KISAH HIDUP
“Hai Pulau-Pulau di Laut, Bergembiralah”
Saya sentiasa ingat peristiwa di Brooklyn pada 22 Mei 2000. Saya dan beberapa orang saudara dari pelbagai tempat berasa gementar sementara menunggu ketibaan Jawatankuasa Penulisan di bilik mesyuarat Badan Pimpinan. Kami akan menyampaikan beberapa penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi para penterjemah. Mengapakah mesyuarat ini penting? Sebelum saya menjelaskannya, biarlah saya ceritakan dahulu tentang kisah hidup saya.
SAYA dilahirkan di Queensland, Australia pada tahun 1955. Tidak lama selepas itu, ibu saya, Estelle, belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia dibaptis setahun kemudian dan bapa saya, Ron, menerima kebenaran 13 tahun kemudian. Saya pula dibaptis pada tahun 1968 di Queensland.
Sejak kecil, saya memang suka membaca dan tertarik dengan pelbagai bahasa. Setiap kali kami sekeluarga membuat perjalanan ke suatu tempat, saya akan duduk dalam kereta sambil membaca buku. Ibu bapa saya mungkin kecewa kerana saya tidak melihat pemandangan yang indah di sekeliling. Namun, minat saya untuk membaca telah membantu saya. Saya telah menerima beberapa anugerah semasa bersekolah di pulau Tasmania.
Pada masa itu, saya perlu membuat keputusan yang penting. Saya ditawarkan biasiswa untuk pergi ke universiti. Walaupun saya suka belajar dan membaca, saya amat menghargai usaha ibu kerana membantu saya untuk mengasihi Yehuwa lebih daripada perkara lain. (1 Kor. 3:18, 19) Atas persetujuan ibu bapa, saya memutuskan untuk merintis sebaik sahaja saya menerima sijil tamat persekolahan. Saya mula merintis pada bulan Januari 1971 semasa berumur 15 tahun.
Selama lapan tahun, saya merintis di Tasmania. Semasa di sana, saya mengahwini seorang saudari yang cantik dari Tasmania, iaitu Jenny Alcock. Selama empat tahun, kami berkhidmat sebagai perintis khas di pekan kecil Smithton dan Queenstown.
BERKHIDMAT DI KEPULAUAN PASIFIK SEBAGAI MUBALIGH
Pada tahun 1978, saya dan isteri menghadiri konvensyen antarabangsa di Port Moresby, Papua New Guinea. Saya masih ingat seorang mubaligh memberikan ceramah dalam bahasa Hiri Motu. Walaupun saya tidak memahami apa yang dikatakannya, saya terdorong untuk menjadi mubaligh, belajar bahasa lain, dan menggunakan bahasa itu untuk menggalakkan saudara saudari. Sekarang, minat saya terhadap bahasa boleh digunakan dalam khidmat Yehuwa.
Kami sangat teruja selepas pulang dari konvensyen. Kami dijemput untuk berkhidmat sebagai mubaligh. Kami tiba di pulau Funafuti, di Tuvalu, pada Januari 1979. Pada masa itu, hanya ada tiga penyiar yang sudah dibaptis di Tuvalu.
Memang tidak senang untuk belajar bahasa Tuvalu. Satu-satunya buku yang wujud dalam bahasa itu ialah Bible “Perjanjian Baru.” Oleh sebab tiada kamus atau kursus bahasa, kami cuba belajar 10 hingga 20 perkataan baru setiap hari. Tetapi kami sedar bahawa kami tidak memahami kebanyakan perkataan yang dipelajari. Contohnya, kami ingin memberitahu orang bahawa spiritisme adalah salah. Tetapi, kami tersilap kata dan memberitahu orang, “Jangan gunakan alat timbang dan tongkat!” Walaupun demikian, kami berusaha untuk belajar bahasa itu kerana kami telah mempunyai beberapa pelajar Bible. Beberapa tahun kemudian, salah seorang pelajar Bible memberitahu kami: “Kami sangat gembira kerana kamu dapat bercakap dalam bahasa kami. Pada mulanya, kami langsung tidak faham apa yang kamu katakan!”
Namun, kami belajar bahasa itu dengan cepat. Memandangkan tiada rumah sewa di sana, kami harus tinggal bersama sebuah keluarga Saksi. Kami menggunakan bahasa Tuvalu di rumah dan di mana-mana sahaja. Setelah berhenti bercakap bahasa Inggeris buat seketika, Tuvalu menjadi bahasa utama kami.
Di Tuvalu, banyak orang berminat terhadap kebenaran. Namun, kami tiada bahan bacaan dalam bahasa mereka. Bagaimanakah kami boleh belajar dengan mereka? Bagaimanakah mereka membuat pembelajaran peribadi? Apabila mereka menghadiri perjumpaan, apakah lagu yang boleh dinyanyikan, 1 Kor. 14:9) Kami tertanya-tanya: “Adakah bahan bacaan akan dihasilkan dalam bahasa Tuvalu, bahasa yang digunakan oleh hanya sekitar 15,000 orang?” Namun, Yehuwa telah menjawab soalan-soalan ini dan membuktikan dua perkara: (1) Dia ingin semua orang, termasuk yang tinggal di pulau-pulau di “seberang laut,” untuk mengenali-Nya. (2) Dia ingin mereka yang dianggap “hina” dan “rendah hati” oleh dunia untuk mendapat perlindungan daripada-Nya.—Yer. 31:10; Zef. 3:12.
bagaimanakah mereka menyampaikan ceramah, dan bagaimanakah mereka membuat persiapan? Dapatkah mereka membuat kemajuan sehingga dibaptis? Orang yang rendah hati ini memerlukan makanan rohani dalam bahasa mereka! (MENTERJEMAHKAN MAKANAN ROHANI
Pada tahun 1980, pejabat cawangan menugaskan kami untuk menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Tuvalu. Walaupun kami tidak fasih dalam bahasa itu, kami memulakan kerja itu. (1 Kor. 1:28, 29) Pada mulanya, kami membeli mesin cetak daripada kerajaan. Mesin ini dikendalikan dengan tangan dan kami menggunakannya untuk mencetak bahan bacaan perjumpaan. Kami juga menterjemahkan dan mencetak buku “Kebenaran” (The Truth That Leads to Eternal Life). Saya masih ingat bau dakwat yang kuat dan cuaca yang panas. Hal ini menyukarkan kerja pencetakan. Pada masa itu, kami tiada elektrik!
Kerja penterjemahan tidak mudah kerana tiada kamus atau buku rujukan dalam bahasa Tuvalu. Kadangkala kami mendapat bantuan dengan cara yang tidak disangka. Pada suatu pagi, secara tidak sengaja, saya melawat rumah seorang penentang kebenaran. Orang tua itu, yang pernah bekerja sebagai seorang cikgu, mengingatkan saya bahawa kami tidak patut datang ke rumahnya. Kemudian, dia berkata, “Saya hanya mahu cakap satu perkara. Dalam terjemahan kamu, kamu menggunakan banyak ayat pasif. Ayat pasif tidak banyak digunakan dalam bahasa Tuvalu.” Saya pun menanya orang lain dan mendapati bahawa apa yang
dikatakannya itu betul. Jadi kami memperbaiki dan meningkatkan mutu terjemahan kami. Saya kagum kerana Yehuwa membantu kami menerusi seorang penentang yang nampaknya membaca bahan bacaan kita!Bahan bacaan Tuvalu yang pertama ditawarkan kepada orang ialah jemputan Peringatan. Kemudian, risalah Berita Kerajaan Tuhan No. 30 dikeluarkan serentak dengan bahasa Inggeris. Kami gembira kerana orang dapat membaca bahan bacaan dalam bahasa mereka sendiri! Selepas itu, kami juga menerbitkan beberapa brosur dan buku dalam bahasa Tuvalu. Pada tahun 1983, pejabat cawangan Australia mula mencetak majalah Menara Pengawal bahasa Tuvalu. Majalah tersebut ada 24 muka surat dan dikeluarkan setiap tiga bulan. Apakah sambutannya? Orang Tuvalu menyukainya. Setiap kali bahan bacaan baru dikeluarkan, stesen radio kerajaan akan mengumumkannya dan kadangkala hal ini menjadi tajuk utama berita.
Mula-mula, kami akan menulis terjemahan pada kertas. Kemudian, kami menaip terjemahan itu dan mengirimnya ke pejabat cawangan Australia. Di situ, dua saudari yang tidak memahami bahasa Tuvalu, akan menaip terjemahan itu secara berasingan ke dalam komputer. Kemudian mereka akan membandingkan dua teks yang mereka taip tadi. Melalui kaedah ini, kesilapan dapat dikurangkan. Selepas itu, terjemahan akan disusun bersama gambar-gambar dan dikirim kepada kami melalui pos. Selepas kami memeriksanya, terjemahan itu dikirim kepada pejabat cawangan untuk dicetak.
Sekarang kerja terjemahan sangat maju! Kumpulan penterjemah menaip teks dan membetulkannya pada komputer. Biasanya, kerja penterjemahan dan kerja untuk menyusun teks dengan gambar-gambar dilakukan di tempat yang sama. Kemudian, terjemahan itu akan dihantar melalui Internet ke pejabat cawangan untuk dicetak. Tiada orang yang perlu bergegas ke pejabat pos untuk mengirim terjemahan.
TUGAS YANG LAIN
Saya dan Jenny juga diberikan tugas yang lain di kepulauan Pasifik. Pada tahun 1985, kami ditugaskan ke pejabat cawangan Samoa. Di sana, kami membantu kerja penterjemahan ke dalam bahasa Samoa, Tonga, Tokelau dan Tuvalu. Kemudian, pada tahun 1996, kami ditugaskan ke pejabat cawangan Fiji. Di sana, kami membantu kerja penterjemahan ke dalam bahasa Fiji, Kiribati, Nauru, Rotuma, dan Tuvalu.
Saya kagum dengan semangat para penterjemah. Mereka bekerja dengan rajin walaupun kerja itu memenatkan dan tidak mudah. Seperti Yehuwa, saudara saudari ini ingin semua orang mendengar berita baik dalam bahasa sendiri. (Why. 14:6) Contohnya, apabila kami mengaturkan kerja penterjemahan majalah Menara Pengawal ke dalam bahasa Tonga, saya berjumpa dengan semua penatua di Tonga dan bertanya siapa yang boleh dilatih sebagai penterjemah. Salah seorang penatua yang bekerja sebagai mekanik rela berhenti kerja pada hari yang seterusnya agar dapat menjadi seorang penterjemah. Imannya sangat menggalakkan saya kerana dia sanggup berbuat demikian walaupun dia tidak tahu bagaimana dia akan memperoleh pendapatan untuk menyara keluarganya. Namun, Yehuwa menjaga mereka sekeluarga dan dia dapat melakukan kerja penterjemahan selama bertahun-tahun.
Seperti para penterjemah, Badan Pimpinan juga mengambil berat terhadap keperluan rohani semua orang, termasuk suku kaum yang kecil. Contohnya, ada yang bertanya jika berbaloi untuk menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Tuvalu. Saya amat digalakkan apabila Badan Pimpinan memberikan jawapan: “Kami tidak mendapati apa-apa sebab untuk menghentikan kerja penterjemahan ke dalam bahasa Tuvalu. Orang Tuvalu mungkin tidak banyak, tetapi mereka masih perlu mendengar berita baik dalam bahasa sendiri.”
Pada tahun 2003, saya dan Jenny dipindahkan dari Bahagian Penterjemahan di Fiji ke Bahagian Khidmat Penterjemahan di Paterson, New York. Mimpi kami menjadi kenyataan! Kami bekerja bersama saudara saudari di situ untuk membantu para penterjemah di serata dunia untuk menyediakan bahan bacaan dalam lebih banyak bahasa. Selama dua tahun, kami ditugaskan untuk melatih para penterjemah di pelbagai negara.
KEPUTUSAN YANG PENTING
Sekarang biar saya ceritakan tentang mesyuarat penting yang saya sebutkan tadi. Menjelang tahun 2000, Badan Pimpinan berasa bahawa kumpulan penterjemahan di serata dunia memerlukan latihan. Kebanyakan penterjemah tidak pernah menghadiri apa-apa kursus penterjemahan. Selepas mesyuarat bersama dengan Jawatankuasa Penulisan, Badan Pimpinan memutuskan bahawa semua penterjemah di seluruh dunia harus dilatih. Para penterjemah akan diajar cara untuk memahami teks bahasa Inggeris, menyelesaikan masalah penterjemahan, dan bekerja dalam kumpulan.
Apakah hasilnya? Mutu terjemahan meningkat dan bahan bacaan kita diterjemahkan ke dalam lebih banyak bahasa. Pada tahun 1979, majalah Menara Pengawal hanya terdapat dalam 82 bahasa. Namun, kebanyakannya diterbitkan beberapa bulan selepas terbitan bahasa Inggeris. Kini, majalah Menara Pengawal diterjemahkan ke dalam lebih daripada 240 bahasa. Kebanyakan majalah ini dikeluarkan serentak dengan bahasa Inggeris. Makanan rohani kini boleh didapati dalam lebih daripada 700 bahasa. Hal ini nampaknya mustahil beberapa tahun dahulu.
Pada tahun 2004, Badan Pimpinan memutuskan untuk menterjemahkan Bible Terjemahan Dunia Baru ke dalam banyak bahasa dengan secepat yang mungkin. Kini, lebih ramai orang boleh membaca Bible Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa mereka. Pada tahun 2014, seluruh atau sebahagian daripada Bible ini boleh didapati dalam 128 bahasa, termasuk beberapa bahasa yang digunakan di kepulauan Pasifik Selatan.
Salah satu kenangan manis saya adalah semasa menghadiri konvensyen di Tuvalu pada tahun 2011. Kemarau telah melanda seluruh negara
itu selama berbulan-bulan. Para saudara berfikir bahawa konvensyen itu harus dibatalkan. Namun, apabila kami sampai di sana pada waktu malam, hujan turun dengan lebat. Jadi, konvensyen boleh diadakan. Saya telah diberikan penghormatan yang besar untuk mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Tuvalu! Yehuwa telah menyediakan hadiah yang istimewa ini untuk saudara saudari yang bertutur dalam bahasa Tuvalu, walaupun bilangan mereka tidak banyak. Pada akhir konvensyen itu, hujan lebat turun lagi. Maka, setiap orang telah diberkati dengan banyak air hujan dan air kebenaran!Sedihnya, isteri saya, Jenny, tidak bersama saya semasa konvensyen itu. Dia telah meninggal pada tahun 2009 selepas menghidap penyakit barah selama 10 tahun. Kami telah berkahwin selama 35 tahun. Apabila dia dibangkitkan nanti, dia pasti sangat gembira untuk mengetahui bahawa Bible Tuvalu telah diterbitkan.
Yehuwa telah memberkati saya dengan seorang lagi isteri yang cantik, iaitu Loraini Sikivou. Loraini dan Jenny pernah berkhidmat di Bethel Fiji bersama-sama. Loraini berkhidmat sebagai seorang penterjemah. Sekali lagi, saya telah dikurniai seorang isteri yang setia kepada Yehuwa dan yang mempunyai minat yang sama dengan saya terhadap bahasa.
Selama bertahun-tahun, saya telah melihat bagaimana Bapa kita yang pengasih, Yehuwa, menjaga keperluan semua bangsa, termasuk kaum yang kecil. (Mzm. 49:2-4) Mereka sangat gembira apabila menerima bahan bacaan atau menyanyikan lagu pujian kepada Yehuwa dalam bahasa mereka. Reaksi mereka mengingatkan saya bahawa Yehuwa sangat mengasihi kita. (Kis. 2:8, 11) Saya masih ingat kata-kata seorang saudara yang berusia, iaitu Saulo Teasi. Selepas dia bernyanyi pada kali pertama dalam bahasanya, Tuvalu, dia berkata, “Saya rasa kamu perlu beritahu Badan Pimpinan bahawa lagu ini lebih sedap bunyinya dalam bahasa Tuvalu berbanding bahasa Inggeris.”
Pada September 2005, saya diberikan satu penghormatan yang tidak disangka, iaitu untuk berkhidmat sebagai seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa. Walaupun saya bukan lagi seorang penterjemah, saya bersyukur kerana Yehuwa membenarkan saya untuk terus menyokong kerja penterjemahan sedunia. Saya bersukacita kerana Yehuwa menjaga keperluan semua bangsa, termasuk yang tinggal di pulau-pulau terpencil di Lautan Pasifik! Ya, seperti yang dikatakan pemazmur: ‘Yehuwa itu raja! Hai bumi, bersukacitalah! Hai pulau-pulau di laut, bergembiralah!’—Mzm. 97:1.