Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Gunakan Lidah Anda untuk Kebaikan

Gunakan Lidah Anda untuk Kebaikan

‘Semoga kata-kataku diterima oleh-Mu, ya Yehuwa.’—MZM. 19:15.

LAGU: 82, 77

1, 2. Mengapakah Bible menyamakan api dengan lidah kita?

PADA tahun 1871, sebuah kebakaran tercetus di hutan Wisconsin, Amerika Syarikat. Kebakaran ini merebak dengan cepat dan membakar kira-kira dua bilion pokok. Lebih daripada 1,200 orang terbunuh. Sebenarnya, jumlah orang yang terkorban dalam kebakaran ini lebih tinggi daripada kebakaran lain di Amerika Syarikat. Kebakaran besar ini mungkin disebabkan percikan api daripada kereta api yang melalui hutan tersebut. Ayat Bible berkata, “Lihatlah betapa kecilnya api yang diperlukan untuk membakar hutan yang luas!” (Yak. 3:5) Mengapakah Yakobus berkata sedemikian?

2 Dia menjelaskan, “Lidah bagaikan api.” (Yak. 3:6) “Lidah” bermaksud keupayaan untuk bercakap. Seperti api, kata-kata kita boleh mempengaruhi dan membawa kesan buruk terhadap orang lain. Bible juga berkata bahawa apa yang kita katakan boleh membawa kehidupan atau kematian. (Ams. 18:21) Jadi, adakah hal ini bermaksud bahawa kita tidak harus bercakap kerana takut sekiranya mengatakan sesuatu yang salah? Tidak. Kita tidak akan berhenti menggunakan api hanya kerana takut dibakar. Sebaliknya, kita berhati-hati semasa menggunakannya. Contohnya, kita menggunakan api untuk memasak, memanaskan diri, dan memperoleh cahaya. Begitu juga, jika kita berhati-hati semasa bercakap, kita dapat menggunakan keupayaan ini untuk memuliakan Yehuwa dan membawa manfaat kepada orang lain.—Mzm. 19:15.

3. Apakah tiga perkara yang dapat membantu kita menggalakkan orang lain semasa bercakap?

3 Yehuwa telah memberi kita keupayaan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan kita kepada orang lain, sama ada melalui kata-kata atau isyarat tangan. Maka bagaimanakah kita dapat menggunakan kurniaan ini untuk menggalakkan orang lain? (Baca Yakobus 3:9, 10.) Kita perlu tahu bila, apa, dan cara untuk bercakap.

BILA KITA PATUT BERCAKAP?

4. Bilakah kita patut berdiam diri?

4 Kadangkala lebih baik untuk berdiam diri. Bible berkata bahawa ada “waktu untuk berdiam diri.” (Pkh. 3:7) Contohnya, kita menunjukkan hormat jika kita berdiam diri sewaktu orang lain bercakap. (Ayb. 6:24) Kita juga tidak bercakap tentang hal yang sulit dan yang tidak patut diketahui orang lain. (Ams. 20:19) Selain itu, apabila seseorang membuat kita marah, adalah baik untuk bertenang dan berdiam diri.—Mzm. 4:5.

5. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita bersyukur atas kebolehan bercakap?

5 Namun, Bible juga berkata bahawa ada “waktu untuk bertutur.” (Pkh. 3:7) Ada masa untuk memuji Yehuwa, menggalakkan orang lain, meluahkan perasaan, dan memberitahu orang apa yang kita perlukan. (Mzm. 51:17) Jika kita menggunakan keupayaan bercakap dalam cara sedemikian, kita menunjukkan bahawa kita bersyukur atas kurniaan ini. Contohnya, apabila seorang sahabat memberikan hadiah yang cantik, sudah tentu kita ingin menggunakannya dengan sebaik mungkin.

6. Mengapakah penting untuk memilih masa yang sesuai untuk bercakap?

6 Mengapakah penting untuk memilih masa yang sesuai untuk bercakap? Amsal 25:11 berkata, “Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya bagaikan buah emas di dalam pinggan perak.” Buah emas memang cantik, tetapi buah itu lebih cantik apabila diletakkan di dalam pinggan perak. Begitu juga, kita mungkin ingin mengatakan sesuatu yang baik. Tetapi, kata-kata kita akan menjadi lebih menarik dan berkesan jika kita memilih masa yang sesuai untuk mengatakannya.

7, 8. Bagaimanakah saudara saudari di Jepun meniru Yesus?

7 Jika kita bercakap pada masa yang kurang sesuai, orang mungkin tidak faham atau tidak menerima apa yang kita katakan. (Baca Amsal 15:23.) Contohnya, gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada Mac 2011 telah memusnahkan banyak kota di bahagian timur Jepun. Lebih daripada 15,000 orang mati. Walaupun banyak Saksi-Saksi Yehuwa kehilangan keluarga dan sahabat, mereka ingin menggunakan Bible untuk membantu orang lain. Tetapi mereka tahu bahawa banyak orang merupakan penganut Buddha dan hanya mengetahui sedikit tentang Bible. Maka, mereka tidak mengongsi tentang harapan kebangkitan, sebaliknya mereka melegakan orang dan menjelaskan mengapa perkara buruk itu berlaku kepada orang baik.

8 Saudara saudari itu meniru Yesus. Yesus tahu bila untuk berdiam diri dan bila untuk bercakap. (Yoh. 18:33-37; 19:8-11) Yesus juga menunggu masa yang sesuai untuk mengajar murid-muridnya. (Yoh. 16:12) Saudara saudari di Jepun menunggu masa yang sesuai untuk mengongsi harapan kebangkitan. Dua setengah tahun selepas tsunami berlaku, mereka menawarkan risalah Bolehkah Orang yang Sudah Mati Hidup Semula? Banyak orang mengambil risalah itu dan mendapat kelegaan. Kita juga harus memikirkan budaya dan kepercayaan orang di kawasan penyebaran supaya kita dapat mencari masa yang sesuai untuk bercakap dengan mereka.

9. Bilakah saatnya kita perlu menunggu masa yang sesuai untuk bercakap?

9 Bilakah kita perlu menunggu masa yang sesuai untuk bercakap? Mungkin seseorang mengatakan sesuatu yang menyakitkan hati kita. Janganlah terus menjawab dan mengatakan sesuatu yang tidak patut. Adalah baik untuk berhenti sejenak dan berfikir: “Adakah dia sengaja mengatakannya? Adakah saya betul-betul perlu berhadapan dengannya?” Mungkin lebih baik kita berdiam diri. Tetapi jika kita memiliki sebab yang baik untuk berhadapan dengannya, tunggulah sehingga kita bertenang. (Baca Amsal 15:28.) Selain itu, kita mungkin ingin menggalakkan ahli keluarga yang bukan Saksi untuk belajar tentang Yehuwa. Namun, kita harus bersabar, berfikir dengan mendalam tentang apa yang ingin dikatakan, dan cari masa yang sesuai.

APAKAH YANG PATUT DIKATAKAN?

10. (a) Mengapakah kita harus berhati-hati semasa bercakap? (b) Apakah cara percakapan yang harus kita hindari?

10 Kata-kata kita dapat menyakitkan atau menyembuhkan orang lain. (Baca Amsal 12:18.) Banyak orang menggunakan ‘kata-kata berbisa’ yang bagaikan “anak panah” atau “pedang” kerana mereka ingin menyakitkan dan membuat orang lain marah. (Mzm. 64:4) Mereka belajar cara percakapan ini daripada filem dan program televisyen. Namun, orang Kristian tidak patut bercakap dengan cara yang kasar dan menyakitkan bahkan semasa berjenaka. Berjenaka memang tidak salah dan boleh membuat percakapan kita menarik. Tetapi kita tidak harus menggunakan sindiran, iaitu mengatakan sesuatu yang memalukan atau menghina seseorang hanya untuk membuat orang ketawa. Bible menyatakan bahawa orang Kristian harus menjauhi “kata-kata hinaan.” Bible juga berkata, “Janganlah biarkan kata-kata yang busuk keluar daripada mulut kamu. Sebaliknya, menurut keadaan dan masa, ucapkanlah kata-kata baik yang dapat menguatkan orang, supaya orang yang mendengar akan mendapat manfaat.”—Ef. 4:29, 31.

11. Apakah yang membantu kita untuk memilih kata-kata yang sesuai?

11 Yesus berkata bahawa “apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut.” (Mat. 12:34) Maksudnya, apa yang kita katakan menunjukkan perasaan kita yang sebenar. Jika kita mengasihi dan mengambil berat tentang orang lain, kita akan memilih kata-kata yang sesuai. Percakapan kita akan menjadi positif dan menggalakkan.

12. Apakah perkara lain yang dapat membantu kita memilih kata-kata yang sesuai?

12 Memilih kata-kata yang sesuai memerlukan usaha. Raja Salomo yang bijak pun harus “mengkaji peribahasa dan menguji kebenarannya” supaya dapat “menggunakan perkataan yang menyenangkan.” (Pkh. 12:9, 10) Adakah anda berasa susah untuk “menggunakan perkataan yang menyenangkan”? Jika ya, kita mungkin perlu belajar kata-kata yang baru dan maksudnya. Kita boleh berbuat demikian dengan membaca Bible dan bahan bacaan kita. Selain itu, kita boleh belajar cara percakapan yang dapat membantu orang dengan mengkaji teladan Yesus. Yehuwa telah mengajar Yesus ‘apa yang harus dikatakan, supaya dia dapat menguatkan orang yang letih lesu.’ (Yes. 50:4) Adalah penting untuk berfikir bagaimana kata-kata kita dapat mempengaruhi orang lain. (Yak. 1:19) Tanyalah diri, “Adakah cara saya bercakap dapat menyampaikan isi hati saya yang sebenar? Apakah perasaan orang yang mendengarnya?”

13. Mengapakah kita harus bercakap dalam cara yang mudah difahami?

13 Orang Israel menggunakan bunyi trompet untuk memberikan isyarat. Salah satu bunyi bermaksud orang harus berkumpul. Bunyi yang lain pula boleh bermaksud bahawa askar harus menyerang. Bayangkan apa akan terjadi jika bunyi trompet tidak jelas! Bible menyamakan bunyi trompet dengan kata-kata kita. Jika kata-kata kita tidak jelas, orang lain mungkin berasa keliru atau percaya sesuatu yang tidak benar. Sudah tentu kita ingin meluahkan perasaan dengan jelas, tetapi kita harus berhati-hati agar kata-kata kita tidak kasar atau biadab.—Baca 1 Korintus 14:8, 9.

14. Apakah contoh yang menunjukkan Yesus menggunakan cara percakapan yang mudah difahami?

14 Matius bab 5 hingga 7 merupakan contoh baik tentang cara Yesus memilih kata-kata yang mudah difahami. Dalam ceramahnya, dia tidak cuba mengagumkan orang dengan kata-kata yang rumit. Dia juga tidak mengatakan sesuatu yang menyakitkan orang lain. Sebaliknya, Yesus memberikan pengajaran yang mendalam dengan menggunakan kata-kata yang mudah difahami. Contohnya, Yesus meyakinkan pengikutnya bahawa mereka tidak perlu berasa risau tentang makanan harian. Dia menjelaskan bahawa Yehuwa sentiasa memberi burung makanan. Kemudian, dia menanya mereka, “Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung?” (Mat. 6:26) Dengan kata-kata yang mudah difahami, Yesus membantu mereka memahami pengajaran yang penting dan mereka amat digalakkan.

APAKAH CARANYA UNTUK BERCAKAP?

15. Mengapakah kita harus bercakap dengan cara yang baik?

15 Cara kita bercakap sama pentingnya dengan apa yang diucapkan. Ramai orang gemar mendengar kata-kata Yesus kerana cara percakapannya lembut dan “menawan hati pendengarnya.” (Luk. 4:22) Apabila percakapan kita menyenangkan, orang akan menikmati dan menerima kata-kata kita. (Ams. 25:15) Jika kita menghormati orang dan mengambil berat tentang perasaan mereka, kita akan berusaha untuk menggunakan kata-kata yang baik. Itulah yang dilakukan Yesus. Contohnya, apabila dia melihat orang ramai yang ingin mendengarnya, dia mengasihani mereka dan mula mengajar mereka. (Mrk. 6:34) Selain itu, semasa Yesus dihina, dia tidak membalas dengan hinaan.—1 Ptr. 2:23.

16, 17. (a) Semasa bercakap kepada keluarga dan sahabat, bagaimanakah kita boleh mengikut teladan Yesus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Bagaimanakah seorang ibu meraih manfaat semasa menjawab dengan cara yang baik?

16 Walaupun kita mengasihi keluarga dan sahabat, ada kalanya kata-kata kita menyakitkan mereka. Kita mungkin berasa bahawa kita boleh berterus-terang kerana kita sangat rapat dengan mereka. Namun Yesus tidak pernah menggunakan kata-kata yang menyakitkan sahabatnya. Apabila para rasul bertengkar tentang siapa yang terbesar antara mereka, dia membetulkan mereka dengan cara yang pengasih. Dia menggunakan contoh seorang anak kecil supaya para rasul dapat mengubah pandangan mereka. (Mrk. 9:33-37) Para penatua juga boleh meniru teladan Yesus dengan menasihati orang secara lemah lembut.—Gal. 6:1.

17 Walaupun orang meluahkan kata-kata yang menyakitkan hati, kita boleh menjawab dengan cara yang baik. (Ams. 15:1) Contohnya, seorang remaja lelaki melakukan perkara yang salah tetapi berpura-pura menyembah Yehuwa. Maka seorang saudari memberitahu ibu remaja itu, “Sedihnya, kamu gagal melatih anak kamu.” Ibu itu berfikir sebentar dan kemudian menjawab, “Ya, keadaan memang susah sekarang, tetapi saya masih sedang melatih anak saya. Cakaplah dengan saya tentang hal ini selepas Armagedon, barulah kita tahu keputusannya.” Memandangkan dia bertenang dan menjawab dengan baik, dia mengekalkan hubungan yang baik dengan saudari itu. Selain itu, anak remajanya mendengar kata-kata tersebut dan sedar bahawa ibunya percaya dia boleh berubah. Maka remaja itu menjauhi pergaulan buruk, dibaptis, dan kemudian berkhidmat di Bethel. Sama ada kita bercakap kepada saudara saudari, keluarga, atau orang yang tidak dikenali, pastikan bahawa kata-kata kita “sentiasa menyenangkan dan enak didengari, seperti makanan yang ditambahkan dengan garam.”—Kol. 4:6.

18. Bagaimanakah kita boleh mengikut teladan Yesus semasa bercakap?

18 Keupayaan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan kita kepada orang lain merupakan anugerah daripada Yehuwa. Jika kita mengikut teladan Yesus, kita akan memilih masa yang sesuai dan berhati-hati semasa bercakap, serta menggunakan kata-kata yang lembut. Semoga percakapan kita menggalakkan orang serta menggembirakan hati Yehuwa.