Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Jauhilah Pergaulan Buruk pada Hari-Hari Terakhir

Jauhilah Pergaulan Buruk pada Hari-Hari Terakhir

“Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.”—1 KOR. 15:33.

LAGU: 73, 119

1. Kita sedang hidup pada zaman apa?

KITA sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.” Sejak tahun 1914, “hari-hari terakhir” telah bermula dan keadaan dunia menjadi semakin teruk. (2 Tim. 3:1-5) Kita boleh pasti bahawa keadaan dunia akan semakin merosot kerana Bible menubuatkan bahawa “orang jahat dan penyamar akan menjadi semakin jahat.”—2 Tim. 3:13.

2. Apakah hiburan yang dipilih oleh ramai orang hari ini? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

2 Hari ini, ramai orang menonton atau melakukan perkara yang berkaitan dengan ilmu sihir, spiritisme, keganasan, atau perbuatan yang tidak bermoral. Contohnya, Internet, televisyen, filem, buku, dan majalah membuat orang berfikir bahawa keganasan dan kelakuan yang tidak bermoral hanyalah perkara yang biasa sahaja. Perbuatan yang dahulunya mengejutkan dianggap biasa sekarang dan dibenarkan di sisi undang-undang. Tetapi hal ini tidak bermaksud bahawa Yehuwa memperkenankannya.—Baca Roma 1:28-32.

3. Apakah tanggapan ramai orang mengenai mereka yang hidup selaras dengan standard Yehuwa?

3 Orang pada abad pertama juga menonton perkara-perkara yang ganas dan tidak bermoral sebagai hiburan. Tetapi pengikut Yesus tidak berbuat demikian kerana mereka hidup selaras dengan standard Yehuwa. Hal ini membuat orang lain “berasa hairan.” Maka, mereka memperolok-olok dan menganiaya pengikut Yesus. (1 Ptr. 4:4) Hari ini juga, orang yang hidup selaras dengan standard Yehuwa dianggap pelik. Sebenarnya, Bible memberikan amaran bahawa mereka yang mengikut teladan Yesus “akan dianiaya.”—2 Tim. 3:12.

“PERGAULAN YANG BURUK MEROSAKKAN AKHLAK YANG BAIK”

4. Mengapakah kita tidak seharusnya mengasihi dunia ini?

4 Jika kita ingin melakukan kehendak Tuhan, kita tidak boleh “mengasihi dunia ini, atau perkara-perkara dalam dunia ini.” (Baca 1 Yohanes 2:15, 16.) Sistem politik, keagamaan, perdagangan, dan media dikuasai oleh Syaitan, “tuhan sistem dunia ini.” Dia menggunakan semua aspek ini untuk menyesatkan orang. (2 Kor. 4:4; 1 Yoh. 5:19) Kita tidak ingin dipengaruhi oleh dunia ini. Jadi kita harus mengelakkan diri daripada pergaulan buruk. Bible dengan jelas memberikan amaran kepada kita: “Janganlah disesatkan. Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.”—1 Kor. 15:33.

5, 6. Kita tidak harus bergaul dengan siapa, dan mengapa?

5 Untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan Yehuwa, kita tidak akan bergaul dengan orang yang melakukan perkara jahat. Mereka ini termasuklah orang yang mengatakan bahawa mereka menyembah Yehuwa tetapi pada masa yang sama mengingkari perintah-Nya. Jika orang sedemikian melakukan dosa yang serius dan enggan bertaubat, kita harus berhenti bergaul dengan mereka.—Rm. 16:17, 18.

6 Kita biasanya ingin menyenangkan hati kawan-kawan kita dan diterima oleh mereka. Tetapi jika kita bergaul dengan orang yang tidak mentaati Tuhan, kita mungkin digoda untuk melakukan apa yang tidak baik. Contohnya, jika kita bergaul dengan orang yang tidak bermoral, kita mungkin akan menjadi seperti mereka. Hal ini telah berlaku kepada sesetengah saudara dan saudari kita. Mereka yang enggan bertaubat disingkirkan daripada sidang. (1 Kor. 5:11-13) Situasi mereka sama seperti apa yang dikatakan oleh rasul Petrus.—Baca 2 Petrus 2:20-22.

7. Siapakah yang harus menjadi sahabat karib kita?

7 Sudah tentu, kita ingin bersikap baik dengan semua orang. Namun kita tidak harus menjadi sahabat karib dengan mereka yang tidak mentaati Tuhan. Maka adalah salah bagi seorang Saksi yang bujang untuk berdating dengan seseorang yang belum dibaptis dan yang tidak mentaati piawaian Yehuwa. Adalah penting bagi kita untuk diterima oleh Tuhan dan bukannya diterima oleh orang yang tidak mengasihi Tuhan. Oleh itu, kita hanya memilih sahabat karib antara orang yang melakukan kehendak Tuhan. Yesus berkata, “Sesiapa yang melakukan kehendak Tuhan, dialah adik lelakiku, adik perempuanku, dan ibuku.”—Mrk. 3:35.

8. Bagaimanakah pergaulan buruk mempengaruhi orang Israel?

8 Pergaulan buruk membawa padah. Misalnya, sebelum orang Israel tiba di Tanah yang Dijanjikan, Yehuwa memberikan amaran kepada mereka tentang orang yang sudah menetap di sana. Dia berkata, “Jangan sujud atau sembah kepada tuhan-tuhan mereka. Jangan tiru cara mereka sembahyang. Hancurkanlah tuhan-tuhan mereka dan patahkan tiang-tiang batu yang digunakan mereka untuk beribadat.” Yehuwa juga berkata, ‘Sembahlah Aku Yehuwa, Tuhan kamu.’ (Kel. 23:24, 25) Tetapi kebanyakan orang Israel mengingkari arahan Tuhan dan tidak setia kepada-Nya. (Mzm. 106:35-39) Akibatnya, Yehuwa menolak bangsa Israel dan menjadikan sidang Kristian sebagai umat pilihan-Nya.—Mat. 23:38; Kis. 2:1-4.

BERHATI-HATI DENGAN APA YANG DIBACA DAN DITONTON

9. Mengapakah hiburan dunia ini berbahaya bagi kita?

9 Kebanyakan hiburan yang terdapat dalam televisyen, Internet, dan buku dapat memudaratkan kerohanian orang Kristian. Hiburan sebegini tidak membantu pengikut Yesus untuk beriman kepada Yehuwa dan janji-janji-Nya. Sebaliknya, orang digalakkan untuk menaruh keyakinan pada dunia Syaitan yang jahat. Jadi, kita harus berwaspada terhadap perkara yang kita tonton, baca, atau dengar agar tidak membangkitkan “keinginan duniawi” dalam diri kita.—Tit. 2:12.

10. Apakah yang akan berlaku kepada industri media dunia ini?

10 Tidak lama lagi, dunia Syaitan dan industri medianya yang berbahaya akan dihapuskan. Bible berkata, “Dunia dan segala sesuatu di dalamnya yang diingini oleh manusia sedang berlalu, tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.” (1 Yoh. 2:17) Seorang pemazmur juga berkata, “Orang yang jahat akan diusir.” Dia menambah, “Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.” Tetapi untuk berapa lama? “Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.”—Mzm. 37:9, 11, 29.

11. Bagaimanakah Tuhan membantu kita untuk tetap setia kepada-Nya?

11 Tidak seperti dunia Syaitan, organisasi Yehuwa membantu kita memiliki cara hidup yang baik dan meraih kehidupan kekal. Dalam doa Yesus kepada Bapanya, dia berkata, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.” (Yoh. 17:3) Yehuwa memberikan makanan rohani yang berlimpah-ruah melalui organisasi-Nya. Contohnya, terdapat majalah, brosur, buku, video, dan laman web yang membantu kita untuk terus menyembah Yehuwa. Selain itu, organisasi-Nya juga mengaturkan perjumpaan yang diadakan secara tetap di lebih daripada 110,000 sidang di seluruh dunia. Iman kita terhadap Yehuwa dan janji-janji-Nya diteguhkan apabila kita menghadiri perjumpaan, perhimpunan litar, dan konvensyen.—Ibr. 10:24, 25.

BERKAHWIN DENGAN PENGIKUT TUAN SAHAJA

12. Apakah maksud perintah Bible mengenai berkahwin dengan “pengikut Tuan kita”?

12 Orang Kristian yang ingin berkahwin harus berjaga-jaga tentang pergaulan mereka. Firman Tuhan memberikan amaran: “Janganlah memikul kuk bersama orang yang tidak percaya, kerana kuk sedemikian tidak seimbang. Apakah hubungan antara kebaikan dengan kejahatan? Atau, apakah kaitan antara cahaya dengan kegelapan?” (2 Kor. 6:14) Bible memberitahu kita untuk berkahwin dengan “pengikut Tuan kita” sahaja. Orang ini haruslah seseorang yang sudah dibaptis dan hidup selaras dengan prinsip Yehuwa. (1 Kor. 7:39) Jika anda berkahwin dengan seseorang yang mengasihi Yehuwa, dia akan membantu anda untuk tetap setia kepada Tuhan.

13. Apakah yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada orang Israel tentang perkahwinan?

13 Yehuwa tahu apa yang terbaik bagi kita. Perintahnya untuk mengahwini “pengikut Tuan kita” bukanlah sesuatu yang baru. Contohnya, Yehuwa telah memberikan amaran kepada orang Israel mengenai bangsa-bangsa yang bukan penyembah Yehuwa. Melalui Musa, Dia berkata, ‘Jangan berkahwin dengan mereka, dan jangan biar anak-anak kamu berkahwin dengan mereka, kerana mereka akan menjauhkan anak-anak kamu daripada Yehuwa, sehingga anak-anak kamu itu menyembah tuhan-tuhan lain. Jika hal itu berlaku, Yehuwa akan murka terhadap kamu dan membinasakan kamu dengan serta-merta.’—Ul. 7:3, 4.

14, 15. Apakah yang terjadi kepada Salomo selepas dia mengingkari perintah Tuhan?

14 Selepas Salomo menjadi raja, dia telah berdoa memohon kebijaksanaan. Yehuwa telah mengabulkan doanya. Maka Salomo dikenali sebagai pemerintah yang bijak dan rakyatnya hidup makmur. Ratu Syeba sangat kagum dengan kebijaksanaan Salomo lalu dia berkata, “Kebijaksanaan dan kekayaan tuan lebih besar daripada apa yang telah beta dengar.” (1 Raj. 10:7) Namun, contoh Salomo juga mengajar kita apa kesudahannya jika seseorang mengingkari Tuhan dan mengahwini orang yang bukan penyembah Yehuwa.—Pkh. 4:13, 14.

15 Salomo telah mengingkari perintah Tuhan walaupun Yehuwa telah memberkatinya. Salomo “mencintai banyak wanita bangsa asing” yang tidak menyembah Yehuwa. Lama-kelamaan, dia mempunyai 700 orang isteri dan 300 gundik. Apakah akibatnya? Apabila Salomo sudah tua, isteri-isterinya “berjaya membujuknya menyembah tuhan-tuhan lain” sehingga ‘Raja Salomo berdosa terhadap Yehuwa.’ (1 Raj. 11:1-6) Pergaulan buruk telah menyebabkan Raja Salomo tidak setia kepada Yehuwa. Jika hal ini berlaku kepada Salomo, sudah tentu hal ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Itulah sebabnya kita tidak harus berfikir untuk mengahwini seseorang yang bukan penyembah Yehuwa!

16. Apakah nasihat Bible kepada orang yang pasangannya bukan penyembah Yehuwa?

16 Bagaimana pula jika anda mendapat kebenaran selepas anda sudah berkahwin dengan seseorang yang bukan penyembah Yehuwa? Bible menyatakan, “Hai para isteri, taatilah suami kamu, supaya jika suami kamu tidak patuh kepada firman Tuhan, kelakuan kamu dapat menyebabkan mereka patuh. Kamu tidak perlu berkata apa-apa.” (1 Ptr. 3:1) Nasihat ini juga ditujukan kepada para suami yang teman hidup mereka bukan penyembah Yehuwa. Nasihat Firman Tuhan adalah jelas: Berusahalah untuk menjadi seorang suami atau isteri yang baik, dan terapkanlah prinsip-prinsip Yehuwa mengenai perkahwinan. Ramai suami atau isteri telah melihat perubahan baik dalam pasangan mereka yang menyembah Yehuwa. Hal ini mendorong mereka untuk menerima kebenaran.

BERGAUL DENGAN MEREKA YANG MENGASIHI YEHUWA

17, 18. Apakah yang menyebabkan Nuh terselamat daripada Banjir Besar? Apakah yang membantu orang Kristian pada abad pertama mengharungi pembinasaan Yerusalem?

17 Pergaulan yang buruk dapat mempengaruhi anda untuk mengingkari Yehuwa, tetapi pergaulan yang baik dapat membantu anda untuk tetap setia kepada-Nya. Nuh merupakan teladan yang baik. Dia hidup pada masa yang penuh dengan kejahatan. Pada masa itu, ‘Yehuwa nampak betapa jahatnya manusia di bumi; fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan.’ (Kej. 6:5) Maka, Yehuwa memutuskan untuk membinasakan dunia yang jahat itu. Tetapi “Nuh tidak berbuat salah” dan ‘dia hidup akrab dengan Tuhan.’—Kej. 6:7-10.

18 Nuh tidak bergaul bersama orang yang tidak mengasihi Yehuwa. Dia dan tujuh ahli keluarganya sibuk membina bahtera dan Nuh ‘menyebarkan apa yang benar di mata Yehuwa.’ (2 Ptr. 2:5) Nuh sekeluarga menikmati pergaulan yang baik dengan satu sama lain. Mereka melakukan apa yang menyenangkan Tuhan dan hasilnya mereka diselamatkan semasa Banjir Besar berlaku. Kita semua merupakan keturunan mereka. Jadi kita harus bersyukur kerana Nuh dan keluarganya mentaati Yehuwa dan menjauhkan diri daripada pergaulan buruk. Begitu juga dengan orang Kristian abad pertama. Mereka mentaati Tuhan dan tidak bergaul dengan orang yang tidak mengasihi Yehuwa. Oleh itu, mereka terselamat ketika pembinasaan Yerusalem pada tahun 70 M.—Luk. 21:20-22.

Pergaulan dengan orang yang mengasihi Yehuwa akan membantu kita membayangkan kehidupan kita di dunia baru (Lihat perenggan 19)

19. Apakah yang dapat membantu kita untuk tetap setia kepada Yehuwa?

19 Seperti Nuh dan keluarganya serta orang Kristian pada abad pertama, kita juga tidak harus bergaul dengan orang yang tidak mengasihi Yehuwa. Kita mempunyai berjuta-juta saudara saudari yang setia dan mereka boleh menjadi sahabat karib kita. Mereka akan membantu kita “berpegang teguh pada iman” ketika masa yang susah ini. (1 Kor. 16:13; Ams. 13:20) Bayangkan masa depan kita yang cerah. Kita berpeluang untuk mengharungi akhir sistem dunia ini dan hidup di dunia baru Yehuwa! Maka, jauhilah pergaulan yang buruk pada hari-hari terakhir!