Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Terus Merenungkan Hal-Hal Rohani

Terus Merenungkan Hal-Hal Rohani

“Renungkanlah dan tumpukanlah sepenuh perhatian kepada hal-hal ini, supaya kemajuanmu dapat dilihat dengan jelas oleh semua orang.”—1 TIM. 4:15.

LAGU: 57, 52

1, 2. Apakah yang membezakan manusia daripada binatang?

OTAK manusia sangat unik. Contohnya, manusia memiliki keupayaan untuk mempelajari suatu bahasa. Bahasa membolehkan kita membaca, menulis, bercakap, dan memahami apa yang kita dengar. Bahasa juga membolehkan kita berdoa dan menyanyikan pujian kepada Yehuwa. Oleh itu, kita berbeza daripada binatang. Para saintis tidak dapat memahami sepenuhnya bagaimana otak kita mampu melakukan perkara-perkara yang menakjubkan ini.

2 Keupayaan untuk menggunakan bahasa merupakan pemberian Yehuwa. (Mzm. 139:14; Why. 4:11) Terdapat satu lagi pemberian yang membezakan kita daripada binatang. Tuhan menciptakan manusia “seperti diri-Nya sendiri.” Jadi kita mempunyai kebebasan untuk memilih. Kita boleh menggunakan kemahiran berbahasa untuk menyembah dan memuji Yehuwa.—Kej. 1:27.

3. Apakah pemberian Yehuwa yang menjadikan kita bijak?

3 Melalui Bible, Yehuwa menunjukkan cara kita dapat menyembah dan memuji-Nya. Seluruh Bible atau sebahagian daripadanya boleh didapati dalam lebih daripada 2,800 bahasa. Semasa kita merenungkan kandungan Bible, fikiran kita menjadi selaras dengan fikiran Tuhan. (Mzm. 40:6; 92:6; 139:17) Fikiran Yehuwa dapat menjadikan kita bijak dan membantu kita memperoleh kehidupan kekal.—Baca 2 Timotius 3:14-17.

4. Apakah maksudnya membuat perenungan? Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

4 Perenungan bererti menumpukan perhatian dan memikirkan sesuatu perkara dengan mendalam. (Mzm. 77:13; Ams. 24:1, 2) Kita mendapat banyak manfaat apabila kita merenung tentang Yehuwa dan Yesus. (Yoh. 17:3) Dalam rencana ini, kita akan menjawab soalan berikut: Bagaimanakah kita dapat membuat perenungan semasa membaca? Apakah perkara yang dapat kita renungkan? Apakah yang akan membantu kita untuk membuat perenungan secara tetap dan menikmatinya?

PASTIKAN PEMBELAJARAN ANDA MEMBAWA MANFAAT

5, 6. Bagaimanakah anda dapat mengingati dan benar-benar memahami apa yang dibaca?

5 Adakah anda sedar bahawa anda dapat melakukan beberapa perkara tanpa berfikir, seperti bernafas, berjalan, atau berbasikal? Namun, ada kalanya anda mungkin membaca tanpa berfikir. Semasa membaca, fikiran anda mungkin melayang. Jadi bagaimanakah anda dapat mengelakkan hal ini? Anda perlu menumpukan perhatian kepada perkara yang dibaca dan fikirkan maksudnya. Pada akhir setiap perenggan atau tajuk kecil, berhentilah sejenak untuk merenungkan apa yang dibaca. Fikirkanlah apa yang dipelajari dan pastikan anda benar-benar memahaminya.

6 Kajian para saintis menunjukkan bahawa kita akan mengingati apa yang dibaca jika kita membacanya dengan bersuara. Pencipta kita mengetahui hal ini. Itulah sebabnya Dia menyuruh Yosua membaca hukum-hukum-Nya “dengan suara perlahan.” (Baca Yosua 1:8. *) Membaca Bible dengan suara perlahan dapat membantu anda untuk menumpukan perhatian dan mengingati apa yang dibaca.

7. Bilakah masa yang terbaik untuk merenungkan Firman Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Banyak usaha diperlukan untuk bertumpu dan merenungkan apa yang dibaca. Maka adalah baik jika kita membuat perenungan semasa kita tidak berasa letih dan di tempat yang sunyi, di mana kita tidak akan diganggu. Raja Daud telah membuat perenungan semasa berbaring di katilnya pada waktu malam. (Mzm. 63:7) Yesus juga memilih tempat yang sunyi untuk merenung dan berdoa.—Luk. 6:12.

PERKARA BAIK YANG BOLEH DIRENUNGKAN

8. (a) Apakah perkara lain yang boleh direnungkan? (b) Apakah perasaan Yehuwa apabila kita memberitahu orang lain tentang-Nya?

8 Selain daripada membaca Bible, terdapat perkara lain yang boleh direnungkan. Contohnya, apabila anda memerhatikan ciptaan Yehuwa, berhentilah seketika dan tanyalah diri, “Apakah yang saya pelajari tentang Yehuwa daripada ciptaan ini?” Dengan demikian, anda pasti terdorong untuk mengucapkan syukur kepada Yehuwa dan mengongsi perasaan anda dengan orang lain. (Mzm. 104:24; Kis. 14:17) Yehuwa berasa senang hati apabila kita membuat perenungan, berdoa, dan bercakap mengenai-Nya kepada orang lain. Bible berkata, “Di hadapan Yehuwa, nama setiap orang yang takut akan Dia dan yang merenungkan nama-Nya, ditulis di dalam sebuah kitab peringatan.”—Mal. 3:16, NW.

Adakah anda merenungkan cara untuk membantu pelajar Bible anda? (Lihat perenggan 9)

9. (a) Rasul Paulus memberitahu Timotius untuk merenungkan apa? (b) Semasa kita membuat persiapan untuk kerja penyebaran, apakah yang boleh kita renungkan?

9 Rasul Paulus memberitahu Timotius untuk merenungkan bagaimana tutur kata, kelakuan, dan ajarannya dapat mempengaruhi orang lain. (Baca 1 Timotius 4:12-16.) Anda juga boleh melakukan hal yang sama. Misalnya, semasa membuat persiapan bagi pembelajaran Bible, renungkan soalan atau perumpamaan yang dapat membantu pelajar Bible membuat kemajuan. Dengan demikian, iman anda akan dibina dan anda dapat menjadi guru yang bersemangat dan mahir. Selain itu, buatlah perenungan sebelum menginjil. (Baca Ezra 7:10.) Anda boleh membaca satu bab daripada buku Kisah supaya anda bersemangat dalam kerja penyebaran. Renungkan juga ayat-ayat Bible yang ingin digunakan dan bahan bacaan yang ingin ditawarkan. (2 Tim. 1:6) Fikirkanlah orang di kawasan penyebaran dan topik yang menarik minat mereka. Persiapan sebegini dapat membantu anda menggunakan Bible dengan mahir semasa menginjil.—1 Kor. 2:4.

10. Apakah perkara-perkara baik yang boleh direnungkan?

10 Apa lagi yang boleh direnungkan? Jika anda mencatat nota semasa mendengar ceramah umum, perhimpunan, dan konvensyen, luangkanlah masa untuk membuat ulang kaji. Tanyalah diri, “Apakah yang saya pelajari daripada Firman Tuhan dan organisasi-Nya?” Anda juga boleh merenungkan maklumat dalam majalah Menara Pengawal dan Awake!, serta pengeluaran terkini di konvensyen. Selain itu, selepas membaca satu pengalaman dalam buku tahunan, berhenti sejenak dan renungkanlah pengalaman itu supaya dapat menyentuh hati anda. Apabila membaca bahan bacaan kita, gariskanlah isi-isi penting atau catatlah nota. Hal ini dapat membantu anda semasa membuat persiapan untuk kunjungan kembali, kunjungan penggembalaan, atau ceramah. Dengan merenungkan perkara-perkara baik yang dipelajari, hati anda akan tersentuh dan anda akan didorong untuk mengucapkan syukur kepada Yehuwa.

RENUNGKANLAH FIRMAN TUHAN SETIAP HARI

11. Apakah bahan bacaan terpenting yang harus kita renungkan, dan mengapa?

11 Sudah tentu, kita harus merenungkan kandungan Bible. Tetapi, bagaimanakah jika satu hari nanti anda tidak dibenarkan memiliki Bible? Tiada seorang pun yang dapat menghalang anda daripada merenungkan perkara-perkara yang sudah anda hafal, seperti ayat kegemaran anda ataupun lagu Kerajaan. (Kis. 16:25) Daya aktif Tuhan akan membantu anda untuk mengingati perkara-perkara yang telah anda pelajari. Hal ini akan membantu anda untuk tetap setia.—Yoh. 14:26.

12. Apakah salah satu cara anda dapat merancang pembacaan Bible?

12 Apakah salah satu cara anda dapat merancang pembacaan Bible? Mungkin anda boleh meluangkan beberapa hari dalam seminggu untuk membaca dan merenungkan pembacaan Bible mingguan bagi Sekolah Penyebaran Teokratik. Pada hari yang lain, anda boleh membaca buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, serta merenungkan apa yang Yesus katakan dan lakukan. (Rm. 10:17; Ibr. 12:2; 1 Ptr. 2:21) Terdapat juga bahan bacaan yang menceritakan kehidupan Yesus mengikut urutan peristiwa. Bahan bacaan ini akan membantu anda untuk mendapat banyak manfaat daripada catatan Bible.—Yoh. 14:6.

MENGAPAKAH PERENUNGAN SANGAT PENTING?

13, 14. Mengapakah penting untuk terus merenung tentang Yehuwa dan Yesus? Hal ini mendorong kita untuk melakukan apa?

13 Perenungan tentang Yehuwa dan Yesus dapat membantu seseorang menjadi matang secara rohani dan dapat mengekalkan iman yang kukuh. (Ibr. 5:14; 6:1) Jika seseorang tidak meluangkan banyak masa untuk merenungkan tentang Tuhan, lama-kelamaan hubungannya dengan Yehuwa akan renggang, atau bahkan dia mungkin meninggalkan kebenaran. (Ibr. 2:1; 3:12) Yesus memberi kita amaran bahawa jika kita tidak mendengar atau menerima Firman Tuhan dengan “hati yang baik dan jujur,” kita tidak akan “menyimpannya di hati.” Sebaliknya, perhatian kita akan “disimpangkan oleh kekhuatiran, kekayaan, dan pelbagai nikmat dalam hidup ini.”—Luk. 8:14, 15.

14 Semoga kita terus merenungkan Bible dan mengenal Yehuwa dengan lebih mendalam. Hal ini akan mendorong kita untuk meniru sifat-sifat dan keperibadian-Nya. (2 Kor. 3:18) Teruslah belajar tentang Bapa kita dan meniru-Nya. Hal ini memang merupakan suatu penghormatan bagi kita!—Pkh. 3:11.

15, 16. (a) Apakah manfaat yang diperoleh semasa merenungkan tentang Yehuwa dan Yesus? (b) Mengapakah susah untuk membuat perenungan, tetapi mengapakah kita tidak harus berputus asa?

15 Perenungan tentang Yehuwa dan Yesus akan membantu anda untuk bersemangat dalam kebenaran. Semangat anda dapat menggalakkan saudara saudari dan orang yang anda temui semasa aktiviti penyebaran. Semasa anda merenungkan korban tebusan Yesus yang disediakan oleh Yehuwa, anda akan semakin menghargai hubungan yang akrab dengan Tuhan. (Rm. 3:24; Yak. 4:8) Mark, seorang saudara dari Afrika Selatan telah dipenjarakan selama tiga tahun kerana imannya. Dia berkata, “Perenungan dapat disamakan seperti suatu pengembaraan yang menyeronokkan. Semakin kerap kita merenungkan hal-hal rohani, kita akan menerokai lebih banyak perkara baru tentang Tuhan Yehuwa. Apabila saya berasa kecewa atau khuatir tentang masa depan, saya membaca dan merenungkan ayat-ayat Bible. Hal ini menenangkan hati saya.”

16 Terdapat banyak gangguan di dunia ini yang menyebabkan kita berasa susah untuk meluangkan masa bagi perenungan. Patrick, seorang saudara dari Afrika, berkata, “Minda saya seperti peti surat yang dipenuhi dengan maklumat. Ada maklumat yang diperlukan dan ada pula yang sebaliknya. Saya perlu mengasingkan semua maklumat itu setiap hari. Namun, terdapat hal-hal yang membuat saya berasa ‘bimbang dan khuatir.’ Maka, sebelum membuat perenungan, saya harus berdoa kepada Yehuwa supaya dapat memiliki fikiran yang tenang. Hal ini memang mengambil masa, tetapi saya berasa lebih dekat dengan Yehuwa. Saya juga dapat memahami kebenaran dengan lebih baik.” (Mzm. 94:19) Ya, kita mendapat banyak manfaat daripada membaca dan merenungkan Bible setiap hari.—Kis. 17:11.

MENCARI MASA UNTUK PERENUNGAN

17. Bagaimanakah anda dapat mencari masa untuk perenungan?

17 Sesetengah orang bangun awal pagi untuk membaca, membuat perenungan, dan berdoa. Ada pula yang melakukannya semasa rehat tengah hari. Mungkin bagi anda, masa yang paling sesuai untuk membaca Bible adalah pada waktu malam atau sebelum anda tidur. Sesetengah orang suka membaca Bible pada waktu pagi dan juga sebelum tidur. (Yos. 1:8) Yang paling penting adalah “gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.” Ambillah masa daripada perkara-perkara yang kurang penting untuk merenungkan Firman Tuhan setiap hari.—Ef. 5:15, 16.

18. Apakah janji-janji Bible bagi mereka yang merenungkan Firman Tuhan setiap hari dan menerapkannya?

18 Bible berjanji bahawa Yehuwa akan memberkati mereka yang merenungkan Firman-Nya dan yang berusaha untuk menerapkan apa yang dipelajari. (Baca Mazmur 1:1-3.) Yesus berkata, “Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!” (Luk. 11:28) Yang paling penting adalah merenungkan Firman Yehuwa setiap hari kerana hal ini akan membantu kita untuk bertindak dalam cara yang memuliakan Yehuwa. Jika kita berbuat demikian, Yehuwa akan memberkati kita dengan kebahagiaan pada masa kini dan kehidupan kekal di dunia baru.—Yak. 1:25; Why. 1:3.

^ per. 6 Yosua 1:8 (NW): “Buku hukum ini tidak patut meninggalkan mulutmu, dan kamu harus membaca hukum ini dengan suara perlahan siang dan malam supaya kamu tidak lalai melakukan segala sesuatu sesuai dengan semua yang tertulis di dalamnya; dengan demikian jalan-jalanmu akan berjaya dan kamu akan bertindak dengan bijak.”