kurnia berupa manusia.”—Ef. 4:8; Ams. 24:6.

Yehuwa memberikan bimbingan yang diperlukan kepada orang di serata dunia (Lihat perenggan 16, 17)

16, 17. Apakah perubahan-perubahan yang berlaku kebelakangan ini yang menarik perhatian anda, dan mengapa?

16 Fikirkan juga tentang perubahan yang dilakukan terhadap bahan bacaan kita. Bahan bacaan kita sekarang lebih menarik dan menawarkan nasihat yang berguna bagi orang ramai. Selain itu, kita juga menggunakan teknologi untuk menyebarkan berita baik. Contohnya, laman web jw.org boleh dilihat oleh orang di serata dunia supaya mereka mendapat bantuan yang diperlukan. Semua perubahan ini mencerminkan kasih Tuhan yang mendalam terhadap orang.

17 Kita juga menghargai perubahan dalam perjumpaan kita. Hal ini membolehkan kita untuk menggunakan lebih banyak masa bagi penyembahan keluarga atau pembelajaran peribadi. Selain itu, terdapat juga perubahan dalam perhimpunan dan konvensyen kita. Programnya menjadi semakin baik setiap kali kita menghadiri perhimpunan dan konvensyen. Kita juga bersyukur atas latihan yang diperoleh daripada pelbagai sekolah teokratik yang sedang berlangsung. Semua perubahan ini membuktikan bahawa Yehuwa sedang memimpin organisasi-Nya di bumi. Hal ini mengindahkan lagi firdaus rohani kita!

CARA KITA DAPAT MENYUMBANG KEPADA FIRDAUS ROHANI

18, 19. Bagaimanakah kita dapat mengindahkan lagi firdaus rohani kita?

18 Yehuwa telah memberi kita penghormatan untuk mengindahkan lagi firdaus rohani kita. Tetapi bagaimanakah kita dapat melakukannya? Kita dapat mengkhabarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dengan bersemangat dan menjadikan ramai orang pengikut Kristus. Setiap kali kita membantu seseorang untuk menjadi umat Tuhan, kita sedang meluaskan sempadan firdaus rohani kita.—Yes. 26:15; 54:2.

19 Firdaus rohani kita juga dapat diindahkan lagi melalui keperibadian kita. Oleh sebab kita berusaha untuk mencerminkan sifat-sifat Yesus, ramai orang tertarik kepada firdaus rohani kita. Biasanya orang kagum dengan kelakuan suci dan sifat damai kita, dan bukan hanya dengan pengetahuan Bible kita. Hal inilah yang mendorong mereka untuk menyertai organisasi Tuhan dan mendekati Yehuwa dan Yesus.

Anda dapat membantu untuk meluaskan sempadan firdaus rohani kita (Lihat perenggan 18, 19)

20. Menurut Amsal 14:35, apakah tekad kita?

20 Yehuwa dan Yesus sangat gembira apabila mereka melihat keindahan firdaus rohani hari ini. Alangkah gembiranya kita kerana dapat menyebabkan firdaus rohani kita bertambah indah! Namun, kegembiraan itu akan berlipat ganda apabila kita berpeluang mengubah bumi ini menjadi sebuah firdaus. Ingatlah ayat di Amsal 14:35 yang berkata, “Raja berkenan kepada pegawai yang cekap.” Sepertimana seorang pegawai membantu raja, kita juga dapat membantu Raja Yesus untuk mengindahkan lagi firdaus rohani kita!