Bersedialah untuk Kehidupan Sejati di Dunia Baru
“Perintahkanlah mereka supaya berbuat baik, . . . supaya mereka dapat berpegang teguh pada kehidupan yang sejati.”—1 TIM. 6:18, 19.
LAGU: 125, 40
1, 2. (a) Apakah berkat yang anda nantikan di Firdaus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah berkat yang akan memberi kita sukacita yang paling besar?
KITA menanti-nantikan “kehidupan kekal.” Rasul Paulus menggambarkan kehidupan ini sebagai “kehidupan yang sejati.” (Baca 1 Timotius 6:12, 19.) Bagi kebanyakan orang, hal ini bermaksud kehidupan kekal di bumi Firdaus. Namun kita mungkin berasa susah untuk membayangkan diri kita memiliki tubuh yang sihat, berasa gembira, dan puas hati setiap hari. (Yes. 35:5, 6) Bayangkanlah betapa baiknya untuk hidup bersama keluarga dan sahabat kita, termasuk mereka yang dibangkitkan daripada kematian. (Yoh. 5:28, 29; Kis. 24:15) Selain itu, kita akan mempunyai masa untuk mengasah bakat dalam bidang sains, muzik, seni bina, dan sebagainya.
2 Kita sedang menunggu semua berkat ini. Tetapi, berkat yang akan membawa sukacita yang paling besar kepada kita ialah berkat rohani. Betapa gembiranya kita apabila nama Tuhan disucikan dan segenap umat manusia menerima-Nya sebagai Pemerintah Yang Berdaulat! (Mat. 6:9, 10) Kita pasti berasa teruja apabila bumi dipenuhi dengan manusia yang sempurna, seperti yang diinginkan Tuhan. Tambahan pula, kita akan beransur-ansur menjadi sempurna dan hubungan kita dengan Yehuwa akan menjadi semakin erat!—Mzm. 73:28; Yak. 4:8.
3. Apakah yang harus kita lakukan sekarang?
3 Kita berasa yakin bahawa Yehuwa akan menunaikan berkat-berkat ini kerana “tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.” (Mat. 19:25, 26) Jika kita ingin hidup di dunia baru, sekaranglah masanya untuk “berpegang teguh” pada harapan kehidupan yang kekal. Kita tahu bahawa akhir akan tiba tidak lama lagi pada bila-bila masa. Jadi kita harus berusaha sedaya upaya sekarang untuk bersiap sedia bagi dunia baru. Apakah caranya?
CARA UNTUK BERSIAP SEDIA
4. Bagaimanakah kita boleh bersedia untuk kehidupan di dunia baru? Berikan contoh.
4 Bagaimanakah kita boleh bersiap sedia sekarang untuk kehidupan di dunia baru? Bayangkan kita merancang untuk berpindah ke negara lain, apakah persediaan yang akan kita lakukan? Kita mungkin akan belajar bahasa dan budaya orang di sana. Selain itu, kita mungkin mencuba makanan mereka. Begitu juga, kita boleh membuat persediaan supaya kehidupan kita sekarang mencerminkan kehidupan yang bakal kita nikmati di dunia baru. Marilah kita lihat beberapa cara untuk berbuat demikian.
5, 6. Mengapakah mengikut arahan daripada organisasi Yehuwa sekarang membantu kita di dunia baru?
5 Di dunia ini, Syaitan ingin orang berfikir bahawa mereka boleh bertindak dengan sesuka hati. Ramai orang suka membuat keputusan sendiri dan tidak ingin mentaati Tuhan. Akibatnya, banyak orang menderita dan berasa susah hati. (Yer. 10:23) Tetapi Yehuwa ialah Pemerintah yang penuh kasih. Kita tentu berasa gembira apabila semua orang di dunia baru mentaati-Nya sebagai Pemerintah Yang Berdaulat!
6 Di dunia baru, organisasi Yehuwa akan memimpin kita untuk menjadikan bumi sebuah firdaus. Kita juga berpeluang mengajar mereka yang dibangkitkan. Sudah tentu kita akan menikmati aktiviti-aktiviti ini. Tetapi, bagaimana pula jika orang yang mengambil pimpinan menyuruh kita melakukan sesuatu kerja yang tidak kita suka? Adakah kita akan menerima tugas itu dan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya? Jika kita ingin bersiap sedia bagi kehidupan di dunia baru nanti, kita perlu mengikut arahan daripada organisasi Yehuwa sekarang.
7, 8. (a) Mengapakah kita harus bekerjasama dengan orang yang mengambil pimpinan? (b) Apakah perubahan yang dialami oleh sesetengah orang Kristian? (c) Apakah yang boleh kita yakin mengenai dunia baru?
7 Jika kita ingin bersedia untuk dunia baru, kita perlu memupuk sikap berpuas hati dan bekerjasama dengan organisasi Yehuwa dan orang lain. Contohnya, jika kita ditugaskan untuk melakukan sesuatu tugas yang baru, adakah kita sudi menerima tugas itu dan melaksanakannya dengan gembira? Jika kita bekerjasama dengan orang yang mengambil pimpinan sekarang, kita juga akan berbuat demikian di dunia baru. (Baca Ibrani 13:17.) Apabila orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, mereka diberikan kawasan tertentu sebagai tempat tinggal. (Bil. 26:52-56; Yos. 14:1, 2) Di dunia baru, kita tidak tahu kawasan mana yang akan diberikan kepada kita sebagai tempat tinggal. Namun, dengan bekerjasama dan memupuk sikap berpuas hati, kita tentu akan gembira melaksanakan kehendak Tuhan tidak kira di mana jua kita tinggal.
8 Bayangkan penghormatan yang kita miliki di dunia baru untuk berkhidmat kepada Tuhan di bawah Kerajaan-Nya! Oleh itu, kita rela bekerjasama dengan organisasi Yehuwa hari ini dan melakukan apa sahaja yang ditugaskan kepada kita. Kadangkala tugas kita mungkin berubah. Contohnya, terdapat ahli Bethel di Amerika Syarikat yang ditugaskan sebagai perintis. Sesetengah penyelia lawatan juga ditugaskan sebagai perintis khas atas faktor umur atau faktor-faktor lain. Namun, mereka gembira dengan tugas baru mereka, dan Yehuwa memberkati mereka. Jika kita memohon bantuan Yehuwa, berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada-Nya, dan belajar untuk berpuas hati dengan apa sahaja tugas yang diberikan, kita akan bersukacita dan menikmati berkat daripada Yehuwa. (Baca Amsal 10:22.) Bagaimana pula jika kita ingin tinggal di suatu tempat di dunia baru, tetapi organisasi Yehuwa meminta kita untuk berpindah ke tempat lain? Pada masa itu, kita dapat yakin bahawa kita akan bersyukur dan berpuas hati tidak kira di mana kita tinggal atau apa tugas kita.—Neh. 8:10.
9, 10. (a) Mengapakah kita mungkin perlu bersabar di dunia baru? (b) Bagaimanakah kita boleh menunjukkan kesabaran sekarang?
9 Di dunia baru, kita mungkin perlu bersabar. Contohnya, kita mungkin mendapat tahu bahawa seseorang bersukacita kerana saudara-mara atau sahabatnya sudah dibangkitkan. Tetapi, orang yang kita kasihi belum lagi dibangkitkan. Jika hal ini berlaku, adakah kita akan turut bersukacita bersama orang yang bersukacita dan tetap bersabar? (Rm. 12:15) Jika kita sabar menunggu pelaksanaan janji-janji Yehuwa sekarang, hal ini akan membantu kita untuk bersabar di dunia baru.—Pkh. 7:8.
10 Kita boleh bersiap sedia untuk dunia baru dengan menunjukkan kesabaran apabila terdapat pemahaman terkini mengenai kebenaran Bible. Adakah kita mengkaji bahan yang baru ini? Adakah kita bersabar jika kita kurang memahaminya? Jika ya, hal ini akan membantu kita untuk menunjukkan kesabaran di dunia baru semasa Yehuwa memberitahu kita arahan yang baru.—Ams. 4:18; Yoh. 16:12.
11. Mengapakah kita harus rela mengampuni orang, dan bagaimanakah hal ini akan membawa manfaat kepada kita di dunia baru?
11 Satu lagi cara untuk bersedia bagi dunia baru adalah dengan memupuk sifat rela memaafkan orang lain. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, orang tidak akan menjadi sempurna dengan serta-merta. (Kis. 24:15) Pada masa itu, adakah kita akan saling mengasihi dan rela memaafkan satu sama lain? Jika kita rela mengampuni orang dan mengekalkan hubungan yang baik dengan mereka sekarang, lebih mudah bagi kita untuk berbuat demikian di dunia baru.—Baca Kolose 3:12-14.
12. Mengapakah kita harus bersiap sedia sekarang bagi kehidupan di dunia baru?
12 Di dunia baru, kita mungkin tidak akan mendapat semua perkara yang diinginkan, atau kita perlu menunggu dahulu sebelum mendapatnya. Namun kita tentu ingin menunjukkan kesyukuran dan berpuas hati. Maka, kita perlu memupuk sifat-sifat yang baik sekarang seperti yang diajar oleh Yehuwa. Hal ini kerana kita perlu memperlihatkan sifat sebegini di dunia baru. Dengan berbuat demikian, kita yakin bahawa dunia baru yang diharapkan akan menjadi kenyataan. (Ibr. 2:5; 11:1) Kita juga menanti-nantikan masanya apabila semua orang di bumi mentaati Yehuwa. Dengan itu, kita menunjukkan bahawa kita sedang bersiap sedia untuk kehidupan yang kekal.
BERFOKUS KEPADA KHIDMAT YEHUWA
13. Apakah yang akan menjadi keutamaan kita di dunia baru?
13 Di dunia baru, kita akan bersukacita kerana segala keperluan fizikal kita akan dipenuhi. Tetapi kita dapat menikmati sukacita yang lebih besar apabila keperluan rohani kita dipenuhi. (Mat. 5:3) Kita akan mengutamakan kegiatan rohani, dan hal ini akan membawa kebahagiaan kepada kita. (Mzm. 37:4) Jika kita mengutamakan hal-hal rohani dalam kehidupan kita sekarang, kita menunjukkan bahawa kita sedang bersedia untuk kehidupan di dunia baru.—Baca Matius 6:19-21.
14. Apakah matlamat rohani yang dapat ditetapkan oleh kaum muda?
14 Bagaimanakah kita dapat meningkatkan sukacita kita dalam kegiatan rohani? Salah satu cara adalah dengan menetapkan matlamat rohani. Jika anda masih muda, bolehkah anda menetapkan matlamat untuk berkhidmat kepada Yehuwa sepenuh masa? Kajilah bahan bacaan kita mengenai pelbagai khidmat sepenuh masa yang dapat diceburi. * Anda juga boleh berbincang dengan mereka yang sudah lama menceburi khidmat sepenuh masa. Sekiranya anda menggunakan kehidupan anda untuk berkhidmat kepada Yehuwa, anda akan mendapat latihan yang berharga. Pengalaman ini akan membantu anda untuk berkhidmat kepada Yehuwa di dunia baru.
15. Apakah matlamat rohani lain yang dapat kita tetapkan?
15 Terdapat banyak matlamat rohani yang dapat kita tetapkan. Misalnya, kita boleh menetapkan matlamat untuk meningkatkan kemahiran kita dalam kerja penyebaran. Kita juga boleh berusaha untuk memahami prinsip-prinsip Bible dengan lebih baik dan cara menerapkannya dalam kehidupan seharian kita. Selain itu, kita boleh meningkatkan mutu pembacaan, ceramah, dan komen kita di perjumpaan. Apakah tujuannya untuk menetapkan matlamat rohani? Hal ini dapat membantu anda untuk lebih bergiat dalam aktiviti rohani dan bersedia untuk kehidupan di dunia baru.
KEHIDUPAN YANG TERBAIK TELAH BERMULA
16. Mengapakah berkhidmat kepada Yehuwa merupakan cara hidup yang terbaik?
16 Adakah persiapan yang kita lakukan untuk dunia baru sesuatu yang merugikan kerana kita tidak dapat menikmati dunia sekarang dengan sepenuhnya? Tidak! Berkhidmat kepada Yehuwa ialah cara hidup yang terbaik. Kita tidak menyembah-Nya kerana dipaksa oleh seseorang atau semata-mata untuk mengharungi kesengsaraan besar. Manusia diciptakan untuk mempunyai hubungan yang erat dengan Yehuwa. Kasih Tuhan dan bimbingan-Nya merupakan perkara yang membawa kebahagiaan yang terbesar dalam kehidupan kita. (Baca Mazmur 63:2-4.) Kita memperoleh sukacita apabila kita menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Mereka yang sudah lama menyembah-Nya yakin bahawa inilah cara hidup yang terbaik.—Mzm. 1:1-3; Yes. 58:13, 14.
17. Di Firdaus, apakah yang lebih penting daripada berekreasi dan memenuhi keinginan sendiri?
17 Di Firdaus nanti, kita dapat menikmati masa untuk berekreasi dan memenuhi keinginan sendiri. Sememangnya, Yehuwa telah menciptakan kita dengan keinginan untuk menikmati kehidupan. Dia berjanji bahawa Dia akan memenuhi keinginan kita “sehingga tidak berkekurangan.” (Mzm. 145:16; Pkh. 2:24) Meskipun kita perlu berekreasi dan berehat, kita akan lebih menikmati kehidupan jika kita mengutamakan Yehuwa. Hal ini juga sama di dunia baru. Maka, adalah bijak untuk “mengutamakan Kerajaan Tuhan” dan berfokus kepada berkat yang diperoleh melalui khidmat kepada Yehuwa.—Mat. 6:33.
18. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita sedang bersedia untuk kehidupan kekal di Firdaus?
18 Di dunia baru, kehidupan kita akan jauh lebih baik daripada apa yang dapat kita bayangkan. Semoga kita menunjukkan bahawa kita benar-benar ingin hidup di sana dengan bersiap sedia untuk “kehidupan sejati.” Maka, marilah kita memupuk sifat-sifat baik dan menginjil dengan bersemangat. Dengan mengutamakan khidmat Yehuwa, kita akan menikmati kebahagiaan yang besar. Kita yakin bahawa Yehuwa akan menunaikan semua janji-Nya. Semoga cara hidup kita sekarang menunjukkan bahawa kita sedang menanti-nantikan kehidupan di dunia baru!