Lompat ke kandungan

Adakah Yesus Tuhan?

Adakah Yesus Tuhan?

BANYAK orang menganggap ajaran Tritunggal sebagai “ajaran utama agama Kristian.” Menurut ajaran ini, Bapa, Anak, dan Roh Kudus, adalah tiga tetapi satu Tuhan. Pendeta Roman Katolik John O’Connor kata tentang Tritunggal, “Ajaran ini suatu misteri yang dalam. Kami tidak mungkin memahaminya.” Mengapakah Tritunggal begitu susah difahami?

Satu sebabnya dijelaskan dalam The Illustrated Bible Dictionary. Kamus ini menyatakan, “Ajaran Tritunggal tidak berdasarkan Bible. Jadi tiada ayat Bible yang menyokong ajaran ini.” Oleh sebab Tritunggal “bukan ajaran Bible,” orang yang mempercayainya cuba mencari ayat Bible, bahkan memutarbelitkannya, untuk menyokong ajaran itu.

Adakah Ayat Ini Menyokong Tritunggal?

Satu ayat Bible yang sering diputarbelitkan ialah Yohanes 1:1. Alkitab Versi Borneo menyatakan, “Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Tuhan [Yunani, ton the·onʹ] dan Firman itu ialah Tuhan [the·osʹ].” Ayat ini mengandungi dua bentuk kata nama Yunani bagi perkataan tuhan (the·osʹ). Perkataan tuhan yang pertama didahului dengan kata sandang tentu (ton). Maka perkataan the·onʹ itu merujuk kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Tetapi bagi yang kedua pula tiada kata sandang tentu. Mengapakah terdapat perbezaan ini?

Mengapakah ajaran Tritunggal begitu susah difahami?

Buku Yohanes ditulis dalam Koine, iaitu bahasa Yunani harian. Dalam Koine terdapat hukum tatabahasa mengenai penggunaan kata sandang tentu. Pakar Bible yang bernama A. T. Robertson kata bahawa jika kedua-dua subjek dan predikat mempunyai “kata sandang tentu, kedua-dua perkataan itu dianggap sama dan boleh saling bertukar.” Robertson menggunakan Matius 13:38 sebagai contoh. Ayat itu kata, “Ladang [Yunani, ho a·grosʹ] ialah dunia [Yunani, ho koʹsmos].” Tatabahasa yang digunakan di sini membantu kita faham bahawa kedua-dua perkataan itu boleh saling bertukar, iaitu dunia ialah ladang dan ladang ialah dunia.

Bagaimana pula jika subjek mempunyai kata sandang tentu tetapi predikatnya tidak, seperti dalam Yohanes 1:1? Pakar yang bernama James Allen Hewett berkata tentang ayat itu, “Hal ini menunjukkan bahawa subjek dan predikatnya tidak sama dan tidak setara.”

Hewett menggunakan 1 Yohanes 1:5 sebagai contoh. Ayat itu berbunyi, “Tuhan itu cahaya.” Dalam bahasa Yunani, “Tuhan” ialah ho the·osʹ dan mempunyai kata sandang tentu. Tetapi perkataan phos yang bermaksud “cahaya” tidak didahului dengan apa-apa kata sandang. Hewett menjelaskan, “Kita boleh kata . . . bahawa Tuhan dapat diumpamakan seperti cahaya. Tetapi, kita tidak dapat mengatakan bahawa cahaya ialah Tuhan.” Terdapat contoh lain di Yohanes 4:24 dan 1 Yohanes 4:16. Ayat-ayat itu kata bahawa “Tuhan ialah Roh,” dan “Tuhan itu kasih.” Dalam kedua-dua ayat ini, subjeknya disertai kata sandang, tetapi predikatnya iaitu “Roh” dan “kasih,” tidak mempunyai kata sandang. Maka, subjek dan predikat tidak dapat saling bertukar. Kita tidak boleh berkata bahawa “Roh ialah Tuhan” atau “kasih itu Tuhan.”

Siapakah itu “Firman”?

Banyak pakar bahasa Yunani dan penterjemah Bible setuju bahawa Yohanes 1:1 sedang menunjukkan ciri-ciri “Firman” dan bukan identitinya. William Barclay, seorang penterjemah Bible, kata, “Memandangkan [Rasul Yohanes] tidak mendahului perkataan theos dengan kata sandang tentu, maka perkataan itu menjadi satu penerangan . . . Yohanes bukannya menyamakan Firman dengan Tuhan. Pendek kata, dia tidak kata Yesus ialah Tuhan.” Seorang pakar yang bernama Jason David BeDuhn juga berkata, “Jika kata theos tidak didahului oleh kata sandang, seperti di Yohanes 1:1c, pembaca Yunani akan membuat kesimpulan bahawa yang dimaksudkan inilah ‘suatu tuhan.’ . . . Ini sangat berbeza daripada ho theos yang didahului oleh kata sandang.” BeDuhn menambah, “Di Yohanes 1:1, Firman bukanlah Tuhan Yang Esa, tetapi dia ialah suatu tuhan atau makhluk roh yang seperti Tuhan.” Joseph Henry Thayer, iaitu pakar yang mengulas tentang Bible American Standard Version, kata, “Logos [atau, Firman] itu seperti tuhan, tetapi bukanlah Tuhan Yang Maha Kuasa.”

Yesus sendiri menjelaskan bahawa dia dan Bapanya adalah berbeza

Adakah identiti Tuhan “suatu misteri yang dalam”? Tidak! Yesus sendiri menjelaskan bahawa dia dan Bapanya adalah berbeza. Dia berkata, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.” (Yohanes 17:3) Jika kita percaya kepada Yesus dan memahami ajaran Bible, kita akan terima bahawa Yesus ialah Anak Tuhan dan bahawa Yehuwa ialah “satu-satunya Tuhan yang benar.”